Terima kasih kepada sokongan berterusan daripada peminat, Akka Nasi Lemak kini menjadi “bintang sensasi” di media sosial dengan ribuan peminat besar yang kepingin merasai nasi lemak dan lauk pauk hasil air tangannya.
Malangnya, di sebalik kejayaan dan kemasyhuran itu, tidak ramai yang menyedari tentang air mata dan kesedihan yang cuba disembunyikan oleh Akka Nasi Lemak daripada orang ramai.

Dalam perniagaan adalah lumrah apabila terdapat persaingan dan Akka Nasi Lemak, atau nama sebenarnya Sangeeta berkata tidak gentar dengan persaingan itu.
Dalam program bual bicara yang disiarkan di Astro Ulagam, Sangeeta mendedahkan ada pihak tertentu yang tidak berpuas hati dengan kejayaan dan kemasyhurannya. Persaingan menjadi toksik sehingga beliau menerima penghinaan.

Baru-baru ini, paparan video TikTok menunjukkan Sangeeta menangis teresak-esak menjadi tular di media sosial, di mana beliau meluahkan banyak perkara.
“Saya tidak menjalani kehidupan mewah seperti mana yang anda fikirkan,” luahnya.
Walaupun perniagaannya berkembang maju, Sangeeta tidak dapat menafikan ia melibatkan kos kesihatannya kerana beliau kehilangan berat badan sejak perniagaannya menjadi tular di media sosial. Ini disebabkan oleh keletihan melampau yang dialaminya ketika mengendalikan perniagaan kecil itu berbanding menerima permintaan yang tinggi daripada peminat yang ramai.

Sangeeta juga berkata sepanjang 13 tahun menjual nasi lemak, tekanan semakin meningkat berikutan kitaran masa mengendalikan perniagaan itu. Ada kalanya, beliau menghadapi masalah pemakanan kerana telah memasak makanan yang sama setiap hari selama lebih dari sedekad, yang turut menyumbang kepada penurunan berat badannya.
Awal bulan ini, Sangeeta terpaksa menghentikan perniagaannya buat sementara kerana masalah kesihatan seperti yang diumumkan melalui laman Facebooknya. Dari segi keadaan hidupnya, ia tidaklah semewah yang disangka ramai.
“Anda boleh datang melihat rumah saya yang disewa dan melihat keadaan hidup saya,” kata Sangeeta sambil tidak dapat menahan air matanya daripada terus mengalir.

Ibu kepada 4 orang anak itu berkata mereka masih tidur dalam bilik yang sama, dengan hampir tiada perabot. Sangeeta menegaskan beliau mahu orang lain tahu bahawa kehidupan keluarga itu masih bergelut, walaupun perniagaannya mendapat sambutan baik.
Sangeeta seorang wanita yang kuat. Bukan mudah untuk mengendalikan perniagaan makanan dengan pelbagai jenis ragam pelanggan sambil perlu melakukan yang terbaik dalam memastikan kelangsungan hidup keluarganya.
Harapan semoga Akka Nasi Lemak terus tabah melalui liku-liku kehidupan dan perniagaan berjalan lancar dengan tahap kesihatan serta masa depannya akan menjadi lebih baik.
Pilihan Editor: