35.5 C
Kuala Lumpur
Monday, July 28, 2025
Utama Blog Laman 111

Persahabatan unik haiwan, 15 tahun setia hingga ke akhir hayat

0

Memang agak mustahil haiwan pemangsa berlainan spesies boleh menjadi kawan. Namun, persahabatan unik antara beruang, singa dan harimau ini sungguh memberi inspirasi. Kesetiaan mereka bersahabat selama 15 tahun itu sungguh mengagumkan. Hingga ke akhir hayat, trio ini tetap bersama. Trio tersebut dikenali sebagai BLT (bear, lion, tiger) yang mana Baloo si beruang hitam Amerika, Leo singa Afrika dan Shere Khan harimau Bengal.

Noahs Ark

Kisah persahabatan itu bermula apabila ketiga-tiga haiwan berkenaan dihantar ke zoo Noahs Ark pada tahun 2001 oleh Jabatan Sumber Asli Georgia. Dalam serbuan dadah ke atas sebuah rumah di Atlanta, polis menemukan haiwan-haiwan tersebut di ruang bawah tanah rumah itu.

Semua haiwan ketika ditemui masih kecil dan berada dalam keadaan yang menyedihkan serta tahap kesihatan yang buruk. Memandangkan ketiga-tiganya mengalami kecederaan fizikal dan mental yang serius, mereka tidak dilepaskan ke hidupan liar sebaliknya dijaga dengan rapi di zoo. Sejak itu, trio ini hidup seperti saudara sendiri dan tidak pernah berpisah.

Menurut Diane penolong pengarah zoo Noahs Ark, Baloo dan Shere sangat rapat. “Mereka sering bangun awal, manakala Leo pula suka menghabiskan masanya dengan tidur.

“Agak menakjubkan apabila melihat beruang Amerika meletakkan lengannya pada harimau Bengal dan harimau itu bermanja dengan beruang seperti seekor kucing peliharaan.

“Apabila Leo bangun tidur, mereka bertiga akan bermain sepanjang hari sebelum masing-masing mengambil makanan.”

Sungguh aneh sekali melihat tingkah laku tiga haiwan pemangsa bermain dan bersantai bersama-sama. Walhal yang sebenarnya mereka boleh membunuh antara satu sama lain.

“Mereka makan, tidur dan bermain bersama,” kata Jama Hedgecoth, pengasas zoo Noahs Ark.

“Memandangkan mereka merasakan mereka bersaudara, mereka akan berbaring di atas satu sama lain untuk menghangatkan badan dan untuk berkasih sayang.

“Dalam hubungan ini Share Khan agak pendiam namun Baloo, beruang yang sangat pandai memainkan peranan sering membuatkan Shere berasa selesa dan selamat.

Leo 2001 – 2016

Namun pada 11 Ogos 2016, Leo meninggalkan trio BLT buat selama-lamanya. Ketika pembedahan dijalankan, pakar veterinar mendapati lebih 80% hati Leo sudah rosak. Para penjaga memberikan perhatian lebih kepada Baloo dan Shere Khan agar mereka tidak begitu terkesan dengan kehilangan saudara mereka, Leo. Leo dikebumikan di tepi rumah khas kegemaran trio tersebut.

Leo 2001 – 2016

Shere Khan 2001-2018

Semasa dibawa ke zoo Noahs Ark, Shere sangat kurus dan kurang zat makanan. Namun begitu, selepas dirawat Shere kembali sihat dan aktif, berat badannya pun bertambah.

Jika diperhatikan antara trio ini, Shere lah yang paling nakal kerana suka sangat menerkam Leo dan Baloo. Biarpun begitu, Shere dilihat sangat penyayang. Ia suka memanjakan Leo dan Baloo dengan cara menggosokkan kepalanya pada mereka.

Shere Khan 2001-2018

Keakraban trio ini memang dicemburui sehinggalah pada musim luruh tahun 2014, Shere didiagnosis menghidap penyakit cakera intervertebral. Umurnya tidak panjang. Pada tahun 2018, Shere pula meninggal dunia dan disemadikan di sebelah Leo. Tinggal lah Baloo bersendirian di sana.

Baloo

Sebelum bertubuh sasa dan berbulu hitam lebat, keadaan Baloo ketika ditemui polis dahulu sangat menyedihkan. Abah-abah yang dipakaikan padanya sudah tertanam dalam badannya. Manakan tidak, semakin beruang Amerika itu membesar abah-abah tersebut langsung tidak dilonggarkan apatah lagi ditanggalkan. Akibatnya, daging yang tumbuh telah menenggelamkan abah-abah tersebut.

Baloo

Selepas diselamatkan, Baloo menjalani pembedahan bagi mengeluarkan abah-abah berkenaan dan merawat lukanya yang dalam dan telah dijangkiti. Ketika menjalani sesi pembedahan itulah kali pertama Baloo berpisah daripada Leo dan Shere. Menyedari akan ketiadaan Baloo, Leo dan Shere dikatakan serba gelisah. Sebaik sahaja Baloo sembuh, ia kembali ke pangkuan Leo dan Shere. Mereka hidup gembira tanpa sebarang pertelingkahan dan ikatan persahabatan mereka semakin erat.

Walaupun telah kehilangan Leo dan Shere yang disayangi, Baloo tetap hidup dengan gembiranya. Pada Julai 2021, Baloo meraikan ulang tahun kelahirannya yang ke-20 disamping haiwan dan penjaga-penjaga yang lain.

Pilihan Editor:

Marie Kondo kini selesa biarkan rumah bersepah

0

Bertahun-tahun Marie Kondo mengajar kita cara mengemas rumah dan memastikan hanya barangan yang membuatkan kita gembira sahaja yang perlu disimpan. Namun selepas memiliki tiga orang anak, bintang Netflix kini selesa membiarkan rumahnya bersepah. Apa sudah jadi?

Marie Kondo

Baru-baru ini dalam satu webinar bersama The Washington Post, Kondo mengaku bahawa dia tidak lagi mengemas rumahnya setiap masa. Dia yang ketika itu melancarkan buku baharunya yang bertajuk Marie Kondo’s Kurashi at Home: How to Organize Your Space and Achieve Your Ideal Life menyedari bahawa ada perkara yang lebih penting dalam hidupnya sekarang berbanding mengemas rumah iaitu masa bersama dengan anak-anak di rumah.

“Rumah saya memang bersepah, tetapi pada peringkat kehidupan saya sekarang ini, itulah cara terbaik saya habiskan masa saya” kata wanita beranak tiga ini dalam webinar tersebut.

Kondo memiliki tiga orang anak bersama suaminya Takumi Kawahara. Dua orang anak perempuan dan seorang anak lelaki.

“Sehingga kini, saya masih pengemas profesional, jadi saya buat yang terbaik untuk memastikan rumah saya kemas sepanjang masa. Saya biarkan rumah bersepah tapi masih dalam keadaan baik. Kini saya sedar apa yang penting bagi saya ialah keseronokan menghabiskan masa dengan anak-anak di rumah.”

Marie Kondo

Namun begitu, bukanlah bermaksud yang Kondo sudah tidak berpegang pada prinsip “cara hidup” Jepun atau kurashi. Cuma berbanding mengemas rumah, kini Kondo mengalihkan fokus kepada ‘mengemas’ hidupnya sendiri.

Kondo terkenal dengan kaedah mengatur dan mengemas rumah iaitu KonMari Method. Kaedah itu juga mengajar orang ramai untuk menyimpan barangan yang hanya mendatangkan kegembiraan kepada diri sendiri.

Sembilan buah buku telah dihasilkan oleh Kondo sepanjang kerjayanya. Buku pertamanya yang bertajuk “The Life-Changing Magic of Tidying Up” telah diterjemahkan ke dalam 44 bahasa termasuk Inggeris, Perancis, Jerman, Itali, Rusia dan lain-lain. Buku tersebut telah pun terjual lebih 13 juta salinan ke seluruh dunia.

Rancangan realiti televisyen pertamanya bertajuk “Tidying Up With Marie Kondo” bersama Netflix menjadi tular. Menerusi rancangan itu juga, Kondo memperoleh tujuh pencalonan anugerah berprestij antarbangsa seperti Anugerah Emmy.

Marie Kondo

Pengajaran daripada kisah ini ialah bagi ibu bapa di luar sana, usah gusar jika rumah anda bersepah sementelah anak sedang membesar. Mereka memang akan menyepahkan rumah dengan mainan dan kain baju baik yang sudah berlipat ataupun belum. Penat jadinya jika anda sibuk mengemas rumah manakala anak-anak berterusan menyepahi rumah.

Oleh itu, pilih waktu yang sesuai untuk mengemas rumah dan mungkin boleh sahaja anda mengajak anak-anak membantu anda mengemas rumah.

Selain buku tulisan Marie Kondo, anda boleh pelajari cara menguruskan rumah daripada penulis tempatan, seperti Dr.Hani Mynis. Dr. Hani juga menulis 10 tips kekalkan kekemasan rumah dalam buku bertajuk ‘Urus Rumah With Hani’.

Dr.Hani Mynis

Pilihan Editor:

Budi baik dikenang juga

0

Seorang wanita warga emas berusia 65 tahun menangis kepanikan kerana tidak dapat membeli tiket pulang ke rumah. Melihatkan wanita berbangsa Cina itu keseorangan, seorang lelaki Melayu menawarkan bantuan kepadanya. Dia membawa wanita itu pulang ke rumah adik perempuannya. Apabila tiba di destinasinya, wanita itu memberikan sekeping sampul berwarna merah.

8world

Menurut laporan Sin Chew, lelaki bernama Syed Azmi itu telah memuat naik kisahnya membantu nenek tersebut di Facebook nya.

Kata Azmi, ketika dia melewati stesen kereta api KTM pada waktu malam bersama dengan dua orang rakannya, dia terlihat seorang wanita Cina menjerit meminta tolong di kaunter perkhidmatan yang telah pun ditutup. Tanpa berlengah, Azmi terus mendapatkan nenek tersebut memandang jam pun sudah menunjukkan pukul 10 malam. Dia cuba mendapatkan tiket dengan cara membelinya melalui mesin namun gagal kerana mesin tidak berfungsi.

Berdasarkan maklumat yang ditulis Azmi, wanita Cina itu mahu pulang ke rumahnya di Wangi. Memandangkan dia keseorangan dan tidak berdaya, Azmi mencadangkan kepada wanita berkenaan untuk mengikutnya pulang ke rumah adik perempuannya.

Sebelum bergerak pulang, Azmi terlebih dahulu menghubungi adik nenek tersebut. Azmi meminta kebenaran untuk membawa kakaknya itu pulang ke rumah. Selepas mendapat kebenaran barulah nenek tersebut mengikut Azmi pulang ke rumah.

Semasa dalam perjalanan, wanita tersebut memperkenalkan dirinya kepada Azmi. Setibanya di lokasi yang dituju, wanita itu menyerahkan sekeping sampul berwarna merah kepadanya Azmi dan adik perempuannya.

Orang ramai mengucapkan terima kasih kepada Azmi kerana telah membantu nenek tersebut. Azmi sendiri berasa gembira kerana dapat membantu orang yang memerlukan pertolongan.

Pilihan Editor:

Jeti runtuh di Semporna, tindakan pantas guru berjaya selamatkan lebih 20 murid

0

Pagi Isnin 30 Januari bertukar traumatik buat murid dan guru Sekolah Kebangsaan (SK) Pulau Pababag apabila jeti Pulau Pababag, di Semporna tiba-tiba runtuh.

Kejadian itu mengakibatkan kira-kira 25 murid terjatuh ke laut dan dua orang guru dengan pantas bertindak terjun untuk menyelamatkan mereka. Mujurlah ketika itu air laut surut.

Menurut Timbalan Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Sabah (pengurusan sekolah), Abidin Marjan berkata kejadian berlaku pada 6.45 pagi ketika pelajar sekolah turun dari bot untuk berjalan melintasi jeti yang telah uzur itu.

Twitter

Syukur kesemua murid dan guru dilaporkan selamat, namun dua murid cedera ringan di bahagian bibir dan tangan selepas terlanggar bahagian kayu dan konkrit jeti.

“Ketika kejadian, dua orang guru terjun untuk menyelamatkan murid-murid. Guru dan murid terbabit dibenarkan pulang dan tiada kecederaan serius,” kata Abidin Marjan.

Beliau berkata jeti kampung itu adalah sebahagian daripada jeti menuju ke sekolah rendah Pulau Pababag.

Satu video berdurasi satu minit 30 saat yang tular memaparkan murid-murid itu diselamatkan oleh guru mereka dan penduduk kampung selepas jeti di Kampung Pababag runtuh.

Twitter

Di Kota Kinabalu, ketua pembangunan masyarakat Sulabayan Abdul Manan Indanan berharap peruntukan segera daripada Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKDW) untuk membina semula jeti yang runtuh di Pulau Pababag.

“Saya kebetulan bertemu dengan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi hari ini dan tunjukkan video jeti runtuh yang membabitkan pelajar itu. Kita harap pembinaan dapat dilaksanakan segera, kita juga akan berjumpa ketua kampung dan pihak sekolah untuk tindakan selanjutnya,” katanya.

Sementara itu, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dalam satu kenyataan berkata pihaknya telah mengambil langkah melalui Pejabat Pendidikan Daerah Semporna untuk menyiasat kejadian itu dan memberi bantuan segera kepada semua yang terlibat.

Twitter

“KPM memandang serius kejadian itu dan akan memastikan aspek keselamatan dipertingkatkan dengan mewajibkan penggunaan jaket keselamatan dan juga memeriksa struktur jeti.

“KPM juga akan mengadakan sesi perbincangan dengan pihak berkepentingan dan pihak berkuasa tempatan dalam masa terdekat bagi membincangkan cadangan penambahbaikan infrastruktur di jeti bagi memastikan kejadian ini tidak lagi berulang,” katanya.

Menurut kenyataan itu, sokongan psikososial akan diberikan kepada guru dan murid terbabit, selain meminta kerajaan tempatan menyediakan laluan alternatif yang lebih selamat untuk pelajar, ibu bapa dan guru ke sekolah berkenaan.

Pilihan Editor:

Kucing dari Thailand bermata ‘berlian’ yang dipercayai membawa ‘tuah’

0

Baru-baru ini seekor kucing tom oyen dengan mata kiri seperti berlian berkilauan menjadi tular di Thailand.

Ekoran video TikTok yang menarik perhatian lebih 1.5 juta tontonan dalam masa sehari, ramai warganet yang meninggalkan komen menasihatkan pemiliknya supaya menjaga kucing itu dengan baik kerana dia akan membawa kemakmuran.

Facebook

Video yang dimuat oleh pengguna TikTok @user30266088746242 itu menunjukkan kucing tom oyen jantan dengan mata kiri yang pelik dalam pelbagai aksi.

Kebanyakan warganet memberitahu kucing bermata ‘berlian’ itu akan membawa tuah dan kemakmuran.

Facebook

Ada yang mengambil peluang untuk meramalkan nombor bertuah untuk loteri Thailand 1 Februari.

Kata mereka, nombor yang mungkin telah dipilih berdasarkan nama pengguna TikTok itu atau nombor bertuah yang dikaitkan dengan mimpi kucing yang biasanya 4,8 dan 7.

Facebook

Ramai rakyat Thailand yang mempercayai bahawa kucing bermata dengan warna berlian akan menyebabkan berlian akan diberikan kepada pemiliknya.

Mereka menggambarkan keadaan itu berdasarkan filem Thai 1972 Cat’s Eye Diamond.

Facebook

Walau bagaimanapun, apa yang disebutkan sebagai mata ‘berlian’ pada kucing itu adalah satu keadaan yang disebabkan oleh glaukoma atau sejenis gangguan penglihatan dan bukannya membawa tuah atau kemakmuran.

Tonton video di sini.

Pilihan Editor:

Song Joong-Ki umum perkahwinan dan bakal jadi bapa

0

Bintang Vincenzo dan Descendants of the Sun, Song Joong-Ki secara rasmi mengumumkan beliau telah berkahwin dengan pelakon British Katy Louise Saunders.

Dalam surat yang ditulis di kafe peminatnya, Ki Aile dan disahkan oleh agensinya, HighZium Studio pada 30 Januari, pelakon Korea Selatan itu mengumumkan telah mendaftarkan perkahwinan dan isterinya sedang hamil.

Agensi itu menambah majlis resepsi akan diadakan kemudian.

Gambar Soompi

Menerusi Soompi, berikut adalah pengumuman itu kepada peminatnya:

“Helo, ini Joong-Ki. Saya ingin berkongsi janji yang paling gembira dan paling penting dalam hidup saya bersama anda semua. 

Saya telah berjanji kepada Katy Louise Saunders, yang telah menyokong saya dan berkongsi masa berharga bersama, untuk menghabiskan kehidupan berharga bersama-sama.

Beliau mempunyai hati yang baik dan sentiasa menjalani kehidupan dengan penuh semangat. Beliau seorang yang bijak dan menakjubkan, yang saya kagumi. 

Terima kasih kepadanya, saya menjadi insan yang lebih baik.

Sememangnya kami berdua mengimpikan untuk membina keluarga bahagia. Kami telah berusaha keras untuk mengotakan janji masing-masing dan bersyukur kerana kami bakal menerima kehadiran insan baharu tidak lama lagi.

Jadi hari ini, kami telah mendaftarkan perkahwinan kami sebagai pasangan, atas dasar cinta dan kepercayaan yang paling mendalam.

Kami akan terus berjalan ke arah yang sama. Terima kasih kepada semua peminat yang telah memberi sokongan yang tidak berbelah bahagi dari lubuk hati saya.

Saya akan meletakkan lebih semangat dan tanggungjawab untuk menjadi seorang pelakon dan individu yang lebih baik, membalas segala harapan dan sokongan anda di sepanjang kerjaya lakonan saya.

Saya berharap anda semua kekal sihat dan gembira sehingga kita dapat bertemu lagi secara peribadi kelak.”

Gambar Vizaca.com

Aktor itu mengesahkan beliau sedang menjalin hubungan istimewa pada bulan Disember, selepas khabar angin tersebar bahawa teman wanitanya hamil.

Agensinya mengesahkan mereka menjalinkan hubungan cinta pada tahun lalu, tetapi tidak mendedahkan sebarang maklumat tambahan mengenai Katy.

Menurut laporan, Katy adalah bekas pelakon British berusia 38 tahun. Pasangan itu berkenalan melalui rakan dan telah bercinta selama lebih setahun.

Gambar Newsen

Song Joong-Ki nampaknya tidak menyembunyikan hubungan mereka, kerana secara terbuka mengucapkan terima kasih kepada Katy dan anjing mereka semasa ucapan di Anugerah Bintang APAN pada September lalu apabila memenangi anugerah Daesang untuk drama hit Vincenzo.

Menurut halaman IMDb Katy Louise Saunders berketurunan Inggeris dan Colombia. Semasa kecil, pelakon itu berpindah ke Rom, Itali dan telah membintangi filem seperti The Lizzie McGuire Movie, Los Borgia dan Third Person.

Pilihan Editor:

Hot FM lamar Khairy Jamaluddin jadi penyampai radio

0

Bekas Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin Abu Bakar menjadi tumpuan pelbagai organisasi swasta yang menawarkan jawatan kepada beliau selepas dipecat keahlian oleh Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO.

Terbaharu, bekas Ketua Pemuda dan Timbalan Ketua UMNO Bahagian Rembau itu dilamar oleh sebuah stesen radio swasta, Hot FM.

Twitter

Menerusi surat terbuka Hot FM yang dimuat naik di media sosial, Khairy ditawarkan menjadi penyampai radio bersama Johan, Farah Fauzana serta AG Azmeer dalam segmen Bekpes Hot, HaHaHa-Ngat.

Hot FM memaklumkan, pihaknya ingin menawarkan jawatan kepada bekas Menteri Kesihatan itu sebagai penyampai radio yang akan bertugas pada setiap Isnin hingga Jumaat, pukul 6 hingga 10 pagi.

“Salam Tuan Khairy Jamaluddin, apa kata cuba bidang baru sebagai penyampai di Hot FM bersama Johan, Fafau (Farah Fauzana) dan AG di Bekpes Hot? On ke tak on?,” hantaran Hot FM di ruangan kapsyen Instagram, Facebook dan Twitter.

Stesen radio itu berkata pihak mereka sentiasa mengalu-alukan penyampai baharu dan percaya bahawa gandingan itu akan menjadi “hangat dan terbaik”.

Sebelum ini, pemilik kelab bola sepak Johor Darul Ta’azim (JDT) FC, Tunku Ismail Sultan Ibrahim pantas ‘melamar’ bekas Menteri Belia dan Sukan itu sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) kelab tersebut.

Tunku Ismail Sultan Ibrahim telah memuat naik gambar beliau bersama Khairy di media sosial dengan kapsyen, “Ketua Pegawai Eksekutif JDTFC dan penasihat belia Johor di masa depan.”

@HRHJohorII/Twitter

Khairy kemudian menyiarkan semula gambar itu di Instagram dengan jawapan ringkas, “Satu pintu ditutup, yang lain akan terbuka. Rezeki di tangan Allah.”

Umno memecat keahlian Khairy dengan alasan beliau telah melanggar perlembagaan parti ketika berkempen pada PRU15 lalu.

Khairy yang bertanding di kerusi Sungai Buloh pada PRU15, namun tewas kepada Datuk R. Ramanan dari PKR.

Pilihan Editor:

Bapa terkejut Arowana RM4,000 miliknya bukan hilang tetapi telah digoreng oleh anak 

0

Boleh bayangkan bagaimana perasaan seseorang itu jika ikan peliharaan kesayangannya yang bernilai ribuan ringgit telah dimasak oleh ahli keluarga sendiri. Hendak marah tetapi tidak boleh marah.

Itulah perasaan yang terpaksa dihadapi Nizam Nabahan dari Sumatera Utara, Indonesia apabila mendapat tahu ahli keluarganya telah menggoreng ikan Arowana peliharaannya yang berharga RM4,000 (15 juta rupiah).

Alkisah bermula apabila Nizam menyedari ikan kesayangannya Arowana jenis super red short telah hilang dari akuariumnya.

Sekadar Gambar Hiasan

Pada mulanya, Nizam menyangka ikan itu telah melompat keluar dari akuarium lantas segera mencarinya.

“Saya berada di tingkat atas, sedang melakukan beberapa kerja memasang peralatan di siling. Apabila saya turun ke bawah, saya melihat akuarium itu kosong jadi saya memberitahu isteri saya yang ikan itu telah melarikan diri tetapi saya tidak tahu di mana ia berada,” Kompas.com memetik kata Nizam.

Tidak lama kemudian, dua orang anak Nizam yang masih bersekolah rendah masuk dengan membawa sepinggan ikan.

Gambar Kompas.com

Nizam melihat seekor ikan terbaring tidak bernyawa di atas pinggan plastik yang dipegang oleh anaknya adalah ikan Arowana yang hilang itu. Bapa ini terpegun dan terus terduduk tanpa mengeluarkan kata-kata.

“Saya mahu marah, kemudian saya teringat sesuatu yang berlaku semalam,” kata Nizam.

“Anak-anak sebenarnya makan ikan Arowana yang digoreng semalam dan berkata mereka mahu makan lagi kerana ia memang sedap. Jadi saya fikir, mereka mungkin memutuskan untuk menangkapnya dan memasaknya sendiri hari ini,” jelas Nizam.

Gambar Kompas.com

Nizam kemudian memutuskan untuk memberitahu isteri dan anak-anaknya bahawa harga ikan itu ialah RM1,400 dan bukannya RM4,000 supaya keluarganya tidak berasa bersalah kerana memasak ikan itu.

“Sebenarnya ada dua lagi ekor ikan di situ, tetapi kenapa mereka tidak ambil yang itu?” kata Nizam.

“Mungkin niat mereka baik kerana hanya mahu mengambil yang kecil. Tapi yang kecil itulah yang paling mahal,” kata Nizam sambil ketawa.

Pilihan Editor:

Pemuda ini berbangga dapat beli Kancil, dengan bayar tunai janji bebas hutang

0

Ketika ramai anak muda berbangga menayang kereta baru dengan menanggung beban hutang sampai sembilan tahun, pemuda ini berbangga dapat membeli kereta sendiri secara tunai walaupun ia hanya Perodua Kancil yang berusia 25 tahun.

Muhammad Uwais Al-Qarni Mad Jan, 23 tahun membeli kereta itu secara tunai dengan harga RM5,500 melalui wang simpanannya selama 18 bulan.

Kata Uwais, salah satu sebab mengapa dia membeli kereta Kancil adalah kerana belanja penyelenggaraan kereta ini murah dan jimat petrol, termasuk jika rosak dia masih mampu membaikinya.

TikTok

“Sebelum buat keputusan membeli kereta yang mana, sepuluh tempat juga saya buat tinjauan. Sampai ke Segamat saya pergi tengok kereta-kereta Kancil ni,” kata Uwais.

“Akhirnya saya jumpa satu Kancil dekat Bachang, Melaka dengan gearbox dia masih elok lagi. Saya pun pergi ke rumah pak cik tu untuk urusan jual beli,” jelasnya setelah menemui kereta idaman itu.

Pemuda ini mendedahkan yang dia tidak malu memandu Kancil dan tidak peduli dengan pandangan masyarakat yang memandang rendah dengan pembelian kereta tersebut.

TikTok

Katanya, dia lebih selesa hidup sederhana dan tidak terikat dengan hutang untuk membayar ansuran kereta.

Pemuda yang merupakan anggota badan beruniform dan berasal dari Johor Bahru ini berkata pasangannya menghormati dan memahami keputusannya untuk membeli Kancil yang bukan menjadi pilihan masyarakat hari ini.

“Antara sebab saya beli kereta Kancil pun sebab saya hendak simpan duit untuk kahwin. Kalau saya beli kereta baru nanti terikat dengan ansuran bulanan sampai sembilan tahun pula,” katanya kepada mStar.

TikTok

Pemuda ini berkata dia tidak mengikut mana-mana trend atau kelab kereta Kancil, tetapi memerlukan kereta memandangkan dia berulang alik dengan motosikal ke tempat kerjanya di Melaka dalam keadaan berhujan sebelum ini.

“Saya sudah setahun lebih naik motosikal pergi balik kena hujan. Jadi saya sebenarnya terdesak hendak pakai kereta sekarang ini,” katanya.

Gambar mStar

Sebelum ini, video TikTok yang dimuat naik Uwais yang memaparkan pembelian kereta Kancil tersebut telah menerima perhatian ramai dengan lebih 200,000 tontonan.

Uwais telah berkongsi tips menabung kepada mereka yang menyimpan cita-cita untuk membeli dan memiliki kereta sendiri.

“Konsep yang saya amalkan sampai boleh beli kereta secara tunai adalah 20 peratus daripada gaji adalah simpanan. Mungkin setiap orang ada cara masing-masing dalam menabung tetapi saya sendiri memang menggunakan tips ini selama setahun enam bulan,” katanya.

Pilihan Editor:

Amaran banjir kilat bagi enam negeri

0

Pusat Ramalan dan Amaran Banjir Negara (PRABN) Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), telah mengeluarkan notis kesiapsiagaan kemungkinan banjir kilat dalam tempoh 12 jam bagi enam negeri di seluruh negara. Notis tersebut dikeluarkan pada 27 Januari, jam 5.00 petang.

JPS MALAYSIA

Negeri yang terbabit ialah Perak, Pahang, Terengganu, Kelantan, Sarawak dan Sabah.

JPS MALAYSIA

Kawasan berisiko terjejas di negeri Perak ialah daerah Kerian (Mukim Gunong Semanggol, Mukim Beriah serta kawasan sekitarnya).

Bagi negeri Pahang, daerah yang berisiko ialah Kuantan (Mukim Sungai Karang serta kawasan sekitarnya).

Di Terengganu pula, daerah yang berisiko banjir kilat ialah Kuala Terengganu (Mukim Cenering, Mukim Batuk Buruk, Mukim Kuala Terengganu serta kawasan sekitarnya) dan daerah Marang (Mukim Bukit Payung serta kawasan sekitarnya).

Daerah Kota Bharu, Kelantan (Mukim Padang Raja, Mukim Tiong, Mukim Tok Ku serta kawasan sekitarnya) juga antara kawasan yang berisiko dilanda banjir kilat.

Bagi Sarawak pula, daerah yang diberikan amaran banjir kilat ialah Kuching, Samarahan dan Miri. Manakala di Sabah pula, daerah Tuaran di Pekan Tenghilan, Kampung Berungis serta kawasan sekitarnya diberikan amaran yang sama.

Menurut kenyataan JPS, notis yang dikeluarkan itu adalah berdasarkan makluman ramalan hujan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), sistem Southeastern Asia-Oceania Flash Flood Guidance System (SAOFFGS) dan model ramalan banjir JPS.

Katanya, terdapat risiko banjir kilat di beberapa lokasi di negeri terbabit jika berlaku hujan lebat atau ribut petir yang signifikan.

Anda boleh melihat info terkini mengenai banjir di tempat anda melalui laman sesawang rasmi Public InfoBanjir.

PUBLIC INFOBANJIR

Selain itu, melalui laman web rasmi Jabatan Meteorologi Malaysia, anda boleh mendapatkan maklumat mengenai cuaca semasa, amaran bencana alam dan lain-lain lagi.

MET MALAYSIA

Semua penduduk khususnya di kawasan yang disebutkan hendaklah berwaspada dan bersiap sedia menghadapi apa sahaja kemungkinan.

Pilihan Editor: