Jika anda tahu masa anda di dunia berakhir dalam jangka pendek, bagaimana anda akan memilih untuk menghabiskan hari anda yang tinggal?
Bagi pesakit kanser ini, beliau memilih pemberian hadiah penuh bermakna untuk dihantar kepada orang tersayang selama lima tahun selepas pemergiannya.
Hantaran Facebook oleh syarikat kurier Dr.Parcel pada 5 Januari, mendedahkan mereka menerima mesej hajat menghantar hadiah itu daripada seorang lelaki yang telah disahkan menghidap leukemia sejak dua tahun lalu.
Pesakit itu berkata keadaannya semakin teruk selepas menjalani rawatan kemoterapi yang begitu keras dan amat menyakitkan tubuh badannya.
Berasa seperti dirinya tidak lama lagi berada di dunia untuk hidup, pesakit yang tidak dikenali itu takut beliau akan meninggal dunia dengan banyak penyesalan dan meninggalkan orang tersayangnya dalam kesedihan.
Oleh itu, lelaki itu meminta bantuan syarikat kurier untuk menghantar hadiah yang dibelinya untuk orang tersayang selama lima tahun berturut-turut.
Pesakit itu berkata kos penghantaran tidak menjadi masalah kepadanya, selagi orang tersayang menerima hadiahnya.
Beliau telah merancang buat ibu bapa dan teman wanitanya untuk menerima hadiahnya setiap enam bulan dan pada hari lahir mereka selama lima tahun.
Lelaki yang tidak dikenali itu juga meminta agar mesej dengan tulisan tangannya dihantar bersama-sama hadiah.
“Saya tidak kisah berapa kosnya. Cuma tolong saya hantar hadiah dengan mesej yang saya tulis untuk mereka. Sekurang-kurangnya mereka tidak akan bersedih apabila saya pergi,” lelaki itu merayu dalam mesejnya.
Jelas tersentuh dengan mesej lelaki itu, syarikat kurier berkenaan berkata pekerjanya terdiam selama lima minit selepas membacanya.
Mereka berkata ini bukan sekadar tugas atau pakej penghantaran biasa, tetapi sebaliknya ‘penyampaian kasih sayang’.
Syarikat itu berikrar mereka secara peribadi akan membantu memenuhi hajat pesakit itu.
“Kami akan bekerja keras, berpegang pada nilai teras kami, dan mengutamakan pelanggan. Semoga semua orang di dunia berada dalam keadaan selamat dan gembira,” tulis syarikat itu.
Pilihan Editor: