Bakul dan troli kebiasaannya banyak digunakan di pasaraya-pasaraya oleh para pelanggan bagi memudahkan mereka untuk mengambil dan membeli barang keperluan dalam kuantiti yang banyak dalam satu-satu masa.
Lazimnya, selepas selesai pembayaran, pelanggan akan menggunakan troli yang sama untuk ditolak sehinggalah tiba di muka pintu kereta sebelum semua barang keperluan yang dibeli dipindah masuk ke dalam kereta.

Walau bagaimanapun, lain pula halnya yang berlaku kepada seorang lelaki dewasa yang secara senyap-senyap telah dirakam oleh seorang lagi pelanggan lain di tempat parkir sebuah pasaraya serbaneka.
Menerusi sebuah video yang dimuatnaik di laman Facebook, di awal video kelihatan seorang lelaki sedang memunggah barangan yang telah dibungkus dalam plastik dari sebuah troli. Namun, barang-barang itu tidak diletakkan terus ke dalam kereta, sebaliknya diletakkan di atas lantai jalanraya di kawasan itu, dan di sebelahnya, terdapat sebuah skuter.

Tanpa membuang masa, lelaki itu kemudiannya terus mengeluarkan tali pinggang dari beg galasnya dan memakainya. Tidak berhenti disitu, lelaki itu seterusnya dirakam menyarungkan sehelai jaket keselamatan yang pada mulanya disangka digunakan khas bagi tujuan keselamatan semasa menaiki skuter.
Namun, jangkaan perakam video yang menyaksikannya jelas sekali meleset apabila lelaki itu kemudiannya mengambil satu persatu beg plastik di atas lantai dan mula menyangkutnya di setiap cangkuk yang diubahsuai pada tali pinggang serta jaket keselamatannya. Pelik tapi benar!


Lama-kelamaan, setiap cangkuk yang disediakan pada tali pinggang dan jaket keselamatan lelaki itu pun dipenuhi oleh plastik-plastik barangan. Sehinggalah akhirnya perakam membuka tingkap keretanya untuk berbual dengan lelaki yang kreatif itu.
Melalui perbualan, dapat diketahui bahawa lelaki itu terpaksa menggunakan cara yang kreatif itu kerana dia tidak mempunyai kereta namun cara yang digunakan itu sememangnya berkesan.


Tambah menghiburkan lagi apabila lelaki itu dengan tenang datang membawa beberapa lagi plastik barangan ke arah kereta perakam video dan meminta pertolongan untuk menyangkut plastik-plastik di bahagian belakang badannya. Jika cara itu berkesan, apa salahnya!

Selain itu, lelaki itu juga turut membawa sepasang alat pendukung bayi dan menggunakannya untuk ‘mendukung’ sebiji tembikai. Yang ini, betul-betul lain dari yang lain ideanya!

Selesai menggantung semua barangan yang dibeli, lelaki itu seterusnya tanpa teragak-agak terus bergerak pulang dengan menaiki skuternya, sambil mengucapkan selamat tinggal kepada perakam video.

Sehingga entri ini dihasilkan, kiriman video yang dimuatnaik ini telah meraih sehingga lebih dari 1.1 juta tontonan, lebih dari 30,000 reaksi dan lebih dari 1,400 komen.
‘Aksi’ ini sememangnya nampak aneh tetapi rupa-rupanya memang berfungsi!
Pilihan Editor: