Hasrat seorang pelajar Kolej Komuniti Kepala Batas yang mahu menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi muda buat pertama kali dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) pada hari ini, 19 November 2022 tercapai apabila dia selamat tiba di kampung halamannya di Kelantan.
Muhammad Haikal Noor Azmin, 18 tahun selamat tiba di kampungnya dengan bantuan daripada Pengurusan Kolej Komuniti Kepala Batas, Seberang Perai, Pulau Pinang.
Pelajar bidang Sijil Animasi 2D itu sebelum ini nekad berjalan kaki untuk pulang ke Kelantan berikutan semua tiket bas perjalanan ke Pantai Timur telah habis dijual.
Muhammad Haikal yang baru memulakan perjalanan dengan menyorong beg pakaian seorang diri bagaimanapun, terserempak dengan seorang pensyarahnya di Jalan Bertam Indah 2, sekitar pukul 7 malam Rabu, 16 November.
Menurut Pengarah Kolej Komuniti Kepala Batas, Ts Jasni Mohd Yusof, pelajar berkenaan yang disifatkan sebagai seorang yang pendiam oleh rakan-rakannya, telah dibantu oleh pihak pengurusan kolej selepas dia menjelaskan tindakannya mahu berjalan kaki ke Kelantan.
“Kita jumpa dia sedang berjalan kaki dan dalam keadaan letih… bagi memastikan keselamatan dan kebajikan pelajar itu terjamin, Kolej Komuniti Kepala Batas mengambil inisiatif menghantar pulang Muhammad Haikal ke Kelantan bagi tujuan mengundi dengan menggunakan kenderaan jabatan hari ini.
“Sumbangan telah dibuat oleh semua kakitangan Kolej Komuniti Kepala Batas bagi memudahkan urusan perjalanan pelajar berkenaan,’ katanya ketika dihubungi Astro Awani.
Sementara itu, Muhammad Haikal berkata, dia terharu dengan bantuan yang dihulurkan oleh pihak Kolej Komuniti Kepala Batas.
Kata anak sulung daripada lima adik beradik itu, bantuan yang diberikan itu dapat meringankan beban keluarganya selepas dia kehilangan ayah sejak berusia 11 tahun lagi.
Melihat kecekalan pelajar ini dalam menunaikan tanggungjawabnya kepada negara, maka tiada alasan untuk anda sebagai warganegara Malaysia untuk tidak keluar mengundi pada hari ini. Selamat Mengundi!
Pilihan Editor: