Malang tidak berbau apabila seorang pemuda kehilangan barangan berharga miliknya yang baru ditinggalkan di dalam kereta apabila penjenayah disangka licik mencurinya.
Kejadian berlaku pada 27 Januari lalu, apabila Arvin Tharan meletakkan keretanya di SS14, Subang Jaya untuk ke restoran berhampiran.
Apabila kembali ke keretanya kira-kira jam 9:10 malam, Arvin menyedari cermin belakang sebelah kiri telah diceroboh, dan begnya yang mengandungi barangan berharga iaitu Macbook Pro, iPad dan jam pintar di dalamnya telah hilang.
Dalam hantarannya di Facebook, Arvin Tharan berkongsi:
“Saya mengambil sedikit masa untuk menghadam perkara ini. Kemudian bertanya di sekeliling untuk mencari kamera CCTV tetapi tidak ada yang menunjukkan ke arah kereta saya.”
Jadi apa yang Arvin lakukan? Pemuda ini dengan pantas telah mengaktifkan fungsi “Find My Device” pada telefon pintarnya, mengunci kesemua perantinya yang lain dan mula menjejaki pencuri itu.
“Saya dirompak di SS14, dan peranti itu dikesan sedang berada di suatu tempat di Sri Petaling,” tulisnya.
Tanpa membuang masa, Arvin bergegas ke balai polis berhampiran untuk membuat laporan. Pihak polis ketika itu sudah bersedia untuk membantu. Bagaimanapun, mereka meminta Arvin mencari sendiri pencuri itu terlebih dahulu kerana dia mungkin boleh mengesan kelibat anggota polis.
Lokasi yang tepat menemukan penjenayah itu apabila Arvin tiba ke sebuah kopitiam di Sri Petaling, di mana di situ dia berpura-pura mencari makanan untuk dibeli.
“Akhirnya, saya jumpa lelaki itu dengan jam tangan saya. Untuk memastikan ia milik saya, saya menghampiri mereka lebih dekat tetapi berlagak seolah-olah saya membuat pesanan makanan berhampiran tempat mereka duduk,” katanya.
Sebaik sahaja Arvin berjaya memastikan peranti itu adalah miliknya, dia segera keluar dari kopitiam dan memanggil anggota polis. Di sinilah tindakan pantas bermula.
Pencuri itu sedang berbual-bual dengan rakan-rakannya yang kemudian terpinga-pinga tidak mengetahui apa yang sedang berlaku apabila tiba-tiba dia dicekup.
Salah seorang anggota polis terus menggarinya di tempat kejadian dan bertanya sama ada dia mempunyai rakan kongsi jenayah, dan lelaki itu mengaku, “Saya buat satu orang..”
Lelaki itu telah berjaya diberkas PDRM dalam masa sejam.
Menurut Arvin, lelaki itu telah ditahan untuk siasatan lanjut dan dia mungkin berdepan hukuman penjara sehingga 6 bulan jika sabit kesalahan atas pertuduhannya. Berkat tindakan pantas PDRM dan fungsi ‘Find My Device’, Arvin berjaya mendapatkan semula semua barangan berharga miliknya.
“Saya mendapatkan semula Macbook Pro, iPad dan jam pintar saya. Peranti ini boleh dijejaki selagi ia dicas,” katanya dalam hantaran itu.
Arvin turut berkata lelaki itu sedang cuba menjual jam pintar kepada rakan-rakannya dan mereka tidak tahu menahu tentang aktiviti jenayah yang dilakukannya.
Lelaki berkenaan mempunyai 16 rekod jenayah lampau, menurut PDRM.
Tonton video di sini.
Pilihan Editor: