Ada kala seseorang itu mengalami kesukaran dalam hidup sehingga berasa ia tidak mampu ditanggung lagi menyebabkan mereka sanggup melakukan perkara yang tidak sepatutnya.
Seorang wanita hamil ditemui hampir lemas berhampiran tiang 32 Jambatan Pulau Pinang akibat dihanyutkan arus dalam kejadian yang berlaku pada 16 Oktober lalu.
Dalam video yang tular di platform media sosial, wanita itu dipercayai terjun dari Jambatan Pulau Pinang.

Sebuah bot yang membawa pemancing mula menyedari kehadiran seorang wanita jatuh ke dalam laut apabila pemandu bot itu mahu merapatkan botnya ke tiang berkenaan pada kira-kira jam 6.45 petang.
Mohd. Sobri Karim, 37 tahun berkata dia terkejut apabila mendapati seorang wanita terjatuh di antara bot dan tiang jambatan.
“Bunyi sangat kuat. Pada masa itu, terdapat empat orang kaki pancing di atas bot. Saya nampak dengan jelas wanita itu dalam keadaan tenggelam timbul dan hampir lemas di bawa arus,” katanya kepada Kosmo!

“Saya segera meminta pemancing melepaskan tali penambat bot ke arah wanita itu lalu melilitkan ke tangannya. Kami berjaya mengangkatnya naik ke atas bot,” tambahnya.
Sebaik sahaja dibawa naik, mereka terkejut melihat wanita berpelitup muka berusia 20-an itu sebenarnya sedang sarat mengandung, yang dipercayai dalam lingkungan enam ke tujuh bulan.

“Dia hanya menangis dan meracau sepanjang dibawa ke Pangkalan Polis Marin Wilayah Satu di Batu Uban,” kata Mohd Sobri.
Wanita itu diserahkan kepada pasukan polis dan petugas Kementerian Kesihatan (KKM) yang tiba di situ selepas dihubungi Mohd Sobri dan rakan-rakannya semasa mereka dalam perjalanan.
Pilihan Editor: