Berita baik buat rakyat Malaysia yang mempunyai saman trafik tertunggak dan masih belum membayarnya.
Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT), Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur menawarkan pengurangan kadar saman trafik sehingga 50 peratus bermula 10 hingga 12 Januari ini di Balai Polis Trafik Jalan Tun H.S. Lee Kuala Lumpur.
Menerusi kenyataan di laman Facebook, JSPT KL berkata, tawaran tersebut diberikan pada tarikh yang ditetapkan sahaja, bermula jam 8.30 pagi hingga 4.30 petang.
Selain itu, individu yang ingin mendapatkan tawaran diskaun tidak boleh membuat pembayaran melalui laman web MYEG dan harus hadir secara fizikal ke balai trafik berkenaan.
“Bayaran atas talian hanya melalui aplikasi mybayarsaman dan OKS (orang kena saman) perlu hadir bagi mendapatkan barcode diskaun mybayarsaman.
“Pembayaran boleh dibuat dengan menggunakan tunai atau kad debit atau kad kredit. Tetapi admin menggalakkan pembayaran secara tunai untuk mengelakkan masalah semasa pembayaran,” katanya.
Tawaran diskaun itu tidak dihadkan untuk saman di Kuala Lumpur sahaja, tetapi sah untuk semua saman dari seluruh Malaysia.
Selain itu, tawaran diskaun ini layak untuk saman yang dikeluarkan di seluruh negara oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) sahaja dan tidak melibatkan saman agensi-agensi lain.
Bagaimanapun, diskaun tersebut tidak diberikan kepada 9 jenis kesalahan iaitu kesalahan tidak boleh kompaun, kesalahan status perbicaraan, kesalahan berkaitan kenderaan berat, kesalahan pengubahsuaian ekzos, kesalahan memotong secara bahaya (potong Q), kemalangan, kesalahan memotong di garisan berkembar, kesalahan lorong kecemasan dan kesalahan jalan semasa lampu isyarat merah.
“Orang awam yang ingin melakukan pembayaran perlu membuat semakan saman terlebih dahulu kemudian pindaan saman dan seterusnya pembayaran saman,” jelas JSPT KL.
Pilihan Editor: