32.1 C
Kuala Lumpur
Tuesday, April 7, 2026
Utama Blog Laman 115

Anjing merajuk di tingkat 10, abang bomba datang pujuk

0

Anjing merajuk di tingkat 10, abang bomba datang pujuk. Begitulah isi kandungan video yang tular dan menjadi bualan warga siber sejak Rabu lalu. Jabatan Bomba & Penyelamat Malaysia turut memuat naik video ahli bomba yang bertungkus lumus menyelamatkan anjing tersebut di Facebook mereka dengan kapsyen “Bukan senang nak pujuk ni.. Abg Bomba juga la kena bagi ayat manis”.

Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Seri Balik Pulau menerima satu panggilan kecemasan pada jam 3.02 petang Rabu lalu daripada penduduk sebuah pangsapuri di sana. Setibanya di lokasi kejadian, mereka dimaklumkan bahawa terdapat seekor anjing berada di beranda tingkat 10 sejak pagi.

Seperti yang ditulis oleh Metro, menurut anggota bomba Leo Sana Anak Sandi, pada mulanya anjing berkenaan bertindak agresif mungkin kerana takut. Disebabkan itu Leo yang turut dibantu 10 anggota berusaha mendekati anjing tersebut dengan perlahan-lahan.

“Memandangkan ia sudah berada di situ dalam tempoh lama, saya kemudian meminta ihsan sedikit makanan daripada penduduk untuk diberikan kepadanya”.

Menerusi video berkenaan, dapat dilihat ketika Leo menghulurkan makanan kepada anjing tersebut, haiwan itu mengalihkan pandangan ke arah dinding seolah-olah sedang merajuk.

Facebook

Telatah anjing itu sangat mencuit hati. Namun begitu menurut Leo, dia berusaha menyelamatkan anjing terbabit kerana bimbang ia kembali agresif.

Facebook

“Saya dan seorang lagi anggota pasukan kemudian menutup mata anjing menggunakan guni dan kain sebelum mengangkat haiwan itu.”

Menurut Leo, difahamkan haiwan itu adalah anjing liar yang berkeliaran di kawasan itu.

“Sebaik menurunkannya ke aras bawah, anjing berkenaan dilepaskan dan tidak pasti bagaimana ia boleh naik ke tingkat 10 bangunan berkenanaan”.

Seperti yang dinyatakan oleh Leo, ini bukanlah kali pertama dia dan pasukan menyelamatkan anjing. Namun dia tidak menyangka video berkenaan tular. Ia mungkin juga disebabkan telatah lucu haiwan tersebut.

Warga siber turut berasa tindakan anjing berkenaan yang seolah-olah merajuk itu lucu dan comel.

Mujurlah akhirnya anjing tersebut berjaya diselamatkan.

Terima kasih abang bomba!

Tonton video di sini.

Remaja dikecam gara-gara memperagakan beg pemberian ayahnya yang dianggap tidak mewah

0

Baru-baru ini tular di media sosial TikTok, seorang remaja dikecam gara-gara memperagakan beg pemberian ayahnya yang dianggap tidak mewah oleh segelintir warga siber.

@zohtaco menerima hadiah berupa sebuah beg jenama Charles & Keith daripada ayahnya. Seperti orang lain yang begitu teruja mendapat hadiah, @zohtaco juga begitu teruja dengan hadiah tersebut dan memperagakan beg baharunya di TikTok.

@zohtaco

Ramai warga siber yang turut bergembira untuknya. Masing-masing mengucapkan tahniah dan mengatakan dia anak yang bertuah. Ada juga yang mengatakan bahawa beg pertama mereka juga adalah keluaran jenama Charles & Keith. Mereka begitu berbangga dengannya.

Namun malangnya ada segelintir warga siber yang tidak senang dan mempertikaikan nilai beg tersebut yang didakwa tidaklah semahal dan semewah mana.

Menjawab komen negatif tersebut @zohtaco berkata, sebenarnya dia tidak selesa berbicara mengenai wang. Keluarganya bukanlah daripada kalangan mereka yang berada. Malah untuk membeli sesuatu barang baharu bukanlah semudah membeli barang keperluan yang lain.

Katanya lagi, ketika mula-mula berpindah ke Singapura, setiap kali melintasi kedai ibu bapanya hanya berkata ‘lain kali’, namun ‘lain kali’ itu tidak pernah kunjung tiba.

Menurut @zohtaco komen daripada warga siber itu menunjukkan betapa sombongnya orang tersebut dengan kekayaan yang dia miliki. “Mungkin bagi anda beg $80 itu mungkin tidak mewah.

“Bagi saya dan keluarga saya, ia sangat banyak. Dan saya sangat bersyukur yang ayah saya mampu mendapatkan satu untuk saya. Dia bekerja keras untuk mendapatkan duit itu.”

@zohtaco meluahkan rasa kecewanya kerana dia tidak percaya dia dibenci disebabkan sebuah beg yang dia begitu teruja menerimanya.

Daripada riak wajah remaja ini jelas menunjukkan bahawa dia sedang menahan air matanya daripada mengalir lebih laju.

Sesiapa pun yang berada disituasi seperti remaja itu pasti akan berasa sedih, kecewa dan sakit hati.

Jika anda tidak suka atau tidak setuju akan sesuatu perkara, usahlah berkata yang negatif. Jagalah kata-kata yang akan anda lontarkan kerana ada hati yang perlu dijaga.

Tonton video di sini.

Pilihan Editor:

Budak perempuan 9 tahun jumpa gigi jerung purba Megalodon di pantai Maryland

0

Pemburu fosil amatur bermimpi mencari fosil purba dan jarang ditemui. Seorang kanak-kanak perempuan membuktikan kewujudannya.

Molly Sampson berusia 9 tahun sedang dalam lawatan Hari Krismas ke Pantai Calvert di Maryland, Amerika Syarikat dan memberitahu ibunya dia mahu “mencari Meg”.

Mengharung paras air pantai setinggi lutut, itulah yang dia temui: gigi kepunyaan spesies jerung Otodus megalodon yang kini telah pupus.

Alicia Sampson /Facebook

Kurator muzium marin tempatan menyebutnya sebagai “penemuan sekali seumur hidup”.

Megalodon – bahasa Yunani purba untuk “gigi besar” – hidup di laut seluruh dunia sehingga dia pupus sekurang-kurangnya 3.5 juta tahun yang lalu.

Membesar sehingga lebih daripada 66 kaki (20 meter) panjang, spesies itu bukan sahaja jerung terbesar di dunia, tetapi salah satu ikan terbesar yang pernah wujud.

Gambar BBC

Gigi yang ditemui Molly sepanjang 5 inci (13cm) yang sebesar tangannya, menurut ibunya Alicia Sampson, yang berkongsi berita penemuan itu di Facebook.

Alicia dalam hantarannya berkata anak perempuannya, Molly dan Natalie, ingin “mencari gigi jerung seperti profesional” dan telah meminta set pakaian peranduk dada sebagai hadiah Krismas.

Sebaik sahaja menerima hadiah itu dan menghabiskan sarapan pada pagi Krismas, mereka menuju ke pantai Calvert Cliffs yang berdekatan yang dipantau suaminya Bruce, katanya kepada CBS.

“Molly memberitahu saya dia sedang mengharung air sedalam lutut apabila dia melihatnya dan terjun ke dalam untuk mendapatkannya,” kata Alicia mengenai penemuan anak perempuannya. “Katanya tangan habis semua basah, tetapi ia sangat berbaloi.”

Suaminya telah memburu fosil di kawasan itu sejak dia masih kanak-kanak, dan Molly sendiri telah menemui lebih 400 gigi yang jauh lebih kecil, katanya, tetapi mereka tidak pernah menemui gigi yang begitu besar.

Alicia Sampson /Facebook

“Dia sentiasa mahu mencari ‘Meg’, tetapi atas sebab macam mana pun, dia menyatakannya kena mencarinya pada pagi Krismas,” kata Alicia.

Keluarga Sampson membawa gigi itu ke Muzium Marin Calvert, dan jabatan paleontologi mengesahkan identiti jerung purba berkenaan dan mengucapkan tahniah kepada “ahli paleontologi masa depan” itu di Facebook.

“Orang ramai tidak sepatutnya memberi tanggapan yang gigi seperti ini adalah biasa di sepanjang Calvert Cliffs,” kata Stephen Godfrey, kurator paleontologi muzium itu.

“Dan dia tidak perlu menggali ke dalam tebing untuk mencari gigi itu, ia berada di dalam air,” kata mereka.

Pilihan Editor:

Bapa penyayang berkhemah di luar hospital untuk berada dekat dengan anaknya yang menghidap tumor otak

0

Kasih sayang seorang ibu tiada batasan tetapi kasih sayang seorang bapa tidak akan pernah dilupakan. Baru-baru ini, satu hantaran dalam kumpulan Facebook Family Camping Malaysia menggambarkan sejauh mana seorang bapa boleh pergi untuk meluahkan perasaan kasih sayangnya terhadap keluarga.

Walaupun orang ramai kebanyakannya berkhemah di tepi pantai atau sungai, bapa penyayang ini mengambil keputusan untuk berkhemah di luar hospital di Ipoh supaya dia dapat berada dekat dengan isteri dan anak lelakinya.

Anak bongsunya yang baru berusia 8 tahun dimasukkan ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) selepas disahkan menghidap tumor otak. Bapa ini yang dikenali Adi, meletakkan kenderaan Proton Satria miliknya di tempat letak kereta di luar hospital dan memasang kanopi panjang di belakang keretanya supaya dia boleh tidur di situ.

Facebook

Adi berkata permulaan 2023 adalah sukar buat dirinya setelah anaknya didiagnos dengan tumor otak pada 3 Januari. Pembedahan berjalan dengan lancar dan anaknya kini berada dalam keadaan stabil tetapi pengawasan dalam memastikan tahap kesihatannya kekal baik masih diperlukan. 

Anak lelakinya ditemani isterinya di wad, dan Adi memutuskan untuk tidur di dalam Proton Satria supaya dia dapat berehat dengan mudah, dan berjalan ke hospital dengan lebih mudah apabila doktor memanggilnya.

“Selain kekangan kewangan, saya lebih mudah berada di hospital apabila doktor memanggil saya kerana tempat letak kereta boleh menjadi isu di sini,” tambah Adi.

Katanya, dia enggan berjauhan dengan keluarga pada masa sukar ini, justeru mengambil keputusan untuk berkhemah di luar hospital. Adi, yang merupakan bapa kepada 3 orang anak berkata, 2 lagi anaknya sedang dijaga oleh saudara mara buat masa ini.

Facebook

Adi juga memberitahu mujurlah dia tidak menerima sebarang aduan mengenai ada orang berkhemah di tempat letak kereta.

“Tempat saya tidak mengganggu aliran lalu lintas di hospital kerana kereta saya diparkir di hujung jalan,” katanya.

Adi mendedahkan yang dia berasal dari Sungkai, Perak, di mana rumahnya akan mengambil masa kira-kira sejam untuk dia memandu pulang dari hospital.

Didoakan Adi sekeluarga diberikan kekuatan dalam mengharungi dugaan ini dengan segala urusan dipermudahkan, dan semoga Allah memberkati anda dan keluarga dengan hikmahNya.

Pilihan Editor:

Pesakit kanser mahu hadiah selama 5 tahun disampaikan kepada orang tersayang, syarikat penghantaran ikrar tunaikan hajat menyentuh hati

0

Jika anda tahu masa anda di dunia berakhir dalam jangka pendek, bagaimana anda akan memilih untuk menghabiskan hari anda yang tinggal?

Bagi pesakit kanser ini, beliau memilih pemberian hadiah penuh bermakna untuk dihantar kepada orang tersayang selama lima tahun selepas pemergiannya.

Hantaran Facebook oleh syarikat kurier Dr.Parcel pada 5 Januari, mendedahkan mereka menerima mesej hajat menghantar hadiah itu daripada seorang lelaki yang telah disahkan menghidap leukemia sejak dua tahun lalu.

Sekadar Gambar Hiasan /Pexels

Pesakit itu berkata keadaannya semakin teruk selepas menjalani rawatan kemoterapi yang begitu keras dan amat menyakitkan tubuh badannya.

Berasa seperti dirinya tidak lama lagi berada di dunia untuk hidup, pesakit yang tidak dikenali itu takut beliau akan meninggal dunia dengan banyak penyesalan dan meninggalkan orang tersayangnya dalam kesedihan.

Oleh itu, lelaki itu meminta bantuan syarikat kurier untuk menghantar hadiah yang dibelinya untuk orang tersayang selama lima tahun berturut-turut.

Pesakit itu berkata kos penghantaran tidak menjadi masalah kepadanya, selagi orang tersayang menerima hadiahnya.

Sekadar Gambar Hiasan / Pexels

Beliau telah merancang buat ibu bapa dan teman wanitanya untuk menerima hadiahnya setiap enam bulan dan pada hari lahir mereka selama lima tahun.

Lelaki yang tidak dikenali itu juga meminta agar mesej dengan tulisan tangannya dihantar bersama-sama hadiah.

“Saya tidak kisah berapa kosnya. Cuma tolong saya hantar hadiah dengan mesej yang saya tulis untuk mereka. Sekurang-kurangnya mereka tidak akan bersedih apabila saya pergi,” lelaki itu merayu dalam mesejnya.

Jelas tersentuh dengan mesej lelaki itu, syarikat kurier berkenaan berkata pekerjanya terdiam selama lima minit selepas membacanya.

Sekadar Gambar Hiasan / Pexels

Mereka berkata ini bukan sekadar tugas atau pakej penghantaran biasa, tetapi sebaliknya ‘penyampaian kasih sayang’.

Syarikat itu berikrar mereka secara peribadi akan membantu memenuhi hajat pesakit itu.

“Kami akan bekerja keras, berpegang pada nilai teras kami, dan mengutamakan pelanggan. Semoga semua orang di dunia berada dalam keadaan selamat dan gembira,” tulis syarikat itu.

Pilihan Editor:

Jumlah kompaun RM1,000 atas 30 kenderaan di Klang kerana kesalahan parkir didakwa tidak masuk akal

0

Pada 8 Januari, kira-kira 30 pemilik kenderaan mempersoalkan tindakan Majlis Perbandaran Klang (MPK) yang mengeluarkan kompaun berjumlah RM1,000 untuk kesemua kenderaan yang diletakkan di padang Dewan Eng Ann, Taman Eng Ann, Klang.

Menurut laporan Harian Metro, majoriti kenderaan yang diletakkan di situ adalah daripada ibu bapa yang menghadiri pertandingan taekwando anak-anak mereka di dewan yang dianjurkan di peringkat daerah.

Salah seorang ibu bapa yang mahu dikenali sebagai Nantharajan berkata, dia terkejut selepas melihat jumlah saman yang dikeluarkan MPK.

Twitter

“Saya rasa pelik kerana program yang dihadiri hari ini adalah pada hari cuti iaitu hari Ahad. Jumlah kompaun sangat tidak masuk akal,” katanya.

Menurutnya, kebanyakan mereka yang hadir pada hari itu adalah ibu bapa dari pelbagai sekolah di seluruh daerah, dan memandangkan kawasan ini adalah taman perumahan dan pada masa itu, tiada papan tanda larangan meletak kenderaan, jadi mereka merasakan amat tidak adil apabila mereka dikenakan kompaun.

Sementara itu, seorang lagi bapa dikenali sebagai Hafiz turut melahirkan rasa kecewa dengan sikap tidak bertimbang rasa pihak berkuasa tempatan daerah itu.

“Sepatutnya mereka bertimbang rasa kerana padang itu adalah hak milik awam, memang ada akses jalan untuk meletak kenderaan di tepi padang. Penguatkuasa sepatutnya memberi amaran dengan membuat pengumuman terlebih dahulu kerana kami hanya berada di dalam dewan,” katanya.

Beliau menggesa pihak berkuasa mengambil tindakan sewajarnya berikutan pengeluaran kompaun yang tidak adil dan dalam jumlah yang tinggi.

“Kita minta MPK lebih bertimbang rasa. Jumlah RM1,000 itu bukan sedikit, bayangkan jika hampir semua kenderaan yang diletakkan dikenakan kompaun.”

Susulan isu berkenaan, Exco Selangor Ng Sze Han menyeru mereka yang terjejas dengan saman itu membuat rayuan kepada MPK.

Beliau menambah bahawa beliau telah mengadakan perbincangan dengan presiden majlis Noraini Roslan, yang berjanji untuk mempertimbangkan semua rayuan secara adil.

Sekadar Gambar Hiasan / Facebook

“Saya percaya kebanyakan penerima kompaun itu tidak melakukan kesalahan dengan sengaja. Saya telah membincangkan perkara itu dengan presiden majlis. Beliau menasihatkan mereka untuk merayu terus kepadanya supaya jumlah kompaun dapat dikurangkan,” katanya.

“Pemandu-pemandu sebenarnya telah melanggar undang-undang kecil tempat letak kereta di taman dan tindakan mereka boleh mengakibatkan kerosakan kepada tumbuhan dan tanaman lain,” katanya kepada FMT.

Ng berkata, jumlah denda maksimum adalah RM1,000 dan boleh dikenakan sehingga RM2,000 jika dibawa ke mahkamah.

Pilihan Editor:

Bayi empat bulan koma, pengasuh taska direman

0

KUALA TERENGGANU: Tiga orang pengasuh sebuah Taman Asuhan Kanak-kanak (TASKA) di sini ditahan selepas dipercayai mendera hingga menyebabkan bayi empat bulan koma.

BH

Ketua Polis Terengganu, Datuk Rohaimi Md Isa berkata, tiga orang suspek tersebut merupakan wanita berusia antara 22 hingga 33 tahun. Mereka ditahan oleh sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Terengganu di premis berkenaan pada petang 9 Januari 2023.

Menurut Datuk Rohaimi, tangkapan tersebut dilakukan selepas polis menerima satu laporan berhubung kejadian. Laporan tersebut dibuat sendiri oleh bapa mangsa yang berusia 29 tahun di IPD Kuala Terengganu pada Rabu lalu.

“Berdasarkan laporan, bapa mangsa yang bekerja sebagai pegawai perubatan mendapati, berlaku pendarahan dalam otak selain keretakan pada tempurung kepala bayi berkenaan.

“Susulan itu, tiga suspek terbabit ketika dipanggil memberi keterangan menafikan kejadian itu tetapi keterangan mereka meragukan.

“Bagaimanapun, siasatan menerusi rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di taska berkenaan mendapati suspek memukul kepala mangsa dengan tangan.

“Kesan daripada perbuatan itu, mangsa mengalami pendarahan dalam otak dan berlaku keretakan pada tempurung kepala.

Menurutnya lagi, bayi empat bulan itu mengalami kecederaan yang serius dan masih koma. Dia dirawat di unit rawatan rapi kanak-kanak (PICU) Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ).

Datuk Rohaimi mengeluarkan kenyataan tersebut pada Perhimpunan Bulanan PDRM Terengganu Januari 2023 di Perkarangan IPK Terengganu.

Semua suspek terbabit ditahan reman selama enam hari bermula 10 Januari dan akan disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.

Akta itu memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi 20 tahun atau kedua-duanya.

Pilihan Editor:

Remy Ishak tolong ambilkan gambar pengunjung Tasik Cermin

0

Swafoto adalah cara untuk merakam gambar bagi mengabadikan kenangan bersama sesiapa dan di mana sahaja secara sendiri. Namun hasilnya kadang-kadang tidaklah begitu memuaskan. Jadi, kita akan meminta bantuan orang lain untuk ambilkan gambar kita. Dan itulah yang dilakukan oleh sepasang pengunjung Tasik Cermin. Mereka menyapa dan meminta bantuan lelaki berbaju kuning untuk merakam gambar mereka. Menariknya, pasangan ini langsung tidak menyedari bahawa jurugambar misteri itu ialah Remy Ishak, pelakon popular Malaysia.

@roseezza

Perkara tersebut dikongsi sendiri oleh @roseezza yang singgah di Tasik Cermin bersama suaminya, Remy Ishak. Ketika itu ada sepasang pengunjung tasik tersebut meminta suaminya yang berbaju kuning untuk merakam gambar mereka berdua.

Menurut @roseezza, pasangan tersebut langsung tidak menyedari bahawa lelaki berbaju kuning itu ialah Remy Ishak. Ini kerana ketika itu suaminya memakai pelitup muka.

@roseezza

Ujar @roseezza di TikToknya, suaminya begitu beria-ia merakam gambar pasangan itu sambil meminta mereka beralih ke posisi lain bagi mendapatkan gambar yang lebih cantik.

@roseezza berharap agar pasangan tersebut berpuas hati dengan hasil tangkapan gambar oleh suaminya itu.

Tidak lama kemudian, muncul seorang wanita yang dimaksudkan oleh @roseezza itu. Katanya, dia dan pasangannya memang tidak perasan bahawa jurugambar tersebut ialah Remy Ishak, pelakon popular Malaysia.

@roseezza

Warga siber yang lain turut mengatakan bahawa mereka juga tidak dapat mengecam jurugambar yang memakai pelitup muka itu ialah Remy Ishak.

Pasti peristiwa ini akan menjadi kenangan terindah dalam hidup pasangan tersebut. Ini kerana bukan calang-calang orang yang membantu mereka merakam gambar.

Tonton video di sini.

Pilihan Editor:

Bekas akauntan hampir putus asa menjaja apam balik gara-gara pernah pengsan di dapur

0

Seorang bekas akauntan hampir putus asa menjaja apam balik gara-gara pernah pengsan di dapur. Walaupun berdepan dengan cabaran seperti kepanasan dapur, dia lebih gembira kerana telah bebas daripada tekanan pekerjaan terdahulu iaitu sebagai akauntan. Selain itu, pujian daripada pelanggan ulangan yang berpuas hati dengan apam balik yang dibuatnya membuatkan dia semakin bersemangat untuk berniaga.

Selepas menamatkan pengajian Diploma Perakaunan, Li Yihua, 29 bekerja sebagai akauntan di sebuah syarikat di Singapura. Dalam satu temu bual bersama Xinming Daily, dia berkata,”Walaupun kehidupan 9-5 itu sangat stabil, namun ia tidak berubah yang membuatkan saya tertekan.”

Menurut Li Yihua ketika bekerja sebagai akauntan dahulu, dia berdepan dengan tekanan mental yang berganda pada hujung bulan dan hujung tahun. Berbanding dengan hanya duduk di pejabat, dia percaya dia mampu mencari rezeki dengan caranya tersendiri. Akhirnya selepas bekerja selama tujuh tahun Li Yihua meletakkan jawatan.

Dua tahun lalu, bekas akauntan ini menyertai Program Pembangunan Penjaja (HDP) yang dibangunkan oleh Agensi Alam Sekitar Kebangsaan (NEA) dan SkillsFuture Singapura (SSG) untuk belajar memasak. Di sana, Li Yihua belajar membuat apam balik.

NEA

Semasa dalam tempoh percubaan, dia pernah pengsan sekurang-kurangnya dua kali kerana tidak tahan dengan kepanasan tiga dapur di kedainya. “Saya berpeluh daripada kepala hingga ke kaki, dan saya kehilangan banyak air hingga saya tidak perlu ke tandas pada hari itu.”

Walaupun begitu, Li Yihua tetap meneruskan perniagaannya. Dia sedikit pun tidak berfikir untuk berhenti.

“Dari awal hingga akhir, jika anda sudah memutuskan untuk masuk ke dalam industri ini, anda mesti berusaha sedaya upaya dan tidak mudah mengalah.”

Li Yihua yang menetap di Woodlands, bangun pada pukul 4 pagi dan keluar pada pukul 5 pagi untuk membuat persediaan membuka kedai kopinya yang terletak di Tao Payoh Lane 4.

Li Yihua mengaku bahawa selepas menjalani sendiri kehidupan sebagai penjaja barulah dia tahu pekerjaan itu tidak mudah. Setiap hari dia perlu bangun seawal pagi, pulang ke rumah pada waktu petang dan kemudian menyediakan bahan-bahan untuk keesokan harinya.

Walaupun secara fizikal pekerjaan tersebut lebih memenatkan namun dia lebih bahagia.

Hampir setiap hari Liang Junmei, 65 ibu kepada Li Yihua membantu anak perempuannya itu di kedai. Dia berkata, “Pekerjaan lama dan pekerjaan kini adalah ‘satu sejuk dan satu panas’, walaupun sukar, kami tetap menyokongnya. Jika anda mengalah dengan mudah, tiadalah generasi baharu dalam industri ini.”

Kata Li Yihua kepada Xinming Daily lagi, ketika mula-mula berniaga dahulu, hasil pendapatannya tidaklah begitu lumayan. Kadang-kadang dia terfikir untuk bekerja di pejabat semula kerana lebih selesa dan waktu kerja yang fleksibel.

Namun lama-kelamaan, pendapatannya semakin bertambah. Mereka juga mempunyai sejumlah pelanggan ulangan yang begitu gemarkan apam balik mereka. Pujian pelanggannya sedikit sebanyak memberikan motivasi buat dirinya untuk terus berusaha memajukan perniagaannya.

Sepanjang mengendalikan perniagaan apam balik tersebut Li Yihua pernah tidak berehat selama seminggu. Dia kemudiannya memutuskan untuk tidak berniaga pada setiap hari Sabtu dan menggunakan masa tersebut untuk berehat dan menghabiskan masa bersama keluarga.

Pilihan Editor:

Semangat kesukanan menyentuh hati daripada pasukan bola sepak remaja memujuk lawan yang sebak

0

Menjadi adat dalam sukan, pasti terdapat pasukan yang kalah dan menang. Walaupun setiap pasukan telah berkerja keras dan mempamerkan aksi cemerlang demi mencapai kemenangan, namun nasib tidak memihak seperti yang mereka inginkan.

Seperti pasukan bola sepak lelaki bawah 12 tahun dari Jepun ini, yang tidak dapat menahan kesedihan selepas tewas kepada rakan-rakan mereka dari Sepanyol.

Facebook

Namun, pasukan bola sepak lelaki berusia bawah 12 tahun dari Sepanyol ini bukan sahaja mempunyai masa depan yang cerah di atas padang dengan menjadi juara, malahan di dalam kehidupan kerana menunjukkan sikap belas kasihan dan timbang rasa yang tinggi.

Facebook

Mempamerkan semangat kesukanan yang menyentuh perasaan selepas menewaskan kelab Jepun, Omiya Ardija dalam kejohanan bola sepak bawah 12 tahun, pasukan remaja Infantil B Barcelona turut berusaha keras untuk menenang dan menghiburkan lawan mereka yang sebak.

Facebook

Skuad Barcelona sedang meraikan kemenangan 1-0 dalam kejohanan bola sepak remaja dunia di Tokyo apabila menyedari pemain junior Jepun berasa amat kecewa kerana mereka tewas di hadapan penyokong sendiri.

Facebook

Bermula dengan barisan jabat tangan selepas tamat perlawanan yang hebat tetapi bertukar kesedihan, para pemain remaja dari Barcelona ini menawarkan pelukan dan kata-kata semangat kepada rakan-rakan Jepun mereka.

Facebook

Selepas menerima suntikan semangat untuk berusaha lebih keras lagi di masa hadapan, tanpa ada rasa malu dan kecewa, pasukan Omiya Ardija mula menerima kekalahan itu. 

Facebook

Jelas menunjukkan pemain remaja dari Sepanyol ini bakal menjadi bintang bola sepak bertaraf dunia pada masa hadapan dengan kemahiran yang ditunjukkan bersama semangat kesukanan tinggi yang mereka pamerkan.

Tonton video di sini.

Pilihan Editor: