Cuaca yang sangat tinggi yang sedang melanda beberapa bahagian di Malaysia pada masa ini turut memberi kesan pada tahap kesihatan penduduk setempat. Antara kesan daripada peningkatan suhu ini adalah serangan strok haba, terutamanya pada kanak-kanak kerana mereka masih berada dalam fasa yang aktif, dan mereka belum tahu kesan akibat pendedahan kepada cahaya matahari dalam tempoh yang lama.
Oleh itu, menerusi entri ini anda dapat mengetahui perkongsian tentang tanda-tanda awal serangan strok haba pada kanak-kanak dan juga beberapa langkah pencegahan yang boleh anda ambil untuk mengelakkan strok haba daripada berlaku.
Menurut perkongsian, serangan strok haba adalah keadaan di mana tubuh badan manusia tidak berupaya untuk menurunkan suhu badan secara semulajadi apabila terdedah dengan suhu yang terlalu tinggi di bawah cahaya matahari. Apabila serangan ini berlaku, mekanisme peluh dalam tubuh badan akan gagal berfungsi dan suhu dalaman badan akan meningkat dengan pantas yang mana suhu tersebut boleh meningkat sehingga 40 darjah celsius dalam tempoh masa 10 ke 15 minit sahaja.
Untuk kanak-kanak, lazimnya mereka masih belum faham tentang kesan pendedahan terhadap cahaya matahari sehingga boleh mengakibatkan serangan strok haba.
Justeru, berikut adalah beberapa tanda awal serangan strok haba pada kanak-kanak yang boleh anda awasi:
- Suhu badan meningkat, kira-kira 38°C dan ke atas
- Kulit menjadi sejuk dan lembap walaupun suhu badan meningkat
- Degupan jantung dan pernafasan menjadi pantas
- Muntah, atau rasa loya
- Keletihan atau menjadi lemah
- Pening atau sakit kepala
- Rasa ingin pengsan, atau pengsan
Jika terdapat tanda-tanda serangan strok haba dikesan, anda seterusnya boleh cuba untuk melakukan langkah-langkah berikut untuk membantu menurunkan suhu badan sebelum kanak-kanak tersebut mendapatkan rawatan perubatan di hospital atau klinik berdekatan:
- Pindahkan kanak-kanak itu ke tempat yang sejuk dan teduh (contohnya seperti dalam ruang berpendingin hawa, atau dalam kenderaan yang berpendingin hawa)
- Galakkan mereka untuk minum air atau minuman sukan yang mengandungi garam seperti 100PLUS
- Longgarkan pakaian dan sapukan tuala yang sejuk dan basah pada badan mereka
- Regangkan atau urut perlahan-lahan otot yang sakit jika mereka mengalami kekejangan.
Walau bagaimanapun, jika kanak-kanak tersebut didapati menolak untuk minum air atau telah pengsan, anda perlu segera membawanya ke hospital untuk mendapatkan rawatan.
Bagi langkah-langkah pecegahan serangan strok haba pula, anda boleh melakukan beberapa petua yang berikut:
- Elakkan berada di luar rumah ketika suhu sedang tinggi iaitu antara pukul 11 pagi sehingga pukul 3 petang.
- Minum banyak air, tidak kiralah air yang sejuk atau tidak, terutamanya jika anda seorang yang aktif atau ketika bersenam
- Pakai pakaian yang longgar dan berwarna terang
- Elakkan daripada melakukan senaman yang melampau
- Sentiasa berada di tempat yang teduh. Jika berada di rumah, anda dicadangkan untuk menutup langsir dan tingkap untuk mengekalkan suhu yang lebih sejuk dalam rumah.
Serangan strok haba adalah satu masalah kesihatan yang boleh membawa maut. Oleh itu, jangan ambil ringan tentang tanda-tanda awal serangan strok haba. Sentiasalah berjaga-jaga dan ambil langkah pencegahan dari awal!
Pilihan Editor: