Video orang awam merakamkan bangunan lama KWSP yang terletak bersebelahan Lebuhraya Persekutuan itu telah dijilat api dan diselubungi asap tebal akibat kebakaran yang dapat dilihat sejauh beberapa kilometer.
Difahamkan kebakaran membabitkan tingkat empat dan tingkat lima bangunan berkenaan.
Penolong Pengarah (Operasi) JBPM Selangor Hafisham Mohd Noor berkata kebakaran berjaya dikawal pada jam 11.08 pagi.
“Bangunan terbabit kini kosong dan tidak berpenghuni, dan tiada kecederaan dilaporkan buat masa ini,” jelas kenyataan itu.
Bangunan pejabat berusia 63 tahun itu dilaporkan sedang diubah suai dan dijadualkan akan dibuka semula pada lewat tahun hadapan sebagai pusat kemudahan warga emas, menurut FMT.
Jurucakap JBPM Selangor mengesahkan tiada kemalangan jiwa atau kecederaan dilaporkan dan punca kebakaran masih dalam siasatan.
Seorang pemandu bas perjalanan jarak jauh merentasi Semenanjung Malaysia didakwa terpaksa bekerja lebih masa, menyebabkan dia kurang tidur atau tidak tidur selama enam hari, sekali gus mempertaruhkan keselamatan penumpang yang dibawanya.
Bersimpati dengan nasib pemandu bas berkenaan dalam insiden yang berlaku pada 14 Mei lalu, penumpang yang bernama Shu Ling berkongsi dalam hantaran di Facebook bahawa dia pada mulanya marah kerana pemandu itu secara tidak bertanggungjawab mempertaruhkan nyawanya sendiri dan terutamanya penumpang dengan masalah kekurangan tidurnya.
Tetapi apabila mendapat tahu majikannya yang didakwa telah mengeksploitasinya, wanita ini kemudian menyalahkan syarikat bas itu kerana pengurusan yang lemah.
Shu Ling memberitahu dia dalam perjalanan dari Johor ke Perak, menuju ke Thailand yang selepas itu akan bertemu keluarganya untuk percutian.
Wanita ini membeli tiket bas yang berlepas pada jam 10.30 malam, tetapi bas itu hanya tiba menjemput para penumpang pada jam 2 pagi.
Semasa menaiki bas, dia tidur sebentar sebelum bangun pada jam 5 pagi untuk memeriksa di mana dia berada.
Shu Ling terkejut apabila menyedari bas itu tidak bergerak jauh kerana pemandunya kelihatan lesu dengan memandu pada kelajuan kira-kira 30 kilometer sejam.
Didapatinya setiap penumpang sedang tidur pada masa itu.
Dia mengesyaki ada sesuatu yang tidak kena dengan pemandu berkenaan kerana bas itu beralih kawalan ke lorong kanan pada satu ketika, menyebabkan sebuah kenderaan membunyikan hon ke arahnya.
Susulan itu, Shu Ling mengesyaki pemandu ini pasti sedang mengantuk.
“Melihat pemandu memandu pada kelajuan yang agak perlahan dan tidak berada kekal di lorongnya, saya menjadi gementar dan tidak lagi berani untuk tidur semula. Saya terus memerhatikannya dan merasakan kami hampir mengalami kemalangan beberapa kali,” kata pengusaha kecantikan itu.
Selepas beberapa ketika, pemandu bas memberitahu penumpang yang dia tidak lagi boleh berjaga untuk meneruskan perjalanan kerana mengantuk dan bertanya sama ada dia boleh tidur sebentar selama 30 minit, dan semua penumpang bersetuju.
Pemandu bas itu berasa lebih segar dan baik selepas berehat, tetapi pada jam 8 pagi, dia mula memandu semula secara berbahaya.
“Seorang mak cik yang baru bangun tidur juga mendapati pemandu bas itu memandu secara berbahaya. Dia bersama seorang kanak-kanak berusia tiga tahun pada ketika itu,” kongsi Shu Ling.
“Jadi, kami meminta pemandu berhenti untuk menukar pemandu lain dan mendapati hanya seorang pemandu di dalam bas. Bas jarak jauh itu sebenarnya memerlukan dua orang pemandu! Kami semua berasa bimbang dan tidak berdaya.
“Tidak lama kemudian, pemandu itu memanggil pemandu bas lain untuk mengambil alih dan membantunya mengambil penumpang. Akhirnya, kebanyakan penumpang bas itu bertukar ke bas lain,” kongsinya.
Bagaimanapun, Shu Ling terpaksa kekal di dalam bas bersama dua penumpang lain, kerana bas baharu itu tidak dapat membawanya ke destinasi pada laluan yang sama.
Dia memeriksa berada 30 minit dari destinasinya, yang lebih dekat dari Sitiawan, Perak, di mana dua penumpang lain menuju.
Walaupun ia adalah laluan hentian terakhir, pemandu bas itu berkata dia tidak dapat meneruskan perjalanan selama 45 minit tambahan sehingga mereka tiba di Sitiawan.
Justeru, pemandu itu mencadangkan untuk membayar RM80 kepada dua penumpang itu supaya mereka boleh menaiki Grab ke Sitiawan.
Kemudian, menawarkan untuk memberi Shu Ling tumpangan ke destinasi yang lebih dekat, yang dia boleh uruskan.
“Kami semua bersetuju demi keselamatan masing-masing,” kata Shu Ling.
“Dengan jarak yang tinggal lagi sedikit, saya duduk di tempat duduk hadapan bas untuk memulakan perbualan dengan pemandu bas itu.
“Pemandu itu berkata sudah enam hari dia tidak tidur dengan sempurna melainkan hanya tidur siang satu hingga dua jam sehari. Pemandu itu berkata, dia sudah sampai tahap seperti ada nampak jalan di hadapan walaupun sebenarnya tiada. Semakin banyak saya mendengar ceritanya, semakin saya menjadi gerun.
“Pemandu juga ada bertanya kepada kami, ‘Adakah saya bergerak ke laluan motosikal?’ dan ‘Adakah terdapat lampu isyarat di hadapan?’,” tambahnya.
Shu Ling menjadi marah selepas mendengar cerita tentang betapa letihnya pemandu bas itu bekerja tanpa mendapat rehat yang secukupnya.
“Saya bertanya kepada pemandu itu mengapa dia memaksa diri sehingga ke satu tahap mempertaruhkan keseluruhan nyawa penumpang dalam bas itu bersama nyawanya sendiri. Dengan cara ini saya boleh membuat aduan atau melaporkan keadaan itu kepada Kementerian Sumber Manusia.
“Dia memberitahu kami yang dia sudah memandu bas jarak jauh hampir 10 jam semalam, dan juga membayar penumpang terakhir semalam untuk menaiki Grab. Kemudian, dia menjemput kami pada jam 2 pagi.
“Pemandu itu berkata, dia memberitahu bosnya sebelum ini bahawa dia sangat letih dan tidak dapat lagi menghantar penumpang bas ini ke destinasi mereka, tetapi syarikat itu menjawab kalau dia boleh bertahan dan memintanya memandu secara perlahan.
“Pemandu itu berkali-kali memberitahu syarikat itu bahawa dia tidak boleh memandu, tetapi mereka memintanya untuk bertahan. Kerana cuti umum, mungkin terdapat kekurangan tenaga kerja. Walaupun dengan berkata begitu, bukankah syarikat berkenaan sepatutnya mengarahkan untuk mengambil pemandu bas yang lain? mengambil kira keadaan kesihatan semasa dan menyesuaikan waktu kerja mereka?” tulisnya.
Shu Ling bersimpati dengan pemandu bas itu pada penghujungnya, menyifatkan dia sebagai “tidur berjalan” sambil memegang stereng.
Wanita itu kemudian mengimbas kembali kemalangan baru-baru ini yang melibatkan sebuah bas dan sembilan buah kenderaan berhampiran Kuala Kangsar, Perak. Pengusaha kecantikan itu berkata, dia berharap isu itu dapat diselesaikan segera sebelum lebih banyak tragedi bakal berlaku.
Sepanjang bulan Syawal, secara kebiasaannya sekolah akan mengadakan jamuan Aidilfitri mengikut kelas masing-masing.
Jadi, guru kelas akan mengarahkan murid-murid membawa juadah sendiri dari rumah untuk dikongsikan bersama-sama sempena meraikan hari dan bulan mulia itu.
Dan sudah menjadi kebiasaan juga apabila ada sebahagian makanan yang dibawa itu tidak disentuh dan dimakan oleh rakan-rakan dalam kelas.
Baru-baru ini, tular di TikTok seorang guru yang dengan lembut memujuk salah seorang anak muridnya yang berasa sebak ketika jamuan hari raya diadakan dalam kelas mereka.
Guru itu @farisfarhansidek, berkongsi beliau menyapa dan bertanya mengapa seorang murid lelaki yang menangis sambil menutup mukanya di atas meja.
Difahamkan, murid lelaki yang dikenali Syakir menangis kerana kawan-kawan dalam kelasnya tidak menjamah kuih raya yang telah dibawa olehnya.
“Takda orang nak makan biskut kita,” kata murid itu dalam keadaan sebak ketika ditanya guru itu.
Guru tersebut lantas mengarahkan murid terbabit untuk menunjukkan kuih yang dibawa kerana beliau ingin menjamahnya sambil memujuk kanak-kanak itu.
“Mari, mari tunjuk cikgu mana satu biskut awak.. Jom cikgu nak makan biskut awak,” kedengaran guru berkenaan berkata di latar belakang sambil meminta budak lelaki itu berjalan ke arah meja yang diletakkan kuih raya itu bersama pelbagai hidangan.
Tidak hanya menyuruhnya membuka bekas biskut itu, guru tersebut juga meminta murid-murid lain untuk turut mengambil dan merasa kuih raya berkenaan.
“Semua datang sini dan makan biskut Syakir,” kata guru itu kepada seluruh kelas.
Apa yang mengharukan, murid-murid yang lain juga dilihat pandai mengambil hati Syakir dengan memakan kuih raya tersebut.
Difahamkan, Syakir merupakan seorang anak yatim yang kehilangan bapa ketika usianya empat tahun. Menurut ibunya, Syakir menempah biskut itu daripada jiran sebelah rumahnya dan membungkusnya sendiri untuk dirasa oleh rakan-rakan sekelasnya.
“Bawa biskut raya tiada orang nak makan. Kesian anak yatim Syakir ni. Takpa lah kawan-kawan ada boleh makan biskut Syakir,” tulis guru itu di ruangan kapsyen.
Terima kasih kepada sokongan berterusan daripada peminat, Akka Nasi Lemak kini menjadi “bintang sensasi” di media sosial dengan ribuan peminat besar yang kepingin merasai nasi lemak dan lauk pauk hasil air tangannya.
Malangnya, di sebalik kejayaan dan kemasyhuran itu, tidak ramai yang menyedari tentang air mata dan kesedihan yang cuba disembunyikan oleh Akka Nasi Lemak daripada orang ramai.
Dalam perniagaan adalah lumrah apabila terdapat persaingan dan Akka Nasi Lemak, atau nama sebenarnya Sangeeta berkata tidak gentar dengan persaingan itu.
Dalam program bual bicara yang disiarkan di Astro Ulagam, Sangeeta mendedahkan ada pihak tertentu yang tidak berpuas hati dengan kejayaan dan kemasyhurannya. Persaingan menjadi toksik sehingga beliau menerima penghinaan.
Tangkap Layar Astro Ulagam
Baru-baru ini, paparan video TikTok menunjukkan Sangeeta menangis teresak-esak menjadi tular di media sosial, di mana beliau meluahkan banyak perkara.
“Saya tidak menjalani kehidupan mewah seperti mana yang anda fikirkan,” luahnya.
Walaupun perniagaannya berkembang maju, Sangeeta tidak dapat menafikan ia melibatkan kos kesihatannya kerana beliau kehilangan berat badan sejak perniagaannya menjadi tular di media sosial. Ini disebabkan oleh keletihan melampau yang dialaminya ketika mengendalikan perniagaan kecil itu berbanding menerima permintaan yang tinggi daripada peminat yang ramai.
Sangeeta juga berkata sepanjang 13 tahun menjual nasi lemak, tekanan semakin meningkat berikutan kitaran masa mengendalikan perniagaan itu. Ada kalanya, beliau menghadapi masalah pemakanan kerana telah memasak makanan yang sama setiap hari selama lebih dari sedekad, yang turut menyumbang kepada penurunan berat badannya.
Awal bulan ini, Sangeeta terpaksa menghentikan perniagaannya buat sementara kerana masalah kesihatan seperti yang diumumkan melalui laman Facebooknya. Dari segi keadaan hidupnya, ia tidaklah semewah yang disangka ramai.
“Anda boleh datang melihat rumah saya yang disewa dan melihat keadaan hidup saya,” kata Sangeeta sambil tidak dapat menahan air matanya daripada terus mengalir.
Gambar Sinar Harian
Ibu kepada 4 orang anak itu berkata mereka masih tidur dalam bilik yang sama, dengan hampir tiada perabot. Sangeeta menegaskan beliau mahu orang lain tahu bahawa kehidupan keluarga itu masih bergelut, walaupun perniagaannya mendapat sambutan baik.
Sangeeta seorang wanita yang kuat. Bukan mudah untuk mengendalikan perniagaan makanan dengan pelbagai jenis ragam pelanggan sambil perlu melakukan yang terbaik dalam memastikan kelangsungan hidup keluarganya.
Harapan semoga Akka Nasi Lemak terus tabah melalui liku-liku kehidupan dan perniagaan berjalan lancar dengan tahap kesihatan serta masa depannya akan menjadi lebih baik.
Di Malaysia, Bahasa Melayu merupakan bahasa rasmi dan bahasa utama yang dituturkan oleh penduduk. Oleh itu, tidak hairanlah apabila boleh dikatakan hampir semua rakyat Malaysia fasih dan faham apabila berbahasa Melayu.
Walau bagaimanapun, untuk melihat warga asing yang fasih berbahasa Melayu, dengan kadar pelat yang sangat minima, memang tidak dinafikan agak sukar ditemui. Apalagi jika si penutur tidak menetap di Malaysia.
Tetapi baru-baru ini, tular di media sosial apabila rakaman video seorang wanita Vietnam yang sedang berbual dalam Bahasa Melayu telah menarik perhatian ribuan warganet.
Berdasarkan video yang dimuatnaik di laman Twitter oleh @faizfayeshz pada 17 Mei lalu, video pendek berdurasi 1:01 itu menunjukkan seorang wanita yang sedang menerangkan tentang jenis-jenis makanan halal yang dijual dan kedudukan kedai-kedai kopi di sebuah bandar di Vietnam, sambil mengesyorkan minuman yang patut dicuba oleh perakam video, seorang lelaki yang dipercayai merupakan pelancong di negara Vietnam.
Walaupun video yang dirakam itu tidaklah terlalu lama, namun dengan jelas dapat dilihat bahawa wanita itu memang benar-benar fasih berbahasa Melayu dengan hampir tiada kesalahan ketara mahupun pelat dalam sebutan setiap perkataan. Hebat betul!
Bahasa Malaysia orang Vietnam ni lagi fasih dari orang yang ada IC biru, ytjt… pic.twitter.com/ykisJdJA70
Berdasarkan komen yang ditinggalkan dalam kiriman itu, beberapa warganet ada menyatakan bahawa wanita yang dirakam itu bernama Lily, dan dia sememangnya berasal dan menetap di Vietnam, tetapi dia menjadi fasih berbahasa Melayu setelah mempelajarinya daripada pelanggan-pelanggan dari Malaysia, tanpa ada memasuki mana-mana kelas Bahasa Melayu. Wah, memang mengagumkan!
Sehingga entri ini dihasilkan, kiriman ini telah meraih sehingga lebih dari 742,300 tontonan, 8,828 sukaan, 3,921 ulang ciap dan 98 komen daripada warganet yang teruja dengan kebijaksanaan wanita ini.
Cuaca yang sangat tinggi yang sedang melanda beberapa bahagian di Malaysia pada masa ini turut memberi kesan pada tahap kesihatan penduduk setempat. Antara kesan daripada peningkatan suhu ini adalah serangan strok haba, terutamanya pada kanak-kanak kerana mereka masih berada dalam fasa yang aktif, dan mereka belum tahu kesan akibat pendedahan kepada cahaya matahari dalam tempoh yang lama.
Oleh itu, menerusi entri ini anda dapat mengetahui perkongsian tentang tanda-tanda awal serangan strok haba pada kanak-kanak dan juga beberapa langkah pencegahan yang boleh anda ambil untuk mengelakkan strok haba daripada berlaku.
Menurut perkongsian, serangan strok haba adalah keadaan di mana tubuh badan manusia tidak berupaya untuk menurunkan suhu badan secara semulajadi apabila terdedah dengan suhu yang terlalu tinggi di bawah cahaya matahari. Apabila serangan ini berlaku, mekanisme peluh dalam tubuh badan akan gagal berfungsi dan suhu dalaman badan akan meningkat dengan pantas yang mana suhu tersebut boleh meningkat sehingga 40 darjah celsius dalam tempoh masa 10 ke 15 minit sahaja.
Untuk kanak-kanak, lazimnya mereka masih belum faham tentang kesan pendedahan terhadap cahaya matahari sehingga boleh mengakibatkan serangan strok haba.
Justeru, berikut adalah beberapa tanda awal serangan strok haba pada kanak-kanak yang boleh anda awasi:
Suhu badan meningkat, kira-kira 38°C dan ke atas
Kulit menjadi sejuk dan lembap walaupun suhu badan meningkat
Jika terdapat tanda-tanda serangan strok haba dikesan, anda seterusnya boleh cuba untuk melakukan langkah-langkah berikut untuk membantu menurunkan suhu badan sebelum kanak-kanak tersebut mendapatkan rawatan perubatan di hospital atau klinik berdekatan:
Pindahkan kanak-kanak itu ke tempat yang sejuk dan teduh (contohnya seperti dalam ruang berpendingin hawa, atau dalam kenderaan yang berpendingin hawa)
Galakkan mereka untuk minum air atau minuman sukan yang mengandungi garam seperti 100PLUS
Longgarkan pakaian dan sapukan tuala yang sejuk dan basah pada badan mereka
Regangkan atau urut perlahan-lahan otot yang sakit jika mereka mengalami kekejangan.
Walau bagaimanapun, jika kanak-kanak tersebut didapati menolak untuk minum air atau telah pengsan, anda perlu segera membawanya ke hospital untuk mendapatkan rawatan.
Bagi langkah-langkah pecegahan serangan strok haba pula, anda boleh melakukan beberapa petua yang berikut:
Elakkan berada di luar rumah ketika suhu sedang tinggi iaitu antara pukul 11 pagi sehingga pukul 3 petang.
Minum banyak air, tidak kiralah air yang sejuk atau tidak, terutamanya jika anda seorang yang aktif atau ketika bersenam
Pakai pakaian yang longgar dan berwarna terang
Elakkan daripada melakukan senaman yang melampau
Sentiasa berada di tempat yang teduh. Jika berada di rumah, anda dicadangkan untuk menutup langsir dan tingkap untuk mengekalkan suhu yang lebih sejuk dalam rumah.
Serangan strok haba adalah satu masalah kesihatan yang boleh membawa maut. Oleh itu, jangan ambil ringan tentang tanda-tanda awal serangan strok haba. Sentiasalah berjaga-jaga dan ambil langkah pencegahan dari awal!
Cuaca panas hari ini membuat ramai yang menjadi kreatif untuk membuat rumah atau bilik masing-masing menjadi sejuk khususnya bagi mereka yang kurang berkemampuan untuk memiliki penyaman udara sempurna.
Seorang pelajar UniKL kampus Lumut berkongsi menerusi video yang tular di TikTok yang dia hanya perlu menggunakan kipas elektrik, kotak Styrofoam (kotak ais), kiub ais, dua botol plastik dan garam untuk menghasilkan “penyaman udara” atau “pendingin hawa” buatan sendiri (DIY).
Seterusnya, Daniel memotong dua botol plastik kepada separuh, memasukkannya ke dalam lubang di sisi Styrofoam, dan menutup kotak itu semula dengan penutupnya.
Akhirnya, Daniel menghalakan kipas elektrik ke arah lubang masuk penutup bekas itu dan menghidupkan kipas. Pengudaraan angin sejuk yang datang dari dua lubang yang keluar daripada kotak itu dapat dirasakan sensasi nyamannya.
Daniel berkata “penyaman udara” DIY ini boleh bertahan selama dua hingga tiga jam, dan tempoh masa bergantung kepada bilangan ketulan ais yang diletakkan di dalam kotak itu.
Pelajar ini berkata berkata cuaca panas baru-baru ini menyukarkan dia dan rakan sebiliknya untuk tidur, jadi dia mendapat idea untuk membuat “penyaman udara” yang menyejukkan lagi mampu milik.
“Selepas percubaan ini berjaya, kami merancang untuk menggunakan ais kering kerana ia akan mengambil masa yang lebih lama untuk mencair,” katanya.
Sejak kebelakangan ini, banyak negeri-negeri di Malaysia mencapai suhu tinggi sehingga menyebabkan seisi ruang di rumah berasa bahang kerana cuaca yang terlalu panas. Walaupun pada waktu malam, bahang panas itu tetap juga terasa.
Kebiasaannya, pada waktu-waktu begini, penggunaan pendingin hawa adalah pilihan utama bagi seisi rumah. Tetapi, tidak semua orang mampu untuk memilikinya.
Disebabkan itu, baru-baru ini telah tular satu petua yang dikongsikan oleh seorang wanita melalui akaun TikTok, @pnnfam07 yang memberikan satu cara mudah yang boleh digunakan oleh orang ramai untuk menyejukkan rumah ketika musim panas melanda kini.
Berdasarkan video pendek berdurasi 46 saat itu, peralatan yang diperlukan hanyalah sebuah besen atau baldi atau apa-apa bekas yang anda ada, dan air paip yang diisi ke dalam bekas yang dipilih.
Caranya begitu mudah, anda hanya perlu mengisi air paip ke dalam bekas yang dipilih dan kemudian meletakkannya di ruangan rumah yang mahu disejukkan seperti bilik tidur, ruang tamu dan sebagainya.
Tetapi, diingatkan untuk meletakkan bekas berisi air ini di tempat yang selamat supaya tiada sebarang kemalangan boleh berlaku ya!
Sehingga entri ini dihasilkan, kiriman video ini telahpun meraih sehingga lebih dari 175,200 sukaan, lebih dari 18,800 kongsian dan 4,063 komen dari warganet yang teruja dengan idea ini. Selain itu, ada juga yang turut berkongsi pengalaman masing-masing setelah mencuba petua mudah ini!
Musim panas yang melanda negara pada ketika ini menyebabkan suhu yang sangat tinggi dicatatkan di beberapa daerah dalam negara sehingga ada antaranya yang mencecah sehingga 37 darjah celcius.
Disebabkan itu, seorang wanita yang tinggal di Bukau Beaufort, Sabah, Fatasha Nadia, melalui laman Facebooknya telah berkongsi satu eksperimen kecil yang dilakukannya iaitu “percubaan memasak telur di bawah matahari” yang secara tidak sengaja telah menarik perhatian ramai warganet kerana ia secara tidak langsung telah membuktikan suhu yang sangat tinggi yang melanda negara pada masa ini.
Menurut kiriman Fatasha, dia memulakan eksperimennya itu pada jam 1.00 petang dengan meletakkan sedikit minyak dalam kuali di bawah terik cahaya matahari.
Kemudian setelah 10 minit berlalu, Fatasha telah memecahkan sebiji telur ke dalam kuali berkenaan.
Seterusnya 10 minit kemudian, Fatasha telah melakukan pemeriksaan kali pertama. Pada masa ini, keadaan telur masih lagi belum menunjukkan perubahan yang ketara.
Selang 30 minit seterusnya iaitu pada jam 1.50 petang, menerusi pemeriksaan yang kedua, dapat dilihat bahawa keadaan telur sudah mula berubah, dengan keadaan kuning telur yang mula mengeras, dan bahagian putih telur yang mula bertukar warna daripada jernih kepada warna putih.
Pada jam 3.30 petang, iaitu selepas tiga jam setengah telur itu ‘digoreng’ di bawah cahaya matahari, Fatasha akhirnya memutuskan untuk menamatkan eksperimennya di situ dan menerusi gambar yang dimuatnaik, dapat dilihat bahawa kedua-dua bahagian telur iaitu bahagian kuning dan putihnya telahpun masak.
Memang menarik betul eksperimen yang dilakukan Fatasha ini. Tetapi dalam masa yang sama eksperimen ini juga boleh membuatkan kita berasa sedikit bimbang kerana hal ini membuktikan bahawa cuaca pada masa ini benar-benar panas!
Sehingga entri ini dihasilkan, kiriman ini telah meraih sehingga lebih daripada 2,300 perkongsian, 837 reaksi dan 460 komen dari warganet yang berkongsi pelbagai pendapat mereka tentang eksperimen ini.
PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 15 Mei lalu mengumumkan bahawa pengguna domestik yang menggunakan elektrik berlebihan akan dikenakan caj tarif elektrik semasa dan tidak lagi dapat menikmati subsidi kerajaan.
Tindakan ini merupakan salah satu daripada usaha kerajaan untuk melaksanakan subsidi bersasar dan pelaksanaannya bertujuan untuk mengurangkan beban pengguna domestik dalam kalangan golongan M40 dan B40.
“Umpama rumah tiga kipas, empat penghawa dingin, dia harus bayar kos sebenar dan tidak gunakan subsidi.
“Maknanya golongan M40 dan B40 tidak dinaikkan, tetapi rumah-rumah yang menggunakan elektrik tinggi akan dikenakan bayaran ikut kos harga pasaran,” jelasnya dalam sidang media pasca mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negara di sini.
Tambahnya lagi, kerajaan pada awal tahun ini telah menolak keputusan kerajaan terdahulu yang bercadang untuk menaikkan harga elektrik, dan telah memutuskan untuk mengekalkan tarif elektrik yang sama untuk manfaat golongan M40 dan B40.
“(Hanya) dikenakan kenaikan bagi kilang-kilang besar, melainkan ada kaitan dengan pertanian dan Perusahaan Kecil dan Sederhana (SME),” ujarnya lagi.
Menurut laporan New Straits Times, penarikan subsidi ini tidak akan melibatkan lebih kurang 90% daripada rakyat Malaysia kerana ianya hanya akan dikenakan kepada golongan yang menggunakan elektrik berlebihan sahaja.