Pada 19 November lalu, para pengundi telah hadir beramai-ramai di pusat mengundi yang ditetapkan dan menjalankan tanggungjawab mereka sebagai warganegara untuk memilih kerajaan Malaysia yang baharu.
Antaranya termasuk pasangan pengantin baru bersemangat patriotik, yang dilihat meluangkan sedikit masa dari hari perkahwinan mereka untuk menjalankan tanggungjawab sebagai pengundi dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Momen penuh inspirasi itu dikongsikan oleh Michelle Ng Mei Sze, calon Pakatan Harapan yang bertanding di kerusi Subang Jaya, menerusi akaun Facebook rasminya. Dalam hantarannya, beliau merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada pengantin perempuan, yang dilihat berpakaian gaun pengantin putih dan vel sambil menunggu di perkarangan pusat mengundi SMK USJ 12.
“Kepada pengantin perempuan di SMK USJ 12 – terima kasih kerana mengundi walaupun ia adalah hari besar anda! Semoga anda dan suami kekal bahagia bersama selamanya dalam kehidupan berumahtangga!!” tulis Michelle.
Di ruangan komen, rata-rata warganet memuji pengantin perempuan berkenaan kerana semangat patriotik dan komitmennya, sambil mengambil kesempatan untuk mengucapkan tahniah dan selamat pengantin baru serta mendoakan kebahagiaan mereka.
Hantaran itu akhirnya menarik perhatian pengantin perempuan, Jamie Chai, yang mengucapkan terima kasih kepada Michelle atas ucapan selamatnya, serta pengundi lain di pusat mengundi itu kerana bertimbang rasa memberi laluan kepadanya untuk mengundi terlebih dahulu.
Jamie berkongsi dia dalam perjalanan untuk sesi bergambar selepas baru sahaja menyelesaikan upacara perkahwinannya di Gereja St. Thomas More, dan memperuntukkan masa di antaranya dalam memastikan dia masih dapat memenuhi tanggungjawabnya sebagai pengundi dalam Pilihan Raya Umum.
“Sejujurnya ia adalah keputusan yang mudah kerana SMK USJ 12 sangat dekat dengan gereja itu dan kami sudah pasti turut merancang untuk pergi mengundi pada hari itu walaupun agenda kami agak sibuk.
Saya hadir ke SMK USJ 12, bekas sekolah menengah saya dahulu yang menjadi pusat mengundi, dan suami saya ke SMK Kota Kemuning dan kami bertemu nanti.” Jamie menerangkan.
Jamie menambah setiap warganegara mempunyai kewajipan dalam memainkan peranan mereka untuk memilih Ahli Parlimen dan seterusnya membentuk kerajaan Malaysia yang baharu.
“Setiap suara mungkin secara individu tidak penting dan mudah diabaikan tetapi jika bersama-sama, walaupun berbunyi klise, satu perubahan kecil boleh dibuat. Dan sedikit-sedikit, lama-lama jadi bukit,” katanya.
Semoga rakyat Malaysia mendapat perubahan yang mereka inginkan dalam PRU15 kali ini.
Pilihan Editor: