27.8 C
Kuala Lumpur
Friday, September 12, 2025
Utama Blog Laman 140

Mengagumkan, permintaan daun kering ini sangat tinggi hinggakan jualannya mencecah lima angka!

0

Kecanggihan teknologi dan kesedaran kepentingan pemasaran digital pada masa kini mengembangkan dan memudahkan urusan jual beli dalam talian. Dengan banyak pilihan yang ditawarkan, pelanggan mempunyai lebih banyak masa untuk membuat perbandingan sebelum memutuskan untuk membeli sesuatu barang. Bagi peniaga pula, mereka dapat memasarkan pelbagai barangan mengikut permintaan pelanggan. Ini termasuklah barangan yang terhad dan sukar didapati di kedai-kedai biasa seperti daun kering ini. Mengagumkan, permintaan daun kering ini sangat tinggi hinggakan jualannya mencecah lima angka! 

Rupa-rupanya daun kering itu adalah daun ketapang. Penjual memperoleh daun ketapang dari Kampung Changkat. Daun ketapang tersebut dijual dengan harga RM3 untuk 30 helai daun dan harga promosi ialah RM2. Mengagumkan kerana jualan daun ketapang ini telah pun mencecah sehingga 18,500! 

SHOPEE

Nampaknya daun ketapang ini memang dicari-cari oleh orang ramai. Apakah kegunaan dan khasiat daun ketapang ini?

Daun ketapang sering dikaitkan dengan ikan laga malah telah digunakan sejak dahulu lagi oleh kebanyakan penternak ikan hiasan khususnya. Ini kerana mereka mempercayai daun ketapang mampu memberi tenaga luar biasa kepada ikan-ikan tersebut.

Khasiat daripada air rendaman daun ketapang dikatakan mampu mengurangkan tekanan atau kemurungan yang dihadapi oleh ikan laga. Ini kerana daun tersebut memberikan keselesaan dan kenyamanan pada ikan laga. Apakah punca ikan laga berasa tertekan? Ikan laga berasa tertekan kerana berkongsi tangki dengan ikan lain yang dilihat sebagai pesaingnya.

PEXELS

Daun ketapang mengandungi asid ‘Humin dan Tunnin’ yang boleh menurunkan nilai Ph atau asid dalam air. Namun daun yang dipilih mestilah betul-betul kering kerana hanya air rendaman daun yang telah kering sahaja boleh memberikan kesan optimum untuk ikan laga.

Selain itu, daun ini juga boleh merawat luka-luka pada ikan laga bahkan boleh mencegah anak ikan laga daripada terkena penyakit.

Khasiat lain daun ketapang ini ialah, ia dapat merangsang pembentukan buih ikan laga jantan ketika mengawan serta meningkatkan lagi keinginan ikan laga ketika mengawan.

PEXELS

Rupa-rupanya, daun ketapang juga mampu menggalakkan pertumbuhan warna dan ekor ikan laga yang cantik. Menariknya!

Daun ketapang juga dapat memberi tenaga pada ikan laga selain memastikan ikan laga sentiasa aktif dan kesihatannya berada pada tahap yang optimum.

Air rendaman daun ketapang ini berwarna coklat pudar, jadi ia adalah alternatif atau cara terbaik bagi menggantikan air yang terdapat pada habitat asalnya. Dengan keadaan warna air yang gelap, ikan laga akan berasa seolah-olah ia berada di habitat asalnya.

Selain ikan laga, daun ketapang ini juga digunakan oleh penternak ikan koi, ikan kelisa dan sebagainya kerana sifat semula jadi daun ini yang baik untuk air ikan. Penternak ikan gemar menggunakan daun ketapang sebagai alternatif mudah, jimat dan selamat untuk membesarkan ikan-ikan mereka.

PEXELS

Air yang kurang berkualiti menjadi punca ikan laga berpenyakit. Oleh itu, dengan menggunakan daun ketapang, ia dapat merawat air ikan dan menjadikan ikan lebih sihat dan kurang sakit.

Cara untuk membuat air rendaman daun ketapang:

  1. Ambil seberapa banyak daun ketapang yang sudah kering dan gugur daripada pokoknya.
  2. Masukkan daun ketapang ke dalam air dan rendam selama satu hingga dua jam. Namun harus diingatkan agar tidak merendam daun ketapang tersebut terlalu lama kerana zat-zat yang terdapat pada daun itu akan turut keluar. Rendam hanya untuk membersihkan daun ketapang daripada bendasing seperti pasir, habuk atau serpihan-serpihan yang boleh memudaratkan ikan laga.
  3. Selepas selesai merendam dan membersihkan daun ketapang, buang air tersebut dan jemur daun ketapang itu hingga kering.
  4. Daun ketapang yang telah kering itu lebih empuk dan bersih untuk ikan laga.
  5. Daun ketapang ini boleh disimpan dan digunakan untuk kemudian hari.
PIXABAY

Pokok ketapang atau dipanggil sebagai Indian Almond Leaves ini merupakan pokok yang tahan lasak. Ia tumbuh dengan subur di pelbagai kawasan seperti tanah pantai, tanah berpasir, tanah gambut, asalkan kawasan tersebut tidak ditenggelami air, pokok ketapang dapat membiak dengan baik. Cara pembiakannya juga mudah, sama ada melalui biji benih atau keratan batang atau ranting. Daunnya yang bersaiz besar, lebar, dan dahan bertingkat membuatkan pokok ketapang ini digemari sebagai tempat berteduh.

Jika anda sukar untuk mendapatkan bekalan daun ketapang ini sendiri, beli sahaja secara dalam talian. Jangan pandang sebelah mata kerana daun ketapang ini sangat bernilai dan ia telah pun dipasarkan diperingkat antarabangsa kerana pokok ketapang hanya dapat dijumpai di Asia Tenggara. Permintaan dari negara luar terhadap daun ketapang juga sangat tinggi, jadi dapatkan segera sebelum kehabisan stok dan demi kesihatan ikan hiasan anda terutama ikan laga anda.

Pilihan Editor:

Nasi jagung, masak sekali dengan tongkolnya akan membuatkan masakan lebih enak dan manis

0

Nasi jagung adalah antara nasi yang enak dimakan begitu sahaja. Nasi jagung mengandungi banyak gizi berbanding nasi putih biasa dan kaya dengan vitamin A,B1,B6,B12 dan C. Kebiasaannya, orang yang tinggal di kawasan kampung mencampurkan jagung ke dalam nasi sebagai penambah sumber karbohidrat disebabkan harga beras mahal. Rupa-rupanya jika nasi jagung ini dimasak sekali dengan tongkolnya akan membuatkan masakan lebih enak dan manis.

FACEBOOK

Antara manfaat kesihatan yang terdapat dalam nasi jagung ialah:

  • Mengawal kolesterol.
  • Mengawal gula dalam darah.
  • Menjaga dan memudahkan proses pencernaan.
  • Menyihatkan mata.
  • Mencegah anemia.
  • Menyihatkan kulit.
PIXABAY

Resipi nasi jagung.

Bahan-bahan:

  • 2 cawan beras (basuh dan buangkan air basuhan. Ulang sehingga air tidak lagi keruh). Toskan beras dan masukkan ke dalam periuk, ketepikan.
  • 1 atau 2 tongkol jagung (bergantung kepada saiz jagung, anda boleh mengolahnya mengikut saiz jagung).
  • Mentega.
  • Garam.

Cara-cara untuk memasaknya ialah:

  1. Asingkan biji jagung daripada tongkolnya.
  2. Kemudian, potong kecil tongkol jagung tersebut untuk dimasak bersama dengan beras dan biji jagung.
  3. Bagi dua cawan beras, tambahkan garam sebanyak 1 1/3 sudu kecil.
  4. Jika anda gemarkan lada hitam, tambahkan ke dalam periuk.
  5. Masak nasi seperti anda masak nasi putih biasa.
  6. Selepas nasi siap dimasak, tambahkan 10 gram mentega dan kacau hingga sebati.
  7. Jika anda sukakan rumpai laut, anda juga menambahnya ke dalam nasi.
  8. Nasi jagung sedia untuk dihidang.
PIXABAY

Selain menambah mentega dan garam pada nasi jagung yang telah siap dimasak, anda juga boleh menambahkan gabungan mentega dan kicap. Semakin banyak kicap yang anda tambah, semakin gelap warna nasi jagung tersebut. Anda boleh mengolahnya mengikut cita rasa anda.

Tips untuk menyediakan nasi jagung yang enak:

  • Gunakan jagung yang segar.
  • Gunakan pisau yang tajam ketika anda hendak mengasingkan biji jagung daripada tongkolnya.
  • Tongkol jagung mengandungi kemanisannya tersendiri, jadi jangan buang tongkol jagung. Potong kecil-kecil dan masukkan sekali ke dalam periuk. Biarkan ia masak bersama-sama dengan beras.

Nah, mudah bukan cara untuk memasak nasi jagung ini. Dikatakan nasi jagung ini juga sesuai untuk dimakan bagi mereka yang mahu menurunkan berat badan. Selamat mencuba!

Pilihan Editor:

Kapal angkasa DART NASA berjaya menghentam asteroid dalam ujian bersejarah pertahanan Bumi

0

Kapal angkasa DART milik NASA (Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan Amerika Syarikat) yang berupaya memesongkan asteroid telah berjaya menghentam asteroid bersaiz stadium bola sepak dalam ujian bersejarah sistem pertahanan planet pertama di dunia, yang direka untuk mengelakkan perlanggaran objek kosmik dengan Bumi.

“IMPAK KEJAYAAN!” NASA mengisytiharkan di Twitter selepas kapal angkasa itu, yang bergerak pada kelajuan 14,000 batu (23,500 kilometer) sejam, berjaya menghentam asteroid “Dimorphos” pada hari Isnin jam 7.14 malam waktu tempatan.

NASA Live / Epoch TV

Agensi angkasa lepas Amerika Syarikat telah menyiarkan secara langsung perkembangan terkini dan impak muktamad kapal angkasa itu, membolehkan penonton global menyaksikannya melalui kamera DRACO dari DART, kapal misi angkasa yang bersaiz mesin layan diri ini bertembung dengan asteroid bersaiz stadium bola sepak, Dimorphos.

Asteroid itu, kini berada kira-kira 6.8 juta batu (10 juta kilometer) jauhnya, yang tidak menimbulkan ancaman kepada Bumi, menurut NASA.

Misi DART membantu bagi menentukan bagaimana kaedah ini boleh digunakan dalam situasi pertahanan planet pada masa sebenar jika ia berlaku, kerana walaupun dengan hanya perubahan kecil ke atas trajektori asteroid mungkin sudah cukup untuk mengelakkan malapetaka melanda Bumi dengan syarat batu angkasa itu berada cukup jauh.

NASA Live / Epoch TV

Ujian Pengalihan Asteroid Berganda

Misi DART, atau Ujian Pengalihan Asteroid Berganda, telah direka untuk melihat sama ada hentaman kapal angkasa ke dalam asteroid akan mengubah kelajuan dan laluannya di angkasa lepas melalui impak kinetik.

NASA memilih untuk menyasarkan asteroid Dimorphos bersaiz kira-kira 530 kaki (160 meter), yang mengorbit asteroid 2,560 kaki (781 meter) lebih besar dikenali sebagai “Didymos”, yang bersama-sama membentuk sistem asteroid binari berhampiran Bumi.

Impak DART ke atas Dimorphos dijangka mengubah orbitnya dalam sistem binari, dengan matlamat asteroid tersebut akan bergerak ke orbit yang lebih kecil dan mengurangkan 10 minit masa yang diperlukan untuk mengelilingi Didymos.

NASA Live / Epoch TV

Pasukan Penyiasatan DART akan mengkaji keputusan sebenar ujian dalam beberapa minggu akan datang dan membandingkannya dengan “simulasi komputer yang sangat terperinci” impak kinetik ke atas asteroid.

Misi NASA bernilai AS$325 juta (RM1.5 bilion) itu diharap akan membantu menentukan keberkesanan impak kinetik DART, atau pendekatan “menghentak” untuk pertahanan planet.

Kapal angkasa DART telah dilancarkan pada November 2021 dan mengambil masa 10 bulan untuk bergerak ke asteroid sasaran.

LICIACube Age milik Agensi Angkasa Lepas Itali yang dipisahkan dari kapal angkasa DART, kini bergerak melepasi Dimorphos kira-kira tiga minit selepas impak DART.

LICIACube diprogramkan untuk mendokumentasikan kesan dan impak hentaman, mengambil imej permukaan asteroid dan sebarang serpihan yang dikeluarkan dari kawah yang baru terbentuk dengan dua kamera optiknya.

“Matlamat CubeSat adalah untuk mengesahkan impak kapal angkasa, memerhatikan evolusi gumpalan atau kepulan yang dikeluarkan, berpotensi merakam imej kawah daripada hentaman yang baru terbentuk, dan imej hemisfera Dimorphos yang DART tidak akan pernah lihat,” menurut siaran NASA.

NASA akan menggunakan teleskop di Bumi untuk mengukur sejauh mana impak misi DART terhadap gerakan asteroid di angkasa lepas.

Pilihan Editor:

Ibu berusia 38 tahun ini sungguh memberi inspirasi apabila berjaya menamatkan pengajian PhD sambil membesarkan lapan orang anaknya

0

Seorang ibu mampu melakukan pelbagai pekerjaan dalam satu-satu masa. Tidak kira betapa sukarnya pekerjaan tersebut, si ibu pasti akan melakukannya dengan sebaik mungkin. Walaupun ibu masih mahu mengejar cita-citanya namun mereka tidak pernah mengabaikan tanggungjawabnya terhadap keluarga. Seperti ibu-ibu lain yang tidak menjadikan keluarga sebagai penghalang untuk mereka menyambung pelajaran, wanita berusia 38 tahun ini sungguh memberi inspirasi apabila berjaya menamatkan pengajian PhD sambil membesarkan lapan orang anaknya.

Menurut laporan yang dikongsikan oleh China Press, Dr.Zatilfarihiah Rasdi menyelesaikan penyelidikan biokimia pergigiannya sambil membesarkan lapan orang anak yang berusia di antara satu hingga 14 tahun.

“Anak yang sulung masih bersekolah, dan yang kecil baru sahaja berusia satu tahun sembilan bulan. Jika diingatkan semula, saya tidak dapat membayangkan bagaimana saya dapat melalui ini semua, ia sangat mencabar, lebih-lebih lagi saya mempunyai anak kecil,” kata Dr.Zatilfarihiah.

Selain menjalankan tanggungjawab sebagai ibu dan pelajar PhD, Dr.Zatilfarihiah juga menjalankan tanggungjawab sebagai seorang pensyarah di sebuah kolej tempatan. Katanya, cabaran membesarkan anak-anak menjadikannya lebih berdisiplin dalam bab pengurusan masa.

Pengorbanan yang paling banyak dilakukan oleh Dr.Zatilfarihiah sepanjang tempoh pengajian PhD ialah masa rehat. Selain memastikan tugas dan penyelidikan siap dalam tempoh masa yang ditetapkan, dia juga memberikan tumpuan sebaik-baiknya pada keluarganya.

Kata Dr.Zatilfarihiah, sebenarnya membesarkan anak sambil belajar bukanlah perkara mudah. Pada April 2017 ketika dia mula-mula mendaftar untuk pengajian PhD, dia sudah mempunyai lima orang anak dan sepanjang pengajiannya, dia melahirkan tiga orang anak lagi. Mengandung, bersalin sambil belajar adalah cabaran yang harus ditempuhi namun semua itu tidak mematahkan semangatnya untuk meneruskan pengajian. Baginya apa yang dilaluinya itu adalah rahmat Tuhan buat dia dan keluarganya.

Hampir setiap hari, Dr.Zatilfarihiah akan bangun untuk menelaah pelajarannya. Kemudian pergi ke makmal pada jam 8 pagi hingga 5 petang untuk menyiapkan kertas kajian dan menjalankan eksperimen. Dia mengaku perkara tersebut memenatkannya namun dia bersyukur kerana sebagai seorang pensyarah dia cepat menyesuaikan diri dengan keadaan itu.

Menurut Dr.Zatilfarihiah, suaminya sangat menyokong perjalanannya sebagai pelajar PhD. Ibu bapa kandung dan ibu bapa mertuanya juga turut sama membantu menjaga anak-anaknya ketika dia sibuk menjalankan tugas.

Syabas dan tahniah diucapkan kepada Dr.Zatilfarihiah atas perjalanannya mendapatkan PhD yang sungguh luar biasa. Semoga kisahnya ini akan dijadikan contoh buat orang ramai khususnya mereka yang bergelar ibu. Capailah cita-cita anda di samping keluarga tersayang!

Pilihan Editor:

Lelaki melayu ini mencuri perhatian orang ramai apabila menyanyikan lagu tamil

0

Seorang lelaki melayu mencuri perhatian orang ramai apabila dia menyanyikan lagu tamil. Perkara ini dikongsikan oleh VARNAM MY menerusi Facebook mereka.

Menurut Varnam MY, lelaki melayu tersebut menyanyikan lagu popular llayaraja bertajuk ‘Thendral Vanthu Theendum Pothu’ daripada filem ‘Avanthaaram’.

Mereka terpesona dengan nyanyian lelaki tersebut. Petikan gitar juga menambahkan lagi kemerduan suara lelaki itu.

Rata-rata netizen juga turut terpesona dan meninggalkan komen yang positif terhadap nyanyian lelaki itu.

Ada netizen yang mengatakan mungkin sebutan perkataan tamil tersebut tidaklah begitu sempurna tetapi nyanyian lelaki tersebut masih boleh diterima dan sedap di dengar.

Tinjauan di ruang komen mendapati, rupa-rupanya lelaki tersebut ialah Pasya, peserta Mentor 7. Mentor ialah satu program pencarian bakat menyanyi anjuran TV3 satu ketika dahulu. Perkara ini disahkan sendiri oleh Ummi Hazel yang merupakan bekas guru kepada Pasya.

Tidak kira bangsa apa pun kita sebenarnya, kita harus menghormati antara satu sama lain. Untuk menambah nilai diri, eloklah kita pelajari bahasa bangsa lain.

Pilihan Editor:

Lebih 10 juta rakyat Malaysia mungkin terkesan banjir pada akhir tahun: MetMalaysia

0

Lebih 10 bulan lalu, penduduk yang tinggal di Shah Alam, Selangor berdepan bencana banjir terburuk dalam masa lebih 25 tahun. Banyak rumah musnah dan kebanyakannya tidak bersedia untuk bencana itu.

Paras air melepasi bumbung di beberapa kawasan perumahan dan bot penyelamat diperlukan untuk menyelamatkan mangsa di kawasan terjejas.

Banjir pada hujung tahun lalu telah memberi kesan kepada lapan buah negeri dengan lebih 70,000 kehilangan tempat tinggal serta mencatatkan kerugian kira-kira 6.1 bilion.

Facebook

Mangsa yang terjejas berkongsi keperitan berhadapan bencana banjir dengan sebahagian daripada mereka masih trauma dan sehingga kini ada yang belum pulih sepenuhnya dengan terus berusaha membaiki rumah dan harta benda terjejas.

Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan ramalan pada 20 September yang menyebut musim banjir sudah tiba dan berkemungkinan akan kekal sehingga awal tahun depan.

Musim tersebut berkemungkinan besar akan menjejaskan lebih 10 juta rakyat Malaysia dan musim banjir mungkin bakal melanda bermula bulan November hingga Januari 2023.

Facebook

Berdasarkan ramalan itu, MetMalaysia menyebut negeri-negeri yang bakal terjejas adalah seperti berikut:

  • Kelantan (1.8 juta orang)
  • Terengganu (1.2 juta orang)
  • Johor (4 juta orang)
  • Pahang (1.6 juta orang)
  • Sebahagian Sarawak (2.5 juta orang)

Kawasan ini akan terjejas oleh musim monsun atau musim tengkujuh dan berkemungkinan besar akan mengalami hujan lebat berterusan.

Selain itu, MetMalaysia juga menyebut negeri-negeri berikut mungkin akan turut dilanda banjir akibat perubahan cuaca:

  • Selangor
  • Kuala Lumpur
  • bahagian utara Kedah
Facebook

Presiden Pengurusan Bencana Kebangsaan (Nadim), Roslan Ab. Ghani berkata, “Sukar untuk meramalkan sama ada banjir akan berlaku atau tidak kerana cuaca hari ini tidak menentu dan boleh berubah dengan cepat, ia di luar jangkaan menyebabkan bencana boleh berlaku di luar kawasan dan di luar musim.”

Beliau menekankan, “malah bahagian yang tidak pernah dinaiki air sebelum ini kini mengalami banjir.”

Beliau menggesa rakyat perlu bersiap sedia dan mengingatkan setiap negeri untuk memperkasakan komuniti masing-masing di peringkat daerah dalam soal pengurusan banjir dan memastikan pusat pemindahan berhampiran disediakan apabila diperlukan.

Pilihan Editor:

Rompakan nyaris berlaku, pemandu pantas undur dan pecut laju elak penjenayah yang menghalang kereta di lampu isyarat

0

Amat menyedihkan apabila di Malaysia pada hari ini kita berasa tidak lagi selamat, kerana berita rompakan terdengar di mana-mana. Kadangkala ia dilakukan secara terang-terangan di siang hari, apatah lagi ketika pemandu yang sedang memandu kereta di waktu subuh yang sunyi lagilah penjenayah ini begitu berani.

Rakaman video ini memberi peringatan kepada semua di luar sana, walaupun sudah diingatkan berulang kali, bahawa anda perlu sentiasa berwaspada dan berhati-hati pada setiap masa untuk memastikan pintu kereta wajib dikunci semasa memandu.

Facebook

Laman Facebook 我们是马来西亚人 We are Malaysians baru-baru ini telah memuat naik satu rakaman video dari kamera papan pemuka, yang memaparkan kelibat seorang lelaki yang memutuskan untuk memberhentikan keretanya secara tiba-tiba bagi menghalang laluan kenderaan ini untuk menjadi bakal mangsanya.

Ketika itu, pemandu dan dua penumpang lain baru berhenti di lampu isyarat di Balakong, Cheras Selatan pada awal pagi.

Facebook

Berdasarkan kamera papan pemuka itu, kelihatan pemandu dan dua penumpangnya baru keluar dari sebuah hospital swasta di lokasi itu dan berhenti di persimpangan lampu isyarat untuk membelok ke kanan atau mungkin ingin membuat pusingan U. Ketika berada di sana, hampir tidak ada kereta lain di jalan raya memandangkan kejadian berlaku pada waktu hampir subuh.

Semasa menghalang bakal mangsa dengan kenderaannya, lelaki itu bergerak dengan keretanya yang melawan arus telah segera turun dan mula berjalan ke arah mangsa, mendorong pemandu bertindak pantas untuk berundur dan memecut laju kenderaannya menuju ke arah utara.

Facebook

Lelaki penjenayah itu kemudiannya kelihatan berlari kembali ke keretanya untuk mengejar pemandu ini.

Salah seorang mangsa dalam kereta itu kedengaran memberitahu pemandu untuk memecut lebih laju kerana penjenayah itu semakin menghampiri mengejar mereka.

Facebook

Jika dilihat dengan teliti pada rakaman video, anda akan dapati lelaki itu sudah bersiap sedia menunggu sesiapa sahaja untuk menjadi mangsanya di satu persimpangan jalan itu yang agak sunyi, dan dia bergerak memandu melawan arus apabila kenderaan mangsa sedang berhenti di lampu isyarat, dan pantas menghalangnya.

Video itu tamat apabila mangsa cuba mengelak lelaki itu ketika dia terus mengejar mereka. Dan nombor plat kenderaan lelaki itu telah berjaya dirakam.

Facebook

Adegan itu begitu mendebarkan serta amat menakutkan. Berhati-hati semua pemandu di luar sana tidak kira apa gender anda.

Tonton video di sini.

Pilihan Editor:

Kakak penyayang ini hari-hari tidak sabar balik cepat dari sekolah sebab hendak jaga adiknya, comel dan tersentuh sungguh

0

Bila dalam keluarga bertambah ahli baru, pasti akan ada kakak atau abang yang mengambil peranan untuk jadi penyayang terlebih ekstra untuk menjaga adiknya yang baru lahir, tanpa perlu disuruh. 

Silap-silap kakak atau abang akan jaga adiknya lagi baik berbanding ibu dan ayah, seperti si kakak ini yang tidak jemu berkepit dengan adiknya yang masih bayi.

TikTok

Dalam satu rakaman video TikTok yang tular, seorang kakak yang masih kecil dilihat menjaga adiknya dengan sangat baik dan bertanggungjawab sehingga telah menarik perhatian ramai.

TikTok

Video perkongsian @djaamirh itu telah merakam beberapa video anak perempuan keduanya sedang menjaga adiknya yang baru lahir.

TikTok

Caranya menjaga adik jelas sangat penyayang membuatkan si kakak yang masih kecil dan comel ini mendapat pujian ramai.

“Betul-betul sayang dekat adik dia.. Besar nanti jadi seorang kakak yang bertanggungjawab..” puji seorang pengguna TikTok.

TikTok

Menurut ibunya dalam video itu, hari-hari si kakak ini tidak sabar hendak balik cepat dari sekolah kerana rindu mahu menjaga adiknya. 

TikTok

Malah kakak sulungnya pun tidak semahirnya yang pandai mendukung dan mendodoi adik kecil mereka.

TikTok

Video di TikTok yang meraih lebih setengah juta tontonan itu berjaya mencairkan hati ramai netizen yang memberikan komen mereka:

TikTok

Kakak terbaik yang sentiasa menjaga dan melindungi adik-adik, bertuah ibu bapa yang telah mendidik dengan baik.

Pilihan Editor:

Mesin pengisar baharu, hadiah untuk ibu

0

Sejak dari kecil, ibu bapa akan cuba memenuhi semua keperluan dan kemahuan anak-anak. Susah mana pun, mereka akan mengusahakannya sehingga tercapai. Pengorbanan mereka memang tidak terbalas walau segunung emas kita berikan kepada mereka. Namun, sebagai anak, pasti kita bercita-cita untuk membalas jasa ibu bapa apabila dewasa kelak. Begitu jugalah dengan penghantar Grab dari Indonesia ini. Dia berhasrat untuk membelikan mesin pengisar baharu buat ibunya.

Menurut jejaka ini, pada pagi itu, dia mendapati mesin pengisar ibunya rosak. Sebagai peniaga air minuman buah-buahan, ibunya sangat memerlukan mesin pengisar untuk mengisar buah-buahan sebelum dijadikan jus minuman.

Melihatkan kepayahan yang dihadapi si ibu, jejaka ini bertekad untuk membelikan ibunya mesin pengisar baharu. Dia berhasrat untuk membelikan mesin pengisar baharu dengan upah yang diperolehnya sebagai penghantar Grab pada hari itu.

Sejak awal pagi lagi, jejaka ini telah keluar rumah untuk bekerja. Dia berdoa agar dia dapat membuat banyak penghantaran kerana semakin banyak penghantaran yang dapat dilakukan semakin lumayan upah yang bakal diterima.

Walaupun motornya mengalami sedikit masalah, dia tidak terus pergi membaikinya. Ketika waktu makan pun, jejaka ini berjimat cermat dan hanya membeli makanan sekadar yang dapat mengenyangkan perutnya. Dia mahu mengumpul upah tersebut untuk membelikan ibunya mesin pengisar baharu.

Jejaka tersebut berpuas hati dan bersyukur dengan penghantaran yang dapat dilakukan pada hari itu. Selepas memperoleh upah, dia segera pergi membeli mesin pengisar baharu untuk dijadikan hadiah buat ibunya.

Selepas itu, dia pergi mendapatkan ibunya. Dia mengatakan terdapat bungkusan untuk ibunya. Jejaka ini juga turut menitipkan nota buat ibunya. Selepas meletakkan bungkusan istimewa itu, jejaka ini meminta diri untuk menyambung pekerjaannya.

Selepas jejaka itu beransur, ibunya pergi mendapatkan bungkusan tersebut. Dia membaca nota yang terdapat pada bungkusan tersebut. Dari kejauhan, kelihatan si ibu tersenyum!

Ibunya begitu terharu melihatkan bungkusan yang dikirimkan oleh anaknya itu. Dia tersenyum gembira bukan semata-mata disebabkan dia mendapat mesin pengisar baharu tetapi dia bersyukur kerana dikurniakan anak yang begitu baik dan bertimbang rasa.

Jejaka itu mendapatkan ibunya. Mereka saling berpelukan sebagai tanda kesyukuran.

Ibunya mencuba mesin pengisar baharu tersebut dan mendapati ia berfungsi dengan baik. Dia begitu gembira sekali. Pekerjaannya akan menjadi lebih lancar selepas ini.

Anak beranak ini kelihatan sangat bahagia. Mereka bukan sahaja saling memerlukan antara satu sama lain tetapi saling menyokong pekerjaan masing-masing. Mereka saling mendoakan agar rezeki mereka bertambah-tambah lagi.

Ibu bapa memang tidak mengharapkan apa-apa balasan daripada anak-anak. Tetapi sebagai anak, kita perlu membalas jasa mereka dengan sebaik mungkin. Mungkin kita tidak dapat memberikan wang yang banyak atau membelikan mereka barangan yang mahal-mahal, tetapi cukuplah jika kita dapat mengurangkan beban mereka. Semoga semua anak-anak dikurniakan rezeki yang luas agar kita dapat berkongsi dengan ibu bapa kita.

Pilihan Editor:

Wanita di China peroleh gaji RM3900 sebulan dengan hanya memelihara dua ekor kucing majikannya

0

Baru-baru ini, seorang wanita bernama Liu Hui dari Jiangxi, China berkongsi kepada umum bahawa dia memperoleh 6000 yuan (RM3900) sebulan dengan hanya memelihara dua ekor kucing majikannya.

Menurut laporan yang ditulis oleh Sina, ketika Liu sedang mencari kerja pada bulan Ogos lalu, dia terlihat iklan jawatan kosong bahagian pentadbiran di sebuah syarikat di Hangzhou yang tidak memerlukan pengalaman terdahulu.

Selepas memohon jawatan tersebut, dia diberitahu bahawa beban kerja tersebut sangat kecil dan tugas utama yang sebenarnya ialah memelihara dua ekor kucing majikannya.

Kucing-kucing tersebut tinggal di pejabat dan setiap seekor kucing mempunyai bilik berasingan dengan keluasan 20 hingga 30 meter persegi. Majikan Liu Hui sangat menyayangi kucing-kucingnya dan sering menziarahi mereka sama ada selepas dia pulang daripada lawatan perniagaan ataupun pada hujung minggu.

“Saya dipertanggungjawabkan untuk memberi makan kepada kucing-kucing itu, menukarkan air, memotong kuku, membuang najis dan sebagainya. Saya bekerja dari jam 9 pagi hingga 5 petang, setiap hari termasuk hujung minggu,” kata Liu.

Menurut Liu, dia akan memperoleh gaji sebanyak 6000 yuan (RM3900) selepas disahkan sebagai pekerja tetap syarikat berkenaan.

Memandangkan pekerjaan tersebut tidaklah begitu sukar, Liu yakin bahawa dia boleh bekerja lama dengan syarikat tersebut.

Lagi pula, Liu sebenarnya memang sukakan kucing! Jadi, pekerjaan ini dianggap sebagai pekerjaan impiannya. Bagai pucuk dicita ulam mendatang, apabila Liu akhirnya dapat memelihara kucing walaupun hanya sebagai pemelihara kucing majikannya.

Jika anda hendak memelihara kucing buat pertama kali, berikut adalah tips yang boleh anda ikuti agar kucing tersebut sihat dan dapat dipeliihara dengan mudah:

  • Jangan terlalu banyak memberi makanan kering kepada kucing.
  • Berikan air minuman yang secukupnya kepada kucing.
  • Sediakan kotak pasir dan bersihkan pasir tersebut dengan kerap.
  • Mengasi kucing adalah lebih baik agar terjaga kesihatannya.
  • Pilih doktor haiwan yang peramah.

Buat pecinta kucing di luar sana, pasti anda pun akan merebut peluang jika ditawarkan pekerjaan seperti ini bukan? Duit dapat, bermain dengan kucing pun dapat.

Pilihan Editor: