Kisah wanita yang memilih lelaki muda untuk dijadikan pasangan hidup sudah pasti akan mendapat perhatian dan diperkatakan dalam masyarakat, walaupun pada hakikatnya ia bukanlah perkara yang luar biasa, kerana soal jodoh itu bukan masyarakat yang menentukan.
Seorang lelaki berusia 24 tahun yang berkahwin dengan ibu tunggal anak lima tidak kisah diejek rakan kerana niatnya ikhlas untuk menolong wanita berkenaan.

Mohd Azmirullah Mohd Azan yang sudah empat tahun mendirikan rumah tangga dengan Wan Nazihah Wan Awang, 47 tahun, mengakui pada mulanya dia merahsiakan perkahwinan mereka daripada rakan-rakan.
“Apabila saya beritahu mengenai perkahwinan kami, ada yang mengejek. Tapi, saya tak kisah dan ambil hati pun sebab niat saya bukan mahu bercinta sebaliknya saya ikhlas hati mahu membantu,” jelasnya.
Apatah lagi kesemua anaknya masih bersekolah ketika itu. Selepas berkahwin, ada juga yang tersalah anggap isterinya itu adalah ibunya jika mereka keluar bersama.
“Mereka cakap depan-depan pula tu. Tetapi saya okay saja,” katanya kepada Berita Harian.

Menurutnya, sepanjang empat tahun berkahwin, isterinya banyak memberi tunjuk ajar terutama ketika berdepan orang sekeliling.
“Ini kerana ada saja yang toksik, tetapi pekakkan telinga. Dalam kalangan kedua belah keluarga, Alhamdulillah okay saja,” katanya.
Kata Azmirullah, pada awal perkahwinan suasananya memang kekok, apatah lagi anak sulung isterinya adalah sebaya dengan umurnya.
Manakala anak lelaki isterinya yang bongsu, kini amat rapat dan manja dengannya.

“Ketika ayahnya meninggal dunia, dia baru berumur setahun. Tidak merasa lagi kasih sayang daripada ayah. Alhamdulillah, semua anak menghormati saya dan mereka panggil saya papa,” katanya.
Lima anak isterinya berusia antara 24, 20,17,14 dan sembilan tahun.
Menurutnya, dia kini meneruskan perniagaan yang pernah diusahakan Allahyarham suami isterinya iaitu menjual gas.
“Menjual gas ini adalah perniagaan isteri. Selepas kematian suami, macam-macam perkara berlaku. Jadi, selepas berkahwin saya teruskan perniagaan ini. Saya sendiri buat kerja, bawa lori dan menaikkan semula perniagaan ini.
“Sebelum ini pun saya kerja kampung juga. Tidaklah senang. Kiranya, apabila bersama isteri kami sama-sama susah dan sama-sama senang. Hampir 24 jam saya bawa isteri bersama,” jelasnya.

Selain meneruskan perniagaan, Mohd Azmirullah yang berasal dari Pasir Puteh, Kelantan melaksanakan amanat Allahyarham untuk menghantar semua anak ke pusat tahfiz.
“Arwah pesan, semua anak-anak kena masuk tahfiz. Alhamdulillah, yang sulung dan nombor dua sudah tamat pengajian. Sekarang, yang ketiga dan keempat masih belajar.
“Sementara yang bongsu, Insya-Allah tahun depan. Anak sulung juga bakal berkahwin tahun depan,” katanya.
Terdahulu, kisah Mohd Azmirullah yang juga dipanggil abang sado oleh netizen menjadi tular di TikTok hingga mencecah 1.7 juta tontonan kerana berkongsi cerita perkahwinannya dengan seorang wanita berusia 43 tahun yang memiliki lima orang anak.
Pilihan Editor: