NEW DELHI – Seorang remaja perempuan berusia 18 tahun dari Amayan, daerah Bhind di Madhya Pradesh terpaksa menjalani pembedahan selama dua jam untuk mengeluarkan sebuah telefon bimbit yang ditelan.
Insiden yang berlaku pada 7 April lalu itu dilaporkan adalah berikutan daripada pertengkaran dan perebutan telefon bimbit berkenaan antara mangsa dengan abangnya.
Disebabkan itu, untuk menamatkan pertengkaran, mangsa memutuskan untuk menelan telefon bimbit buatan China itu. “Apabila perasaan marah memuncak semasa pertengkaran, remaja terbabit mengambil langkah impulsif dengan menelan telefon bimbit itu,” memetik kata seorang doktor di Hospital Jaya Arogya.
Akibat daripada tindakan tersebut, mangsa kemudiannya mengadu sakit perut dan mengalami muntah berterusan sehingga menyebabkan ahli keluarganya membawa mangsa ke hospital untuk mendapatkan rawatan.
Selepas menjalani beberapa pemeriksaan, pihak hospital bagaimanapun memberitahu mangsa dan keluarganya bahawa peranti yang ditelan itu hanya boleh dikeluarkan melalui cara pembedahan dan tidak dapat dilakukan melalui kaedah endoskopi.
Justeru, selepas dua jam menjalani pembedahan dan menerima 10 jahitan, pihak hospital akhirnya berjaya mengeluarkan peranti tersebut dan keadaan mangsa kini kembali stabil.
Pilihan Editor: