KLUANG – Seorang lelaki warga emas meninggal dunia pada 8 April lalu setelah dua minggu bertarung nyawa di Unit Rawatan Rapi dekat Hospital Enche’ Besar Hajjah Kalsom selepas dilaporkan tanpa diketahui telah memakan ikan buntal. Mendiang Ng Chuan Sing, 84 tahun, telah membeli, memasak dan memakan ikan terbabit bersama dengan isterinya, mendiang Lim Siew Guan, 83 tahun, yang telah meninggal pada hari yang sama tragedi itu berlaku.
Menurut laporan, pasangan ini telah memakan ikan beracun itu pada 25 Mac lalu sebelum keduanya mengalami kesukaran bernafas dan dikejarkan ke hospital.
Menurut anak perempuan warga emas ini, Ng Ai Lee, 51 tahun, ikan buntal tersebut telah dibeli dengan harga RM18 sekilo daripada seorang penjual ikan bergerak yang datang singgah di rumah jagaan orang-orang tua. Disamping itu, Ng turut mendakwa bahawa kedua ibu bapanya tidak pernah membeli dan memakan ikan buntal sebelum ini dan mereka tidak mengetahui bahawa ikan tersebut merupakan ikan beracun.
“Ini merupakan kali pertama ibu bapa saya memakan ikan buntal. Mereka tidak akan sesuka hati membelinya kerana mereka adalah orang yang berhati-hati dan mementingkan kesihatan.
“Peniaga ikan itu berkata bahawa selama ini dia telah menjual ikan buntal namun pelanggannya tidak apa-apa. Peniaga itu juga mengatakan bahawa keracunan itu mungkin disebabkan oleh makanan lain atau kesihatan ibu bapa saya,” ulas Ng lanjut.
Sehubungan itu, Ng menggesa pihak berkuasa untuk mengambil tindakan tegas terhadap peniaga dan pembekal ikan beracun agar perkara sebegini tidak berulang kembali.
“Kami amat mengharapkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) menguatkuasakan akta sedia ada di mana Seksyen 13a Akta Makanan daripada KKM serta P.U. 104 LKIM secara jelas melarang penjualan atau penyediaan bahan makanan yang tidak sesuai dimakan oleh manusia,” katanya.
Sejak tahun 1985, direkodkan 58 kes keracunan ikan buntal telah berlaku di Malaysia dan 18 kes daripadanya telah menyebabkan kematian.
Pilihan Editor: