KUALA LUMPUR – Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan melantik Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri ke-10.
Perkara itu dimaklumkan Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Seri Ahmad Fadil Shamsuddin dalam satu kenyataan hari ini, 24 November 2022.
Menurut beliau, Yang di-Pertuan Agong bertitah keputusan itu dibuat setelah mempengerusikan Perbincangan Khas Raja-Raja Melayu di Istana Negara.
“Setelah memperhalusi titah pandangan Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja Melayu, Seri Paduka telah memberi perkenan untuk melantik Yang Berhormat Datuk Seri Anwar bin Ibrahim (Ahli Parlimen P.063, Tambun) sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-10 selaras dengan kuasa Baginda yang diperuntukkan di bawah Perkara 40(2)(a) dan Perkara 43(2) (a) Perlembagaan Persekutuan,” jelasnya.
Proses seterusnya ialah Istiadat Pengurniaan Suratcara Pelantikan dan Istiadat Mengangkat Sumpah Jawatan dan Setia serta Sumpah Simpan Rahsia sebagai Perdana Menteri yang dijadualkan berlangsung pada jam 5.00 petang hari ini di Istana Negara.
Negeri Sabah terkenal dengan tarian Sumazau, dan apabila pelancong asing yang berkunjung ke negeri itu ingin mengenali kebudayaan dan suku kaum Kadazan, tarian Sumazau pasti diperkenalkan.
Menerusi satu video di TikTok perkongsian @izzi891, ia memaparkan persembahan busking di Gaya Street Kota Kinabalu yang telah menarik perhatian ramai pengunjung untuk menonton.
Di samping menonton dan mendengar persembahan muzik kumpulan ini, ia turut menarik perhatian pengunjung untuk menari di khalayak ramai, yang termasuk beberapa pelancong asing.
Namun apa yang mencuit hati dalam rakaman TikTok berdurasi 46 saat itu ialah apabila gelagat seorang pelancong asing wanita yang cuba menyertai sekumpulan pengunjung Gaya Street sedang menari tarian Sumazau.
Pelancong asing itu cuba menari tarian tradisional berkenaan dengan mengikuti gerak langkah dan lenggok gemalai hayunan tangan yang ditunjukkan oleh rakan lelakinya.
Walaupun sudah diajar menari Sumazau dengan cara yang mudah, tetapi ia bertukar menjadi tarian ‘Sumazau Terbang’ apabila pelancong wanita ini menggerakkan tangannya dengan berkepak-kepak seperti burung.
Yang kemudian diikuti oleh rakannya yang berbaju biru itu dan pengunjung menari Sumazau yang lain, sambil berdekah-dekah mereka ketawa.
Menyebabkan kegigihan pelancong ini yang ingin mempelajari tarian Sumazau bertukar menjadi suasana lucu menghiburkan, apabila membuatkan ramai yang berada di situ turut spontan tersenyum dan tergelak geli hati.
Sehinggakan abang-abang Buskers yang sedang bermain instrument pun turut geli hati melihat gelagat mereka.
Walaupun tarian Sumazau itu tiba-tiba jadi ke lain umpama ingin mula terbang ke langit biru, namun persembahan mereka pada malam itu telah menghiburkan hati semua orang yang berada di situ.
Gempa bumi kuat melanda pulau utama Indonesia di Jawa pada hari Isnin, mengorbankan sekurang-kurangnya 162 orang dan mencederakan ratusan lagi dan menggegarkan bangunan tinggi di ibu negara, Jakarta, yang terletak 60 batu jauhnya.
Ramai mangsa dipercayai masih terperangkap di bawah runtuhan bangunan, menyebabkan kebimbangan jumlah kematian akan meningkat secara mendadak.
Gambar oleh Rangga Firmansyah/AP
Gempa bumi berukuran 5.6 pada skala Richter yang melanda berhampiran bandar Cianjur, salah satu daerah paling kerap bencana di Indonesia telah menyebabkan ratusan bangunan runtuh dan mencetuskan tanah runtuh yang menghalang mangsa daripada sampai ke hospital utama bandar itu.
Petugas kecemasan bergegas ke kawasan bencana untuk mencari dan menyelamatkan mereka yang terperangkap dalam serpihan. Tetapi usaha menyelamat terbantut kerana hospital itu sendiri rosak dan kehilangan kuasa elektrik, kata Herman Suherman, seorang pegawai kerajaan di Cianjur.
Gambar The New York Times
Herman berkata hospital terdesak untuk mendapatkan lebih ramai doktor untuk merawat mangsa dan pesakit serta memulihkan kuasa. Tambahnya ramai mangsa tidak dapat sampai ke hospital utama, dan sedang dirawat di lokasi kejadian.
Sementara itu gabenor Jawa Barat Ridwan Kamil mengesahkan 162 orang telah meninggal dunia, tetapi polis di Cianjur menganggarkan jumlah kematian mungkin meningkat apabila para penyelamat sampai ke lokasi mangsa yang terperangkap.
“Banyak bangunan yang runtuh dan berkecai. Terdapat penduduk terperangkap di pedalaman, jadi kami beranggapan jumlah yang cedera dan kematian akan meningkat mengikut peredaran masa,” kata Ridwan.
Gambar oleh Rangga Firmansyah/AP
Petugas kecemasan sedang merawat mereka yang cedera di luar hospital utama dan di tempat letak kereta serta kawasan lapang. Ramai, termasuk kanak-kanak, diberi bantuan oksigen dan menerima rawatan intravena.
Kerajaan mendirikan khemah di luar hospital yang rosak untuk melindungi dan merawat mereka yang cedera. Ramai yang tiba dengan motosikal kerana ambulans dan kenderaan lain tidak dapat memasuki kawasan bencana memandangkan tanah runtuh yang menghalang beberapa jalan.
Gambar oleh Ajeng Dinar Ulfiana/Reuters
Di Jakarta, penduduk melaporkan bangunan bergoyang dan bergoncang, menyebabkan orang ramai berlari bertempiaran ke jalan besar sebagai langkah keselamatan.
Menurut laporan awal Agensi Mitigasi Bencana Nasional Indonesia, gempa bumi itu memusnahkan 343 bangunan dan merosakkan banyak lagi, termasuk beberapa pejabat kerajaan, sekolah dan rumah agama.
Gambar oleh Iman Firmansyah/AP
Gempa bumi pada 21 November adalah yang terbaru dalam siri bencana baru-baru ini yang melanda Indonesia. Pada Februari, gempa bumi berukuran 6.2 skala Richter mengorbankan sekurang-kurangnya 25 orang dan mencederakan lebih daripada 450 yang lain di wilayah Sumatera Barat. Pada Januari 2021, gempa bumi berukuran 6.2 skala Richter mengorbankan lebih 100 orang dan mencederakan hampir 6,500 orang di wilayah Sulawesi Barat.
Daerah Cianjur merupakan antara kawasan paling berbahaya di Indonesia, yang sering mengalami banjir, tanah runtuh dan kemarau serta gempa bumi, tsunami dan letusan gunung berapi, menurut Indeks Risiko Bencana Indonesia.
Antara bencana paling dahsyat dalam beberapa tahun kebelakangan ini, gempa bumi Lautan Hindi yang kuat di pulau Sumatera di utara Indonesia menyebabkan tsunami pada Disember 2004 yang mengorbankan hampir 230,000 orang.
Ketika rakyat menantikan siapa yang bakal dilantik menjadi Perdana Menteri ke-10, Istana Negara memaklumkan 30 Ahli Parlimen daripada Barisan Nasional akan dipanggil menghadap Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara esok, 23 November.
Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Dato Seri Ahmad Fadil Shamsuddin dalam satu kenyataan pada petang 22 November, berkata ianya adalah lanjutan daripada sesi menerima menghadap ketua-ketua gabungan Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN) pada jam 4.30 petang, 22 November.
Sesi menghadap secara individu ini dijadualkan berlangsung pada jam 10.30 pagi, 23 November 2022 di Istana Negara.
“Proses ini adalah bertujuan supaya KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah dapat membuat keputusan bagi melantik seorang ahli Dewan Rakyat yang pada hemat Baginda mungkin mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat sebagai Perdana Menteri seperti yang diperuntukkan di bawah Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan.”
Seri Paduka Baginda dalam masa sama turut menyeru dan menasihati seluruh rakyat agar bersabar dan bertenang sehingga proses pembentukan kerajaan baharu dan pelantikan bakal Perdana Menteri Malaysia ke-10 selesai.
“Seri Paduka Baginda turut menyeru rakyat untuk bersama mendoakan semoga proses tersebut dipermudahkan dan berjalan lancar demi kepentingan tanah air yang tercinta,” kata kenyataan itu lagi.
Beri sedikit masa untuk Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah untuk membuat pertimbangan bagi memutuskan keputusan secara muktamad, kata Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim. #AWANInews#MalaysiaMemilih#PilihanMalaysiapic.twitter.com/lJEekeE4uX
Pada ketika ini, berlaku situasi ‘Parlimen tergantung’ apabila tiada mana-mana parti politik berjaya memperoleh majoriti dua pertiga selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) pada 19 November lalu.
Seri Paduka Baginda pada petang Selasa, 22 November telah berkenan menghadap Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi menyelesaikan kemelut politik negara dan memuktamad pelantikan Perdana Menteri Malaysia ke-10.
Yang di-Pertuan Agong menitahkan agar kerajaan perpaduan yang melibatkan semua pihak termasuk kaum, agama dan juga wilayah Sabah dan Sarawak dibentuk, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika menjawab soalan pihak media di luar Istana Negara.
Mahkamah Belanda telah memutuskan tiga orang suspek didapati bersalah atas tuduhan menembak jatuh pesawat MH17. Seramai 298 orang terkorban ketika pesawat yang dalam perjalanan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur itu ditembak dengan peluru berpandu milik Rusia pada 17 Julai 2014 di ruang udara Ukraine yang dikuasai oleh puak pemberontak.
Sedutan daripada keputusan yang dibacakan hakim.
Mahkamah mendapati peluru berpandu buatan Rusia yang dibekalkan dari Rusia itu ditembak oleh kumpulan bersenjata di bawah kawalan Rusia hingga mengenai pesawat MH17.
Kumpulan bersenjata tersebut terdiri daripada dua orang warga Rusia iaitu Igor Girkin dan Sergei Dubinskiy manakala seorang lagi ialah Leonid Kharchenko, warga Ukraine. Ketiga-tiga suspek yang bersalah tersebut dijatuhkan hukuman penjara seumur hidup dan diarah membayar pampasan “lebih daripada €16 juta” kepada mangsa.
Igor Girkin – bekas Kolonel Perkhidmatan Keselamatan Persekutuan Russia (FSB) telah disabitkan kesalahan menggunakan peluru berpandu dan meminta bantuan Rusia.
Sergei Dubinskiy – bekas pegawai Agens Perisikan Tentera agensi Tentera Russia (GRU) didapati bersalah kerana mengarahkan dan mengawasi pengangkutan pelancar peluru berpandu BUK.
Leonid Kharchenko – didapati bersalah kerana telah mengawasi BUK dan bertindak mengikut arahan Dubinskiy.
Untuk makluman, ada seorang suspek lagi yang terlibat iaitu Oleg Pulato, warga Rusia merupakan bekas pegawai tentera Spetznaz-GRU. Walaupun dia tahu mengenai peluru berpandu itu namun dibebaskan daripada tuduhan kerana kekurangan bukti mengenai peranannya dalam penembakan peluru berpandu tersebut.
Menurut Presiden Ukraine, Volodymyr Zelenskiy keputusan mahkamah adalah penting kerana jika dibiarkan jenayah baru akan muncul. Keputusan itu menutup perbicaraan yang dijalankan secara ‘in absentia’ (tanpa kehadiran tertuduh di mahkamah) selama 32 bulan yang bermula pada Mac 2020.
Susulan daripada keputusan tersebut, beberapa ahli keluarga mangsa berasa bersyukur dan lega kerana akhirnya kebenaran tertegak juga. Piet Ploeg, pengerusi Yayasan Bencana Penerbangan MH17 kehilangan seorang abang, kakak ipar dan anak saudara dalam nahas tersebut.
“Kebenaran telah ditetapkan, bukan sahaja penting untuk semua saudara, tetapi bagi perspektif antarabangsa juga,” kata Ploeg kepada media Belanda. Kata Ploeg lagi, yang lebih penting adalah hakim telah bercakap secara terbuka tentang peranan Rusia dalam konflik dan bencana tersebut.
Mengimbas kembali detik hitam tersebut, hanya beberapa jam dalam penerbangan, peluruh berpandu meletup tepat di atas dan di sebelah kiri kokpit menyebabkan pesawat MH17 terputus di udara dan membunuh semua penumpang.
Mangsa yang terlibat datang dari 17 buah negara dan antaranya ialah 196 orang warga Belanda, 43 orang warga Malaysia, 38 orang warga Australia dan 10 orang warga United Kingdom. 80 daripada mangsa tersebut merupakan kanak-kanak.
Rusia sentiasa menafikan sebarang penglibatan terhadap kejadian tersebut. Mereka malah mengeluarkan pelbagai teori pilihan seperti mengatakan jet pejuang Ukraine yang menembak peluru berpandu tersebut. Selain itu, Rusia juga mendakwa bahawa tentera kerajaan Ukraine yang sepatutnya bertanggungjawab sambil membawa bukti yang menyokong dakwaan mereka.
Sepandai-pandai tupai melompat, akhirnya jatuh ke tanah juga. Begitulah yang dihadapi Rusia selepas pembohongan mereka dibongkar dengan teliti oleh pasukan penyiasat antarabangsa.
Pasukan penyiasat tersebut mendapati keretakan pesawat di udara berpunca daripada letupan kepala peledak jenis 9N314M buatan Rusia yang dibawa pada peluru berpandu 9M38M1. Peluru berpandu tersebut dilancarkan dari bahagian timur Ukraine dengan menggunakan sistem berpandu BUK.
Hasil gabungan petunjuk seperti panggilan telefon yang dipintas, pengakuan saksi dan juga serpihan logam yang ditemui dalam mayat anak kapal akhirnya menemukan jenis senjata yang digunakan. Selain itu, laluan pengangkutan peluru berpandu tersebut dari berek tentera di Rusia merentasi sempadan ke tapak pelancaran juga berjaya dijejak dan dibuktikan.
Semua suspek enggan menghadirkan diri di mahkamah pada hari pertuduhan dibacakan. Hanya Pulatov sahaja yang bertindak melantik peguam untuk membela dan membuktikan dirinya tidak bersalah.
Kata Perdana Menteri Belanda, Mark Rutte, “Ini adalah satu lagi langkah dalam usaha mencari kebenaran dan keadilan untuk mangsa dan orang tersayang mereka. Namun ia bukanlah kesimpulan yang muktamad dan penamat”. Katanya lagi, “Ini kerana semua pihak berhak merayu, jadi penghakiman belum muktamad. Namun yang utamanya adalah satu langkah penting telah diambil hari ini.”
Silene Fredriksz antara ahli keluarga mangsa menerima keputusan itu dengan berlapang dada. Biarpun anak-anak yang terkorban tidak akan kembali lagi namun mereka memerlukan kebenaran dan keadilan. “Ini adalah sebahagian kecil daripada keadilan kami,” kata Silene.
Untuk mendengar pembacaan keputusan secara penuh, boleh lihat di sini.
Berat mata memandang, berat lagi bahu memikul. Begitulah yang dirasai Fizah Mohd selepas kehilangan bayinya buat selama-lamanya. Baru sehari di rumah pengasuh, bayi berusia tiga bulan tersebut dilaporkan meninggal dunia.
Seperti yang dikongsikan oleh Fizah melalui hantarannya di Facebook pada 1 November lalu, dia mendapat panggilan kecemasan yang mengatakan bahawa bayinya, Afia Aisyah tidak menyedarkan diri. Fizah bergegas pulang sambil meminta pengasuh menghubungi 999.
Sudah tertulis, umur bayi berusia tiga bulan tersebut tidak panjang. Dilahirkan pada 29 Julai 2022, Aisyah meninggal dunia pada 1 November 2022. (Mari sedekahkan bacaan Al-Fatihah untuk arwah Aisyah).
Doktor di unit kecemasan Hospital Sungai Buloh mengesahkan Aisyah meninggal dunia. Laporan polis juga dibuat kerana bayi tersebut meninggal dunia dalam jagaan pengasuh.
Menurut Fizah, dia dinasihatkan oleh forensik dan pihak polis untuk membenarkan post-mortem dilakukan ke atas arwah bayinya itu.
Susulan berita kematian tersebut, ramai yang menunding jari kepada pengasuh. Ini kerana banyak kes kematian bayi berlaku dalam jagaan pengasuh disebabkan faktor-faktor kecuaian daripada pihak pengasuh itu sendiri.
Namun begitu, Fizah berharap agar netizen tidak meletakkan kesalahan kepada pengasuh atau ibu bayi dalam semua kes seperti arwah anaknya. Tidak semua pengasuh itu jahat kelakuannya.
Menurut Fizah, ajal maut setiap orang sudah ditentukan dan pasti kisahnya juga berbeza-beza.
Sehingga 20 November Fizah masih belum menerima laporan bedah siasat arwah bayinya itu.
Kami mendoakan agar Fizah semakin kuat menghadapi ujian ini dan dipermudahkan urusan.
Perasan hasad dengki sesetengah orang bukanlah perkara baru, apabila mereka ini boleh rasa gembira ketika melihat perniagaan orang lain jatuh melingkup gulung tikar, dengan sanggup melakukan perbuatan syirik dan terkutuk.
Seorang pemuda berkongsi sebuah video memaparkan bagaimana hatinya tergerak untuk membeli di sebuah gerai yang didakwa telah disihir.
Pengguna TikTok Faizul Ariffin, 28 tahun ketika itu sedang menunggang motosikal bergegas ke pejabat kerana telah lewat tetapi sempat melihat sebuah gerai menjual sarapan pagi tanpa pelanggan.
“Saya orang baharu dekat Bandar Tasik Puteri, Rawang ni. Biasanya kalau saya pergi kerja akan bawa bekal makanan dari rumah. Tak pernah beli dekat luar,” katanya.
Tetapi pada hari itu, Faizul telah terbangun lewat dan tidak sempat untuk membuat bekal. Jadi dia fikir hendak mencari makanan berdekatan dengan rumahnya sahaja.
“Bila saya pergi tengok, sarapan semua sudah habis, lagipun sudah pukul 10 waktu tu. Tiba-tiba nampak satu kedai mak cik ni semua makanan dia ada penuh lagi,” kata Faizul kepada mStar.
Faizul berkata, apabila melihat jam sudah menunjukkan hampir tengah hari tetapi hidangan sarapan pagi di atas meja gerai itu masih banyak dia mula bertanya di dalam diri dengan berasa agak pelik.
“Saya mula-mula sudah terlajak ke depan terus patah balik bila nampak kedai tu ada mak cik ini duduk sorang-sorang. Makanan pun banyak lagi,” katanya.
“Saya pergi tengok dan mak cik tu dia jual nasi lemak. Saya tanya makanan ada lagi ke, dia cakap saya orang pertama yang datang beli kedai dia hari tu.
“Terkejut betul saya, sudah pukul 10 takkan saya baru orang pertama yang beli. Dia terus buka setiap bekas makanan dan nampak ada banyak lauk yang tidak bersentuh lagi macam nasi goreng dan nasi lemak,” katanya.
Apa yang membuatkan Faizul lebih tertarik perhatian ialah apabila peniaga wanita berusia 50-an itu bertanyakan bagaimana dia boleh melihat kedainya.
“Saya macam pelik, saya kata nampak je kedai makcik dari jauh. Dia kata biasa orang tak nampak kedai dia, lepas itu dia buka cerita”
“Dia kata dia berniaga sebelum ni okay je dari awal pagi. Tapi lepas dah kena buatan orang, dia beritahu makanannya dah tak berapa laku.”
“Dia cakap makanan jualan dia biasa memang tak habis dan akan derma dekat masjid. Saya rasa kesian dekat dia, kalau jadi macam itu sebagai peniaga mesti tak untung,” ujarnya.
Sambil berbual-bual bersama mak cik berkenaan, minda Faizul ligat berfikir cara yang terbaik untuk membantu perniagaannya dan dia tahu dirinya tidak mampu melakukannya secara berseorangan.
“Bantuan dari segi duit tu kalau saya seorang memang tak mampu la. Gerai dia dah disihir sampai orang tak nampak.”
“Saya rasa Allah yang hantar saya untuk bantu mak cik ni sebab saya boleh tergerak untuk beli dekat kedai dia. Mungkin amalan mak cik itu juga yang menjadi asbab, waktu saya mula-mula datang tu pun dia tengah baca Al-Quran.”
“Kemudian saya terdetik yang sekarang ni zaman viral. Kalau kita beritahu orang lain tentang perniagaan mak cik ni mesti boleh meletup. Jadi saya beritahu mak cik tu saya hendak buat video,” katanya.
“Saya pun terus buat video rakam kedai mak cik tu dan ceritakan kisah dia. Kemudian saya terus muat naik dekat akaun TikTok saya.”
“Kalau ada rezeki InsyaAllah kedai mak cik ni nanti orang akan datang meramaikan,” jelasnya yang ikhlas ingin membantu.
Keajaiban ternyata berlaku dengan izin Allah dan berkat usaha Faizul bersama mak cik, apabila pada keesokan harinya orang ramai dari serata Lembah Klang berpusu-pusu menyerbu gerai nasi lemak tersebut.
“Esok paginya saya pergi kedai mak cik tu pukul 8 sudah habis licin makanan yang dia jual. Memang cepat betul orang kita buat kerja,” katanya yang terkejut.
Kata Faizul, sihir sudah kalah dengan penangan kuasa viral. Ramai warga TikTok dari Kuala Lumpur semua datang ke Rawang semata-mata untuk membeli dan menyokong kedai nasi lemak mak cik ini.
“Saya cakap dekat mak cik, ini memang rezeki dia, dengan kuasa Allah. Tak sangka jadi terkenal dah kedai mak cik tu. Terus berubah sepenuhnya,” kata Faizul.
Semoga urusan perniagaan mak cik dipermudahkan dan terus maju jaya, doa Faizul dan kita semua.
Proses pencalonan Perdana Menteri ke-10 dan pembentukan kerajaan baharu dilanjutkan sehingga jam 2 petang esok, (Selasa, 22 November 2022).
KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah telah menzahirkan titah perkenan supaya proses bagi ketua parti-parti politik dan gabungan parti-parti politik mengemukakan gabungan parti-parti politik pasca Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) bagi pembentukan kerajaan baharu dan pencalonan bakal Perdana Menteri Malaysia ke-10 dilanjutkan sehingga jam 2.00 petang, 22 November 2022.
Titah perkenan Seri Paduka Baginda tersebut adalah susulan daripada permohonan ketua parti-parti politik dan gabungan parti-parti politik yang telah diterima oleh pihak Istana Negara hari ini.
Sehubungan dengan itu, Seri Paduka Baginda menyeru dan menasihati seluruh rakyat agar bersabar dan bertenang sehingga proses pembentukan kerajaan baharu dan pencalonan bakal Perdana Menteri Malaysia ke-10 itu selesai.
Walau bagaimanapun, pentadbiran negara masih berjalan seperti biasa di bawah pengurusan Perdana Menteri Sementara atau “Caretaker Prime Minister” seperti yang dititahkan oleh Seri Paduka Baginda. Ketika ini, pentadbiran negara dijalankan berdasarkan prinsip-prinsip yang digariskan bagi Kerajaan Sementara (Caretaker Government).
Dalam pada itu, Seri Paduka Baginda turut menyeru rakyat untuk bersama-sama mendoakan proses pembentukan kerajaan baharu dan pencalonan bakal Perdana Menteri Malaysia ke-10 berjalan dengan lancar demi kepentingan negara.
Seri Paduka Baginda juga menyeru rakyat untuk bersama mendoakan agar Malaysia dirahmati dan diberkati serta dilindungi daripada sebarang bentuk bencana dan musibah.
Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15), yang paling sengit pernah dihadapi negara, berakhir dengan situasi tergantung apabila tiada parti mendapat majoriti mudah untuk membentuk Kerajaan Persekutuan baharu.
Pakatan Harapan (PH) memenangi 82 kerusi dan Perikatan Nasional (PN) dengan 73 kerusi, setakat 4.30 pagi 20 November apabila Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengisytiharkan keputusan bagi 219 daripada 222 kerusi di Dewan Rakyat.
PN membuka gelanggang buat kali pertama dalam pilihan raya umum dengan mempamerkan prestasi mengagumkan apabila menyapu bersih 14 kerusi Parlimen di Kelantan dan lapan di Terengganu menggunakan logo Pas, selain membentuk kerajaan negeri di Perlis setelah memenangi 14 daripada 15 kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun).
Barisan Nasional (BN) sebaliknya mengalami kekalahan paling buruk dalam sejarah politiknya apabila hanya memenangi 30 daripada 178 kerusi yang ditandingi.
Gabungan Parti Sarawak (GPS) menang 22 kerusi, berbanding 18 kerusi disandangnya pada Parlimen lepas; Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dengan enam kerusi; Warisan (tiga); Bebas (tiga) dan Parti Bangsa Malaysia (PBM) meraih satu kerusi manakala Gerakan Tanah Air (GTA) dalam penampilan sulungnya gagal memenangi sebarang kerusi.
Pengerusi SPR Tan Sri Abdul Ghani Salleh dalam sidang media pada 5 pagi berkata, tiada pihak yang memperoleh majoriti 50 peratus daripada 219 kerusi yang diisytiharkan.
Pilihan raya bagi kerusi Parlimen Padang Serai di Kedah ditangguhkan kepada 7 Disember selepas calon PH, yang juga penyandang kerusi M Karupaiya meninggal dunia pada 16 November.
Pengundian di 11 pusat pengundian di kawasan Parlimen Baram di Sarawak digantung berikutan cuaca buruk menyebabkan petugasnya tidak dapat ke pusat berkenaan, manakala SPR tidak dapat mengumumkan keputusan bagi kerusi Parlimen Kota Marudu, juga disebabkan cuaca.
Situasi ini menepati ramalan penganalisis politik bahawa tiada parti memperoleh majoriti mudah selain menjangkakan kerajaan yang akan dibentuk adalah kerajaan campuran.
Bagi pilihan raya umum kali ini, penguatkuasaan Akta Perlembagaan (Pindaan) (No 3) 2022 mengenai peruntukan Larangan Ahli Parlimen Bertukar Parti berkuat kuasa 5 Oktober lepas, menjadi penghalang kepada mana-mana Ahli Parlimen yang menang untuk bertukar parti bagi memperoleh majoriti.
Menerusi pindaan Perlembagaan berkenaan, seorang ahli Dewan Rakyat akan hilang kerusi dimenanginya jika wakil rakyat itu bertukar parti.
Bagaimanapun, ia tidak melarang mana-mana gabungan daripada bekerjasama dengan gabungan atau parti lain untuk membentuk kerajaan campuran.
Dr Ahmad Zahid Hamidi digesa meletakkan jawatan susulan kekalahan UMNO di PRU15.
Pengarah Operasi Pilihan Raya Barisan Nasional (BN) Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata perletakkan jawatan sebagai Presiden UMNO tersebut adalah sebagai tanggungjawab atas kekalahan Barisan Nasional (BN) dan UMNO di Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) semalam.
Menurut Onn Hafiz, langkah tersebut dituntut sebagaimana dilakukan oleh Datuk Seri Najib Razak yang telah berjiwa besar meletak jawatan sebagai Pengerusi BN dan Presiden UMNO atas kegagalan pada PRU14.
“Kita semua sedia maklum bahawa satu tsunami politik orang Melayu telah berlaku, yang mana orang Melayu telah menolak UMNO. UMNO telah rebah.
“Dengan penuh rasa hormat dan takzim, saya mohon supaya Ahmad Zahid meletak jawatan sebagai Presiden dengan kadar segera, sebagaimana Datuk Seri Najib Razak lakukan pada 2018,” katanya dalam satu kenyataan.
Tambah Menteri Besar Johor itu lagi, keputusan PRU15 menyaksikan UMNO dan BN hanya menang sembilan kerusi Parlimen di Johor.
“Sementara itu, kita tidak memenangi satu pun kerusi Parlimen di Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Melaka, Kelantan mahupun Terengganu.
“Walaupun pahit untuk ditelan, pemimpin UMNO termasuk saya sendiri perlu kembali mendengar suara rakyat yang telah diterjemahkan melalui undi mereka ketika PRU15 semalam.
“Ramai pemimpin UMNO, MCA dan MIC yang berkaliber dan berpotensi terkorban kerana kita tidak mahu mendengar denyut nadi akar umbi,” katanya.
Menerusi keputusan PRU15 yang diumumkan sehingga awal pagi tadi, BN dilaporkan hanya memenangi 30 kerusi Parlimen sahaja. Jumlah tersebut lebih rendah berbanding bilangan kerusi yang dicapai pada PRU14 iaitu sebanyak 54 kerusi.
Berdasarkan keputusan rasmi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) beberapa kerusi yang dimenangi UMNO pada PRU14 lalu, telah tewas dan kini beralih ke Perikatan Nasioanal (PN).
Menurut Onn Hafiz, BN dan UMNO perlu berani membuat perubahan ke arah kebaikan dan demi masa depan parti.
Tambahnya lagi, usaha untuk memulih dan memperbaiki parti perlu bermula sekarang.
“Jika kita tidak berubah sekarang, kita tidak akan memenangi satu kerusi pun pada masa akan datang.
Jelas Onn Hafiz, tindakan meletakkan jawatan oleh Zahid Hamidi tersebut akan membantu mereka mengambil langkah pertama untuk memulihkan dan menguatkan kembali parti UMNO yang disayangi itu.
“Segala pengorbanan mereka akan dihargai dan InsyaAllah, perjuangan ini akan diteruskan,” katanya.