Berat mata memandang, berat lagi bahu memikul. Begitulah yang dirasai Fizah Mohd selepas kehilangan bayinya buat selama-lamanya. Baru sehari di rumah pengasuh, bayi berusia tiga bulan tersebut dilaporkan meninggal dunia.

Seperti yang dikongsikan oleh Fizah melalui hantarannya di Facebook pada 1 November lalu, dia mendapat panggilan kecemasan yang mengatakan bahawa bayinya, Afia Aisyah tidak menyedarkan diri. Fizah bergegas pulang sambil meminta pengasuh menghubungi 999.
Sudah tertulis, umur bayi berusia tiga bulan tersebut tidak panjang. Dilahirkan pada 29 Julai 2022, Aisyah meninggal dunia pada 1 November 2022. (Mari sedekahkan bacaan Al-Fatihah untuk arwah Aisyah).

Doktor di unit kecemasan Hospital Sungai Buloh mengesahkan Aisyah meninggal dunia. Laporan polis juga dibuat kerana bayi tersebut meninggal dunia dalam jagaan pengasuh.
Menurut Fizah, dia dinasihatkan oleh forensik dan pihak polis untuk membenarkan post-mortem dilakukan ke atas arwah bayinya itu.
Susulan berita kematian tersebut, ramai yang menunding jari kepada pengasuh. Ini kerana banyak kes kematian bayi berlaku dalam jagaan pengasuh disebabkan faktor-faktor kecuaian daripada pihak pengasuh itu sendiri.

Namun begitu, Fizah berharap agar netizen tidak meletakkan kesalahan kepada pengasuh atau ibu bayi dalam semua kes seperti arwah anaknya. Tidak semua pengasuh itu jahat kelakuannya.
Menurut Fizah, ajal maut setiap orang sudah ditentukan dan pasti kisahnya juga berbeza-beza.
Sehingga 20 November Fizah masih belum menerima laporan bedah siasat arwah bayinya itu.
Kami mendoakan agar Fizah semakin kuat menghadapi ujian ini dan dipermudahkan urusan.
Pilihan Editor: