Seorang wanita dikejarkan ke hospital selepas mukanya melecur akibat pembersih sinki tersumbat yang digunakannya meletup. Kejadian malang tersebut berpunca selepas dia menggunakan sejenis produk pembersih sinki tersumbat.

Public Health Malaysia menerusi hantarannya di Facebook mengingatkan orang ramai agar sentiasa berhati-hati semasa mengendalikan produk pembersih sinki tersumbat.
Ini kerana bahan kimia yang terdapat dalam produk tersebut mempunyai sifat menghakis. Selepas ia dituangkan ke sinki, tindak balas kimia akan berlaku dan gas bertoksik akan dibebaskan.
Antara amaran yang ditulis oleh Public Health Malaysia kepada pengguna produk pembersih sinki tersumbat ialah:
- Jangan menjenguk muka ke lubang sinki.
- Tidak perlu melihat proses tindak balas kimia yang berlaku dalam jarak yang dekat.
- Jangan gunakan produk tersebut sekiranya pengguna tinggal di pangsapuri atau kondominium. Ini kerana penghuni di tingkat bawah berisiko untuk mengalami kecederaan.
- Pengguna diingatkan agar tidak menggunakan produk pembersih tersebut ketika mengantuk, kelam kabut atau keletihan.
- Produk tersebut hendaklah dijauhkan daripada kanak-kanak.

Public Health Malaysia turut mengingatkan bahawa kecederaan kimia boleh menyebabkan risiko melecur dan kecederaan mata.
Pengguna juga diingatkan agar membaca arahan penggunaan produk dengan teliti sebelum menggunakannya.
Pilihan Editor: