31.3 C
Kuala Lumpur
Wednesday, July 30, 2025
Utama Blog Laman 85

“Takut dia minta maaf bang!” Penebar roti canai cilik bangga tunjuk skil doh terbang hadapan pelanggan yang tiba-tiba mendarat di kepala si kecil

0

Roti Canai merupakan antara hidangan Malaysia paling ikonik dan salah satu daya tarikan kulinari ialah proses pembuatannya.

Sehinggakan sesetengah restoran menggunakan kehebatan proses pembuatan roti canai untuk menarik pelanggan, terutamanya ketika melambung doh yang telah ditebar sebagai salah satu persembahan hiburan.

TikTok

Namun, tidak semua persembahan roti canai ‘terbang’ itu berakhir dengan sukses seperti yang dirancang, seperti dalam video tular ini.

Dikongsi oleh @abgmadroticanai di TikTok, video itu menunjukkan seorang penebar roti canai cilik cuba mempamerkan kemahiran melambung doh yang telah ditebar di hadapan pelanggan.

TikTok

Skil adik penebar roti canai ini telah membuat para pelanggan spontan terbuka mulut kerana berasa kagum.

Tanpa pula menyangka, tiba-tiba roti canai yang terbang itu mendarat di atas kepala seorang anak kecil, yang menyebabkan kedua-dua penebar roti canai dan si kecil terperanjat.

TikTok

Adik ini kemudian dengan segera meminta maaf dengan comelnya kepada si kecil itu yang menangis serta turut memohon maaf kepada seluruh anggota keluarganya.

“Tak pe! Tak pe!” kata mereka yang ‘sporting’ memberinya semangat untuk meneruskan aksi menebar dan melambung roti canai itu.

TikTok

Penebar roti canai cilik dikenali ‘Adik Terbang’ ini merupakan bintang TikTok dan kerap menunjukkan kemahirannya di Warung Abg Mad Roti Canai di Manjung, Perak. 

Dalam ruangan komen video itu, ramai netizen berasa terhibur dengan aksi comelnya dan walaupun roti terbang telah gagal pada kali ini, kebanyakannya masih kagum dengan kemahiran Adik Terbang seperti yang ditunjukkan dalam video lain.

TikTok

Seorang pengguna TikTok memberi komen yang dia kagum dengan sikap sopan dan budi pekerti tinggi Adik Terbang, apabila dia segera meminta maaf kepada si kecil itu sambil menenangkannya, serta tidak lupa meminta maaf kepada seluruh ahli keluarganya yang berada di warung itu.

“Bagus minta maaf kat adik kecil dengan keluarga dia.. Jadi kenangan lepas ini mesti akan jadi lagi lebih pro..”

TikTok

“Hensem dan berbudi bahasa pula adik ni, pandai terbangkan roti canai tetapi lepas tu terkena adik kecil ini dan tahu segera minta maaf. Terbaik Adik Terbang!”

Bukan senang hendak tebar dan terbangkan doh roti canai, adik ini akan jadi pakar tebar roti canai di masa depan yang ramai orang akan cari. Teruskan usaha hingga berjaya Adik Terbang.

Pilihan Editor:

Video tular sekumpulan gajah ‘tersesat’ dan ‘buat kacau’ memasuki taman perumahan di Kluang, Perhilitan Johor mula ambil tindakan

0

Baru-baru ini, video beberapa ekor gajah ‘sesat’ di Taman Sri Lambak, Kluang, Johor menjadi tular apabila haiwan liar itu memasuki kawasan perumahan sehingga ada melanggar pagar rumah beberapa penduduk.

Difahamkan ia merupakan kejadian berulang kali melibatkan beberapa ekor gajah yang memasuki kawasan perumahan berkenaan.

Aku Budak Kluang / Facebook

Satu video yang tular beberapa hari lalu memaparkan seekor gajah telah memasuki perkarangan sebuah rumah dengan meja dan kerusi yang telah disusun untuk satu keraian.

Kejadian itu dilaporkan berlaku di Jalan Semangat 21, Taman Sri Lambak yang telah menggemparkan para penghuni kediaman berkenaan.

Sukan Star TV / Facebook

Sementara itu, Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Johor dalam satu kenyataan berkata pihak mereka telah mula mengambil tindakan untuk menangkap gajah-gajah berkenaan, berikutan aduan penduduk taman perumahan terbabit. 

Pada 9 Mei, seekor gajah dewasa dipercayai daripada kumpulan gajah yang memasuki kawasan perumahan di daerah Kluang telah ditangkap.

Sukan Star TV / Facebook

Pengarahnya Aminuddin Jamin berkata gajah jantan itu ditangkap di satu kawasan di daerah berkenaan setelah mendapat aduan awam berhubung kehadiran mamalia berkenaan.

Beliau berkata gajah itu dipercayai tersesat daripada kumpulannya yang baru-baru ini memasuki kawasan Taman Sri Lambak, Kluang, sehingga meresahkan penduduk di taman perumahan tersebut.

Sukan Star TV / Facebook

“Kita telah berjaya menangkap gajah berkenaan dan telah dilepaskan di dalam hutan berdekatan tetapi jauh daripada kawasan berpopulasi manusia,” katanya ketika dihubungi media.

Terdahulu, Ahli Dewan Undangan Negeri Kahang R. Vidyananthan berterima kasih kepada pihak Perhilitan kerana berjaya menangkap gajah sesat yang didakwa ditangkap berdekatan Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) Kluang.

Aku Budak Kluang / Facebook

“Perhilitan menggunakan dua ekor gajah denak untuk membantu menangkap gajah tersebut. Ini adalah berita baik kepada penduduk di kawasan ini,” katanya menerusi satu hantaran video di TikTok.

Hasil pemerhatian, tanaman penduduk yang boleh dijadikan makanan antara tarikan utama kumpulan gajah tersebut bertandang ke taman perumahan terbabit.

Pilihan Editor:

Mak cik datang majlis perkahwinan hanya untuk tapau makanan sebelum tetamu lain sempat menjamahnya

0

Perkahwinan berfungsi untuk meraikan penyatuan pasangan pengantin serta kedua belah pihak keluarga mereka dengan jemputan kepada jiran dan rakan untuk mendapat restu.

Walau bagaimanapun, nampaknya akan ada sahaja berlaku drama untuk diingati semasa majlis perkahwinan berlangsung.

Baru-baru ini, seorang lelaki dari Jiangxi di China bernama Song, memuat naik satu video di platform Douyin apabila dia berkongsi insiden yang berlaku semasa majlis perkahwinan yang dihadirinya.

Tangkap Layar Douyin

Dikatakan lelaki itu pergi mengambil semangkuk nasi ketika lauk pauk sedang dihidangkan dan apabila kembali ke mejanya, dia melihat mak cik-mak cik dari meja yang sama telah mengeluarkan beg plastik merah dan menapau semua makanan. Apabila dia duduk, hanya tinggal 1 atau 2 hidangan sahaja.

Menurut Song, ketika kembali ke meja, dia terkejut melihat hidangan makan malam itu sudah hampir licin sebelum dia sempat menjamahnya.

Salah seorang mak cik memberitahu yang lain bahawa lelaki itu belum makan lagi tetapi Song berkata tidak mengapa kerana dia sudah hilang selera makan.

Jadi, akhirnya dia terpaksa pulang ke rumah untuk makan mi segera walaupun sudah memberi sumbangan kepada pengantin baru. Song juga memerhatikan meja-meja lain baru sahaja memulakan jamuan mereka sedangkan hidangan di mejanya telah berakhir ekoran kerakusan segelintir manusia.

Tangkap Layar Douyin

Ramai yang memberi komen di Douyin bahawa makanan di majlis perkahwinan hanya boleh diambil apabila semua tetamu sudah selesai makan.

“Memang tidak mengapa sebenarnya untuk tapau tetapi sekurang-kurangnya tunggulah semua orang telah menghabiskan makanan mereka terlebih dahulu..”

“Kami tidak mempunyai amalan ini di Sichuan. Walaupun tuan rumah meminta kami untuk tapau, saya akan berasa terlalu malu untuk melakukannya.”

“Mak cik-mak cik ini bukan datang untuk makan tetapi untuk tapau!”

Mungkin boleh mengambil makanan dalam majlis untuk mengelakkan pembaziran makanan tetapi kita perlu beringat untuk menghormati tetamu lain juga, serta menunggu untuk mendapatkan keizinan daripada tuan rumah terlebih dahulu.

Pilihan Editor:

Wanita ini daki puncak Gunung Kinabalu dengan bangga memperagakan busana Dusun Kimaragang sempena meraikan semangat Hari Kaamatan

0

Sheryll Josh berbangga dengan budaya warisan Dusun Kimaragang, dan anak watan Sabah itu mahu mempamerkan identitinya kepada dunia, walaupun ini bermakna ketika beliau mencapai puncak tertinggi di Asia Tenggara untuk berbuat demikian.

Pada bulan April lalu, eksekutif pentadbiran itu mendaki Gunung Kinabalu di Sabah yang setinggi 4,095 meter dan memuat naik gambar dirinya dalam pakaian tradisional Dusun Kimaragang di Instagram pada 1 Mei.

“Budaya dan warisan memberikan kita identiti dan rasa kekitaan. Asal-usul masing-masing membantu kita memahami dari mana kita berasal dan bagaimana kita menyesuaikan diri dengan dunia. Mengetahui tentang tradisi, adat resam dan nilai membantu kita berasa terhubung dengan nenek moyang dan masyarakat kita,” kata Sheryll ketika ditemu bual The Star dari Kota Marudu, Kudat baru-baru ini.

Tangkap Layar Instagram/Sheryll Josh

Pendakian itu juga merupakan sebahagian daripada cara Sheryll meraikan sambutan Hari Kaamatan, atau Pesta Menuai, yang akan berlangsung pada 30 dan 31 Mei.

“Sebelum ini, saya pernah melihat gambar pendaki lain yang mendaki Gunung Kinabalu dengan pakaian tradisional. Ia memberi inspirasi kepada saya untuk memakai pakaian tradisional saya sendiri kerana kebanggaan dengan budaya dan warisan saya. Pakaian itu dijahit oleh ibu saya, dan memakainya di Low’s Peak adalah kenangan yang tidak dapat dilupakan. Saya memutuskan untuk memuat naik gambar-gambar itu pada bulan Mei untuk menaikkan semangat meraikan Hari Kaamatan,” katanya.

Dusun Kimaragang ialah salah satu sub-suku Kadazan Dusun. Ia adalah salah satu suku tertua di utara Borneo.

Sheryll terlebih dahulu mendaki ke Low’s Peak dengan pakaian sukan sebelum menukar pakaian tradisionalnya di puncak.

Tangkap Layar Instagram/Sheryll Josh

“Suhu di puncak hampir membeku. Di sana sangat sejuk dan saya menggigil dalam pakaian tanpa lengan itu. Namun, syukurlah, pakaian baldu ini datang dengan hoodie, dan itu membuatkan kepala saya hangat. Namun, kaki saya terdedah, dan ia seperti berdiri di atas ketulan ais. Nasib baik saya tidak mengalami frostbite,” kata Sheryll, yang bekerja di sebuah firma pembinaan.

Hari Kaamatan merupakan hari untuk meraikan musim menuai padi dan menandakan tamatnya kitaran tanaman. Ia adalah masa untuk mengucapkan terima kasih kepada “semangat padi”, atau “Bambaazon”, mendoakan hasil tuaian yang melimpah ruah dan memohon berkat serta kemurahan rezeki untuk tahun-tahun akan datang.

Tangkap Layar Instagram/Sheryll Josh

Sheryll, yang menghidap asma, berlatih selama dua bulan sebelum mencapai puncak tertinggi di Asia Tenggara itu. Ia adalah pendakian ketiganya mendaki Gunung Kinabalu dengan ditemani lima rakan dan seorang malim gunung.

“Saya membawa inhaler dan ubat penting seperti paracetamol dan antihistamine. Saya juga memastikan diri kekal segar dengan minum banyak air dan bernafas melalui hidung dan bukannya mulut dengan sebanyak mungkin,” kata Sheryll, yang juga seorang penyanyi di masa lapangnya.

Tangkap Layar Instagram/Sheryll Josh

Beliau menambah Hari Kaamatan adalah acara penting dalam kalendar kebudayaan Sabah dan disambut dengan penuh semangat dan kebanggaan oleh masyarakat tempatan.

“Semasa perayaan itu, terdapat banyak persembahan kebudayaan, termasuk tarian tradisional seperti sumazau dan magunatip, serta beberapa pertunjukan muzik tradisional lain. Terdapat juga pertandingan ratu cantik dan pameran kraftangan.

“Ia adalah peluang untuk masyarakat tempatan mempamerkan budaya dan tradisi suku masing-masing yang amat kaya dan peluang ini digunakan untuk menyebarkannya serta memupuk minat kepada generasi muda,” jelas Sheryll Josh dengan penuh bangga.

Pilihan Editor:

Isu air paip masin di Sandakan yang berlarutan menyebabkan permintaan terhadap air minuman dan mineral botol meningkat

0

Pasar raya mula mengehadkan penjualan air minuman botol kepada pelanggan di Sandakan di tengah-tengah permintaan yang tinggi kerana pengguna mengadu bekalan air di kediaman mereka hanya menerima “larutan garam” daripada paip dan tangki sejak akhir Oktober.

Kebanyakan pasaran runcit tempatan sering kehabisan stok air minuman dan mineral botol sejak itu, yang menurut penduduk tempatan mereka terpaksa membeli secara pukal sekiranya bekalan air itu benar-benar kehabisan.

Gambar Hiasan / Pixabay

“Kami tidak boleh menggunakan air paip untuk minum atau memasak – ia terlalu masin,” kata Leong Chee Fah, 50 tahun, yang juga sering membeli air minuman botol.

Nasib penduduk di pekan pantai timur itu yang mempunyai kira-kira 300,000 penduduk mula merana bermula pada penghujung Oktober tahun lalu apabila air laut bercampur dengan air sungai di pintu masuk Loji Rawatan Air Segaliud, selepas pintu sungai rosak ekoran diceroboh nelayan dan pencuri kabel, menurut laporan Daily Express.

Pintu itu akhirnya dibaiki bulan lalu tetapi pengguna terus mendapat bekalan masin kerana masih terdapat air laut di dalam kolam takungan loji itu, kata ADUN Elopura dari Parti Warisan Calvin Chong.

Loji Rawatan Air Segaliud (Gambar oleh Daily Express)

“Ia perlu disalir keluar sepenuhnya. Mereka juga perlu memasukkan saluran paip baharu terus dari alur masuk ke loji rawatan tanpa menggunakan air dari dalam kolam.

“Ini boleh membantu menyelesaikan isu air masin,” katanya sambil menggesa pegawai air memantau tahap kemasinan air untuk setiap setengah jam.

“Rakyat sudah hampir setengah tahun membayar bil bulanan untuk bekalan air masin,” katanya.

Sementara itu, Naib Presiden Warisan, Datuk Junz Wong menggesa negeri itu menangani masalah air semasa dengan segera, kerana rakyat berhadapan dengan masalah paip kering sehingga isu tekanan air rendah dan tindakannya seperti “menapak ke medan perang.”

Pembelian air minuman botol di Sandakan dihadkan kepada 3 karton untuk setiap pelanggan (Gambar oleh The Star)

Beliau berkata pemberian air botol percuma dan tangki air perlu dihantar segera ke kawasan yang terjejas.

“Kerajaan mesti menyediakan peruntukan bajet untuk membeli tangki air dan air minuman botol bagi kawasan seperti Sandakan, Kota Kinabalu, Tawau, Putatan, Papar dan kawasan lain yang terjejas.

“Mereka semua amat memerlukan bekalan air bersih…ramai orang sedang menderita,” katanya.

Pilihan Editor:

Bekas suami tabur 80,000 syiling sebagai bayaran nafkah terakhir anak, ibu dan anak perempuan ini bertindak balas dengan cara terbaik

0

Seorang bapa yang baru bercerai di Virginia menaburkan 80,000 syiling di halaman rumah bekas isterinya dari treler kecil untuk membayar nafkah terakhir buat anak perempuannya dengan cara yang bongkak dan cuba memalukan. 

Sebaliknya dengan kejutan tidak dijangka, ibu dan anak perempuan itu memutuskan untuk bertindak balas secara positif terhadap insiden traumatik itu, apabila mendermakan kesemua wang itu kepada badan amal dan tindakan baik mereka telah menyentuh hati seluruh dunia.

Avery Sanford, remaja yang baru berusia 18 tahun, adalah bekas pelajar Deep Run High School di Richmond. Satu hari, semasa dia masih berada di sekolah, bapanya tiba-tiba muncul di depan rumahnya dengan sebuah SUV. Di belakang kereta itu terdapat sebuah treler kecil yang penuh dengan duit syiling, dan dia perlahan-lahan membuang 80,000 duit syiling di tepi halaman rumah mereka.

Inside Edition / YouTube

Pada mulanya, ibu Avery, Raven Sickal, tidak mengenali siapa lelaki itu dan bergegas keluar untuk bertanya kepadanya apa yang dibuangnya. Menurut WTVR, Raven tidak menyedari lelaki itu adalah bekas suaminya yang menjerit, “Ini adalah bayaran nafkah terakhir anak kamu.”

Apabila Avery pulang dari sekolah, syiling itu masih bersepah di kaki lima jalan. Avery dan ibunya tidak menyangka akan menerima timbunan syiling sebagai bayaran nafkah anak membuatkan kedua-duanya berasa terkejut dan sedih.

Avery selepas itu berkata, “Bapa saya bukan sahaja mahu memalukan ibu, tetapi juga saya dan kakak saya, dan dia tidak memikirkannya sebelum melakukannya, dan tindakannya amat mengecewakan.”

Inside Edition / YouTube

Walau bagaimanapun, mereka tidak bertindak balas dengan kemarahan, sebaliknya ibu dan anak perempuan ini dengan pantas memutuskan untuk mendermakan kesemua wang itu kepada badan amal dikenali Safe Harbor, yang bertujuan untuk membantu mangsa keganasan rumah tangga, penderaan seksual dan pemerdagangan manusia yang terselamat di kawasan mereka.

“Ia luar biasa,” kata pengarah eksekutif Safe Harbor Cathy Easter kepada Inside Edition. “Mereka tidak dikalahkan oleh tindakan berniat jahat ini, tetapi mereka bersatu dengan memutuskan untuk meneruskan tindakan mulia dan kasih sayang.”

Cathy menambah kakitangannya amat ‘bersyukur’ apabila pasangan ibu dan anak perempuan itu menghubungi mereka. Tanpa disangka, sebaik sahaja berita itu menjadi tular, lebih ramai orang dari seluruh dunia telah mendapat inspirasi dengan perbuatan baik mereka lalu menyumbang kepada organisasi itu.

Agensi itu mendedahkan mereka dengan segera menerima sumbangan derma lebih AS$47,000 (RM209,000) daripada orang ramai.

Inside Edition / YouTube

Berita itu sungguh menggembirakan pasangan ibu dan anak ini apabila tindak balas positif mereka telah berjaya memberi impak yang begitu besar. “Sumbangan wang ini kepada ibu dan anak-anak yang memerlukan, saya rasa ia benar-benar membawa sesuatu yang positif di sebalik tindakan berniat jahat ini,” kata Avery.

Avery Sanford yang bakal menuntut di Kolej Teknologi Virginia, mengakui dia sudah lama tidak bercakap dengan bapanya dan tidak berminat untuk terus berhubung dengan orang yang tidak menghormati ibu mereka dengan berkata, ”Tidak kira mereka itu masih muda atau tua, tindakan ibu bapa sentiasa memberi kesan kepada anak-anak.”

WTVR juga menghubungi bapa Avery melalui telefon. Dia mendakwa tindakannya pada hari itu adalah “hasil daripada kekecewaan terkumpul selama 18 tahun.” Dia juga berkata perkara terakhir yang dia mahu lakukan adalah untuk terus mengasingkan dirinya dan menyatakan pendirian berkenaan hubungan dengan anak perempuannya.

Namewee kongsi kisah 5 tahun yang penuh berliku ketika cuba untuk menempa nama dalam industri muzik

0

Penyanyi dan penulis lirik terkenal Malaysia, Namewee pada ulang tahun kelahirannya 5 Mei yang lalu telah berkongsi kisah perit getir kehidupannya sebelum dia akhirnya berjaya dan terkenal seperti hari ini.

Namewee 黃明志

Menurutnya, pada 20 tahun yang lalu, dia yang pada ketika itu masih muda telah menyambung pengajiannya di Taiwan, dan dalam masa yang sama, dia turut menggunakan masa yang ada untuk melakukan perlbagai kerja. Tujuannya hanya satu, untuk mengumpul wang yang mencukupi untuk membeli peralatan muzik yang sesuai supaya dia dapat menghasilkan lagu yang berkualiti untuk dijual kepada penyanyi.

“Saya pernah bekerja sebagai pelayan di pelbagai restoran, bekerja di kedai potong ayam, memanjat di bangunan tujuh tingkat untuk membantu orang memasang bar, dan pada cuti musim panas, saya bekerja sebagai pekerja sementara untuk memasang pentas, mengedarkan risalah, bekerja sebagai jurujual, dan dikejar oleh anjing. Tujuannya adalah untuk mengumpul wang bagi membeli peralatan muzik yang lebih baik, merekodkan karya sebagai demo, dan ingin menjualnya kepada penyanyi dalam talian untuk menyanyi.” 

Namewee 黃明志

Bukan itu sahaja, Namewee berkongsi bahawa dia pernah merakam demo di dalam CD dan menghantarnya kepada sekurang-kurangnya 20 atau 30 syarikat rakaman terkenal dan tidak dikenali di Taiwan. Namewee juga pernah menghantar sendiri CDnya dari pintu ke pintu dengan hanya menaiki motosikal.

“Saya melakukannya berulang kali seperti ini, tahun demi tahun, minggu demi minggu, tetapi masih tiada siapa yang mengambil berat tentangnya…” tulis Namewee.

Menurut Namewee, pada masa itu, dia telah berpindah sebanyak lima kali.

“Saya pernah tinggal di tingkat bawah garaj tempat letak kereta, tinggal di bangunan usang, dan tinggal di kawasan berbahaya yang penuh dengan naga dan ular. Untuk menjimatkan wang, saya memasak ketiga-tiga hidangan seharian saya, dan membuat bekalan sendiri apabila saya keluar. Bahan-bahan masakan yang rosak, selagi tidak berbau busuk, saya akan cuba sedaya upaya untuk menghabiskannya…

Namewee 黃明志

“Kemudian, saya pergi ke Super Avenue of Stars untuk bekerja secara sambilan, supaya dapat mendekati mentor penilai. Saya mencuba segala cara untuk memberikan karya saya kepada sesiapa sahaja yang mungkin boleh membantu saya, tetapi semuanya sia-sia…”

Lima tahun mencuba dan terus mencuba, apabila Namewee hampir berputus asa, akhirnya dia mula mendapat harapan baharu, iaitu dengan kewujudan laman YouTube. Melalui medium ini, Namewee mula mencipta namanya sendiri, sehinggalah kini dia sudah dikenali ramai bukan sahaja di Malaysia, malah di negara luar juga.

Sehingga entri ini dihasilkan, kiriman menyentuh hati oleh Namewee ini telahpun meraih sehingga lebih dari 275,000 reaksi, lebih dari 5,100 kongsian dan lebih dari 11,000 komen.

Sememangnya perkongsian kisah masa lalu Namewee yang penuh suka dan duka ini boleh memberi pengajaran kepada sesiapa sahaja yang membacanya. Jangan pernah berputus asa, cubalah sehabis mampu. Segala usaha yang kita lakukan tidak pernah sia-sia…

Pilihan Editor:

Rakyat Malaysia berjaya kumpul dana lebih RM9 juta demi membantu Baby Naail

0

Sejak bulan April, kiriman kutipan derma untuk membantu seorang bayi lelaki bernama Muhammad Naail Wan Aslam atau lebih dikenali sebagai Baby Naail mula ditularkan oleh ramai warganet terutamanya di Malaysia. Menurut sumber, Baby Naail menghidap penyakit Spinal Muscular Atrophy Type 1 (SMA1) yang merupakan sejenis penyakit genetik jarang jumpa selepas Baby Naail mencecah umur empat bulan.

Misi Rakyat

Disebabkan penyakit ini merupakan penyakit yang jarang dijumpai, maka rawatan yang diperlukannya juga memakan kos yang sangat tinggi. Antaranya adalah satu suntikan sekali seumur hidup yang bernilai RM9 juta, yang dikutip hasil sumbangan seluruh rakyat Malaysia yang budiman melalui sebuah web kutipan derma, Misi Rakyat.

Sehingga entri ini dihasilkan, kutipan derma untuk Baby Naail telahpun melebihi sasaran iaitu sebanyak RM9,435,581.00 dan menurut kiriman yang dimuatnaik oleh Pengasas Misi, Nor Ahmad Faiz Mohd Adli, kutipan itu secara sepenuhnya akan digunakan bagi membantu kos rawatan Baby Naail dan dia turut bersyukur dengan segala bantuan yang diberikan oleh seluruh rakyat Malaysia terhadap misi ini.

Misi Rakyat

Berdasarkan sebuah video yang dimuatnaik oleh Nor Ahmad Faiz sendiri, dapat dilihat beberapa nama pengasas terkenal di Malaysia tertera di paparan dengan jumlah derma yang sangat besar seperti Hafiz Mahamad, dengan sumbangan derma bernilai RM100,000 dalam dua transaksi yang berbeza, Ayuni dengan sumbangan derma bernilai RM50,000, Mda dengan sumbangan sebanyak RM25,000, Mukminpro2 dengan sumbangan sebanyak RM21,000 dan ramai lagi rakyat Malaysia yang cukup bermurah hati untuk membantu Baby Naail.

@foundermisi

Tidak dapat dinafikan, bantuan yang diberikan oleh rakyat Malaysia walaupun sekecil RM1 sekalipun benar-benar memberi makna yang besar buat Baby Naail dan keluarga kerana disebabkan jumlah yang terkumpul ini, harapan untuk Baby Naail kembali sembuh semakin mencerah.

@foundermisi

Berikutan sumbangan derma yang berjaya dikumpul ini, ibu kepada Baby Naail, Siti Norraihan Mohd Amin benar-benar bersyukur dan berterima kasih kepada semua penderma yang sudi memberikan bantuan kepada bayinya.

“Sekecil-kecil amaun pun kami sangat hargai, apatah lagi jumlah yang besar nilainya tanpa berkira-kira.

“Lagi-lagi yang menyumbang tanpa mengenali kami.

“Berlapang dadalah kalian. Apa sahaja kebaikan yang kita buat, serahkanlah kepada Allah untuk menilai,” ujarnya dalam temubual bersama SinarPlus.

Terima kasih rakyat Malaysia, ini sememangnya detik yang sangat menyentuh hati.

Pilihan Editor:

Toyota Vios terbabas, rempuh tiang lampu gara-gara dipandu budak usia 6 tahun bersama adiknya

0

Mahu bersiar-siar dan pergi ke kedai, itulah yang dikatakan oleh kanak-kanak lelaki enam tahun ketika ditanya selepas keluar dari Toyota Vios yang terbabas.

Dalam insiden pada malam 9 Mei, seorang budak lelaki berusia enam tahun yang membawa adiknya yang berumur tiga tahun untuk bersiar-siar menggunakan sebuah kereta di Langkawi, telah terbabas dan melanggar sebatang tiang lampu.

Twitter

Ketua Polis Daerah Langkawi Asisten Komisioner Shariman Ashari berkata siasatan awal mendapati kereta Toyota Vios berwarna putih tersebut dipandu kanak-kanak berkenaan tanpa pengetahuan ibu bapa mereka yang berada di rumah di Kampung Padang Mengkuang.

“Kereta tersebut dipandu kanak-kanak lelaki berusia enam tahun sejauh kira-kira 2.5 kilometer dari rumahnya bersama adik lelakinya yang menjadi penumpang.

“Mereka dari arah Ulu Melaka ke Nyior Chabang dan ketika sampai di tempat kejadian kenderaan itu dipercayai terbabas sebelum melanggar tiang lampu berhampiran Titi Chanwang,” katanya dalam satu kenyataan.

Polis berkata, kedua-dua beradik itu dipercayai menyelinap keluar semasa bapa mereka sedang tidur, manakala ibu mereka berada di bilik air.

Twitter

Video kemalangan telah menjadi tular di media sosial. Menerusi rakaman tersebut, kanak-kanak berusia enam tahun kelihatan tenang ketika orang awam datang membantu dan bertanyakan di mana ibu bapa mereka.

“Saya nak pi kedai,” katanya berulang-kali.

Budak yang memandu kereta tersebut mengalami luka kecil di bahagian dagu, namun adiknya tidak mengalami sebarang kecederaan. Kereta berkenaan pula mengalami kerosakan di bahagian hadapan sebelah kiri, terutama di bumper.

Twitter

“Kes disiasat di bawah Seksyen 43 Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan Seksyen 31(1) (a) Akta Kanak-Kanak 2001,” kata Shariman.

Sementara itu, polis telah selesai merekodkan keterangan ibu bapa kedua-dua kanak-kanak berkenaan.

Shariman berkata, pasangan yang berusia 20-an itu telah dipanggil ke Bahagian Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Langkawi dan rakaman percakapan telah selesai kira-kira jam 2 petang, 10 Mei.

“Menurut ibu kanak-kanak itu, sebelum kejadian dia berada bersama dua anaknya berusia tiga dan enam tahun berada di ruang tamu rumah.

“Bagaimanapun ibu dua beradik itu masuk ke dalam bilik air untuk mandi dan sebaik keluar menyedari kedua-dua anaknya telah tiada di ruang tamu. Sebaik mencari di seluruh bahagian rumah tidak menemui anaknya lalu wanita itu mengejutkan suaminya yang sedang tidur di dalam bilik memaklumkan anak mereka telah hilang.

“Ketika suaminya ingin mengambil kunci kereta yang digantung di dinding mendapati kunci tiada dan pemeriksaan di luar rumah turut mendapati kereta tiada di hadapan rumah,” katanya.

Shariman berkata, pihaknya masih menjalankan siasatan lanjut dan keterangan daripada kanak-kanak enam dan tiga tahun itu belum dapat direkod sepenuhnya kerana mereka masih trauma.

Twitter

“Abangnya hanya mengatakan dia tarik dan naik ke atas kerusi lalu mengambil kunci kereta yang digantung di dinding dan selepas itu terus menghidupkan kereta ke kedai untuk membeli kereta mainan,” jelas Shariman.

Polis turut memperoleh rakaman video terbaru dari orang awam yang merekodkan keadaan kereta dipandu ke kiri dan kanan jalan sebelum kereta itu melanggar tiang lampu di Jalan Bukit Tangga.

Pilihan Editor:

Kisah sebenar di sebalik khabar angin guru tadika cantik menyanyikan lagu kanak-kanak menjadi topik hangat sekelip mata

0

Perkara heboh di media sosial di China baru-baru ini adalah apabila semua orang memperkatakan tentang seorang guru tadika cantik manis memuat naik satu video yang menunjukkan beliau menyanyikan lagu kanak-kanak popular di Douyin yang meraih pendapatan hampir 500,000 yuan (RM321,940) semalaman.

Video tersebut menjadi tular dengan 100 juta tontonan tidak lama kemudian dan guru ini menjadi topik perbualan hangat apabila beliau membimbing anak muridnya menyanyikan lagu kanak-kanak bertajuk “Little Garden (小小花园)”. Tarikan wanita ini telah menjadikannya begitu popular sehingga menerima lebih 4.3 juta peminat dalam sekelip mata.

Tangkap Layar Douyin

Guru itu yang dikenali sebagai Cikgu Huang (黄老师) dari Wuhan, terperangkap dalam pelbagai kontroversi selepas menjadi tular. Kata Hype, terdapat banyak ‘kekotoran’ yang digali mengenai guru tadika ini, dan seperti biasa, apabila sudah popular khabar angin mula merebak seperti api. Walau bagaimanapun, yang mana satu khabar angin ini benar, dan berapa banyak yang palsu?

Khabar angin 1: Sebelum menjadi tular, Cikgu Huang adalah artis penstriman langsung dengan kontrak

Beberapa warga maya di China mendedahkan Cikgu Huang sebagai selebriti internet kontrak sebelum videonya tularnya. Dikhabarkan Huang menandatangani kontrak di bawah Joy Media, sebuah agensi MCN (Rangkaian Pelbagai Saluran) terkemuka di China dengan lebih 10 ribu pencipta kandungan dan penstriman serta pempengaruh dengan kontrak di bawah mereka.

Menurut media Shang Yui, Joy Media menjelaskan Cikgu Huang bukanlah artis kontrak di bawah mereka. Biasanya, akan ada label jenama pada profil Douyin untuk selebriti internet yang bekerja di bawah agensi MCN, namun label jenama ini tidak ditemui pada profil Cikgu Huang.

Tangkap Layar Douyin

Khabar angin 2: Cikgu Huang telah berhenti kerja sebagai pengajar untuk memberi fokus penstriman video sepenuh masa

Terdapat banyak tangkap layar beredar dalam talian mengenai peningkatan jumlah siaran langsung dan e-dagang Cikgu Huang selepas beliau menjadi tular. Jadi, tidak hairan pelbagai khabar angin turut tersebar mengenai Cikgu Huang berhenti kerja sebagai guru muzik tadika selepas menerima pendapatan 2 juta yuan (RM1.28 juta) untuk 3 penstriman langsung, bersamaan 10 tahun gaji yang diterimanya sebagai guru.

Menurut rakan sekerja guru itu, Huang tidak berhenti kerja dan masih bekerja di tadika. Perkara itu turut disahkan oleh Huang sendiri yang berkata beliau akan terus bertugas sebagai guru tadika, “Untuk hari-hari akan datang, saya mahu terus menggunakan muzik untuk menyembuhkan hati lebih ramai orang.”

Tangkap Layar Douyin

Khabar angin 3: Huang menerima ganjaran bernilai lebih 2 juta untuk hanya satu strim langsung

Ada yang mendakwa Cikgu Huang menerima lebih daripada 2 juta ganjaran bernilai untuk satu penstriman langsung. Selepas menjadi tular, Huang telah membuat penstriman langsung dengan lebih kerap. Setiap strimnya mempunyai purata 100 ribu penonton, dengan penonton menghadiahkan lebih banyak ganjaran kepadanya. Profesional menganggarkan dengan jumlah yang beliau dapat dalam setiap strim video langsung, ia akan menambah jumlah beberapa penstriman untuk pempengaruh lain.

Sementara itu, Huang juga telah menjual beberapa produk pada profil Douyin. Memandangkan tempatnya mengajar merupakan tadika swasta, pentadbiran sekolah tidak mempunyai hak untuk terlibat dengan aktiviti lain guru tersebut. Oleh itu, mereka tidak jelas tentang pendapatannya berkaitan hadiah dan promosi e-dagang. Sementara Huang masih belum mengulas atau memberi komen mengenai khabar angin berkenaan.

Tangkap Layar Douyin

Khabar angin 4: Huang tiada kelayakan mengajar

Khabarnya Huang tidak mempunyai kelayakan mengajar. Ini, sebenarnya adalah benar. Menurut sumber yang dimaklumkan, Huang hanya mempunyai sijil latihan muzik daripada Institut Latihan Orff. Namun, dengan sijil muzik Orff ini, ia memberikan kelayakan yang mencukupi untuk mengajar muzik.

Malahan, tadika swasta itu meluluskan kemasukan Huang dengan tahap kelayakannya selepas membuat penilaian tahunan. “Beliau hanya bertanggungjawab dalam mata pelajaran muzik dan merupakan pekerja tetap dengan kontrak. Walau bagaimanapun, beliau membayar insurans sosial sendiri di tempat lain. Beliau telah bekerja (sebagai guru) selama 4 tahun,” kata pihak sekolah.

Tangkap Layar Douyin

Khabar angin 5: Huang menjadi mangsa buli siber

Cikgu Huang bukan satu-satunya guru tadika yang terkenal dengan lagu kanak-kanak “Little Garden”. Atas sebab ini, ramai warga maya telah membincangkan secara meluas tentang guru tadika yang mana satu, yang telah memulakan trend ini, dan yang mana satu lebih cantik, serta lain-lain. Terdapat banyak perbandingan, kritikan dan juga serangan peribadi oleh pembuli siber.

Video strim langsung Huang ada memaparkan beliau mengesat air matanya setelah disiarkan dalam talian oleh seorang warga maya, dengan kapsyen berbunyi, “Terharu sampai menangis. Beliau ‘mendapat’ keseluruhan rumah hanya melalui satu lagu.” Melalui video ini, Huang menjawab dengan berkata, “Menjadi popular telah membawa beberapa kesan baik dan buruk ke dalam hidup saya. Untuk berhadapan dakwaan negatif, saya akan mengubah minda dan terus bekerja dengan baik dalam pekerjaan saya sendiri.”

Tangkap Layar Douyin

Khabar angin 6: Huang disyaki melanggar hak cipta “Little Garden” kerana menyanyikannya secara langsung

Cikgu Huang telah menyanyikan lagu “Little Garden” secara langsung semasa penstriman langsung yang tular dan menerima ganjaran untuknya, dan oleh itu, beliau boleh disaman atas pelanggaran hak cipta oleh pencipta asal. Menurut pengarah sebuah firma guaman, Huang terlibat dalam aktiviti komersial dan mesti mendapatkan persetujuan pencipta asal untuk menyanyikannya dalam siaran langsung. Undang-undang menyatakan pencipta lagu boleh meminta Huang memikul tanggungjawab sivil seperti menghentikan pelanggaran hak cipta, mengalih keluar pempengaruh dalam taliannya, dan membuat permohonan maaf, atau malahan membayar pampasan atas kerugian orang lain.

Apa-apa pun, guru tadika ini tidak menyangka dirinya boleh menjadi tular dan popular dalam sekelip mata hanya kerana menyanyikan lagu kanak-kanak. Cuba kalau guru tadika itu tidaklah secantik manis dan menarik perhatian sepertinya menyanyikan “Little Garden” secara langsung. Mungkinkah boleh tular semalaman anda rasa?

Tonton video di bawah:

Pilihan Editor: