PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan membebaskan kerani Sam Ke Ting daripada tuduhan memandu secara melulu atau berbahaya sehingga menyebabkan kematian lapan remaja dalam kes “basikal lajak” di Johor Bahru pada 18 Februari 2017.
Panel tiga hakim diketuai Hakim Datuk Hadhariah Syed Ismail yang bersidang bersama Datuk Hashim Hamzah dan Datuk Azman Abdullah membuat keputusan itu secara sebulat suara.
Ia sekali gus mengetepikan sabitan dan hukuman penjara enam tahun dan denda RM6,000 terhadap pertuduhan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 yang dijatuhkan oleh Mahkamah Tinggi pada 13 April tahun lalu.
Mahkamah Rayuan memutuskan pertuduhan terhadap Sam Ke Ting adalah cacat.
Hakim berkata rayuan itu perlu dibenarkan dan tiada isu berbangkit mengenai prima facie.
Hakim Hadhariah berkata Hakim Mahkamah Tinggi hanya memfokus kepada pemandu sahaja.
“Saya hendak menyebut bahawa sudah meneliti alasan penghakiman majistret yang membebaskan Ke Ting sebelum Mahkamah Tinggi ketepikan keputusan itu. Saya mendapati alasan penghakiman itu adalah komprehensif.
“Saya setuju itu adalah hujahan lisan sebab beliau (majistret) menilai keterangan pendakwaan daripada semua sudut, sedangkan Hakim Mahkamah Tinggi dalam alasan penghakiman hanya fokus kepada pemandu kereta saja. Hakim macam tidak mempertimbangkan langsung mengenai basikal lajak.
“Kena adil, sebab itu majistret membuat penilaian maksimum. Keputusan majistret adalah betul kerana mengatakan kemalangan itu memang mustahil dielakkan sebab situasi merbahaya diwujudkan oleh penunggang basikal lajak,”
Berdasarkan pertuduhan, Sam Ke Ting didakwa melakukan kesalahan di Jalan Lingkaran Dalam, Johor Bahru, pada jam 3.20 pagi 18 Februari 2017.
Remaja yang maut ialah Mohamad Azrie Danish Zulkefli, 14; Muhamad Shahrul Izzwan Azzuraimie, 14; Muhammad Firdauz Danish Mohd Azhar, 16; Fauzan Halmijan, 13; Mohamad Azhar Amir, 16; Muhammad Harith Iskandar Abdullah, 14; Muhammad Shahrul Nizam Marudin, 14 dan Haizad Kasrin, 16.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan denda, selain lesen memandu digantung jika sabit kesalahan.
Pada 13 April tahun lalu, Mahkamah Tinggi Johor Bahru memerintahkan kerani itu dikenakan hukuman berkenaan atas kesalahan dilakukannya pada 2017.
Hakim, Datuk Abu Bakar Katar, turut memerintahkan responden, Ke Ting, 28, menjalani hukuman penjara enam bulan lagi jika gagal membayar denda, selain hilang kelayakan memandu selama tiga tahun berkuat kuasa selepas selesai menjalani hukuman penjara.
Ia sekali gus mengetepikan keputusan Mahkamah Majistret pada 10 Oktober tahun sama, yang mengekalkan keputusan untuk melepas dan membebaskan Ke Ting daripada pertuduhan berkenaan.
Penghakiman majistret betul, mustahil kemalangan dapat dielakkan.
Hadhariah berkata berdasarkan penghakiman majistret, mustahil kemalangan itu dapat dielakkan dan satu cara untuk tragedi itu tidak berlaku adalah kereta terbang melalui penunggang basikal lajak.
Katanya, kenyataan itu nampak kelakar tetapi ia adalah tepat.
“Tiada cara hendak elakkan kemalangan kerana kita bukan bercakap mengenai satu atau dua basikal, tetapi 30 hingga 40 basikal maka penghakiman dan alasan penghakiman majistret adalah betul, kita perlu hormatinya.
“Alasan ringkas yang saya nyatakan untuk memudahkan pihak-pihak faham kenapa rayuan ini harus dibenarkan. Dalam kes ini, pertuduhan tidak betul dan cacat serta sabitan juga tidak betul. Jadi kedua-duanya tidak mengikut undang undang.
“Itu adalah hak perayu di bawah undang-undang, pertuduhan dan sabitan mesti betul. Atas alasan ini saja rayuan perayu dibenarkan, keputusan Mahkamah Tinggi bertarikh 13 April 2022 atas sabitan dan hukuman diketepikan, perayu dibebas dan dilepaskan.
“Kamu (Ke Ting) sekarang adalah orang yang bebas dan wang jaminan dikembalikan,” katanya di akhir penghakiman.
Sam Ke Ting diwakili peguam Hisyam Teh Poh Teik, Harvinderjit Singh, Farhan Read, Guok Ngek Seong dan Faizal Mokhtar. Timbalan pendakwa raya Tengku Amir Zaki Tengku Abdul Rahman dan Syafiq Ghazali hadir untuk pendakwaan.
Sementara itu, ketika ditemui pemberita selepas selesai prosiding mahkamah, Ke Ting secara suci hati menyatakan permohonan maaf kepada ibu bapa dan ahli keluarga lapan remaja yang maut dalam kemalangan itu.
Ke Ting berkata beliau mengakui permohonan maafnya tidak akan mengembalikan semua remaja terbabit dan mungkin tidak akan membawa ketenangan kepada ibu bapa mereka.
“Saya akan bawa perasaan bersalah ini sehingga hujung nyawa,” katanya.
Peguam Sam Ke Ting, Hisyam Teh Poh Teik turut mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa sambil berkata, “Walaupun pasukan meraikan dan menghargai penghakiman Mahkamah Rayuan, kami masih rasa simpati terhadap mangsa tragedi malang itu. Tiada kata-kata yang dapat menggambarkan penderitaan yang ditanggung oleh ahli keluarga mereka.”
Pilihan Editor: