Ingatkan kucingnya sudah mati, rupanya bukan. Begitulah yang difikirkan oleh Javiera apabila dia menyangka kucing peliharaannya telah mati.
Menerusi satu hantaran di Facebook, ujar Javiera dari bilik air dia melihat kucingnya dengan keadaan mata terbuka tidak bergerak-gerak. Dia cuba memanggil kucingnya itu berkali-kali namun tiada tindak balas.
Menurut Javiera, dia berasa takut ketika menyangka kucingnya telah mati. Namun tiba-tiba kucingnya muncul sambil memerhatikannya.
Ketika itu Javiera hampir menangis. Selepas diperhatikan betul-betul rupanya-rupanya ia adalah butang baju dan bukannya mata kucingnya.
Seorang wanita dikejarkan ke hospital selepas mukanya melecur akibat pembersih sinki tersumbat yang digunakannya meletup. Kejadian malang tersebut berpunca selepas dia menggunakan sejenis produk pembersih sinki tersumbat.
Public Health Malaysia menerusi hantarannya di Facebook mengingatkan orang ramai agar sentiasa berhati-hati semasa mengendalikan produk pembersih sinki tersumbat.
Ini kerana bahan kimia yang terdapat dalam produk tersebut mempunyai sifat menghakis. Selepas ia dituangkan ke sinki, tindak balas kimia akan berlaku dan gas bertoksik akan dibebaskan.
Antara amaran yang ditulis oleh Public Health Malaysia kepada pengguna produk pembersih sinki tersumbat ialah:
Jangan menjenguk muka ke lubang sinki.
Tidak perlu melihat proses tindak balas kimia yang berlaku dalam jarak yang dekat.
Jangan gunakan produk tersebut sekiranya pengguna tinggal di pangsapuri atau kondominium. Ini kerana penghuni di tingkat bawah berisiko untuk mengalami kecederaan.
Pengguna diingatkan agar tidak menggunakan produk pembersih tersebut ketika mengantuk, kelam kabut atau keletihan.
Produk tersebut hendaklah dijauhkan daripada kanak-kanak.
Public Health Malaysia turut mengingatkan bahawa kecederaan kimia boleh menyebabkan risiko melecur dan kecederaan mata.
Pengguna juga diingatkan agar membaca arahan penggunaan produk dengan teliti sebelum menggunakannya.
Baru-baru ini pihak Surau Putra Al-Amin memuat naik di Facebook sepucuk surat yang ditemui dalam tabung surau. Rupa-rupanya surat tersebut merupakan permohonan maaf seorang kanak-kanak kerana kesilapannya termuntah di dalam surau.
Surat yang bertulisan tangan itu telah menarik perhatian kerana kandungannya sungguh menyentuh hati.
Ujar kanak-kanak tersebut, dia tidak sengaja muntah di dalam surau pada 27 Januari lalu kerana dia tidak sihat akibat keracunan makanan.
Katanya lagi, dia mahu membersihkan muntah tersebut namun tidak dapat berbuat demikian kerana keadaan pada ketika itu tidak mengizinkan.
Dalam surat itu juga sejumlah wang dilampirkan dengan niat untuk mengurangkan beban pihak surau yang terpaksa membersihkan muntahnya.
Pihak surau berasa sungguh terharu dengan tindakan kanak-kanak tersebut yang dianggap mulia.
Mereka juga mendoakan kesejahteraan kanak-kanak tersebut dan turut mendoakan agar dia berterusan untuk solat berjemaah di surau. Kata pihak surau itu lagi, mereka amat mengalu-alukan kedatangan kanak-kanak itu.
“Apakah tindak balas anda apabila melihat anak anda memecahkan sesuatu di pasar raya?” Itulah persoalan yang diutarakan oleh Dr Elaine Loo menerusi satu hantaran di Facebook.
Dr Elaine memuat naik beberapa keping gambar yang menunjukkan santan di dalam plastik rosak selepas dipecahkan oleh anak lelakinya.
Menurut Dr Elaine, pada suatu hari ketika berada di pasar raya, anak lelakinya telah memecahkan santan yang dibungkus di dalam plastik. Kejadian tidak sengaja itu adalah berpunca daripada sikap ingin tahu anaknya tentang santan yang dibungkus di dalam plastik tersebut.
Melihatkan kejadian tersebut, Dr Elaine pada awalnya mahu ketawa namun dia tidak berbuat demikian kerana tidak mahu anaknya berfikir bahawa perkara tersebut boleh dipermainkan.
Dr Elaine tidak cepat melatah, dia hanya memberikan ‘jelingan mak-mak’ kepada anaknya. Ternyata tindakan Dr Elaine itu turut diperhatikan oleh pelanggan warga emas yang berada berdekatan dengannya.
Dr Elaine tidak memarahi anaknya kerana menurutnya tidak ada kanak-kanak yang suka dimarahi apatah lagi ketika berada dikhalayak ramai. Suasana sepi antara dua beranak ini memberi ruang kepada si anak untuk berfikir bahawa dia perlu lebih berhati-hati.
Melihatkan anaknya yang diam seribu bahasa itu, Dr Elaine menegurnya. “Nak buat apa ni?” tanya Dr Elaine kepada anaknya.
Menyedari yang dirinya telah melakukan kesilapan, si anak lantas memohon maaf daripada ibunya.
Selepas itu, Dr Elaine dan anaknya mendapatkan pekerja pasar raya bagi membersihkan bekas berisi santan yang telah tumpah tersebut. Mereka juga tidak lupa untuk mengucapkan terima kasih kepada pekerja tersebut dan membayar harga santan yang telah dirosakkan itu.
Sebelum tidur, Dr Elaine memuji anaknya kerana berani bertanggungjawab di atas kesilapan yang telah dilakukan.
Begitulah pengajaran daripada santan yang mahu ditunjukkan oleh Dr Elaine.
Seorang cikgu baru-baru ini membelikan kasut sekolah baharu untuk anak muridnya selepas dia terlihat dua orang anak muridnya memakai kasut sekolah lama yang sudah pun terkoyak.
Pemilik akaun TikTok @tcer.nana itu kemudiannya membawa kasut-kasut baharu berkenaan ke sekolah untuk diberikan kepada anak-anak muridnya.
Menerusi video yang dimuat naiknya di TikTok, kelihatan anak-anak murid @tcer.nana begitu teruja dengan hadiah yang dikira sungguh bernilai itu.
@tcer.nana menyuruh dua orang anak muridnya mencuba kasut baharu tersebut dan bertanyakan sekiranya kasut yang dibelikan itu betul saiznya.
Apa yang menyentuh hati ialah salah seorang anak murid tersebut mengatakan bahawa tidak mengapa jika kasut baharu itu longgar. Daripada suaranya jelas menunjukkan bahawa kanak-kanak itu bersyukur dengan pemberian ikhlas daripada gurunya itu.
@tcer.nana juga bertanyakan kepada salah seorang muridnya mengapa dia tidak memakai kasut baharu. Jawab anak murid tersebut ialah kerana “ibu tak ada duit.”
@tcer.nana juga bertanyakan kepada anak muridnya sama ada kasut baharu tersebut selesa dipakai atau tidak. Anak-anak muridnya begitu teruja mengatakan bahawa mereka selesa memakai kasut baharu tersebut.
Terpancar jelas keterujaan kanak-kanak itu apabila mereka melompat kegirangan selepas mencuba kasut baharu pemberian @tcer.nana.
Tinjauan di ruang komen mendapati rata-rata warga siber mengucapkan terima kasih kepada @tcer.nana kerana telah melakukan satu kebajikan untuk anak-anak muridnya. Kata mereka, agak sukar untuk menemui cikgu yang baik hati seperti @tcer.nana pada masa kini.
Mereka juga berasa tersentuh hati selepas mendengar pengakuan anak-anak murid @tcer.nana tentang kekangan wang untuk memakai kasut baharu.
Semoga tindakan @tcer.nana ini menjadi contoh kepada orang ramai untuk berbuat baik kepada sesiapa pun tambah-tambah lagi jika orang tersebut memang perlu dibantu.
Bintang Shaolin Soccer, Zhao Wei ‘disenyapkan’ daripada carian media China. Lakonannya sebagai Mui yang cukup mengagumkan dalam filem tersebut masih segar dalam ingatan apatah lagi televisyen tempatan seperti TV3, TV9 sering memainkan semula filem tersebut. Namun misteri tentang penyingkirannya daripada carian media China belum juga terungkai.
Menerusi portal berita The Wrap, CNN melaporkan segala perkara yang berkaitan dengan Zhao Wei dihapuskan daripada carian media China. Selain program televisyen dan filem, akaun media sosial malah fan page Zhao Wei turut ‘dihilangkan’.
“Bayangkan salah seorang selebriti terkenal Hollywood dipadamkan daripada internet dalam masa satu malam. Pada dasarnya itulah yang terjadi kepada Zhao Wei, salah seorang pelakon terhebat China,” kata wartawan kanan antarabangsa CNN Ivan Watson.
Menurut CNN lagi, kerajaan China telah mengambil tindakan drastik terhadap hiburan dan penggunaan internet dalam beberapa minggu tersebut. Ini termasuklah arahan baharu yang dikeluarkan di mana penggunaan permainan dan hiburan dalam talian bagi kanak-kanak dihadkan.
Para peminat cuba menjejaki Zhao Wei di internet menerusi pelbagai platform carian seperti Tencent Video dan iQiyi namun tidak berhasil. Malah lebih memeranjatkan lagi ialah nama Zhao Wei dipadam daripada senarai pelakon bagi beberapa drama dan filem yang pernah dibintanginya.
Menurut media berita Jimu News, beberapa platform video mengesahkan mereka diminta untuk menyingkirkan karya-karya Zhao Wei dengan kadar segera. Walaupun tanpa alasan yang jelas, mereka terpaksa akur dengan arahan yang diberikan kepada mereka itu.
Susulan daripada kejadian itu, ramai warga siber yang membincangkan tentang kemungkinan Zhao Wei disingkirkan daripada carian media tempatan.
Dilaporkan seawal tahun 2001, bintang shaolin soccer itu menerima banyak kritikan kerana memakai pakaian yang memaparkan bendera tentera Jepun secara terbuka.
Selain dikenali sebagai pelakon, Zhao Wei juga merupakan pelabur bilionair yang terlibat dengan tindakan undang-undang. Sejumlah 67 orang pelabur menuntut pampasan kira-kira 50 juta Yuan daripadanya di atas isu ‘pengambilalihan yang mengelirukan’ pada tahun 2016. Kesan daripada itu, Zhao Wei dan suaminya diharamkan daripada memasuki pasaran sekuruti China selama lima tahun.
Menurut statistik oleh qcc.com sebuah pangkalan data korporat China, Zhao Wei mempunyai 14 buah syarikat. Dua daripada 14 syarikat tersebut telah dibatalkan pendaftarannya manakala empat buah syarikat lain telah dibatalkan lesennya. Selain itu, Zhao Wei juga berhadapan dengan risiko pembekuan saham syarikat.
Guru Li Hongzhi, pengasas Falun Gong, memberi kebenaran untuk Epoch Times menerbitkan “Mengapa Wujudnya Manusia“. Artikel ini membangkitkan pengaruh yang menggalakkan dalam masyarakat. Natalia Khaw, seorang pereka seni bina dari San Francisco, mengkaji secara teliti artikel itu dan berpendapat, “Apa yang dikatakan oleh Guru Li Hongzhi adalah kebenaran. Pada akhir artikel itu, Guru Li menasihati dunia bahawa Tuhan sedang menyelamatkan manusia tanpa berhenti.”
Natalia Khaw, seorang pereka seni bina yang berasal dari Hong Kong beragama Katolik. Beliau memiliki studio reka bentuk seni bina sendiri di San Francisco, Amerika Syarikat.
Natalia Khaw (Gambar oleh Natalia Khaw)
Apa yang dikatakan oleh Guru Dafa adalah benar
Khaw berkata, “Walaupun saya tidak dapat melihat syurga dan neraka, saya percaya akan kewujudan syurga dan neraka di dunia. Saya tidak dapat melihat banyak perkara yang Guru Dafa (Mahaguru Li Hongzhi) katakan, tetapi hati nurani saya memberitahu bahawa Guru Dafa menyatakan kebenaran.”
“Saya melihat Falun Gong. Saya tidak fikir ia agama. Saya fikir ia adalah kebenaran. Bukan saya memilih Katolik atau Falun Gong, tetapi kebenaran itu sendiri adalah satu kebenaran, dan ia bukan terpulang kepada sesetengah orang untuk memilih. Ini kerana Tuhan memberi setiap individu dengan kehendak dalam kebebasan, anda boleh memilih kepercayaan kepada Tuhan, atau meninggalkan kepercayaan itu; dan anda boleh memilih untuk percaya kepada kebenaran, atau meninggalkan kebenaran itu.”
“Saya telah memutuskan untuk melangkah di atas jalan kebenaran. Pendek kata, kepercayaan kita adalah sama, dan kita berjalan menurut petunjuk Tuhan.”
“Guru Dafa mengajar setiap orang untuk mengekalkan hati nurani dalam setiap penderitaan”
Khaw berkata bukan mudah untuk menjadi seorang yang benar-benar baik. “Dalam persekitaran yang baik, mungkin tidak begitu sukar untuk menjadi seorang yang baik. Dalam persekitaran yang sangat buruk, anda masih boleh menjadi seorang yang baik, ia sebenarnya amat sukar.”
“Ia seperti saya boleh bercakap dengan bebas di Amerika Syarikat sekarang. Jika saya berada di Hong Kong atau di tanah besar China, saya tidak tahu sama ada saya berani untuk menyuarakan pandangan saya ini. Saya perlu pergi ke tempat itu dan pada masa itu, saya akan tahu siapa saya dan bagaimana saya akan bertindak. Jadi, saya tidak boleh mengatakan saya ini seorang yang baik, saya perlu berhadapan pada ketika masa itu untuk mengetahuinya.”
“Mengapa ada orang mampu menghadapi kematian dan masih memilih Tuhan? Hanya selepas menghadapi ujian sebegini barulah mereka tahu betapa setianya mereka terhadap kepercayaan kepada Tuhan. Oleh itu, saya rasa ia amat sukar.”
Guru Li Hongzhi mengajar orang lain untuk mengekalkan kebaikan walaupun di tengah penderitaan. Khaw berkata, “Perkara yang diajar oleh Guru Dafa ini sangat penting, terutamanya apabila anda berada dalam persekitaran yang sangat sukar, anda tetap memilih keadilan dan kekal baik; apabila anda tidak mempunyai apa-apa, anda masih boleh bersyukur, perkara ini amat penting.”
“Guru Dafa memberikan nasihat terakhir kepada dunia”
“Masyarakat moden penuh dengan huru-hara, dan dunia semakin merosot, dengan akhlak manusia semakin merudum. Kemanusiaan telah mencapai tahap yang paling berbahaya.” Khaw percaya bahawa “Guru Dafa sedang memberi nasihat terakhir kepada dunia.”
Khaw bersetuju dengan kekacauan sosial yang Guru Dafa katakan. Beliau juga percaya bahawa manusia moden sudah sangat teruk, dan rasa kemanusiaan telah mencapai keadaan yang sangat berbahaya.
“Saya sangat bersetuju manusia zaman kini adalah paling teruk, sangat teruk, sangat teruk, lebih teruk daripada semua manusia yang dimusnahkan dalam Injil. Orang jahat yang dikatakan dalam Injil sangat jahat, tetapi manusia hari ini mempunyai lebih banyak perkara buruk dan lebih teruk lagi. Sama seperti pengguguran, mereka bukan sahaja menggugurkan kandungan, bahkan mengatakan Tuhan mengizinkan anda melakukannya, dan itu terlalu menghina Tuhan. Dalam keseluruhan sejarah manusia, tidak pernah melihat masa yang seburuk ini dan manusia sejahat ini.”
Tetapi, selepas membaca artikel Guru Li Hongzhi, Khaw berkata Tuhan itu maha penyayang, walaupun “manusia moden sudah sangat buruk dan patut dihapuskan. Tuhan sentiasa memberi peluang, berkali-kali, malah mengurniakan banyak kebaikan. Orang baik sedang menyelamatkan orang jahat. Bukan kita orang baik yang mengasihani, tetapi Tuhan yang mengasihani, dan Tuhan melantik orang baik ini untuk menyelamatkan orang jahat itu.”
Natalia Khaw sangat gembira. Beliau mendapati semakin ramai orang yang menerima kesedaran sekarang. “Ramai orang yang mulai sedar. Dulu saya seperti bermimpi. Saya tidak tahu apa yang berlaku di dunia. Saya baru mula bangun selepas pandemik COVID-19.”
“Namun, saya melihat ramai yang sedar dan tahu apa yang berlaku. Semakin ramai yang sedar. Ayah saya tidak percaya kepada Tuhan sepanjang hidupnya. Tahun lalu dia berumur 70 tahun dan tiba-tiba percaya kepada Tuhan. Saya rasa Tuhan sentiasa menyelamatkan manusia. Saya juga akan terus membangkitkan kesedaran orang ramai dan berdoa untuk mereka.”
Amerika Syarikat dilaporkan telah menembak jatuh belon pengintip Parti Komunis China (PKC) yang terbang menuju ke Lautan Atlantik. Rakaman televisyen menunjukkan belon itu mengempis sebelum jatuh ke dalam air sekitar jam 2.40 petang, pada 6 Februari lalu. Menerusi satu video, kelihatan jet tentera Amerika Syarikat terbang di sekitar manakala kapal-kapal dikerah untuk menjalankan operasi pemulihan.
Tembakan dilepaskan selepas Presiden Joe Biden akhirnya buka mulut pada hari Sabtu lalu mengenai belon pengintip tersebut. Katanya kepada wartawan, “kami akan menguruskannya.”
Dalam satu kenyataan lain, Setiausaha Pertahanan Lloyd Austin berkata, Biden telah memberi kebenaran pada hari Rabu untuk ‘menurunkan belon pengintip tersebut tanpa merisikokan nyawa sesiapa pun sepanjang laluan belon berkenaan’.
Katanya lagi, belon tersebut digunakan oleh Beijing sebagai ‘percubaan untuk mengawasi tapak strategik di benua Amerika Syarikat’.
Selepas melakukan ‘penelitian terperinci’, Austin berkata mereka menolak kemungkinan untuk ‘menjatuhkan’ belon di atas darat ‘disebabkan saiz dan ketinggian belon serta muatannya’, yang boleh merisikokan orang ramai di kawasan yang luas.
Pegawai Amerika Syarikat sebelum ini menganggarkan saiznya kira-kira tiga buah bas sekolah, terbang pada ketinggian 60 ribu kaki.
Menurut VanHerck, komander North American Aerospace Defense Command (NORAD) dan U.S. Northern Command, belon itu dianggarkan setinggi 200 kaki dan beratnya beberapa ribu paun. Katanya lagi, walaupun tiada bukti belon itu tetap berpotensi membawa bahan letupan kerana dilihat terdapat peranti kira-kira bersaiz jet kecil tergantung di bahagian bawah belon tersebut.
Tugasan menembak jatuh belon berkenaan telah diamanahkan kepada pesawat pejuang Amerika Syarikat yang mana ia dalam penyelarasan kerajaan Kanada.
Selepas mendengar taklimat mengenai belon pengintip PKC itu, Biden mengarahkan Pentagon untuk menembak jatuh ‘secepat mungkin’, namun Pentagon menasihatkan agar tembakan dilakukan pada masa dan tempat yang sesuai. “Masa terbaik untuk melakukannya ialah di atas air dalam jarak had 12 batu.”
“Saya beritahu mereka untuk menembaknya pada hari Rabu,” kata Biden.
“Mereka katakan kepada saya, tunggu sehingga tiba tempat yang selamat untuk menembaknya.”
Akhirnya Biden akur dengan nasihat tersebut apatah lagi setelah para pegawai Pentagon termasuk Austin, Jeneral Tentera Mark Millye, dan komander Komondo Utara Amerika Syarikat Gen.Glen Vanherck berkeras membantah arahan Biden dan mengatakan sebarang kesilapan berpotensi membahayakan nyawa orang awam.
Belon pengintip PKC yang disifatkan oleh Amerika Syarikat sebagai ‘belon pengawasan altitud tinggi’ telah menarik perhatian sejak kemunculannya di atas lapangan terbang di Montana. Lapangan tersebut merupakan salah satu daripada tiga negeri Amerika Syarikat yang menempatkan pangkalan peluru berpandu.
Jurucakap Pentagon Brig. Gen. Pat Ryder mengesahkan kemunculan belon kedua China yang terbang melintasi Amerika Latin. Belon tersebut melewati Asheville, North Carolina dan kemudian menghala ke Charlotte pada pagi Sabtu.
Pencerobohan belon itu telah mencetuskan penggera di Washington, di mana ahli-ahli Kongres mempersoalkan keberadaan belon tersebut di ruang udara mereka.
Kehadiran belon pengintip tanpa diundang itu juga telah memaksa Setiausaha Negara Antony Blinken untuk menangguhkan perjalanannya ke Beijing pada hari Jumaat.
Pada lewat Jumaat, jurucakap Senator Chuck Schumer (D-N.Y.) berkata, pentadbiran Biden akan mengadakan taklimat sulit bersama pihak-pihak tertentu untuk membincangkan mengenai kemunculan belon pengintip PKC itu.
Tindakan penuh berhati-hati itu menunjukkan Biden dan pasukan keselamatan negara sentiasa mengutamakan keselamatan rakyat Amerika dan pada masa yang sama, mereka bertindak balas secara berkesan terhadap pencabulan kedaulatan negara yang tidak boleh diterima oleh Parti Komunis China.
Susulan kejadian menembak jatuh belon tersebut, PKC mengesahkan belon itu berasal dari China. Namun mereka mendakwa bahawa ia adalah ‘kapal udara awam’ yang bertujuan untuk memantau corak cuaca. Pegawai Amerika Syarikat walau bagaimanapun mengatakan bahawa belon tersebut sejenis bentuk pengintipan tentera China.
Tidak menghairankan apabila tikus biasa mencuri makanan, tetapi kita jarang mendengar tikus pandai mencuri kalung berlian. Nampaknya tikus hari ini bukan sahaja licik, bahkan sudah pandai memilih barangan mewah untuk dicuri.
Tular di platform media sosial baru-baru ini apabila seekor tikus telah mencuri seutas kalung berlian dari sebuah kedai barang kemas di India dan ramai yang tidak percaya ianya angkara seekor tikus.
Pegawai Jabatan Polis India Rajesh Hingankar IPS baru-baru ini memuat naik rakaman CCTV dari kedai barang kemas itu di Twitter yang mendedahkan aksi rompakan licik seekor tikus.
Kelihatan seekor tikus menyelinap keluar dari celah atas rak paparan di kedai barang kemas itu, menjulurkan dua pertiga dari tubuhnya, seolah telah lama tahu tentang kalung berlian itu dan mula mengatur rancangan rompakannya bagai pro.
Tikus itu melompat terus dari celah dinding ke tempat meletak kalung berlian itu dan melihatnya selama beberapa saat. Kemudian dia berjaya meleraikan kunci kalung dan bergegas pergi dengannya apabila melompat kembali ke celah dinding.
Keseluruhan proses ‘rompakan barang kemas’ hanya berlaku dalam masa 30 saat, adegan yang tidak masuk akal dan melucukan. Hingankar dengan kapsyennya yang lucu, “Untuk siapa gerangannya tikus ini akan memberikan kalung berlian..”
Gurauan remaja nakal yang secara sengaja tidak menjaga kebersihan di restoran sushi terkenal di Jepun telah mencetuskan kemerosotan harga saham syarikat, baik pulih premis makanan, perubahan dasar dan tindakan undang-undang, bersama ulasan netizen di media sosial yang rata-rata terlalu marah.
Susulan video prank remaja itu, beberapa video yang digelar “keganasan sushi” telah muncul di media sosial, termasuk di Twitter dan TikTok.
Sejak beberapa hari kebelakangan, walaupun ia video lama yang berusia beberapa minggu, bahkan bertahun-tahun turut muncul yang menunjukkan tingkah laku pelanggan tidak bertanggungjawab seperti yang dilakukan remaja itu.
Video prank menjijikkan yang ditonton lebih 41 juta kali di Twitter memaparkan seorang pelanggan remaja yang menjilat bahagian atas botol kicap dan tepi cawan teh yang dia letakkan semula di atas rak, sebelum menjilat jarinya dan menyentuh sepinggan sushi yang sedang berputar di tali sawat penyampai dan berjalan melepasi meja para pelanggan.
Insiden itu yang dirakam di cawangan restoran terkenal sushi Sushiro di bandar Gifu, tengah Jepun telah mengakibatkan harga saham syarikat induk restoran berkenaan menjunam hampir lima peratus pada 31 Januari.
Terdapat kira-kira 650 restoran Sushiro di seluruh Jepun. Susulan video ‘prank’ remaja yang tidak bertanggungjawab dan persepsi negatif awam, harga saham Sushiro telah jatuh kira-kira ¥16.8 bilion (RM551 juta).
Restoran Sushiro (Gambar Mothership)
Selepas ia menjadi tular, beberapa video lain muncul yang memaparkan pelanggan di rangkaian berbeza meletakkan wasabi pada kepingan sushi atau menjilat sudu dalam bekas serbuk teh hijau.
Walaupun insiden itu nampaknya hanya terhad kepada beberapa video, ia telah mencetuskan kekecohan di Jepun yang terkenal dengan standard kebersihan yang tinggi.
“Ini memualkan,” tulis seorang pengguna Twitter Jepun, dengan seorang lagi menambah, “Saya tidak akan pergi ke restoran sushi tali sawat penyampai lagi.”
Dalam satu kenyataan, Sushiro berkata remaja yang menjadi pelaku dalam video tular itu telah membuat permohonan maaf, bersama ibu bapanya, tetapi syarikat itu telah memfailkan laporan polis secara rasmi.
“Sebagai sebuah syarikat, kami akan terus bertindak balas secara tegas dalam kedua-dua kes jenayah dan sivil,” kata jurucakapnya.
Syarikat itu berkata semua botol kicap di kedai yang terjejas telah diganti dan semua cawan telah dibersihkan, dan akan mengumumkan dasar restoran yang baharu.
Di cawangan Gifu dan lain-lain yang berdekatan, pelanggan kini akan membawa sendiri perkakas dan perasa ke meja mereka dari tempat hidangan, dan di seluruh negara, pengunjung boleh meminta pinggan mangkuk yang telah dinyahkuman.
Dua lagi rantaian restoran yang terjejas, Hama-sushi dan Kura Sushi, juga berkata mereka merancang untuk mengambil tindakan undang-undang, dengan merancang untuk memasang kamera di atas tali sawat penghantar untuk memantau pelanggan, lapor media tempatan Jiji.
Di Tokyo, pemuzik Luna Watanabe yang terkejut berkata, “Omotenashi (keramahan) adalah titik penting dalam jualan di Jepun, jadi saya rasa ia tidak boleh dimaafkan.”
“Tidak menjadi masalah. Sebaliknya, sekarang akan semakin sedikit orang yang beratur, jadi saya tidak perlu membuat tempahan lagi untuk pergi makan, walaupun pada hujung minggu,” komen menyindir seorang yang lain.
Terdapat juga gelombang sokongan untuk syarikat yang terjejas, dengan beberapa ciapan di bawah hashtag #SaveSushiro.
“Saya dari dulu teringin ke Sushiro, tapi tidak berpeluang kerana selalu sesak,” tulis penyanyi Jepun Yuya Tegoshi.
“Tetapi keadaan sekarang adalah yang paling teruk buat mereka, jadi saya pasti akan berkunjung ke restoran mereka,” tambahnya.
Presiden Sushiro, Kohei Nii membalas sokongan itu dengan rasa terharu dan bersyukur.
Sora News 24 melaporkan Sushiro meletakkan notis di laman webnya pada 3 Februari dengan mengumumkan tiga perubahan besar di semua cawangan di Jepun.
1. Tiada lagi sushi menaiki tali sawat penyampai
Pinggan sushi akan berhenti bergerak menggunakan tali sawat penyampai yang mengelilingi restoran, tetapi pelanggan masih boleh memesan apa yang mereka inginkan dari panel skrin sesentuh dan sushi akan dihantar dengan tali sawat penyampai ekspres.
Langkah ini juga akan membantu mengurangkan sisa makanan kerana sushi yang tidak dimakan biasanya terus dibuang.
Gambar AFP/Jiji
2. Permintaan untuk perkakas dan perasa dengan garis panduan baru
Sushiro akan membenarkan pelanggan meminta perkakas dan perasa baharu walaupun amalan meletak botol kicap dan perkakas di atas meja untuk pelanggan layan diri masih kekal.
3. Memasang ‘partition akrilik’
Sushiro juga berkata akan memasang ‘partition akrilik’ jernih di antara meja dan penghantar bagi mengelakkan makanan dalam perjalanan tersentuh secara tidak sengaja atau disengajakan di semua restoran.
Akibat tindakan kurang cerdik segelintir pelanggan, sebuah syarikat menanggung kerugian dan terpaksa membuat kerja besar dalam mengumumkan dasar baru.