Di Malaysia, Bahasa Melayu merupakan bahasa rasmi dan bahasa utama yang dituturkan oleh penduduk. Oleh itu, tidak hairanlah apabila boleh dikatakan hampir semua rakyat Malaysia fasih dan faham apabila berbahasa Melayu.
Walau bagaimanapun, untuk melihat warga asing yang fasih berbahasa Melayu, dengan kadar pelat yang sangat minima, memang tidak dinafikan agak sukar ditemui. Apalagi jika si penutur tidak menetap di Malaysia.
Tetapi baru-baru ini, tular di media sosial apabila rakaman video seorang wanita Vietnam yang sedang berbual dalam Bahasa Melayu telah menarik perhatian ribuan warganet.
Berdasarkan video yang dimuatnaik di laman Twitter oleh @faizfayeshz pada 17 Mei lalu, video pendek berdurasi 1:01 itu menunjukkan seorang wanita yang sedang menerangkan tentang jenis-jenis makanan halal yang dijual dan kedudukan kedai-kedai kopi di sebuah bandar di Vietnam, sambil mengesyorkan minuman yang patut dicuba oleh perakam video, seorang lelaki yang dipercayai merupakan pelancong di negara Vietnam.
Walaupun video yang dirakam itu tidaklah terlalu lama, namun dengan jelas dapat dilihat bahawa wanita itu memang benar-benar fasih berbahasa Melayu dengan hampir tiada kesalahan ketara mahupun pelat dalam sebutan setiap perkataan. Hebat betul!
Berdasarkan komen yang ditinggalkan dalam kiriman itu, beberapa warganet ada menyatakan bahawa wanita yang dirakam itu bernama Lily, dan dia sememangnya berasal dan menetap di Vietnam, tetapi dia menjadi fasih berbahasa Melayu setelah mempelajarinya daripada pelanggan-pelanggan dari Malaysia, tanpa ada memasuki mana-mana kelas Bahasa Melayu. Wah, memang mengagumkan!
Sehingga entri ini dihasilkan, kiriman ini telah meraih sehingga lebih dari 742,300 tontonan, 8,828 sukaan, 3,921 ulang ciap dan 98 komen daripada warganet yang teruja dengan kebijaksanaan wanita ini.
Memang tidak jemu mendengar penerangan dalam Bahasa Melayu yang diberikan oleh Lily!
Pilihan Editor: