Proses pencalonan Perdana Menteri ke-10 dan pembentukan kerajaan baharu dilanjutkan sehingga jam 2 petang esok, (Selasa, 22 November 2022).
KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah telah menzahirkan titah perkenan supaya proses bagi ketua parti-parti politik dan gabungan parti-parti politik mengemukakan gabungan parti-parti politik pasca Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) bagi pembentukan kerajaan baharu dan pencalonan bakal Perdana Menteri Malaysia ke-10 dilanjutkan sehingga jam 2.00 petang, 22 November 2022.
Titah perkenan Seri Paduka Baginda tersebut adalah susulan daripada permohonan ketua parti-parti politik dan gabungan parti-parti politik yang telah diterima oleh pihak Istana Negara hari ini.
Sehubungan dengan itu, Seri Paduka Baginda menyeru dan menasihati seluruh rakyat agar bersabar dan bertenang sehingga proses pembentukan kerajaan baharu dan pencalonan bakal Perdana Menteri Malaysia ke-10 itu selesai.
Walau bagaimanapun, pentadbiran negara masih berjalan seperti biasa di bawah pengurusan Perdana Menteri Sementara atau “Caretaker Prime Minister” seperti yang dititahkan oleh Seri Paduka Baginda. Ketika ini, pentadbiran negara dijalankan berdasarkan prinsip-prinsip yang digariskan bagi Kerajaan Sementara (Caretaker Government).
Dalam pada itu, Seri Paduka Baginda turut menyeru rakyat untuk bersama-sama mendoakan proses pembentukan kerajaan baharu dan pencalonan bakal Perdana Menteri Malaysia ke-10 berjalan dengan lancar demi kepentingan negara.
Seri Paduka Baginda juga menyeru rakyat untuk bersama mendoakan agar Malaysia dirahmati dan diberkati serta dilindungi daripada sebarang bentuk bencana dan musibah.
