Tunku Mahkota Johor (TMJ) Tunku Ismail Sultan Ibrahim dan keluarganya baru-baru ini terselamat daripada ‘tetamu tidak diundang’ ketika sedang beriadah di pantai.
Menerusi perkongsian di Twitter dan Instagram, Tunku Ismail berkongsi pengalaman yang dilaluinya ketika sedang beriadah di hadapan kediamannya.
Katanya, sejam selepas mandi manda di pantai bersama keluarga, kelihatan seekor buaya berenang di lokasi sama Tunku Ismail mandi sebelum itu.

“Nak ‘share’ cerita sikit. Saya pergi ‘swimming’ depan rumah…
“1 jam kemudian ada sahabat (buaya) lalu,” tulisnya sambil berkongsi video dan gambar buaya itu.
Malah, Tunku Ismail turut berkongsi selepas beberapa hari ‘terserempak’ dengan buaya, datang pula haiwan lain seperti memerang dan burung di kawasan rumah.
“Beberapa hari lepas buaya. Hari ini memerang pula datang melawat. Petang tadi burung masuk rumah.
“Macam-macam haiwan datang melawat saya,” katanya sambil meletakkan emoji termenung memikirkan sebab kehadiran tetamu tidak diundang itu.
Dalam ciapan itu, Tunku Ismail turut berkongsi gambar bersama Tunku Khalsom Aminah Sofiah, Tunku Iskandar Abdul Jalil Abu Bakar Ibrahim dan Tunku Abu Bakar Ibrahim di laut, selain satu video berdurasi 26 saat memaparkan buaya berkenaan yang sedang berenang di laut.

Difahamkan, lokasi kejadian adalah di hadapan Istana Flinstone di Mersing.
Sementara itu, Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Pembohong dan Taman Negara (Perhilitan) Johor, Aminuddin Jamin, berkata pihaknya akan menyiasat lebih lanjut berhubung penemuan yang dimaksudkan.
“Buaya biasanya akan bergerak dari suatu muara sungai dan masuk ke muara sungai lain melalui pesisir pantai.
“Kami akan siasat lebih lanjut berkaitan penemuan berkenaan,” katanya kepada Harian Metro.
Pilihan Editor: