Seorang bapa warga Malaysia yang tinggal di Amerika Syarikat telah membandingkan kerja sekolah anak lelakinya yang berusia tujuh tahun dengan sukatan pelajaran Tahun Satu di Malaysia yang perlu ditunjuk ajar oleh ibu bapa di rumah.
Pengguna Facebook Saif Suhairi berkongsi dalam satu hantaran pada 17 Oktober apabila kecoh berita guru sekolah rendah Mohd Fadli Salleh telah dihantar surat tatatertib oleh Jabatan Pendidikan Negeri Selangor kerana tindakannya menarik perhatian umum terhadap kesukaran kurikulum yang diajar di sekolah rendah.
Saif berkata, beliau mahu menunjukkan perbezaan antara bahan kajian dan sistem pendidikan di Amerika Syarikat (AS) dan Malaysia supaya orang ramai boleh membuat keputusan sendiri tentang apa yang terbaik buat anak-anak mereka.
Mula-mula Saif menjelaskan anaknya berada di Gred Satu di AS, iaitu untuk kanak-kanak berumur enam hingga tujuh tahun dan setaraf dengan Tahun Satu di Malaysia.

“Di sebelah kiri ialah sukatan pelajaran negara kita yang saya ambil daripada hantaran Facebook Cikgu Mohd Fadli, di mana pelajar Tahun Satu sudah kena menghafal sifir enam,” tulisnya.
Kemudian Saif membandingkannya dengan kerja sekolah Gred Satu di AS, yang menunjukkan anaknya belajar mengenal pasti huruf dan nombor “seperti kanak-kanak berusia empat tahun di tadika”.
“Yang ini bagus atau tidak? Sekarang ia kelihatan terlalu perlahan, bukan? Di sinilah saya berada di atas pagar,” akuinya.
Bapa ini menjelaskan lagi, murid-murid di AS hanya belajar sifir apabila mereka memasuki Gred Tiga.
“Ini betul-betul lambat. Tetapi kurikulum di sini mula memecut laju di sekolah menengah dan sekolah tinggi. Saya fikir mungkin kerana sekolah di sini membenarkan pelajar sekolah rendah banyak bermain dan belajar menyukai sekolah terlebih dahulu,” tulisnya.
Tambahnya, jika terdapat pelajar yang belajar terkehadapan, pihak sekolah menyediakan program lanjutan khas buat mereka, dan terdapat banyak lagi program untuk pelajar yang berbeza kebolehan dalam pembelajaran.
Saif terus membandingkan kehidupan sekolah anaknya dengan pelajar sekolah rendah di Malaysia, termasuk isu tidak pernah selesai mengenai beg sekolah yang berat dan bilik darjah yang sesak.

Katanya, “Tiada buku untuk dibawa pulang. Pelajar meninggalkannya di meja masing-masing. Mereka hanya membawa pulang komputer riba Dell (yang setiap pelajar diberikan satu), dan beberapa fail untuk kerja rumah mereka. Kerja dalam kelas biasanya mereka hanya buat di atas kepingan kertas sahaja seperti dalam gambar.”
Tambahnya lagi, kebiasaan hanya terdapat 20 pelajar dalam satu kelas, dan paling ramai 25 orang.
“Dan setiap kelas akan ada seorang guru kelas dan pembantu pengajar. Guru akan fokus mengajar dan pembantu akan membantu pelajar lebih memahami, mengedarkan kertas, dan meminta pelajar berkelakuan baik. Guru boleh mengajar dengan tenang dan fokus kepada ‘perkembangan’ pelajar.
Walau apa pun perbandingannya, bapa ini berpendapat Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) perlu mencari sukatan pelajaran yang berkesan dan komited dengannya.

“Dasar kita sentiasa berubah setiap kali kerajaan bertukar. Ini tidak baik untuk pendidikan generasi kita,” katanya.
Beliau turut menyuarakan sokongannya kepada guru sekolah rendah yang membawa isu pendidikan di negara ini dengan berkata, “Yang penting, kita perlu menyokong, bukan memangkah orang yang berfikiran kritis.”
Terbaharu, Kementerian Pendidikan telah membersihkan nama Cikgu Mohd Fadli daripada semua kesalahan yang didakwa itu selepas beliau dengan jujur menunjukkan kelemahan dalam sistem pendidikan di Malaysia.
Pilihan Editor: