Umum mengetahui kompang biasa dimainkan dalam majlis perkahwinan orang Melayu. Namun kali ini persembahan pasukan kompang sedikit berbeza. Pasukan tersebut menyanyikan lagu hari jadi untuk birthday boy. Bukan dalam bahasa Inggeris sahaja tetapi dalam bahasa Cina juga. Memang meriah!
Seorang lelaki berbangsa Cina kelihatan terpesona dengan sekumpulan lelaki Melayu yang masuk sambil memukul kompang. Walaupun berasa pelik tetapi dia kelihatan begitu menikmati paluan kompang tersebut. Apatah lagi pasukan kompang tersebut lengkap bersongkok dan berbaju melayu, makin terpesona jadinya!
Kawan-kawannya mula mengusik. Tetapi nampaknya birthday boy itu masih tidak dapat menangkap apakah makna disebalik persembahan tersebut. Ini kerana pasukan kompang belum lagi menyayikan apa-apa lagu iringan pada irama kompang yang dimainkan itu.
Tiba-tiba seorang kawan datang dengan membawa kek hari jadi. Lelaki tersebut mula malu-malu.
Suasana mula meriah apabila pasukan kompang menyanyikan lagu hari jadi dalam bahasa Inggeris. Semua orang yang menghadiri majlis sambutan hari jadi itu turut menyayikan lagu tersebut dengan penuh semangat. Kelihatan birthday boy itu sudah mula berasa terharu dengan kejutan yang disediakan oleh kawan-kawannya itu. Tetapi ia tidak berakhir di situ.
Pasukan kompang terus memainkan dendangan kompang namun kali ini dengan iringan nyanyian lagu Selamat Hari Jadi dalam bahasa Cina. Wah, makin meriah!
Tentunya lelaki berkenaan tidak menyangka bahawa sambutan hari jadinya kali itu lain daripada yang lain. Bukan dia sahaja yang terkejut, kami pun terkejut juga. Rasanya belum ada lagi sesiapa yang menyambut hari jadi dengan paluan kompang seperti ini.
Seronok betul ada kawan-kawan yang mempunyai idea luar biasa seperti ini. Apatah lagi jika kejutan yang dilakukan itu adalah perkara yang kita sukai.
Untuk pengetahuan anda, kompang dipercayai berasal dari Timur Tengah. Kompang dimainkan oleh pedagang Arab yang datang berdagang ke Nusantara. Tujuannya adalah untuk menarik perhatian pembeli terhadap barang dagangan mereka.
Antara fungsi kompang ialah:
- Mengiringi aktiviti vokal seperti nyanyian solo atau berkumpulan secara nasyid, marhaban.
- Mengarak pengantin, kanak-kanak berkhatan, berkhatam Al-Quran dan mengiringi ketibaan pembesar dalam upacara rasmi.
- Menjadi elemen persembahan muzik lain seperti orkestra, lagu etnik kreatif, caklempong dan gamelan.
- Untuk merangsang semangat pasukan yang bertanding, contohnya pasukan bola sepak.
Sehingga ke hari ini, persembahan kompang terus diadakan. Semoga budaya ini akan diteruskan oleh generasi akan datang.
Pilihan Editor: