Dalam dunia perniagaan, tidak dapat dinafikan ramai juga antaranya sukar untuk benar-benar jujur dengan pelanggan. Apatah lagi yang mahu memberitahu keadaan produk yang dijual itu sebenarnya tidak boleh untuk berfungsi seperti yang diiklankan.
Walau bagaimanapun, seorang jurujual dalam talian baru-baru ini telah mencuri perhatian ramai selepas reaksi spontannya terhadap produk yang dijual dilihat memberi manfaat kepada pelanggan melebihi keuntungan pada dirinya sendiri.

Menerusi video yang dimuatnaik oleh Sukan Star TV – sstv.my di laman Facebook, dilihat seorang lelaki sedang cuba untuk mengiklankan gajet penghiris bawang yang didakwa berupaya untuk memudahkan lagi tugasan memasak di rumah.
Walau bagaimanapun, semasa sesi demonstrasi dijalankan oleh seorang lagi pembantu lelaki berkenaan, didapati bahawa gajet itu sebenarnya tidak boleh berfungsi seperti yang didakwa. Apabila pembantunya memasukkan seketul bawang putih ke dalam gajet itu untuk tujuan penghirisan – iaitu fungsi utama bagi gajet itu, didapati bahawa gajet itu langsung tidak berjaya untuk menghiris bawang putih yang dimasukkan, walaupun pisau di dalam gajet itu kelihatan berpusing dengan baik selepas dioperasikan.

Disebabkan kecewa dengan gajet yang langsung tidak berfungsi semasa sesi demonstrasi dijalankan, lelaki itu dengan serius terus menyatakan bahawa gajet itu tidak seharusnya dijual.
Menerusi perbualan lelaki itu dengan pembantunya yang ‘gagal’ dalam demonstrasi itu, lelaki itu menyatakan pendapatnya bahawa sebenarnya tugasan memasak akan menjadi jauh lebih mudah dan cepat tanpa penggunaan gajet itu.

“Sudah, (kita) tak perlu jual (gajet) ini, buat pening kepala sahaja,” kata peniaga itu.
Dia seterusnya sempat berseloroh dengan memberi cadangan kepada para pelanggannya untuk menggunakan cara ‘orang lama’ iaitu dengan mengetuk ketulan bawang putih dengan menggunakan bilah pisau secara mendatar sehingga bawang putih itu hancur.

Tambahnya lagi, gajet yang dijualnya itu sebenarnya hanya “akal” yang dicari oleh penciptanya untuk mendapatkan duit sahaja.
“Kakak, tolonglah jangan beli dan jangan membazir duit. Jangan terperdaya dengan iklan-iklan (gajet ini). Ini membazir!” kata lelaki itu kepada para penonton video jualannya.
Sehingga entri ini ditulis, kiriman ini telah meraih sehingga lebih dari 118,000 tontonan, lebih dari 3,100 reaksi dan 271 komen dari warganet yang rata-ratanya berasa kagum dengan peniaga yang jujur seperti lelaki ini.





Tahniah diucapkan kepada abang live yang sangat jujur dan ikhlas dalam berniaga ini. Semoga rezeki untuknya semakin banyak kerana kejujuran dalam berniaga yang diamalkannya ini!
Tonton video di sini.
Pilihan Editor: