Memang agak mustahil haiwan pemangsa berlainan spesies boleh menjadi kawan. Namun, persahabatan unik antara beruang, singa dan harimau ini sungguh memberi inspirasi. Kesetiaan mereka bersahabat selama 15 tahun itu sungguh mengagumkan. Hingga ke akhir hayat, trio ini tetap bersama. Trio tersebut dikenali sebagai BLT (bear, lion, tiger) yang mana Baloo si beruang hitam Amerika, Leo singa Afrika dan Shere Khan harimau Bengal.
Kisah persahabatan itu bermula apabila ketiga-tiga haiwan berkenaan dihantar ke zoo Noahs Ark pada tahun 2001 oleh Jabatan Sumber Asli Georgia. Dalam serbuan dadah ke atas sebuah rumah di Atlanta, polis menemukan haiwan-haiwan tersebut di ruang bawah tanah rumah itu.
Semua haiwan ketika ditemui masih kecil dan berada dalam keadaan yang menyedihkan serta tahap kesihatan yang buruk. Memandangkan ketiga-tiganya mengalami kecederaan fizikal dan mental yang serius, mereka tidak dilepaskan ke hidupan liar sebaliknya dijaga dengan rapi di zoo. Sejak itu, trio ini hidup seperti saudara sendiri dan tidak pernah berpisah.
Menurut Diane penolong pengarah zoo Noahs Ark, Baloo dan Shere sangat rapat. “Mereka sering bangun awal, manakala Leo pula suka menghabiskan masanya dengan tidur.
“Agak menakjubkan apabila melihat beruang Amerika meletakkan lengannya pada harimau Bengal dan harimau itu bermanja dengan beruang seperti seekor kucing peliharaan.
“Apabila Leo bangun tidur, mereka bertiga akan bermain sepanjang hari sebelum masing-masing mengambil makanan.”
Sungguh aneh sekali melihat tingkah laku tiga haiwan pemangsa bermain dan bersantai bersama-sama. Walhal yang sebenarnya mereka boleh membunuh antara satu sama lain.
“Mereka makan, tidur dan bermain bersama,” kata Jama Hedgecoth, pengasas zoo Noahs Ark.
“Memandangkan mereka merasakan mereka bersaudara, mereka akan berbaring di atas satu sama lain untuk menghangatkan badan dan untuk berkasih sayang.
“Dalam hubungan ini Share Khan agak pendiam namun Baloo, beruang yang sangat pandai memainkan peranan sering membuatkan Shere berasa selesa dan selamat.
Leo 2001 – 2016
Namun pada 11 Ogos 2016, Leo meninggalkan trio BLT buat selama-lamanya. Ketika pembedahan dijalankan, pakar veterinar mendapati lebih 80% hati Leo sudah rosak. Para penjaga memberikan perhatian lebih kepada Baloo dan Shere Khan agar mereka tidak begitu terkesan dengan kehilangan saudara mereka, Leo. Leo dikebumikan di tepi rumah khas kegemaran trio tersebut.
Shere Khan 2001-2018
Semasa dibawa ke zoo Noahs Ark, Shere sangat kurus dan kurang zat makanan. Namun begitu, selepas dirawat Shere kembali sihat dan aktif, berat badannya pun bertambah.
Jika diperhatikan antara trio ini, Shere lah yang paling nakal kerana suka sangat menerkam Leo dan Baloo. Biarpun begitu, Shere dilihat sangat penyayang. Ia suka memanjakan Leo dan Baloo dengan cara menggosokkan kepalanya pada mereka.
Keakraban trio ini memang dicemburui sehinggalah pada musim luruh tahun 2014, Shere didiagnosis menghidap penyakit cakera intervertebral. Umurnya tidak panjang. Pada tahun 2018, Shere pula meninggal dunia dan disemadikan di sebelah Leo. Tinggal lah Baloo bersendirian di sana.
Baloo
Sebelum bertubuh sasa dan berbulu hitam lebat, keadaan Baloo ketika ditemui polis dahulu sangat menyedihkan. Abah-abah yang dipakaikan padanya sudah tertanam dalam badannya. Manakan tidak, semakin beruang Amerika itu membesar abah-abah tersebut langsung tidak dilonggarkan apatah lagi ditanggalkan. Akibatnya, daging yang tumbuh telah menenggelamkan abah-abah tersebut.
Selepas diselamatkan, Baloo menjalani pembedahan bagi mengeluarkan abah-abah berkenaan dan merawat lukanya yang dalam dan telah dijangkiti. Ketika menjalani sesi pembedahan itulah kali pertama Baloo berpisah daripada Leo dan Shere. Menyedari akan ketiadaan Baloo, Leo dan Shere dikatakan serba gelisah. Sebaik sahaja Baloo sembuh, ia kembali ke pangkuan Leo dan Shere. Mereka hidup gembira tanpa sebarang pertelingkahan dan ikatan persahabatan mereka semakin erat.
Walaupun telah kehilangan Leo dan Shere yang disayangi, Baloo tetap hidup dengan gembiranya. Pada Julai 2021, Baloo meraikan ulang tahun kelahirannya yang ke-20 disamping haiwan dan penjaga-penjaga yang lain.
Pilihan Editor: