26.3 C
Kuala Lumpur
Saturday, July 26, 2025
Utama Blog Laman 129

Bayi dihempap pokok ru ketika berkelah meninggal dunia

0

MELAKA: Bayi lelaki berusia setahun lima bulan yang dihempap pokok ru bersama ibunya dilaporkan meninggal dunia setelah lebih enam jam bertarung nyawa di Hospital Melaka, pada jam 12.38 tengah malam Ahad, 13 November.

Perkara itu dikongsikan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Puteri, Tuminah Kadi bahawa bayi Muhammad Zahfran Ilman Mohd Syazawan telah meninggal dunia.

Menurutnya, beliau dihubungi pihak hospital pada jam 1.30 pagi yang memaklumkan berita sedih tersebut dan berharap ibu bapa serta keluarga mangsa tabah dengan dugaan yang menimpa.

Twitter

“Adik Muhammad Zafran Ilman Mohd Syazwan, mangsa dihempap pokok telah kembali kepada sang penciptanya sebentar tadi.

“Semoga rohnya dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan orang yang beriman dan diharapkan ibu dan ayah serta keluarga tabah dengan dugaan ini,” katanya kepada Sinar Harian.

Dalam insiden yang berlaku pada petang Sabtu, kegembiraan lima beranak berkelah di pantai bertukar tragedi dan berita duka selepas dua daripada mereka termasuk bayi berusia setahun lima bulan cedera dihempap sebatang pokok ru di Pantai Puteri, Tanjung Kling.

Berita Harian melaporkan kejadian berlaku pada kira-kira jam 6.30 petang ketika bayi lelaki yang didukung ibunya dihempap pokok yang tumbang ketika mereka sedang memerhatikan ahli keluarga lain sedang mandi.

Pokok ru itu secara tiba-tiba tumbang dengan dahan bahagian tengah pokok menghempap belakang ibu bayi berkenaan sehingga mengakibatkan kedua-dua mereka tersembam ke pasir.

Pilihan Editor:

Sunfish seberat 2,700 kilogram cipta rekod dunia baharu untuk ikan bertulang terbesar pernah ditemui

0

Seekor sunfish raksasa seberat 3 tan yang ditemui berhampiran pulau di Portugal telah mencipta rekod dunia baharu Guinness World Records untuk ikan bertulang paling berat pernah direkodkan, menurut kajian terbaharu.

Raksasa bersisik, yang dikenali sebagai sunfish gergasi atau nama saintifik Mola alexandrini, ditemui pada 9 Disember 2021 ketika ia terapung tanpa bernyawa di luar pantai Pulau Faial, di Azores, di Portugal, kumpulan pulau yang terletak di Lautan Atlantik Utara. 

Pihak berkuasa tempatan mengambil bangkai ikan besar itu dan membawanya kembali ke pelabuhan supaya ia boleh dikaji dengan lebih teliti, menurut satu kenyataan daripada Atlantic Naturalist Association, sebuah organisasi pemuliharaan dan penyelidikan bukan berasas keuntungan yang berpangkalan di Pulau Faial.

Gambar oleh Atlantic Naturalist.org

Penyelidik menjalankan nekropsi ke atas sunfish gergasi itu dan memperincikan keputusan dalam kajian terbaharu, yang diterbitkan pada 11 Oktober 2022 dalam Journal of Fish Biology.

Ikan besar itu berukuran 3.6 meter tinggi dan 3.5 meter panjang, dan ia mempunyai berat 2,744 kilogram (6,049 paun) atau lebih kurang 3 tan (2.7 tan metrik). Para penyelidik juga menganalisis kandungan perut ikan sunfish berkenaan dan mengambil sampel DNAnya, menurut laporan kajian itu.

Ikan yang telah mati itu adalah “spesimen majestik”, kata pengarang utama kajian José Nuno Gomes-Pereira, ahli biologi marin di Atlantic Naturalist Association, lapor Live Science. Gambar-gambar bangkai ikan itu tidak memberi keadilan untuk menunjukkan betapa luar biasanya ‘Sunfish’ ketika kelihatan di dalam lautan luas, kata Pereira.

Gambar oleh Australian Museums

Rekod dunia sebelum ini untuk ikan bertulang paling berat dipegang oleh satu lagi sunfish gergasi yang ditangkap di Jepun pada tahun 1996, yang mempunyai berat 2,300 kilogram (5,070 paun), menurut Guinness World Records.

Sunfish dinamakan bukan daripada bentuk badan bulat mereka tetapi kerana mereka suka berjemur di bawah sinar matahari di permukaan laut, yang saintis percaya adalah bagaimana mereka memanaskan semula diri selepas lama menyelam di laut dalam yang sejuk dan gelap untuk mencari makanan, menurut jurnal itu.

Ikan sunfish gergasi sebelum ini telah disalahklasifikasi sebagai ikan yang luar biasa besar daripada spesies sunfish laut yang lebih biasa atau Mola mola, yang membesar kira-kira separuh saiz ikan juggernaut yang ditemui baru-baru ini. 

Gambar oleh Atlantic Naturalist.org

Sunfish M. alexandrini telah diklasifikasikan sebagai spesies unik pada 2018, hasil kajian penyelidik marin dalam kajian yang diterbitkan dalam jurnal Ichthyological Research.

Sunfish gergasi boleh ditemui di seluruh dunia, tetapi bilangan sebenar ikan bertulang terbesar ini tidak diketahui.

Pada bulan Jun, nelayan di Kemboja bergelut ketika menemukan ‘ikan air tawar paling berat di dunia’, ikan pari air tawar gergasi sepanjang 4 meter (Urogymnus polylepis) yang mempunyai berat 300 kilogram (661 paun).

Pilihan Editor:

Duduk serumah dengan semua penghuni sepakat pembersih, zaman sekarang susah jumpa lelaki pengemas macam ini

0

Biasa juga kita membaca luahan hati netizen di media sosial mengenai nasib malang tinggal sebumbung dengan rakan serumah yang pemalas dan pengotor.

Jika kita seorang yang pembersih, suasana sedemikian pasti akan mengundang stres apabila terpaksa menghadap perangai rakan serumah yang kurang kesedaran sivik dan tidak pula bertimbang rasa untuk menjaga perasaan rakan-rakan serumah yang lain.

Baru-baru ini, perkongsian oleh seorang pengguna TikTok menunjukkan sebaliknya sehingga membuatkan netizen kagum dan melontarkan pujian.

Gambar mStar

Ini kerana rumah yang didiami penuntut universiti itu bersama rakan-rakannya begitu bersih, kemas dan teratur meskipun masing-masing sibuk dengan pengajian.

Pemuda bernama Najmi Afiq berkongsi di mStar dengan memberitahu dia dan tujuh lagi rakannya mendiami sebuah unit rumah di kolej kediaman di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Raub, Pahang.

Gambar mStar

Meskipun baru mendiami rumah empat bilik itu sekitar tiga bulan lalu, namun pemuda ini berkata kesemua rakan serumahnya sekepala dan mempunyai sikap bertanggungjawab untuk menjaga kebersihan.

“Kami mendiami rumah di Kolej Mat Kilau sejak hampir tiga bulan lalu. Sebenarnya pada semester lepas, ada di antara kami pernah duduk serumah… kemudian ada yang suka datang lepak,” kata Najmi Afiq.

“Jadi apabila masuk semester baru, kami berlapan sepakat hendak duduk serumah. Sebelum masuk kampus, kolej akan keluarkan borang, jadi kita isi borang tersebut berserta butiran nama penghuninya,” tambahnya.

Gambar mStar

Pemuda berusia 21 tahun ini berkata, mereka biasanya akan memperuntukkan satu hari setiap minggu untuk mengemas dan membersihkan rumah secara bergotong-royong. 

“Biasanya kami ‘gotong-royong’ pada hari minggu atau ikut waktu kelapangan sebab masing-masing sibuk dengan kuliah.

“Dalam rumah ini ada empat bilik, jadi tugas dibahagikan ikut bilik. Ada yang ditugaskan kemas dapur, ada yang cuci bilik air, bersihkan ruang tamu dan ada kemas bahagian luar rumah.

TikTok

“Adakalanya sepah juga sikit-sikit… tapi nanti kami kemas bersama-sama seperti rutin mingguan,” kata penuntut Diploma Pentadbiran Awam ini.

Banyak kali membaca perkongsian di media sosial mengenai kisah rakan serumah yang pengotor, Afiq bagaimanapun bersyukur dan menganggap dikurniakan rakan serumah yang pembersih sebagai satu rezeki.

“Sebenarnya, kalau majoriti rakan serumah kita orang yang pembersih, secara automatik yang lain akan terikut juga. Kalau ramai pengotor, maka kita pun mungkin terikut juga sikap itu.

“Selain dipengaruhi rakan, sikap pembersih ini juga mungkin berpunca daripada didikan keluarga kita di rumah dahulu,” jelas Afiq.

TikTok

“Kalau ada di antara rakan serumah yang dalam kitaran atau geng kita, boleh saja tegur depan-depan secara berhemah. Orang lelaki ni walau nampak kasar, tapi nak tegur pun ada caranya.

“Janganlah tegur secara kasar. Tapi kalau tak ‘jalan’ juga, mungkin boleh pertimbangkan untuk keluar dan cari rumah lain,” ujarnya lagi.

Sekadar memuat naik video tersebut secara suka-suka, Afiq bagaimanapun tidak menyangka ia mengundang perhatian netizen.

Video TikTok yang tular itu menerima pujian netizen.

TikTok

“Seronoknya dapat rakan serumah macam ni. Saya ni, seorang je yang bersungguh nak rumah kemas-kemas. Lama-lama penat juga seorang je yang bersungguh.”

“Semua handsome! Ini memang pakej.”

“Mantap bang, semua calon suami terbaik,” komen mereka.

Apa-apa pun, tidak rugi apa-apa jika seseorang itu rajin dan pembersih bukan? Fikiran pun jadi aman sempurna dan mudah nak hadam pembelajaran kalau persekitaran kediaman itu sentiasa bersih.

Pilihan Editor:

Rakyat Malaysia kongsi momen menyelamatkan diri ketika hampir berserah pada maut dalam tragedi Itaewon

0

Tragedi hitam yang berlaku di Itaewon ketika sambutan Halloween pada penghujung Oktober lalu masih menjadi bualan ramai orang di seluruh pelusuk dunia. Salah seorang mangsa yang terselamat ialah rakyat Malaysia, Athena Lim, 28 yang berasal dari Sabah berkongsi detik dia berusaha menyelamatkan diri daripada terkorban dalam tragedi Itaewon saat dia hampir berserah pada maut.

SAYS

Menurut Athena kepada SAYS, pada hari kejadian dia dan lima orang rakannya sedang menikmati makan malam di sebuah lokasi di utara Seoul. Sebaik sahaja mendengarkan sambutan Halloween di Itaewon sangat rancak dan mengujakan, mereka memutuskan untuk ke sana dan tiba di lokasi pada jam 10 malam.

Ketika mereka sampai, orang ramai telah pun membanjiri jalan. Walaupun jalan sesak, mereka berenam masih dapat menikmati keseronokan sambutan Halloween sambil berpegangang tangan. “Tetapi semakin ramai orang datang.” kata Athena.

Menyedari akan hal tersebut, Athena dan rakan-rakan memutuskan untuk beredar dari lokasi dan menuju ke stesen kereta api bawah tanah. Namun, nasib tidak menyebelahi apabila mereka terperangkap di lorong yang sempit itu. Kata Athena, pergerakan menjadi perlahan kerana lorong yang sempit itu sudah dipenuhi orang ramai. Dia dapat merasakan orang lain menolaknya ke depan.

“Kami masih lagi bergerak sehinggalah orang di hadapan kami tiba-tiba terhenti,” kata Athena. Kemudian dia terdengar orang menjerit, “tunggu, tunggu, tunggu!”

CNN

Tolakan daripada arah belakang menyebabkan badan Athena terangkat sehingga kakinya tidak lagi mencecah tanah. Ketika itulah dia terpisah dengan rakan-rakannya, namun entah bagaimana dia dan empat orang rakannya kembali bersama. Tetapi malangnya, dua orang rakan yang lain tidak kelihatan.

Apabila orang ramai semakin bertolak-tolakan untuk menyelamatkan diri, badan Athena semakin terangkat dengan lebih tinggi. Athena, terperangkap! Kali ini dia tidak dapat merasakan apa-apa pada kaki kirinya.

Walaupun dirinya dihimpit begitu kuat, Athena cuba untuk bernafas. Dia memejamkan mata, berserah sekiranya ajalnya sudah tiba.

Namun tiba-tiba seorang lelaki Korea menepuk bahu Athena, memaksanya untuk terus membuka mata dan berjuang menyelamatkan diri. Saat itu Athena sedar yang belum tiba masanya untuk dia mengalah (mati).

Athena mendongak ke langit dan cuba bertenang. Akhirnya dia dapat mengatur nafasnya dengan lebih baik.

Dalam kekalutan tersebut, Athena terlihat seorang wanita muda disebelahnya kelihatan begitu tertekan, menangis sambil memanggil teman lelakinya. Wanita itu juga mengalami kesukaran bernafas, namun tidak lama kemudian wanita tersebut tidak menyedarkan diri.

Sebaik sahaja Athena ditarik keluar daripada kerumunan, dia tidak lagi bersama-sama rakannya. Dua orang gadis dan seorang lelaki Korea menjaga Athena ketika dia menunggu untuk diberikan rawatan kerana pihak berkuasa ketika itu mengutamakan mangsa yang lebih memerlukan bantuan.

CNN

Athena menerima rawatan dan diberikan ubat pada kaki kirinya. Menurut Athena deria rasa pada kaki kirinya akan pulih tetapi mengambil sedikit masa.

Ibu Athena, Yolanda memberitahu SAYS bahawa dia hanya menyedari akan kejadian tersebut pada Ahad, 30 Oktober. Selepas beberapa kali percubaan menghubungi kedutaan Malaysia gagal, Yolanda dan suaminya terus berangkat ke Seoul dari Kota Kinabalu pada keesokan harinya.

Menurut Athena, polis Korea telah menghubunginya untuk mengambil keterangan. Namun dia tidak menerima apa-apa maklumat daripada pihak kedutaan pada hari kejadian.

Ibunya mahupun abang rakannya juga tidak mendengar sebarang maklum balas walaupun selepas beberapa kali mereka cuba menghubungi pihak kedutaan untuk mendapatkan bantuan.

Ayah Athena menghubungi Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah Datuk Seri Masidi Manjun. Kemudian Masidi menghubungi Kementerian Luar Negeri barulah wakil kedutaan berhubung dengan Athena.

CNN

Kedutaan Besar Malaysia di Korea menghubungi Athena pada malam Isnin, 31 Oktober, semasa dia menghadiri upacara memperingati mendiang rakannya. Mereka berkeras untuk menziarahinya dan menghantarnya pulang namun dia tidak menerima tawaran tersebut memandangkan dia berada di upacara peringatan.

Pada pagi Ahad, 6 November, Athena dan ibu bapanya pergi ke kedutaan Malaysia untuk bertemu dengan Duta Besar Malaysia dan kakitangan kedutaan.

Pilihan Editor:

Misteri batu hidup di Romania, ‘Trovants’ yang boleh tumbuh dan bergerak

0

Amat menakjubkan apabila anda dapat melihat batu yang hidup, boleh tumbuh dan bergerak ke tempat lain, dan mereka yang berperasaan ingin tahu boleh melancong ke Romania untuk menyaksikannya.

Dikenali sebagai ‘Trovants’ batu dari Costesti, Romania, ia ialah sejenis konkrit batu pasir yang merembeskan simen dan kadangkala boleh dilihat tumbuh seolah-olah ia hidup.

Facebook

Terdiri daripada teras batu dengan bentuk cangkang luar pasir, selepas hujan lebat bentuk-bentuk kecil dikatakan muncul di atas batu yang menyebabkan mereka digelar “batu yang tumbuh” oleh penduduk tempatan.

Ia adalah satu fenomena geologi yang menakjubkan.

Facebook

Trovants di Romania adalah fenomena geologi menakjubkan, yang ditemui di sebuah kampung kecil bernama Costesti. Istilah Trovants bermaksud Pasir Bersimen.

Batu ini dipercayai sejenis konkrit batu pasir yang merembeskan simen dan boleh kelihatan tumbuh pada satu-satu masa, seolah-olah batu-batu ini hidup.

Facebook

‘Batu hidup’ yang menarik ini dianggap terdiri daripada teras batu dengan cangkang luar pasir, dan selepas hujan lebat bentuk batu kecil dikatakan muncul di atas batu lebih besar dan mendapat gelarannya sebagai ‘batu tumbuh’. 

Agak unik kerana Trovants mempunyai akar dan boleh bergerak.

Facebook

Trovants ini akan tumbuh ketika terkena air. Batu kecil yang biasa berukuran enam hingga lapan milimeter dan akan menjadi lebih besar hingga berukuran enam hingga sepuluh meter.

Facebook

Terdapat beberapa kajian tentang asal usul Trovants Romania dan terdapat banyak hipotesis, yang sebahagian daripadanya adalah menakjubkan. Menurut Kongres Geologi Antarabangsa yang berlangsung di Oslo, Norway pada 2008, Trovants ini dianggap sebagai “konkrit batu pasir”. 

Facebook

Kajian tentang Trovants telah dimulakan di kawasan Carpathians bermula tahun 1883 oleh Cobalcescu dan pada tahun 1900 oleh Koch yang memberikan pendapat masing-masing tentang asal usul batu itu.

Para saintis mempercayai bahawa di bahagian bawah batu itu mengandungi unsur mineral yang tinggi. Sehingga ketika permukaan menjadi basah, mineral mula merebak dan akan menekan pasir untuk membesar.

Facebook

Trovants mempunyai bentuk yang pelbagai. Batu-batu tertentu secara beransur-ansur mungkin menjadi lebih besar, sedikit demi sedikit hasil daripada penyerapan air, dan dalam kes ini, pengumpulan serta mendapan mineral yang disimen oleh pengairan yang kaya dengan kalsium karbonat nampaknya menjadi penyebab, kata saintis.

Facebook

Pertumbuhan batu Trovants di Romania dipercayai berlaku apabila tindak balas kimia berlaku di antara lapisan mendapan dan mineral karbonat dengan kehadiran air hujan, tambah mereka.

Facebook

Kerana batu ini hidup yang mana ia kelihatan menarik dan amat mengagumkan, tapak ini menjadi tarikan pelancongan yang popular di Romania. 

Facebook

Untuk melindungi ciptaan alam semula jadi dan geologi yang luar biasa ini, “Muzeul Trovantilor” atau Rizab Semula Jadi Muzium Trovants telah dibangunkan di Daerah Valcea oleh badan pelancongan tempatan pada tahun 2004, yang mana kini dilindungi oleh UNESCO.

Tonton video di sini.

Pilihan Editor:

Hati berbunga terima jambangan belon buatan tangan kreatif suami buat isteri tercinta di hari graduasi

0

Momen terindah buat mahasiswa dan mahasiswi sudah pastilah ketika tamat pengajian dengan menerima ijazah di hari graduasi.

Pada hari itu, graduan paling gembira sekiranya ahli keluarga dan rakan taulan datang meraikan kejayaan mereka dengan membawa jambangan bunga dan coklat, seperti tradisinya.

TikTok

Namun jarang kita mendengar dan melihat seorang graduan menerima jambangan belon buatan tangan sendiri yang bersungguh dari hati, seperti yang diterima oleh isteri ini pada hari graduasinya.

Seorang lelaki yang juga merupakan suami kepada graduan wanita itu baru-baru ini mencuri tumpuan apabila mempersembahkan jambangan belon buat isteri tercinta ketika meraikan hari graduasinya.

TikTok

Lelaki dikenali @rawrngggga memuat naik video TikTok yang tular memaparkan kegigihannya membuat jambangan belon berbentuk bunga dengan tangannya sendiri untuk isterinya bagi meraikan hari tamat pengajian yang teristimewa itu.

TikTok

Ramai yang kagum melihat suami ini begitu kreatif dengan tangannya ketika membentuk belon-belon itu bagi menghasilkan jambangan bunga belon yang besar dan comel.

Video TikTok menunjukkan proses membuat jambangan belon itu sehingga diserahkan kepada isterinya telah meraih hampir 450,000 tontonan.

TikTok

Dengan rata-rata netizen memuji usaha dan kesungguhan suami ini untuk menggembirakan isteri kesayangannya di hari graduasi.

Apa yang pasti isterinya adalah orang yang paling gembira pada hari itu dan bertuahnya dia kerana memiliki suami yang bijaksana membuat kejutan lain daripada yang lain.

Pilihan Editor:

Laporan: Hospital psikiatri di China menjadi penempatan gelap untuk penganiayaan penentang

0

Hospital penyakit mental di China telah menjadi tempat untuk PKC menindas penentang, terutamanya pengamal Falun Gong.

Safeguard Defenders, sebuah NGO yang telah lama prihatin dengan isu hak asasi manusia di China, mengeluarkan laporan penyiasatan pada 16 Ogos, yang memperincikan bagaimana pihak berkuasa di China telah menahan secara paksa penentang atas alasan “penyakit mental” selama beberapa tahun.

Laporan itu menyatakan hospital mental di China telah menjadi cara yang menakutkan buat PKC untuk melenyapkan pengkritiknya. Tanpa sebarang perakuan perubatan, pengkritik rejim telah diculik oleh polis China dan dibawa ke hospital mental, di mana mereka ditahan selama berbulan-bulan sehingga ada yang bertahun-tahun. Ia juga dikatakan kes-kes yang dikumpul hanyalah satu puncak aisberg; menghantar tahanan politik ke hospital mental adalah fenomena biasa di China.

Pesakit mental yang diikat di Hospital Mental Anxian di China pada 24 Ogos 2008. (Gambar China/Getty Images)

Laporan yang telah mengumpul kes 99 mangsa. Sembilan daripada mangsa telah ditahan di hospital mental selama lebih 10 tahun, dan dua dihantar lima kali ke hospital mental untuk penyeksaan. Kebanyakan mangsa ini adalah pempetisyen yang membawa aduan ke Pejabat Pentadbiran Aduan dan Cadangan Awam Kebangsaan. Mereka dihentikan dalam perjalanan dan dibawa ke penjara atau hospital mental. Mangsa lain ialah aktivis hak asasi manusia, penentang, dan penunjuk perasaan jalanan.

Sebab utama meletakkan mangsa di hospital mental adalah untuk “mendiamkan” mereka supaya tidak lagi membuat petisyen, membantah atau mengakses media. Alasan lain adalah untuk membuat pengkritik takut melalui pengalaman seram yang tidak berperikemanusiaan supaya mereka tidak lagi berani untuk terus bersuara walaupun setelah dibebaskan. Dan ketiga, dilabel “penyakit mental” akan memburukkan reputasi pengkritik ini dan oleh itu menyisihkan mereka daripada masyarakat.

Di hospital mental, pengkritik dihalang daripada berhubung dengan keluarga mereka dan mengalami pelbagai penyeksaan yang menyakitkan, termasuk kejutan elektrik, dipukul, diikat di katil selama berjam-jam atau berhari, dan terpaksa mengambil suntikan atau ubat oral psikotropik yang akhirnya berlarutan trauma mental dan sehingga ada yang mengalami demensia, dengan gejala seperti mimpi buruk, gegaran otak, dan pemikiran untuk membunuh diri.

Laporan itu menyatakan terdapat tiga jenis hospital psikiatri di China yang dikawal oleh badan pentadbiran yang berbeza, tetapi semuanya terlibat dalam penyalahgunaan penjagaan psikiatri yang bermotifkan politik secara meluas. Antaranya, yang paling biasa digunakan untuk menahan pengkritik ialah Hospital Ankang yang bergabung dengan cawangan keselamatan awam PKC. Sebagai contoh, Pejabat Pengurusan Rawatan Wajib Biro Keselamatan Awam Perbandaran Beijing sebagai salah satu antaranya.

Pengamal Falun Gong

Menurut penyiasatan oleh organisasi hak asasi manusia antarabangsa, kaedah berunsur jenayah yang sama iaitu “penyalahgunaan ubat-ubatan psikotropik” juga telah digunakan secara meluas untuk menganiaya pengamal Falun Gong di China.

Falun Gong, juga dikenali sebagai Falun Dafa, telah diperkenalkan kepada umum pada 13 Mei 1992, oleh pengasasnya Li Hongzhi. Ajaran Falun Gong adalah berdasarkan prinsip Sejati, Baik, Sabar. Lima set latihan meditasinya tersebar dengan cepat ke seluruh China dari mulut ke mulut, ketika orang ramai mengalami keajaiban peningkatan kesihatan dan moral. Pada 20 Julai 1999, pemimpin Parti Komunis China Jiang Zemin melancarkan kempen penganiayaan dan propaganda meluas terhadap Falun Gong dan berpuluh juta pengamalnya, ekoran populariti amalan itu yang tidak berada di bawah kawalan negara.

Sejak itu, berjuta-juta pengamal Falun Gong di China telah ditahan, dihantar ke kelas pendidikan semula, dijatuhi hukuman penjara dan kem tahanan buruh, dan diseksa kerana tidak melepaskan pegangan Falun Gong.

Pertubuhan Dunia untuk Menyiasat Penganiayaan Falun Gong (WOIPFG) mengeluarkan “Laporan Penyiasatan Mengenai Penganiayaan Mental Pengamal Falun Gong” pada April 2004. Menurut laporan itu, sebilangan besar pengamal Falun Gong telah diseksa oleh penggunaan ubat-ubatan psikotropik. Antara Julai 1999 dan April 2004, sekurang-kurangnya 1,000 pengamal Falun Gong telah diculik dan ditahan di hospital mental, pusat pemulihan dadah, dan institusi lain, dan secara paksa disuntik atau diberi makan pelbagai ubat yang merosakkan sistem saraf pusat. Ada yang mengalami renjatan elektrik. Ada yang diikat untuk masa yang lama, diberi makan secara paksa dan sebagainya. Akibatnya, beberapa pengamal Falun Gong menjadi buta dan pekak; ada yang mengalami ulser kulit jangka panjang dan juga kerosakan serius pada organ mereka. Antaranya, sekurang-kurangnya 15 pengamal Falun Gong meninggal dunia akibat pemberian ubat psikotropik.

WOIPFG menjalankan tinjauan ke atas lebih 100 hospital psikiatri di 15 wilayah di China. Kajian itu menunjukkan bahawa 83 peratus daripada hospital dalam tinjauan berkata mereka “menerima kemasukan” pengamal Falun Gong dalam tempoh lima tahun yang lalu.

Lebih separuh daripada hospital secara jelas menyatakan bahawa pengamal Falun Gong yang “dimasukkan” tidak mengalami sakit mental sama sekali, tetapi pihak berkuasa telah menghantar mereka ke hospital mental bagi tujuan penyeksaan dalam usaha memaksa melepaskan kepercayaan mereka.

Semasa penyiasatan, seorang kakitangan Jabatan Psikiatri Hospital Liaoning Fourth menyatakan hospital akan menggunakan lebih daripada sepuluh jenis kaedah penganiayaan, termasuk penggunaan ubat psikiatri, terhadap pengamal Falun Gong yang enggan meninggalkan amalan mereka.

Seorang kakitangan hospital di Wilayah Shandong berkata ramai pengamal Falun Gong yang dihantar ke jabatan hospital mental adalah pelajar kolej, graduan, dan jurutera. Jika pengamal Falun Gong ini tidak meninggalkan amalan masing-masing, mereka akan dipaksa mengambil dadah dan diikat.

Seorang pempetisyen ditahan polis di luar Hospital Chaoyang di Beijing pada 8 Mei 2012. (Gambar oleh Mark Ralston/AFP/Getty Images)

Penyeksaan perubatan

Menurut laporan itu, kakitangan perubatan hospital penyakit mental menggunakan paksaan, suntikan dadah, kejutan elektrik, dan kerap menggunakan pelbagai ubat psikoaktif seperti “Chlorpromazine” untuk menyeksa pengamal Falun Gong secara fizikal dan mental. Ubat-ubatan ini menyebabkan kemudaratan dan akibat jangka panjang yang serius, termasuk kehilangan ingatan, sakit kepala yang teruk, pengsan, kelemahan fizikal, dan juga disfungsi neurologi yang teruk dan komplikasi sistemik yang boleh membawa kepada kematian.

Tan Guihua, seorang pengamal Falun Gong dari Wilayah Shandong, memberi keterangan bahawa semasa membuat petisyen di Beijing pada September 1999, dia telah diculik secara paksa oleh kakitangan “610” yang pakar dalam penganiayaan Falun Gong dan dibawa ke Hospital Mental Bandar Jiaozhou. Di sana, lapan jururawat lelaki secara paksa menyuntik dadah yang tidak diketahui menggunakan jarum besar. Sebaik sahaja ubat itu memasuki ke dalam badannya, dia merasakan jantungnya berdegup kencang, penglihatannya menjadi gelap, sakit kepala yang terbelah, dan kesakitan yang amat sangat secara keseluruhan. Dua bulan kemudian, dia masih menggeletar, tidak dapat memegang pinggan dan penyepit, dan mengalami sakit jantung, sakit kepala, penglihatan kabur, serta hilang ingatan.

Pengamal Falun Gong Ye Hongfang dari Bandar Heyuan, Wilayah Guangdong memberi keterangan pada 26 November 2000. Dia mendakwa semasa penahanannya, dia dipaksa untuk mengambil suntikan dan ubat setiap hari, dan jika enggan, dia diseksa dengan belantan elektrik. Selepas mengambil ubat itu sekali, Ye berkata dia mengalami kekejangan di seluruh badan, kebas pada anggota badan, dan penglihatan kabur. Selepas lebih daripada tiga bulan penyeksaan berterusan, dia berasa seperti menghampiri gangguan mental.

Seorang lagi pengamal Falun Gong dari Pentadbiran Pelabuhan Dalian Liaoning memberi keterangan pada 3 Mac 2004 dengan mengatakan dia terpaksa mengambil ubat semasa penahanan. Tidak lama selepas dibebaskan dan pulang ke rumah, matanya mula bernanah, dan bahagian dalam dan luar telinga, kulit kepala, leher, dan sebagainya mula bernanah, mengeluarkan lelehan kuning. Ia sangat gatal dan menyakitkan, dan keadaan penyakit itu berlarutan selama dua tahun.

Beberapa pengamal Falun Gong dari Daerah Suining, Xuzhou, Wilayah Jiangsu memberi keterangan pada 8 Jun 2001. Mereka telah ditahan di Hospital Mental Xuzhou selama lebih tiga bulan, di mana mereka diikat di atas katil dan disuntik dengan ubat yang tidak diketahui kandungannya. Mangsa akan pengsan serta-merta, dan terdapat rasa sakit yang teruk di dalam hati yang berlarutan selama beberapa hari. Seorang pengamal mengalami kekejangan dan tidak dapat berdiri atau berjalan. Seorang pengamal lain menghantukkan kepalanya ke dinding kerana kesakitan. Beberapa orang mengalami tahap tindak balas yang berbeza terhadap ubat-ubatan selama hampir 50 hari sebelum ia beransur-ansur hilang.

Laporan itu mengatakan oleh kerana terdapat penapisan yang ketat dan penindasan pemberi maklumat, banyak penyeksaan dan penganiayaan yang tidak berperikemanusiaan terhadap pengamal Falun Gong di China telah ditutup dan tidak mungkin dapat didedahkan.

Liu Yinquan, bekas profesor sejarah Universiti Shandong Weifang dan seorang aktivis pro-demokrasi terkenal yang tinggal di Amerika Syarikat, memberitahu The Epoch Times pada Julai bahawa fitnah dan penganiayaan PKC terhadap pengamal Falun Gong adalah tidak wajar.

PKC gentar dan takut akan prinsip Sejati, Baik, Sabar, jadi penganiayaan hebatnya terhadap orang yang percaya kepada prinsip tersebut menunjukkan bahawa PKC adalah rejim yang jahat, kata Liu.

Pilihan Editor:

Polis sahkan pelakon Syazlin Zainal meninggal dunia dipercayai jatuh dari tingkat 22 pangsapuri

0

Polis mengesahkan pelakon dan selebriti media sosial, Syazlin Zainal, 26 tahun, meninggal dunia selepas terjatuh dari tingkat 22 di sebuah pangsapuri di Taman Iskandar, Johor Bahru pada Khamis, 10 November.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat dalam satu kenyataan media berkata, pihaknya mendapat maklumat berhubung kejadian itu pada pukul 12.50 tengah hari.

Menurut beliau, panggilan awam itu memaklumkan mereka menemukan mayat seorang wanita di bahagian bawah pangsapuri itu.

Hasil siasatan mendapati wanita berkenaan adalah seorang warga tempatan berusia 26 tahun dan bekerja sebagai seorang pelakon sambilan.

“Sebab kematian adalah jatuh dari tingkat 22 pangsapuri dan mangsa disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan dari Hospital Sultanah Aminah (HSA) di sini,” katanya dalam kenyataan itu kepada media.

Tambah ACP Raub, siasatan awal polis tidak menemukan sebarang unsur jenayah dan kes tersebut diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR).

“Bagaimanapun, orang ramai yang melihat kejadian itu diminta menghulurkan maklumat dengan menghubungi Pegawai Penyiasat, Asisten Superintendan Mat Nawi Ab. Rahman di talian 016-5050808,” jelasnya.

Proses bedah siasat masih lagi dijalankan di Jabatan Perubatan Forensik HSA dan jenazah dijangka akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kassim Noor, Kampung Sungai Danga, lapor Kosmo!

Terdahulu, media melaporkan Syazlin meninggal dunia di Johor dan punca kematiannya masih dalam siasatan. Berita pemergian Syazlin mengejutkan ramai pihak termasuk rakan-rakan dan peminat.

Syazlin pernah membintangi beberapa drama tempatan antaranya Sitik Tok, Dia Yang Ku Jadikan Suami, Takdir Yang Tertunda dan Ada Yang Ngikut.

Allahyarham merupakan anak bongsu daripada lima beradik dan anak perempuan tunggal dalam keluarganya.

Al-Fatihah dan salam takziah buat keluarga Allahyarham.

Pilihan Editor:

Fenomena Gerhana Bulan Penuh 8 November, rakyat Malaysia bertuah menyaksikan gerhana bulan ‘berdarah’ yang berjaya dirakam

0

Fenomena Gerhana Bulan Penuh atau Gerhana Bulan ‘Berdarah’ telah berlaku pada 8 November 2022 (Selasa) yang bermula pada jam 16:02 petang dan berakhir pada jam 21:56 malam di Malaysia.

Pada 4 November, Agensi Angkasa Lepas Malaysia (MYSA) memaklumkan di Facebook dan Twitter bahawa Fenomena Gerhana Bulan Penuh 8 November akan berlaku 5.8 hari sebelum Bulan berada pada kedudukan yang paling jauh dengan bumi (apogee) iaitu pada jarak 404,923km.  

Twitter

Menurut hantaran MYSA, Gerhana Bulan Penuh ini boleh dilihat dari Asia, Australia, Amerika Utara dan Selatan serta sebahagian utara dan timur Eropah.

MYSA berkongsi, “Gerhana Bulan Penuh ini ialah gerhana bulan pusat, iaitu gerhana bulan yang berlaku apabila cakera Bulan melalui paksi bayang umbra Bumi, yang berada di tengah-tengah bayang umbra Bumi.”

MYSA/Facebook

“Gerhana bulan pusat ialah gerhana penuh yang mempunyai nilai magnitud umbra yang tinggi, tempoh yang panjang dan nilai gamma yang rendah. Magnitud umbra kali ini ialah 1.3607 dan nilai Gamma ialah 0.2570 dengan tempoh gerhana maksimum adalah selama 85.7 minit.”

Pada 8 November, rakyat Malaysia telah dapat menyaksikan fenomena Gerhana Bulan Penuh bermula pada 16:02 (4:02 petang) dan berakhir pada 21:56 (9:56 malam). 

MYSA/Facebook

Malangnya, permulaan penumbra dan fasa gerhana separa tidak kelihatan kerana ia berlaku ketika Bulan berada di bawah ufuk.

Memandangkan kebanyakan negeri mengalami hujan lebat serta cuaca mendung pada sebelah petang dan malam 8 November dengan kenampakan Bulan yang tidak jelas, berikut adalah beberapa imej Gerhana Bulan Penuh yang telah berjaya dirakam pencinta astronomi yang bertuah di Malaysia:

Observatori Negara Langkawi bermula jam 7:43 malam hingga 9:32 malam.

@MYSAagensi/Twitter

Sandakan, Sabah.

Kota Kinabalu, Sabah.

Alor Setar, Kedah.

Make up by Bellaz/Facebook

Teluk Likas, Kota Kinabalu, Sabah.

Apa itu gerhana bulan?

MYSA/Facebook

Gerhana Bulan Penuh berlaku apabila orbit Bulan melintasi masuk ke dalam bayang-bayang Bumi yang dipanggil umbra. Di dalam keadaan ini, Bumi akan berada di antara Bulan dan Matahari di dalam kedudukan tepat sebaris.

Jika sebahagian Bulan masih berada di dalam kawasan umbra, ia dipanggil fasa Gerhana Bulan Separa.

Jika sebahagian atau keseluruhan Bulan berada di dalam kawasan penumbra, ia dipanggil fasa Gerhana Bulan Penumbra. Namun dalam kes ini, kesan gelap tidak ketara dan amat susah untuk dikesan dengan mata kasar.

Apakah perubahan yang akan berlaku terhadap bulan ketika gerhana?

Facebook

Ketika Bulan berada di dalam bayang-bayang umbra, sebahagian daripada permukaan Bulan purnama akan menjadi gelap. Apabila keseluruhan Bulan berada di dalam umbra, warnanya akan menjadi merah pekat.

Warna kemerahan ini adalah disebabkan cahaya Matahari terbias apabila masuk ke bahagian atmosfera Bumi. Jika kita berada di Bulan ketika itu, kita akan nampak cahaya kemerahan biasa Matahari membentuk bulatan mengelilingi Bumi.

Kali terakhir fenomena Gerhana Bulan Penuh dapat disaksikan di Malaysia adalah pada 26 Mei 2021.

Pilihan Editor:

Anjing pintar naik bas sendiri beri kejutan lawat pemiliknya di tempat kerja

0

Seekor anjing bernama Denver mencipta nama dan menjadi bintang popular di bandar Guayaquil, Ecuador kerana kepintarannya yang berjaya mengingati dengan tepat lokasi tempat kerja pemiliknya.

Denver ternyata terlalu bijak kerana cemerlang mempelajari cara menggunakan sistem pengangkutan awam tempatan, dengan jayanya.

Twitter

Pemilik Denver, Gladys Shigla yang memiliki kedai bekalan dan keperluan haiwan kesayangan telah mengadopsi Denver pada tahun lalu. Sejak itu, Denver menunjukkan sifatnya yang sukakan sesuatu yang berani dan mencabar. 

Walaupun pada mulanya anjing ini mula menerokai kawasan kejiranan di sekitar rumahnya sahaja, dia baru-baru ini mengetahui terdapat dunia luar yang lebih menyeronokkan.

Facebook

Dan tahu pula caranya bagaimana untuk sampai ke sana.

Pada suatu hari, semasa keluar bersiar-siar, Denver mula mengikut salah seorang jiran keluarganya yang ketika itu berjalan ke perhentian bas menuju ke bandar. Apabila bas tiba dan jiran itu naik, maka Denver pun mahu naik juga.

Twitter

Bas yang mereka naiki kebetulan lalu di hadapan kedai pemilik Denver, jadi jiran itu memutuskan untuk turun ke sana dan menghantar anjing itu kepada Gladys Shigla bagi memastikan dia berada dengan selamat di situ.

Walaupun ia mungkin bermula sebagai lawatan rawak, Denver nampaknya agak cekap menangkap untuk mengambil nota. Beberapa hari kemudian, yang kini dilengkapi dengan pengetahuan tentang cara untuk pergi ke kedai tuannya itu, Denver menaiki bas ke sana seorang diri — hanya untuk memberinya kejutan!

Twitter

Lawatan solo pertama itu pasti mengejutkan Gladys Shigla, yang melihat Denver tiba-tiba datang kepadanya setelah mengembara jauh dari rumah semata-mata untuk melawatnya. Tetapi ia bukan yang terakhir buat Denver melakukannya.

Kini, ia sudah menjadi rutin — dan pemandu bas di sepanjang laluan itu tahu untuk berhenti di hadapan kedai Shigla jika mereka melihat Denver telah menaiki bas.

Memikirkan cara untuk menavigasi pengangkutan awam bukanlah tugas yang mudah buat seekor anak anjing, tetapi kisah Denver adalah lebih daripada sekadar kebijaksanaannya. 

Facebook

Walaupun otaknya amat mengagumkan kerana cekap dan berjaya mempelajari laluan itu, namun cinta kepada keluarganya benar-benar mendahului untuk mengambil tempat di dalam hatinya yang terang.

Pilihan Editor: