Amerika Syarikat dilaporkan telah menembak jatuh belon pengintip Parti Komunis China (PKC) yang terbang menuju ke Lautan Atlantik. Rakaman televisyen menunjukkan belon itu mengempis sebelum jatuh ke dalam air sekitar jam 2.40 petang, pada 6 Februari lalu. Menerusi satu video, kelihatan jet tentera Amerika Syarikat terbang di sekitar manakala kapal-kapal dikerah untuk menjalankan operasi pemulihan.
Tembakan dilepaskan selepas Presiden Joe Biden akhirnya buka mulut pada hari Sabtu lalu mengenai belon pengintip tersebut. Katanya kepada wartawan, “kami akan menguruskannya.”
Dalam satu kenyataan lain, Setiausaha Pertahanan Lloyd Austin berkata, Biden telah memberi kebenaran pada hari Rabu untuk ‘menurunkan belon pengintip tersebut tanpa merisikokan nyawa sesiapa pun sepanjang laluan belon berkenaan’.
Katanya lagi, belon tersebut digunakan oleh Beijing sebagai ‘percubaan untuk mengawasi tapak strategik di benua Amerika Syarikat’.
Selepas melakukan ‘penelitian terperinci’, Austin berkata mereka menolak kemungkinan untuk ‘menjatuhkan’ belon di atas darat ‘disebabkan saiz dan ketinggian belon serta muatannya’, yang boleh merisikokan orang ramai di kawasan yang luas.
Pegawai Amerika Syarikat sebelum ini menganggarkan saiznya kira-kira tiga buah bas sekolah, terbang pada ketinggian 60 ribu kaki.
Menurut VanHerck, komander North American Aerospace Defense Command (NORAD) dan U.S. Northern Command, belon itu dianggarkan setinggi 200 kaki dan beratnya beberapa ribu paun. Katanya lagi, walaupun tiada bukti belon itu tetap berpotensi membawa bahan letupan kerana dilihat terdapat peranti kira-kira bersaiz jet kecil tergantung di bahagian bawah belon tersebut.
Tugasan menembak jatuh belon berkenaan telah diamanahkan kepada pesawat pejuang Amerika Syarikat yang mana ia dalam penyelarasan kerajaan Kanada.
Selepas mendengar taklimat mengenai belon pengintip PKC itu, Biden mengarahkan Pentagon untuk menembak jatuh ‘secepat mungkin’, namun Pentagon menasihatkan agar tembakan dilakukan pada masa dan tempat yang sesuai. “Masa terbaik untuk melakukannya ialah di atas air dalam jarak had 12 batu.”
“Saya beritahu mereka untuk menembaknya pada hari Rabu,” kata Biden.
“Mereka katakan kepada saya, tunggu sehingga tiba tempat yang selamat untuk menembaknya.”
Akhirnya Biden akur dengan nasihat tersebut apatah lagi setelah para pegawai Pentagon termasuk Austin, Jeneral Tentera Mark Millye, dan komander Komondo Utara Amerika Syarikat Gen.Glen Vanherck berkeras membantah arahan Biden dan mengatakan sebarang kesilapan berpotensi membahayakan nyawa orang awam.
Belon pengintip PKC yang disifatkan oleh Amerika Syarikat sebagai ‘belon pengawasan altitud tinggi’ telah menarik perhatian sejak kemunculannya di atas lapangan terbang di Montana. Lapangan tersebut merupakan salah satu daripada tiga negeri Amerika Syarikat yang menempatkan pangkalan peluru berpandu.
Jurucakap Pentagon Brig. Gen. Pat Ryder mengesahkan kemunculan belon kedua China yang terbang melintasi Amerika Latin. Belon tersebut melewati Asheville, North Carolina dan kemudian menghala ke Charlotte pada pagi Sabtu.
Pencerobohan belon itu telah mencetuskan penggera di Washington, di mana ahli-ahli Kongres mempersoalkan keberadaan belon tersebut di ruang udara mereka.
Kehadiran belon pengintip tanpa diundang itu juga telah memaksa Setiausaha Negara Antony Blinken untuk menangguhkan perjalanannya ke Beijing pada hari Jumaat.
Pada lewat Jumaat, jurucakap Senator Chuck Schumer (D-N.Y.) berkata, pentadbiran Biden akan mengadakan taklimat sulit bersama pihak-pihak tertentu untuk membincangkan mengenai kemunculan belon pengintip PKC itu.
Tindakan penuh berhati-hati itu menunjukkan Biden dan pasukan keselamatan negara sentiasa mengutamakan keselamatan rakyat Amerika dan pada masa yang sama, mereka bertindak balas secara berkesan terhadap pencabulan kedaulatan negara yang tidak boleh diterima oleh Parti Komunis China.
Susulan kejadian menembak jatuh belon tersebut, PKC mengesahkan belon itu berasal dari China. Namun mereka mendakwa bahawa ia adalah ‘kapal udara awam’ yang bertujuan untuk memantau corak cuaca. Pegawai Amerika Syarikat walau bagaimanapun mengatakan bahawa belon tersebut sejenis bentuk pengintipan tentera China.
Pilihan Editor: