Kasih sayang seorang ibu tiada batasan tetapi kasih sayang seorang bapa tidak akan pernah dilupakan. Baru-baru ini, satu hantaran dalam kumpulan Facebook Family Camping Malaysia menggambarkan sejauh mana seorang bapa boleh pergi untuk meluahkan perasaan kasih sayangnya terhadap keluarga.
Walaupun orang ramai kebanyakannya berkhemah di tepi pantai atau sungai, bapa penyayang ini mengambil keputusan untuk berkhemah di luar hospital di Ipoh supaya dia dapat berada dekat dengan isteri dan anak lelakinya.
Anak bongsunya yang baru berusia 8 tahun dimasukkan ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) selepas disahkan menghidap tumor otak. Bapa ini yang dikenali Adi, meletakkan kenderaan Proton Satria miliknya di tempat letak kereta di luar hospital dan memasang kanopi panjang di belakang keretanya supaya dia boleh tidur di situ.
Adi berkata permulaan 2023 adalah sukar buat dirinya setelah anaknya didiagnos dengan tumor otak pada 3 Januari. Pembedahan berjalan dengan lancar dan anaknya kini berada dalam keadaan stabil tetapi pengawasan dalam memastikan tahap kesihatannya kekal baik masih diperlukan.
Anak lelakinya ditemani isterinya di wad, dan Adi memutuskan untuk tidur di dalam Proton Satria supaya dia dapat berehat dengan mudah, dan berjalan ke hospital dengan lebih mudah apabila doktor memanggilnya.
“Selain kekangan kewangan, saya lebih mudah berada di hospital apabila doktor memanggil saya kerana tempat letak kereta boleh menjadi isu di sini,” tambah Adi.
Katanya, dia enggan berjauhan dengan keluarga pada masa sukar ini, justeru mengambil keputusan untuk berkhemah di luar hospital. Adi, yang merupakan bapa kepada 3 orang anak berkata, 2 lagi anaknya sedang dijaga oleh saudara mara buat masa ini.
Adi juga memberitahu mujurlah dia tidak menerima sebarang aduan mengenai ada orang berkhemah di tempat letak kereta.
“Tempat saya tidak mengganggu aliran lalu lintas di hospital kerana kereta saya diparkir di hujung jalan,” katanya.
Adi mendedahkan yang dia berasal dari Sungkai, Perak, di mana rumahnya akan mengambil masa kira-kira sejam untuk dia memandu pulang dari hospital.
Didoakan Adi sekeluarga diberikan kekuatan dalam mengharungi dugaan ini dengan segala urusan dipermudahkan, dan semoga Allah memberkati anda dan keluarga dengan hikmahNya.
Pilihan Editor: