Liz Truss mengumumkan peletakan jawatan sebagai Perdana Menteri United Kingdom selepas hanya 45 hari menyusun strategi politiknya.
Perkara itu diumumkan Truss, 47, di luar Downing Street. Peletakan jawatannya hanya selepas 45 hari menjadikan beliau Perdana Menteri paling singkat memegang jawatan itu dalam sejarah United Kingdom.
“Saya menerima jawatan ini pada saat ketidakstabilan ekonomi dan antarabangsa yang hebat.

“Keluarga dan perniagaan rata-rata bimbang memikirkan cara menyara diri, perang di Ukraine mengancam keselamatan seluruh benua kita, dan negara ini telah terlalu lama terhalang akibat pertumbuhan ekonomi rendah,” jelasnya.
“Saya dilantik Parti Konservatif dengan mandat untuk mengubah semua ini. Bagaimanapun, melihat kepada keadaan, saya akur tidak dapat memenuhi mandat itu,” katanya dengan menambah beliau telah memaklumkan Raja Charles III mengenai peletakan jawatannya sebagai pemimpin Parti Konservatif.
Liz Truss bagaimanapun akan terus menyandang jawatan itu sehingga penggantinya dipilih.
Pemilihan kepimpinan Parti Konservatif bakal diumumkan pada minggu hadapan, katanya.

Kepimpinan Liz Truss menggantikan Boris Johnson dibelenggu pelbagai kemelut susulan pembentangan belanjawan negara pada bulan lalu yang mencetuskan kejutan pasaran sebelum dibatalkan Canselor.
Sementara itu, bekas Perdana Menteri Boris Johnson dijangka bertanding mewakili Parti Konservatif bagi merebut jawatan PM UK baharu menggantikan Truss.
Pemimpin lain dijangka menawarkan diri bertanding termasuk bekas Menteri Kewangan, Rishi Sunak dan bekas Menteri Pertahanan, Penny Mordaunt.
Pilihan Editor: