KUALA TERENGGANU: Tiga orang pengasuh sebuah Taman Asuhan Kanak-kanak (TASKA) di sini ditahan selepas dipercayai mendera hingga menyebabkan bayi empat bulan koma.
Ketua Polis Terengganu, Datuk Rohaimi Md Isa berkata, tiga orang suspek tersebut merupakan wanita berusia antara 22 hingga 33 tahun. Mereka ditahan oleh sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Terengganu di premis berkenaan pada petang 9 Januari 2023.
Menurut Datuk Rohaimi, tangkapan tersebut dilakukan selepas polis menerima satu laporan berhubung kejadian. Laporan tersebut dibuat sendiri oleh bapa mangsa yang berusia 29 tahun di IPD Kuala Terengganu pada Rabu lalu.
“Berdasarkan laporan, bapa mangsa yang bekerja sebagai pegawai perubatan mendapati, berlaku pendarahan dalam otak selain keretakan pada tempurung kepala bayi berkenaan.
“Susulan itu, tiga suspek terbabit ketika dipanggil memberi keterangan menafikan kejadian itu tetapi keterangan mereka meragukan.
“Bagaimanapun, siasatan menerusi rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di taska berkenaan mendapati suspek memukul kepala mangsa dengan tangan.
“Kesan daripada perbuatan itu, mangsa mengalami pendarahan dalam otak dan berlaku keretakan pada tempurung kepala.
Menurutnya lagi, bayi empat bulan itu mengalami kecederaan yang serius dan masih koma. Dia dirawat di unit rawatan rapi kanak-kanak (PICU) Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ).
Datuk Rohaimi mengeluarkan kenyataan tersebut pada Perhimpunan Bulanan PDRM Terengganu Januari 2023 di Perkarangan IPK Terengganu.
Semua suspek terbabit ditahan reman selama enam hari bermula 10 Januari dan akan disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.
Akta itu memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi 20 tahun atau kedua-duanya.
Pilihan Editor: