Bangunan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) di Jalan Gasing, Petaling Jaya terbakar sekali lagi.
Bangunan sama pernah terbakar pada Februari 2018 dan sejak itu ia tidak lagi digunakan.
Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 10.39 pagi, 22 Mei.
Susulan itu, JBPM Selangor menghantar anggota dari Balai Bomba Petaling Jaya, Damansara, Penchala dan Puchong ke lokasi kejadian.
“Kami juga mendapat bantuan daripada Jabatan JBKL Kuala Lumpur,” menurut sumber JBPM Selangor.
Beberapa video tular kebakaran berkenaan telah dikongsi warganet di platform media sosial.
Video orang awam merakamkan bangunan lama KWSP yang terletak bersebelahan Lebuhraya Persekutuan itu telah dijilat api dan diselubungi asap tebal akibat kebakaran yang dapat dilihat sejauh beberapa kilometer.
Difahamkan kebakaran membabitkan tingkat empat dan tingkat lima bangunan berkenaan.
Penolong Pengarah (Operasi) JBPM Selangor Hafisham Mohd Noor berkata kebakaran berjaya dikawal pada jam 11.08 pagi.
Sementara itu, KWSP dalam kenyataannya berkata bangunan itu kini tidak lagi berpenghuni.
“KWSP mengumumkan salah satu tingkat di bangunannya di Jalan Gasing, Petaling Jaya, terbakar pagi ini.
“Bomba dan Penyelamat kini berada di lokasi untuk mengawal kebakaran, dan akan menyiasat punca kebakaran.
“Bangunan terbabit kini kosong dan tidak berpenghuni, dan tiada kecederaan dilaporkan buat masa ini,” jelas kenyataan itu.
Bangunan pejabat berusia 63 tahun itu dilaporkan sedang diubah suai dan dijadualkan akan dibuka semula pada lewat tahun hadapan sebagai pusat kemudahan warga emas, menurut FMT.
Jurucakap JBPM Selangor mengesahkan tiada kemalangan jiwa atau kecederaan dilaporkan dan punca kebakaran masih dalam siasatan.
Pilihan Editor: