25.3 C
Kuala Lumpur
Sunday, September 14, 2025
Utama Blog Laman 128

Pengantin baru tunai tanggungjawab di pusat mengundi Subang sejurus selepas perkahwinan

0

Pada 19 November lalu, para pengundi telah hadir beramai-ramai di pusat mengundi yang ditetapkan dan menjalankan tanggungjawab mereka sebagai warganegara untuk memilih kerajaan Malaysia yang baharu.

Antaranya termasuk pasangan pengantin baru bersemangat patriotik, yang dilihat meluangkan sedikit masa dari hari perkahwinan mereka untuk menjalankan tanggungjawab sebagai pengundi dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Momen penuh inspirasi itu dikongsikan oleh Michelle Ng Mei Sze, calon Pakatan Harapan yang bertanding di kerusi Subang Jaya, menerusi akaun Facebook rasminya. Dalam hantarannya, beliau merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada pengantin perempuan, yang dilihat berpakaian gaun pengantin putih dan vel sambil menunggu di perkarangan pusat mengundi SMK USJ 12.

Facebook

“Kepada pengantin perempuan di SMK USJ 12 – terima kasih kerana mengundi walaupun ia adalah hari besar anda! Semoga anda dan suami kekal bahagia bersama selamanya dalam kehidupan berumahtangga!!” tulis Michelle.

Di ruangan komen, rata-rata warganet memuji pengantin perempuan berkenaan kerana semangat patriotik dan komitmennya, sambil mengambil kesempatan untuk mengucapkan tahniah dan selamat pengantin baru serta mendoakan kebahagiaan mereka.

Hantaran itu akhirnya menarik perhatian pengantin perempuan, Jamie Chai, yang mengucapkan terima kasih kepada Michelle atas ucapan selamatnya, serta pengundi lain di pusat mengundi itu kerana bertimbang rasa memberi laluan kepadanya untuk mengundi terlebih dahulu.

Jamie berkongsi dia dalam perjalanan untuk sesi bergambar selepas baru sahaja menyelesaikan upacara perkahwinannya di Gereja St. Thomas More, dan memperuntukkan masa di antaranya dalam memastikan dia masih dapat memenuhi tanggungjawabnya sebagai pengundi dalam Pilihan Raya Umum.

“Sejujurnya ia adalah keputusan yang mudah kerana SMK USJ 12 sangat dekat dengan gereja itu dan kami sudah pasti turut merancang untuk pergi mengundi pada hari itu walaupun agenda kami agak sibuk.

Facebook

Saya hadir ke SMK USJ 12, bekas sekolah menengah saya dahulu yang menjadi pusat mengundi, dan suami saya ke SMK Kota Kemuning dan kami bertemu nanti.” Jamie menerangkan.

Jamie menambah setiap warganegara mempunyai kewajipan dalam memainkan peranan mereka untuk memilih Ahli Parlimen dan seterusnya membentuk kerajaan Malaysia yang baharu.

“Setiap suara mungkin secara individu tidak penting dan mudah diabaikan tetapi jika bersama-sama, walaupun berbunyi klise, satu perubahan kecil boleh dibuat. Dan sedikit-sedikit, lama-lama jadi bukit,” katanya.

Semoga rakyat Malaysia mendapat perubahan yang mereka inginkan dalam PRU15 kali ini.

Pilihan Editor:

Tiket bas habis, pelajar nekad jalan kaki balik mengundi selamat sampai Kelantan atas bantuan pihak pengurusan kolej

0

Hasrat seorang pelajar Kolej Komuniti Kepala Batas yang mahu menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi muda buat pertama kali dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) pada hari ini, 19 November 2022 tercapai apabila dia selamat tiba di kampung halamannya di Kelantan.

Muhammad Haikal Noor Azmin, 18 tahun selamat tiba di kampungnya dengan bantuan daripada Pengurusan Kolej Komuniti Kepala Batas, Seberang Perai, Pulau Pinang. 

Pelajar bidang Sijil Animasi 2D itu sebelum ini nekad berjalan kaki untuk pulang ke Kelantan berikutan semua tiket bas perjalanan ke Pantai Timur telah habis dijual.

Gambar ihsan Kolej Komuniti Kepala Batas

Muhammad Haikal yang baru memulakan perjalanan dengan menyorong beg pakaian seorang diri bagaimanapun, terserempak dengan seorang pensyarahnya di Jalan Bertam Indah 2, sekitar pukul 7 malam Rabu, 16 November.

Menurut Pengarah Kolej Komuniti Kepala Batas, Ts Jasni Mohd Yusof, pelajar berkenaan yang disifatkan sebagai seorang yang pendiam oleh rakan-rakannya, telah dibantu oleh pihak pengurusan kolej selepas dia menjelaskan tindakannya mahu berjalan kaki ke Kelantan.

“Kita jumpa dia sedang berjalan kaki dan dalam keadaan letih… bagi memastikan keselamatan dan kebajikan pelajar itu terjamin, Kolej Komuniti Kepala Batas mengambil inisiatif menghantar pulang Muhammad Haikal ke Kelantan bagi tujuan mengundi dengan menggunakan kenderaan jabatan hari ini.

“Sumbangan telah dibuat oleh semua kakitangan Kolej Komuniti Kepala Batas bagi memudahkan urusan perjalanan pelajar berkenaan,’ katanya ketika dihubungi Astro Awani.

Gambar ihsan Kolej Komuniti Kepala Batas

Sementara itu, Muhammad Haikal berkata, dia terharu dengan bantuan yang dihulurkan oleh pihak Kolej Komuniti Kepala Batas.

Kata anak sulung daripada lima adik beradik itu, bantuan yang diberikan itu dapat meringankan beban keluarganya selepas dia kehilangan ayah sejak berusia 11 tahun lagi.

Melihat kecekalan pelajar ini dalam menunaikan tanggungjawabnya kepada negara, maka tiada alasan untuk anda sebagai warganegara Malaysia untuk tidak keluar mengundi pada hari ini. Selamat Mengundi!

Pilihan Editor:

Berbual mesra ketawa bersama, suasana menyentuh hati ketika kembar 102 tahun melawat ibu uzur usia 118 tahun

0

Tidak kira berapa usia kita, anak-anak itu akan sentiasa menjadi anak kecil di hadapan mata ibu bapa. Betapa bertuahnya anak-anak yang telah lanjut usia masih dapat melihat ibu bapa mereka yang telah lanjut usia dan masih hidup. 

Di China, sepasang kembar panjang umur berusia 102 tahun menempuh perjalanan beribu-ribu batu untuk melawat ibu mereka yang berusia 118 tahun, menjadi topik hangat yang diperkatakan di media sosial.

Kembar berusia 102 tahun itu tinggal di Fushun, Liaoning. Untuk melawat ibu mereka di Yunnan, warga emas ini sanggup mengembara yang beribu-ribu batu jauhnya.

Tangkap Skrin/Zmarter Life

Satu rakaman video yang tular dapat dilihat ibu berusia 118 tahun itu mempunyai pergerakan yang terhad kerana telah terlalu uzur dengan dia hanya mampu berbaring di atas katil.

Paling menggembirakan hati ibu ini apabila melihat anak kembarnya datang melawat, mengimbas kenangan lebih 100 tahun yang telah dilalui dalam membesarkan kembar itu, pasti dalam hati penuh emosi.

Di hadapan ibu, kedua-dua anak berusia 102 tahun itu masih remaja dan gagah untuk menghiburkan hatinya, dan terbayang-bayang juga kenangan zaman kanak-kanak mereka.

Tangkap Skrin/Zmarter Life

Kembar itu duduk di sebelah ibu mereka dan memegang erat tangannya, seolah-olah mereka masih menjadi anak yang bergantung kepada ibu pada ketika itu, berbual dan bergelak ketawa, jalinan hubungan yang amat rapat dengan ibu mereka. 

Alangkah bertuah ibu dan anak kembar berusia emas lebih 100 tahun dapat disatukan semula.

Rata-rata netizen turut terharu dengan momen pertemuan sangat berharga dan menyentuh hati ibu bersama kembarnya ini sambil meninggalkan komen mereka: 

Tangkap Skrin/Zmarter Life

“Gambar yang sangat menghangatkan hati, walaupun pada usia 100 tahun, seseorang masih lagi boleh memanggil ibunya!”

“Pada usia 118 tahun, terdapat dua anak lelaki berusia 102 tahun yang duduk di hadapan katil memegang tangannya.”

“Orang tua lima generasi, gen panjang umur juga akan diwarisi!”

“100 tahun ibu dan anak bersama-sama, jarang seseorang boleh melakukannya. Ini adalah rahmat yang besar.”

“Gen umur panjang ini terlalu dicemburui!”

Melihat ketiga-tiga ibu dan anak lelaki panjang umur ini berkumpul dan masih dapat bertanya khabar masing-masing membuatkan ramai netizen berasa terharu dan sebak. Mereka sangat bertuah kerana masih mempunyai satu sama lain selepas dikurniakan usia melebihi seratus tahun.

Pilihan Editor:

Berkongsi itu tanda sayang, comel sungguh tikus Belanda, kucing dan burung bayan makan malam bersama

0

Masa makan yang paling seronok mestilah tentang berkumpul bersama keluarga dan rakan-rakan, dengan tidak mengira apa hidangannya. 

Mengetepikan semua perbezaan dan menikmati makan malam bersama-sama sudah pasti dapat menjalin hubungan yang lebih baik.

Satu video memaparkan pemilik haiwan peliharaan memberi makan hidangan ‘istimewa’ rumput segar kepada dua ekor tikus Belanda, seekor burung bayan dan tiga ekor kucing.

Facebook

Menjadikan momen comel ini menjadi tontonan penuh bernilai seperti menyimpan jongkong emas tulen.

Tikus Belanda seperti tergesa-gesa untuk mengunyah seberapa banyak rumput yang mereka boleh.

Facebook

Tetapi nampaknya tiga anak kucing tidak kisah untuk memakan rumput berbanding makanan kegemaran mereka iaitu ikan dan makanan kucing.

Facebook

Dan si burung bayan yang seekor ini sebaliknya, hanya memikirkan urusannya sendiri, menyentuh sedikit makanan itu dan kemudian beredar terbang.

Facebook

Pemandangan satu keluarga makan malam bersama yang sangat comel, walaupun makanan kegemaran mereka sudah semestinya amat berbeza sama sekali.

Cubalah anda menonton video indah penuh kecomelan yang tular ini tanpa mengeluarkan bunyi, “Awwww!”

Facebook

Sebab anda spontan rasa mereka ini sangat comel, mana boleh membuat muka serius dan cuba mengelak untuk tersenyum.

Tonton video di sini.

Pilihan Editor:

Lynx si kucing liar muncul di depan mata, tergamam dan terpesona dibuatnya

0

Pada suatu hari, ketika Sam Griffiths sedang memandu dia terlihat kemunculan lynx si kucing liar. Griffiths sangat terkejut. Dia menyangka hanya ada seekor lynx sahaja, rupa-rupanya anak-anak lynx turut muncul disebalik semak.

THE DODO

Griffiths yang ditemani teman wanitanya ketika memandu di sepanjang jalan luar bandar di Newfoundland, Kanada tidak menyangka akan melihat kejadian yang luar biasa itu. Mereka terlihat seekor lynx menlitas jalan dan dalam sekelip mata kucing liar itu hilang daripada pandangan. Rupa-rupanya ia tidak berakhir di situ.

Griffiths memutuskan untuk memberhentikan kenderaannya, berharap dapat melihat kucing liar tersebut dengan lebih jelas. Tidak lama kemudian muncul seekor lynx dari hutan bersama empat ekor anak yang membuntutinya.

Griffiths

Seakan terpukau, Griffiths dan teman wanitanya tergamam melihat sekumpulan spesies kucing yang sangat jarang ditemui itu.

Menurut Griffiths kepada The Dodo, sepanjang hidupnya, dia hanya pernah terlihat dua atau tiga ekor lynx sahaja, bersendirian. “Memang saya terkejut sebab saya tahu betapa luar biasanya fenomena lynx berjalan secara ramai-ramai itu,” kata Griffiths.

Kumpulan kucing liar tersebut berlari melintasi jalan. Sepantas mana ia datang, sepantas itu jugalah ia pergi. Griffiths tahu dia mungkin tidak berpeluang menyaksikan lagi kehadiran haiwan liar itu.

Ini kerana, lynx Kanada biasanya mengelak untuk bertemu dengan manusia, jadi fenomena seperti ini memang sangat luar biasa dan mengagumkan. Sungguh bertuahlah sesiapa yang terserempak dengan lynx.

Lynx sangat sukar difahami sebenarnya sehinggakan Persekutuan Hidupan Liar Kebangsaan menyifatkan haiwan tersebut sebagai ‘seperti hantu kelabu di Utara’.

“Ia satu pengalaman yang menakjubkan,” kata Griffiths mengakhiri temu bual.

PEXELS

Fakta mengenai lynx:

  • Lynx adalah kucing liar bersendirian yang banyak ditemui di hutan utara terpencil di Amerika Utara, Eropah dan Asia.
  • Dilitupi dengan bulu tebal yang cantik, lynx kekal hangat biarpun pada musim sejuk. Kaki besarnya juga berbulu, berfungsi sebagai kasut salji semula jadi.
  • Mungkin disebabkan manusia kadangkala memburu untuk mendapatkan bulunya yang cantik itu, kucing senyap ini sentiasa mengelakkan diri daripada bertembung dengan manusia.
  • Lynx memburu pada waktu malam. Dengan menggunakan pendengaran yang hebat dan penglihatan yang sangat tajam, lynx mampu melihat seekor tikus sejauh 250 kaki.
  • Selain tikus, tupai dan burung, snowshoe hare (sejenis arnab) adalah makanan lynx. Rusa dan mangsa lain yang lebih besar juga turut menjadi haiwan buruan lynx.
  • Lynx mengawan pada awal musim bunga atau lewat musim sejuk. Kira-kira dua bulan kemudian, lynx betina akan melahirkan anak antara satu hingga empat ekor.
  • Lynx Iberia merupakan populasi lynx yang terancam. Populasi ini berjuang untuk bertahan di pergunungan Sepanyol, jauh dari hutan utara yang sejuk di mana kebanyakan lynx tinggal.

Pilihan Editor:

Jarak usia 23 tahun, lelaki ini bahagia berkahwin dengan ibu tunggal kerana niatnya ikhlas mahu membantu keluarga

0

Kisah wanita yang memilih lelaki muda untuk dijadikan pasangan hidup sudah pasti akan mendapat perhatian dan diperkatakan dalam masyarakat, walaupun pada hakikatnya ia bukanlah perkara yang luar biasa, kerana soal jodoh itu bukan masyarakat yang menentukan.

Seorang lelaki berusia 24 tahun yang berkahwin dengan ibu tunggal anak lima tidak kisah diejek rakan kerana niatnya ikhlas untuk menolong wanita berkenaan.

TikTok

Mohd Azmirullah Mohd Azan yang sudah empat tahun mendirikan rumah tangga dengan Wan Nazihah Wan Awang, 47 tahun, mengakui pada mulanya dia merahsiakan perkahwinan mereka daripada rakan-rakan.

“Apabila saya beritahu mengenai perkahwinan kami,  ada yang mengejek. Tapi, saya tak kisah dan ambil hati pun sebab niat saya bukan mahu bercinta sebaliknya saya ikhlas hati mahu membantu,” jelasnya.

Apatah lagi kesemua anaknya masih bersekolah ketika itu. Selepas berkahwin, ada juga yang tersalah anggap isterinya itu adalah ibunya jika mereka keluar bersama. 

“Mereka cakap depan-depan pula tu. Tetapi saya okay saja,” katanya kepada Berita Harian.

TikTok

Menurutnya, sepanjang empat tahun berkahwin, isterinya banyak memberi tunjuk ajar terutama ketika berdepan orang sekeliling.

“Ini kerana ada saja yang toksik, tetapi pekakkan telinga. Dalam kalangan kedua belah keluarga, Alhamdulillah okay saja,” katanya.

Kata Azmirullah, pada awal perkahwinan suasananya memang kekok, apatah lagi anak sulung isterinya adalah sebaya dengan umurnya. 

Manakala anak lelaki isterinya yang bongsu, kini amat rapat dan manja dengannya.

TikTok

“Ketika ayahnya meninggal dunia, dia baru berumur setahun. Tidak merasa lagi kasih sayang daripada ayah. Alhamdulillah, semua anak menghormati saya dan mereka panggil saya papa,” katanya.

Lima anak isterinya berusia antara 24, 20,17,14 dan sembilan tahun.

Menurutnya, dia kini meneruskan perniagaan yang pernah diusahakan Allahyarham suami isterinya iaitu menjual gas.

“Menjual gas ini adalah perniagaan isteri. Selepas kematian suami, macam-macam perkara berlaku. Jadi, selepas berkahwin saya teruskan perniagaan ini. Saya sendiri buat kerja, bawa lori dan menaikkan semula perniagaan ini.

“Sebelum ini pun saya kerja kampung juga. Tidaklah senang. Kiranya, apabila bersama isteri kami sama-sama susah dan sama-sama senang. Hampir 24 jam saya bawa isteri bersama,” jelasnya.

TikTok

Selain meneruskan perniagaan, Mohd Azmirullah yang berasal dari Pasir Puteh, Kelantan melaksanakan amanat Allahyarham untuk menghantar semua anak ke pusat tahfiz.

“Arwah pesan, semua anak-anak kena masuk tahfiz. Alhamdulillah, yang sulung dan nombor dua sudah tamat pengajian. Sekarang, yang ketiga dan keempat masih belajar.

“Sementara yang bongsu, Insya-Allah tahun depan. Anak sulung juga bakal berkahwin tahun depan,” katanya.

Terdahulu, kisah Mohd Azmirullah yang juga dipanggil abang sado oleh netizen menjadi tular di TikTok hingga mencecah 1.7 juta tontonan kerana berkongsi cerita perkahwinannya dengan seorang wanita berusia 43 tahun yang memiliki lima orang anak.

Pilihan Editor:

Pasukan kompang membuat persembahan, ‘birthday boy’ terkedu!

0

Umum mengetahui kompang biasa dimainkan dalam majlis perkahwinan orang Melayu. Namun kali ini persembahan pasukan kompang sedikit berbeza. Pasukan tersebut menyanyikan lagu hari jadi untuk birthday boy. Bukan dalam bahasa Inggeris sahaja tetapi dalam bahasa Cina juga. Memang meriah!

Seorang lelaki berbangsa Cina kelihatan terpesona dengan sekumpulan lelaki Melayu yang masuk sambil memukul kompang. Walaupun berasa pelik tetapi dia kelihatan begitu menikmati paluan kompang tersebut. Apatah lagi pasukan kompang tersebut lengkap bersongkok dan berbaju melayu, makin terpesona jadinya!

pasukan kompang
FACEBOOK

Kawan-kawannya mula mengusik. Tetapi nampaknya birthday boy itu masih tidak dapat menangkap apakah makna disebalik persembahan tersebut. Ini kerana pasukan kompang belum lagi menyayikan apa-apa lagu iringan pada irama kompang yang dimainkan itu.

Tiba-tiba seorang kawan datang dengan membawa kek hari jadi. Lelaki tersebut mula malu-malu.

Suasana mula meriah apabila pasukan kompang menyanyikan lagu hari jadi dalam bahasa Inggeris. Semua orang yang menghadiri majlis sambutan hari jadi itu turut menyayikan lagu tersebut dengan penuh semangat. Kelihatan birthday boy itu sudah mula berasa terharu dengan kejutan yang disediakan oleh kawan-kawannya itu. Tetapi ia tidak berakhir di situ.

Pasukan kompang terus memainkan dendangan kompang namun kali ini dengan iringan nyanyian lagu Selamat Hari Jadi dalam bahasa Cina. Wah, makin meriah!

Tentunya lelaki berkenaan tidak menyangka bahawa sambutan hari jadinya kali itu lain daripada yang lain. Bukan dia sahaja yang terkejut, kami pun terkejut juga. Rasanya belum ada lagi sesiapa yang menyambut hari jadi dengan paluan kompang seperti ini.

Seronok betul ada kawan-kawan yang mempunyai idea luar biasa seperti ini. Apatah lagi jika kejutan yang dilakukan itu adalah perkara yang kita sukai.

Untuk pengetahuan anda, kompang dipercayai berasal dari Timur Tengah. Kompang dimainkan oleh pedagang Arab yang datang berdagang ke Nusantara. Tujuannya adalah untuk menarik perhatian pembeli terhadap barang dagangan mereka.

Antara fungsi kompang ialah:

  • Mengiringi aktiviti vokal seperti nyanyian solo atau berkumpulan secara nasyid, marhaban.
  • Mengarak pengantin, kanak-kanak berkhatan, berkhatam Al-Quran dan mengiringi ketibaan pembesar dalam upacara rasmi.
  • Menjadi elemen persembahan muzik lain seperti orkestra, lagu etnik kreatif, caklempong dan gamelan.
  • Untuk merangsang semangat pasukan yang bertanding, contohnya pasukan bola sepak.

Sehingga ke hari ini, persembahan kompang terus diadakan. Semoga budaya ini akan diteruskan oleh generasi akan datang.

Pilihan Editor:

Dulu kedai makannya kurang pelanggan, sejak kumpulan bermotosikal singgah makan semuanya berubah

0

Seorang peniaga di Negeri Sembilan meminta pengguna Facebook melalui kumpulan ‘Edit Apa Hari Ini‘, menyunting gambar kedai makannya. Dia mahu gambar yang disunting itu kelihatan seakan-akan ramai orang datang makan di kedainya. Sebagai tanda sokongan, sekumpulan lelaki bermotosikal singgah makan di kedainya sekali gus menukarkan angan-angan peniaga kepada realiti.

Menurut peniaga tersebut, dek kerana kekurangan pelanggan dia hampir berputus asa. Memandang itu sahaja kemahiran yang dia miliki, perniagaannya tetap diteruskan. Tambahnya lagi, pernah pada suatu hari dia memperoleh RM47 sahaja selama berniaga dari pagi hingga petang. Meskipun begitu, dia tetap bersyukur kerana masih ada pelanggan yang sudi menjamu selera di kedai makannya.

Terpanggil untuk memberi sokongan, sekumpulan lelaki bermotosikal singgah makan di kedai peniaga tersebut. Syabas dan terima kasih diucapkan kepada pasukan Zuriat Yat kerana menjadi antara mereka yang terawal menyokong perniagaan kedai makan Mehwan GULAI KAWAH ini.

Menurut Zuriat Yat, makanan di sana sedap-sedap belaka. Dia turut mengajak orang ramai untuk berkunjung ke kedai makan tersebut bagi menikmati sendiri kelazatan makanan yang disediakan.

Selepas kunjungan pasukan Zuriat Yat, ramai orang mula berkunjung ke kedai makan Mehwan GULAI KAWAH itu. Masing-masing tidak mahu melepaskan peluang untuk merasai sendiri kelazatan makan yang disediakan.

Antara menunya ialah Nasi Putih Gulai Kawah Daging, Nasi Minyak Gulai Kawah Kambing, Gulai Gearbox dan lain-lain.

Bagi peminat ikan patin, anda bolehlah mencuba menu Patin Tempoyak yang disediakan di sana. Harga pun berpatutan. Tidak rugi mencubanya.

Jika anda berkelapangan dan mahu mencuba masakan daripada air tangan mereka, bolehlah berkunjung ke kedai makan mereka. Alamatnya adalah No. 1. Medan Selera, Felda Jaya Selatan, Bandar Seri Jempol, Negeri Sembilan.

Menurut tuan punya kedai, mereka tidak berniaga pada setiap hari Rabu. Jadi, rancang perjalanan anda.

Rakyat Malaysia memang baik hati. Sikap saling bantu-membantu antara satu sama lain sudah sebati dalam jiwa kita. Pantang lihat orang di dalam kesusahan, biarpun sedikit pasti ada yang sudi menghulurkan bantuan.

Semoga rakyat Malaysia terus hidup aman damai bersatu padu.

Pilihan Editor:

Empat tumbuhan hiasan yang boleh menghilangkan kulapuk dalam rumah, cara semula jadi untuk mengawal kelembapan

0

Tumbuhan hiasan bukan sahaja baik untuk menghias ruang rumah, tetapi juga baik untuk mengurangkan kelembapan di dalam rumah. Perkara utama dalam memilih jenis tumbuhan yang bersesuaian untuk kawasan tertentu ialah dengan tidak memerlukan perhatian berterusan. Tetapi, anda perlu memahami keperluan cahaya, tanah dan air, terutamanya apabila mencari tumbuhan yang bersesuaian dalam bilik mandi. 

Namun, tidak semua tumbuhan tumbuh subur dengan baik di dalam bilik mandi, dan kebanyakan bilik lain di rumah anda sebenarnya mempunyai tahap kelembapan yang lebih tinggi.

Gambar Express.co.uk/Getty Images

Menurut pakar dari Gardening Express, “Menggunakan tumbuhan untuk membantu mengelakkan kulapuk adalah cara yang praktikal dan semula jadi untuk mengawal kelembapan di dalam rumah anda. Kehebatan tumbuhan dalam mengurangkan kelembapan adalah berkaitan dengan keupayaannya untuk menyerap embun, kabut dan kelembapan lain melalui daunnya. Kelembapan ini kemudiannya bergerak ke akarnya.

Keindahan penyelesaian semula jadi ini ialah anda akan dapat melihat keberkesanannya dalam mengawal kelembapan sambil mempunyai tumbuhan yang cantik untuk dilihat dan dinikmati.

Berikut adalah empat tumbuhan hiasan yang anda boleh cuba meletakkannya di ruang yang mempunyai kadar kelembapan tinggi di dalam rumah

1.Ivy Inggeris

PropertyGuru

Pokok Ivy Inggeris sangat berkesan dalam menyaring pencemaran udara yang berbahaya dan bau tidak menyenangkan yang menjadikannya sebagai aksesori tambahan terbaik di bilik mandi.

Pakar berkata ia “tumbuh paling baik dalam cahaya terang, dan tidak memerlukan penyiraman biasa” tetapi perlu diingat untuk menjauhkan tumbuhan ini daripada haiwan peliharaan kerana daunnya adalah toksik kepada mereka.

Atas sebab ini, Ivy Inggeris amat baik dan sesuai diletakkan di dalam bekas gantung atau diletakkan di atas kabinet.

2. Lili Damai atau Bakung Damai

PropertyGuru

Bunga lili atau bakung damai “sukakan tempat teduh dan tumbuh subur dalam kelembapan yang tinggi, menjadi pilihan yang tepat untuk kawasan yang terdedah kepada kulapuk”.

Tumbuhan ini menyerap lembapan dari udara melalui daunnya dan tidak memerlukan cahaya matahari langsung atau terhad untuk mekar dan ia boleh tumbuh di bawah pencahayaan pendarfluor.

Ia juga bagus untuk mereka yang mengalami alahan atau asma, dan tumbuhan itu menghasilkan bunga yang cantik, tetapi ia adalah tumbuhan toksik kepada haiwan peliharaan jadi jauhkan ia dari jangkauan.

3. Pokok Ular atau Lidah Mak Mentua

PropertyGuru

Juga dikenali sebagai lidah ibu mertua, tumbuhan ini adalah tumbuhan yang tahan lasak dan boleh disesuaikan, juga salah satu yang terbaik untuk pemeluwapan atau kelembapan.

Tumbuhan ini tumbuh paling baik dalam cahaya terang dan suhu hangat dengan penjagaan yang cukup minimum, di mana memerlukan penyiraman setiap minggu atau dua, menjadikannya tumbuhan permulaan yang bagus untuk anda yang baru bermula untuk menanam tumbuhan.

Tumbuhan ini datang dalam pelbagai bentuk dan warna, yang kebanyakannya mengingatkan kepada kulit ular, dan sebab itu juga ia dipanggil pokok ular. Bukan sahaja daunnya menyerap kelembapan berlebihan, tetapi ia juga menapis toksin di udara, menyerap pelbagai pencemaran udara dan bau, yang sekaligus meningkatkan kualiti udara secara menyeluruh.

4. Pokok Palma

Pexels

Pokok Palma dikatakan sebagai “pilihan yang baik untuk membantu mengawal kelembapan dan mengelakkan kulapuk” kerana ia menyerap kelembapan melalui daunnya.

Terdapat beberapa jenis palma untuk dipilih, tetapi pokok pinang, pokok buluh, pokok palma hidup, pokok kurma kerdil dan pokok mensiang adalah yang terbaik untuk pemeluwapan.

Tumbuhan lain yang menikmati kelembapan ialah orkid, pakis Boston dan pokok labah-labah.

Pilihan Editor:

Kanak-kanak selamatkan diri sebelum menghubungi bomba ketika dapur rumah terbakar

0

Kanak-kanak perempuan berusia empat tahun setengah bertindak bijak ketika dapur rumahnya terbakar. Dia menyelamatkan diri dan adiknya sebelum menghubungi bomba untuk meminta bantuan.

FACEBOOK

Pada 9 November lalu, jam 5.54 petang, balai bomba Kota Nanning, Guangxi, China menerima panggilan kecemasan daripada seorang kanak-kanak yang mendakwa bahawa kebakaran telah berlaku di rumahnya. Kebakaran tersebut berpunca daripada dapur gas yang tidak dimatikan.

Pada hari kejadian, nenek kanak-kanak tersebut sedang memasak di dapur. Namun, ketika dia keluar rumah dan pergi ke kebun sayuran, nenek itu terlupa mematikan dapur gas. Akibatnya, dapur gas tersebut terbakar.

PEXELS

Tidak lama kemudian, kanak-kanak tersebut terhidu bau asap. Dengan pantas, dia mencari sumber bau tersebut. Melihatkan periuk di atas dapur gas tersebut telah terbakar, dia menutup periuk tersebut dengan tudung periuk.

Disebabkan pintu rumah sudah terkunci dari luar, kanak-kanak perempuan tersebut membawa adiknya masuk ke dalam bilik. Dia menutup pintu bilik dan meletakkan selimut tebal dibahagian bawah pintu untuk menghalang asap masuk ke dalam bilik.

Kemudian dia membuka tingkap untuk mengeluarkan asap yang terperangkap. Dia juga mengajak adiknya mendekati tingkap bilik untuk menghirup udara segar.

Walaupun berhadapan dengan situasi bahaya, kanak-kanak tersebut sangat bijak dan mampu mengawal keadaan.

Mujurlah sebelum si nenek keluar rumah, dia ada meninggalkan telefon bimbitnya pada cucunya itu untuk bermain di ruang tamu. Dengan menggunakan telefon bimbit tersebut, kanak-kanak perempuan itu menghubungi pihak bomba untuk meminta bantuan dan memberikan alamat rumah dengan tepat.

Setibanya di lokasi kejadian, pihak bomba terus memadamkan api kebakaran dengan menggunakan pam air dan menyelamatkan dua orang kanak-kanak yang terperangkap itu.

PEXELS

Pihak bomba turut memuji kanak-kanak perempuan tersebut atas keberanian dan kebijaksanaannya dalam menghadapi situasi yang bahaya seperti itu.

Netizen turut sama memuji sikap kanak-kanak yang dilihat begitu matang. Pasti dia telah dididik untuk bertindak sedemikian sekiranya berlaku apa-apa kecemasan. Syabas adik kerana telah melakukan perkara yang betul.

Sebagai orang dewasa, kita juga perlu mengajarkan kanak-kanak menggunakan telefon dengan betul serta beberapa nombor penting agar mereka tahu siapa yang perlu mereka hubungi sekiranya berlaku kecemasan.

Pilihan Editor: