Pemain Arab Saudi mendapat habuan lumayan selepas pasukan itu menewaskan Argentina pada aksi pembukaan kumpulan C temasya Piala Dunia 2022 Qatar.
Putera Mahkota Arab Saudi, Mohammed bin Salman Al Saud menghadiahkan sebuah kereta jenama Rolls Royce Phantom kepada setiap pemain sebagai ganjaran atas kerja keras yang ditampilkan oleh mereka.
Harga semasa sebuah Rolls Royce Phantom yang sinonim sebagai kenderaan para jutawan ialah kira-kira AS$460,000 (RM2 juta).

Selain memberikan hadiah kereta mewah kepada setiap pemain, Mohammed Bin Salman juga menghadiahkan setiap pemain wang sebanyak AS$1 billion (RM4.5 billion) sebagai tanda ucapan terima kasih dari pihak kerajaan.
Arab Saudi menamatkan rekod 36 perlawanan tanpa kalah yang dimiliki oleh Argentina di mana skuad kendalian Hervé Renard itu meraih kemenangan dengan keputusan 2-1.

Ketua pasukan, Lionel Messi menyudahkan sepakan penalti susulan kekasaran yang dilakukan Saud Abdul Hamid terhadap pemain tengah, Leandro Paredes. Kedudukan 1-0 kekal sehingga rehat separuh masa pertama.
Igauan ngeri Argentina bermula pada minit ke-48 apabila percubaan kaki kiri Saleh Al-Shehri dalam kawasan penalti selepas menerima hantaran Feras Al-Brikan berjaya membolosi gawang Argentina yang dikawal Emiliano Martinez.
Salem Al-Dawsari meledakkan rembatan padu untuk menewaskan Martinez berselang lima minit kemudian bagi memberikan kelebihan buat wakil Asia Barat itu.

Tersentak dengan jaringan kedua itu, Argentina tampil dengan lebih kemas untuk mendapatkan jaringan tetapi tolakan Nicolas Tagliafico ketika situasi kelam-kabut di hadapan pintu gol diselamatkan oleh Al-Owais pada minit ke-63.
Kedudukan itu kekal hingga tamat permainan untuk menghadiahkan kemenangan berharga buat Arab Saudi manakala ia merupakan rekod pertama kali Argentina dibolosi dua gol pada perlawanan pembukaan temasya Piala Dunia sejak kali terakhir mengalaminya pada 1974 di mana tewas 2-3 ditangan Poland.
Dalam perlawanan berkenaan, pemain pertahanan Arab Saudi, Yasser Al-Shahrani mengalami kecederaan retak tulang rahang dan juga tulang wajah selepas bertembung dengan rakan sepasukan, Mohammed Alowais.
Pilihan Editor: