JAKARTA – Seorang lelaki dirakam menampal kod imbasan QR pada tabung kutipan sumbangan masjid dengan kod imbasan QR bagi akaun peribadinya sendiri. Insiden yang berjaya dirakam melalui kamera litar tertutup itu diambil dari Masjid Nurul Iman Blok M yang terletak di Selatan Jakarta, Indonesia pada 6 April lalu.
Insiden tersebut dipercayai mula dikesan apabila salah seorang ahli jawatankuasa masjid berkenaan mula melihat beberapa tampalan pelekat kod imbasan QR di beberapa bahagian tabung sumbangan masjid yang sebelum ini tidak dilengkapi dengan pelekat seperti itu.
Setelah diteliti, didapati terdapat banyak tampalan pelekat yang sama pada semua tabung-tabung sumbangan masjid berkenaan. Disebabkan itu, pihak jawatankuasa masjid membuat pemeriksaan kamera litar tertutup dan mendapati bahawa terdapat seorang lelaki dewasa yang melakukan perbuatan itu.
Berdasarkan masa pada rakaman, didapati bahawa suspek melakukan ‘misinya’ itu pada jam 10.30 pagi waktu Indonesia, iaitu waktu sebelum masjid itu dibuka kepada awam. Dan, pihak masjid hanya mengetahui mengenainya selepas setengah jam kemudian.
Suspek bagaimanapun telah berjaya ditangkap pada 11 April oleh Polis Jakarta Selatan selepas video rakaman berkenaan mula tular di media sosial dan setelah siasatan dijalankan, didapati bahawa insiden itu bukan yang pertama kali dilakukan oleh suspek. Berdasarkan laporan, suspek sebelum ini pernah melakukan taktik yang serupa di Masjid Bandar Nurullah Kalibata, Jakarta Selatan.
Berikutan penangkapan suspek, pihak polis menasihatkan orang ramai untuk sentiasa berwaspada dengan butiran akaun penerima sumbangan sebelum meluluskan transaksi.
Menurut laporan, semua wang yang ‘dicuri’ oleh suspek itu kini telah selamat dikembalikan kepada masjid. Selain itu, orang ramai yang pernah menjadi ‘mangsa’ penipuan ini juga dinasihatkan untuk tampil mengambil wang pampasan.
Disamping itu, pihak masjid Nurul Iman turut mengesahkan bahawa pihak mereka telah menggantikan pelekat ‘palsu’ itu dengan pelekat kod imbasan QR yang sebenar yang membolehkan para pengunjung memberi sumbangan terus kepada masjid.
Pilihan Editor: