32 C
Kuala Lumpur
Monday, September 15, 2025
Utama Blog Laman 350

Video perkongsian teknik yang sepatutnya memudahkan penonton ini dengan mudahnya ‘dicantas’ ideanya oleh lelaki dengan raut wajah bersahaja ini

0

Video-video lucu yang terdapat di internet sememangnya tidak akan mengecewakan.

Tidak hairanlah apabila ramai orang memilih untuk mencari video-video yang lucu yang dimuat naik oleh warganet di seluruh dunia untuk mengurangkan tekanan ketika mereka mengalami hari yang meletihkan!

Salah satu video yang semakin mendapat perhatian ramai adalah video dari aplikasi TikTok yang dimuat naik oleh seorang lelaki berkulit gelap yang mempunyai reaksi muka yang paling menghiburkan dalam menyampaikan kandungan videonya.

One FM/Facebook

Dalam kebanyakan video yang dimuat naik, lelaki ini lazimnya akan mengambil satu petikan video helah kehidupan yang sepatutnya memudahkan lagi manusia untuk menyelesaikan masalah dalam kehidupan seharian.

Bagaimanapun, nampaknya, video-video yang dilampirkan ini sememangnya adalah helah yang tidak masuk akal, dan ada kalanya lebih menyusahkan daripada memudahkan!

One FM/Facebook

Contohnya adalah seperti petikan video yang menunjukkan bagaimana seorang wanita yang menggunting plastik buku roti untuk mengikatnya bagi ‘memudahkan’ proses penyimpanan.

Bagaimanapun, selepas tamat video helah itu, muncul pula wajah lelaki ini dengan muka bersahajanya yang menunjukkan cara yang jauh lebih mudah untuk mengikat bungkusan roti itu, tanpa perlu menggunting atau mengoyakkan plastik roti itu pun!

Caranya mudah, ikat sahajalah plastik roti itu!

One FM/Facebook

Sebenarnya, kebanyakan perkongsian daripada lelaki ini sememangnya lebih logik dan mudah berbanding video helah yang dikongsikan di awal video yang sama. Tambah melucukan lagi video adalah raut wajah bersahaja lelaki ini yang sepertinya sudah ‘bosan’ dengan tips yang tidak masuk akal!

Ada kalanya, lelaki ini siap menggelengkan kepalanya selepas ‘menyelesaikan’ tugasan yang dilakukan! Amboi, gayanya benar-benar seperti sudah tidak tahan lagi dengan helah yang menyusahkan!

One FM/Facebook

Oleh itu, menerusi video yang dikongsikan dalam entri ini, anda akan menyaksikan beberapa klip video pendek yang telah digabungkan untuk hiburan dan tips kehidupan yang mungkin boleh anda praktikkan sambil mengenangkan raut wajah lucu lelaki ini.

Semoga terhibur!

Ketua Pengarah Kesihatan: 9 petugas kesihatan dijangkiti COVID-19 selepas melengkapkan dua dos vaksin

0

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah pada 16 April menerusi kiriman di laman Facebooknya mengesahkan bahawa seramai sembilan orang petugas kesihatan yang telah menerima dua dos lengkap vaksin COVID-19 didapati dijangkiti virus berkenaan.

Noor Hisham Abdullah/Facebook

Menurutnya dalam kenyataan tersebut, sembilan orang petugas kesihatan terbabit telah dijangkiti COVID-19 selepas dua minggu melengkapkan dos suntikan vaksin.

Disamping itu, 31 kes lagi yang turut sama melibatkan petugas kesihatan telah dikesan kurang dari tempoh dua minggu selepas mereka melengkapkan dos kedua vaksin COVID-19.

Tambahnya, walaupun sehingga kini direkodkan bahawa seramai 142 orang petugas kesihatan telah dijangkiti COVID-19 selepas menerima dos pertama vaksin, namun, kesemua pesakit yang terlibat didapati tidak menunjukkan gejala yang teruk.

Noor Hisham Abdullah/Facebook

“Paling penting sekali semua (pesakit) tidak mengalami gejala yang teruk. Jelas sekali bahawa kita masih lagi boleh dijangkiti (COVID-19) selepas melengkapkan dos vaksin tetapi dengan gejala yang lebih berkurangan,” tulisnya dalam kiriman tersebut.

Sehubungan itu, Tan Sri Dr Noor Hisham sekali lagi mengingatkan orang ramai untuk kekal mengamalkan prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan. “Tiada siapa yang akan selamat selagi semua orang belum selamat,” tulisnya menamatkan kiriman.

Lelaki ini dipotong gaji kerana didapati menghabiskan 50 jam waktu bekerja di dalam tandas

0

Baru-baru ini, seorang pekerja lelaki dari sebuah syarikat di Daerah Zhonghe, Taipei telah memuat naik kiriman di internet untuk mendapatkan pandangan daripada warganet tentang situasinya yang ‘ditindas’ oleh majikannya hanya kerana dia didapati pergi ke tandas untuk masa yang terlalu lama.

Menurut lelaki berkenaan, pada bulan Mac yang lalu, dia telah hadir bekerja selama 22 hari (195 jam waktu bekerja). Selepas menolak beberapa amaun tolakan wajib, dia sepatutnya menerima sebanyak 30,222 yuan (RM19,129.35) pada bulan tersebut, tetapi malangnya, dia hanya menerima sebanyak 25,822 yuan (RM16,344.32) sahaja.

Gambar hiasan. Unsplash

Penolakan bayaran gaji ini bagaimanapun langsung tidak dimaklumkan kepadanya terlebih dahulu dan selepas dia menemui wakil syarikatnya, dia mendapati bahawa mereka memberi alasan penolakan gajinya kerana pihak syarikat mendakwa bahawa dia terlalu banyak menghabiskan masa di dalam tandas ketika waktu bekerja.

Syarikat itu telah melakukan pemeriksaan dan mendapati bahawa dia telah menghabiskan masa selama 49.5 jam di dalam tandas dalam masa satu bulan. Oleh itu, dia tidak akan dibayar untuk 27.5 jam masa yang berlebihan selepas syarikat menolak 22 jam tempoh masa yang dibenarkan (dengan satu jam masa di tandas untuk setiap hari bekerja).

Kiriman lelaki ini bagaimanapun tidak mendapat respon yang diinginkan olehnya kerana selepas dimuat naik, didapati kebanyakan warganet merasakan bahawa lelaki ini telah menghabiskan terlalu banyak masa di dalam tandas.

“Kamu menghabiskan masa selama 49.5 jam di dalam tandas selama 22 hari. Ini bermaksud kamu telah menghabiskan kira-kira 2.25 jam di tandas sehari! Adakah kamu pasti untuk tidak berjumpa doktor terlebih dahulu? Sekiranya bukan masalah fizikal, maka kamu benar-benar serius untuk menjadi seorang pencuri gaji,” tulis salah seorang warganet.

Gambar hiasan. Unsplash

“Kamu pergi (ke tandas) terlalu lama. Paling lama untuk orang normal yang mengalami cirit-birit atau duduk di tandas adalah selama setengah jam!”

“Bekerja selama 8 jam sehari, syarikat masih boleh membenarkan pergi ke tandas selama 1 jam dalam 8 jam. Di manakah syarikat ini? Adakah mereka memerlukan pekerja lagi?” tulis warganet yang lainnya.

Menerangkan tentang keadaan kesihatannya, lelaki terbabit mendakwa bahawa dia selalu mempunyai masalah dengan perutnya. Dia turut mengakui bahawa dia telah mengambil masa yang terlalu lama di dalam tandas, tetapi pemotongan gaji yang dikenakan oleh syarikatnya ini pada pandangannya adalah satu perkara yang tidak sepatutnya berlaku.

Katanya, dia masih mempertimbangkan keputusannya untuk membawa perkara ini kepada Biro Tenaga Kerja untuk tindakan selanjutnya.

Pelajar ‘ketagih’ bau kucing, sempat benamkan muka pada tubuh kucing selama 15 saat!

0

Baru-baru ini, tular satu video yang menunjukkan seorang pelajar sekolah bertindak menghampiri seekor kucing lalu menghidunya.

Kelakuan ini dipanggil sebagai ‘cat huffing’ yang melibatkan seseorang membenamkan wajahnya pada bahagian tubuh kucing – lazimnya pada perut dan leher bagi menyedut ‘aroma’ kucing.

Foto hiasan/Pixabay

Pelajar terbabit sebenarnya merupakan seorang pencinta kucing. Pada mulanya, dia kelihatan berjalan menghampiri kucing yang berada di atas kotak.

Kemudian, dia menghulurkan tangannya bagi menyentuh muka kucing terbabit. Kucing itu pula kelihatan santai dan hanya membiarkan sahaja insan penyayang itu mendekatinya.

ET Today

Setelah itu, pelajar tersebut mula membenamkan mukanya pada sisi tubuh kucing berkenaan, selama hampir 15 saat! Wangilah bau kucing itu agaknya ya..

ET Today
ET Today

Menurut sumber, kucing betina bernama Miao itu sebenarnya adalah kucing terbiar. Miao kemudian datang ke rumah pelajar dan semenjak itu, keluarga pelajar itu mula membelanya.

ET Today

Ya, bau kucing kesayangan kita begitu mengasyikkan dan buat ramai yang ketagih dimana ia tidak membahayakan.

Jelas pakar, kelakuan itu setakat ini tidak membawa sebarang kesan sampingan. Jika kucing gemar menghidu ‘catnip’, maka kita pula suka menghidu bau mereka. Merekalah ‘catnip’ buat manusia..

Lori mengundur tanpa pemandu rempuh 2 kereta yang diparkir di tempat letak kenderaan berhampiran stesen minyak

0

Malang tidak berbau akibat kecuaian pemandu lain, apabila dua buah kereta yang diparkir di tempat letak kenderaan di sebuah stesen minyak dirempuh sebuah lori yang mengundur tanpa kawalan pemandu yang tiada di dalam.

Dua buah kereta mengalami kerosakan teruk setelah lori berkenaan tiba-tiba mengundur menuruni jalan yang dilalui kenderaan selepas mengisi petrol di dua stesen minyak yang berada bersebelahan.

Facebook

Rakaman CCTV dari lokasi kejadian stesen minyak Petronas Prima Saujana, Kajang itu menjadi tular di Facebook menunjukkan bagaimana lori terbabit tiba-tiba mengundur menuruni jalan berbukit, dengan beberapa buah kenderaan dilihat telah mengelak lori sedang mengundur dan melalui lorong kecil di sebelah kanan.

Sebuah kereta yang ingin memasuki stesen minyak Shell bersebelahan turut dilihat mengundur dengan pantas setelah menyedari lori mengundur berkenaan seperti hilang kawalan dan ingin merempuhnya.

Facebook

Kereta jenis MPV itu berjaya mengelak tetapi dua buah kereta yang diparkir di tempat letak kenderaan berhampiran stesen Petronas telah dirempuh dan diheret oleh lori mengundur terbabit.

Facebook

Dua buah kamera CCTV dari sisi berlainan menunjukkan lori terbabit telah mengundur tanpa kawalan pemandu di dalamnya. 

Facebook

Ketika insiden, pemandu dilihat berlari mendapatkan lorinya yang telah merempuh sehingga merosakkan dua buah kereta berwarna putih dan hitam.

Facebook

Dua buah kereta terbabit telah mengalami kerosakan teruk akibat kecuaian pemandu lori berkenaan. Sebuah lori kecil turut kelihatan terbabit dengan mengalami sedikit kerosakan.

Facebook

Mujur ketika insiden kemalangan, pemandu atau penumpang tidak berada di dalam kenderaan.

Tonton video di sini.

India lapor lebih 200,000 kes baharu COVID-19 dalam sehari

0

NEW DELHI – India melaporkan lebih 200,000 kes baharu COVID-19 pada 15 April, sekali gus melonjakkan angka kes positif di negara itu melepasi 14 juta orang.

Reuters melaporkan, situasi penularan itu meletakkan sistem kesihatan negara itu dalam keadaan seperti ‘telur di hujung tanduk’, sekiranya tiada langkah memutuskan rantaian jangkitan dilakukan.

Di New Delhi, puluhan hotel dan dewan perkahwinan ditukar menjadi pusat untuk pesakit COVID-19, dan dihubungkan dengan hospital. Di hospital pula, keadaannya sesak sehingga penjarakan fizikal dan aturan pergerakan yang sistematik sukar dipatuhi.

Twitter

“Kenaikan kes ini menakutkan,” menurut pakar kesihatan kerajaan S.K. Sarin, di New Delhi.

Ketua Menteri Delhi, Arvind Kejriwal, mengumumkan perintah berkurung pada minggu lalu untuk memutuskan rantaian jangkitan di bandar raya tersebut, yang mencatatkan 17,282 kes positif baharu dan 104 kematian dalam tempoh 24 jam.

Pergerakan pekerja stesen kereta api, hospital dan lapangan terbang dibenarkan sebagai sebahagian daripada perkhidmatan perlu, namun pusat beli-belah, gimnasium, spa dan auditorium diarah tutup.

Arvind menambah, 5,000 katil di hospital disediakan dan lebih banyak akan ditambah kemudian. Beliau mendakwa tiada masalah kekurangan katil di ibu negara itu.

Sementara itu, hiruk-pikuk di bandar raya kewangan terbesar India, Mumbai, kini sedikit lengang kerana masih dalam perintah berkurung untuk mengekang penyebaran virus COVID-19.

Langkah terpaksa diambil selepas pihak berkuasa negeri Maharashtra yang paling teruk dicengkam pandemik, mengambil langkah menutup kebanyakan aktiviti industri, perniagaan dan tempat awam selain mengehadkan pergerakan rakyatnya selama 15 hari. Namun begitu, perkhidmatan kereta api dan laluan udara masih beroperasi.

Twitter

Berkenaan 200,739 kes jangkitan baharu yang direkodkan dalam masa 24 jam, Menteri Kesihatan negara itu juga mendedahkan tentang 1,038 kematian baharu, menjadikan jumlah keseluruhan angka korban menjadi 173,123 orang sejak pandemik bermula pada tahun lalu.

Kes positif COVID-19 keseluruhan di India adalah yang kedua tertinggi selepas Amerika Syarikat dan angka kematiannya pula di kedudukan keempat di belakang Amerika Syarikat, Brazil dan Mexico.

Dipercayai, statistik sebenar berkaitan COVID-19 di India adalah lebih tinggi daripada yang direkodkan.

Isteri peguam hak asasi manusia di China dakwa suaminya dibunuh oleh Parti Komunis China dan minta abunya dikembalikan

0

Isteri kepada seorang peguam hak asasi manusia, Gao Zhisheng yang dikenali sebagai “China’s Conscience” baru-baru ini telah mendakwa bahawa Parti Komunis China telah membunuh suaminya.

Pada 14 April lalu, dia telah menuntut Beijing untuk menjawab dua permintaan dan mengatakan dia akan mengambil tindakan lebih lanjut jika haknya untuk mendapatkan maklumat mengenai suaminya yang berada dalam tahanan negara dinafikan.

“Sekiranya Gao Zhisheng benar-benar telah meninggal dunia, saya meminta PKC untuk mengembalikan abunya, atas dasar kemanusiaan,” kata isteri Geng He kepada The Epoch Times dalam wawancara telefon pada 14 April.

“(Sekiranya Gao masih hidup), saya ingin ditahan di penjara yang sama dengan Gao. Saya meminta kedutaan China mengeluarkan visa kepada saya dan membiarkan saya memasuki China,” tambah Geng lagi.

Peguam hak asasi manusia Gao Zhisheng. (The Epoch Times)

Gao adalah seorang peguam, pembangkang, dan pengarang hak asasi manusia yang terkenal di China, dan 20 April ini dia akan meraikan ulang tahunnya yang ke-57.

Gao dikatakan menimbulkan kemarahan PKC apabila dia terus menerus menentang penganiayaan parti itu terhadap rakyat China. Dia bahkan telah menawarkan khidmat bantuan guaman termasuk pro bono bagi mempertahankan kumpulan yang ditindas di China sejak awal 2000-an lagi. Pada tahun 2006, dia telah ditahan di rumahnya dan juga telah diseksa.

Pada 13 Ogos 2017, Gao hilang dari rumah saudaranya di daerah Jia, bandar Yulin, di Provinsi Shaanxi di barat laut China. Biro Polisi bandar Yulin kemudian mengesahkan bahawa parti komunis telah menahan Gao tetapi enggan mengatakan di mana dia ditahan.

15 April merupakan hari ke-1,140 sejak kehilangan Gao. Selama ini, rejim menolak Gao melakukan kunjungan saudara mara dan menolak untuk memberikan maklumat mengenai dirinya.

Gao Zhisheng, Geng (isteri), dan dua anak mereka di Beijing. (The Epoch Times)

Rentetan daripada kejadian tersebut, isteri Gao, Geng melarikan diri dari China dengan anak perempuan mereka yang berusia 16 tahun dan anak lelaki berusia 5 tahun pada tahun 2009 dengan bantuan sebuah kumpulan agama dan kemudian ditawarkan perlindungan oleh Amerika Syarikat.

Selama tiga tahun kebelakangan ini, Geng terus memberi tekanan kepada pihak berkuasa China untuk mendapatkan maklumat mengenai keadaan suaminya tetapi masih belum mendapat maklum balas.

“Saya menghubungi saudara-mara kami (di China pada 9 April) dan mereka memberitahu saya bahawa mereka telah menghubungi biro polis bandar Yulin untuk mendapatkan maklumat mengenai Gao. Polis kemudian memberitahu bahawa hubungan AS-China kini menjadi tegang. Gao adalah figura yang sensitif dan tidak ada yang boleh mengunjungi Gao,” kata Geng.

Mengetahui dengan jelas kejahatan yang mampu dilakukan oleh rejim komunis China telah membuatkan Geng sering risau akan keadaan suaminya.

Geng, isteri Gao Zhisheng, pada sidang akhbar di Hong Kong pada 30 Jun 2019. (Li Yi/The Epoch Times)

“(Rejim) tidak membenarkan saudara-mara mengunjunginya, tidak membebaskannya, tidak menunjukkan gambarnya … Saya bimbang dia telah meninggal dunia. Saya ingin melihatnya jika dia masih hidup dan melihat mayatnya jika dia mati,” kata Geng kepada The Epoch Times sambil menangis.

Biro polis bandar Yulin telah mereka-reka pelbagai cerita mengenai keberadaan Gao kepada keluarganya. Kadang-kadang mereka mengatakan Gao ditahan di Beijing, sementara beberapa hari kemudian, mereka mengatakan Gao ditahan di daerah Jia. Biro polis daerah Jia pula memberitahu keluarga bahawa kes Gao dikendalikan oleh bandar Yulin, dan mereka tidak tahu apa-apa mengenai perkara tersebut.

“Tahun lalu, pihak polis bandar Yulin mendakwa bahawa sesiapa pun tidak boleh mengunjungi Gao kerana wabak. Sekarang, mereka telah membuat alasan lain,” beritahu Geng lagi.

Pada 28 November 2007, Gao memutuskan untuk mempertaruhkan nyawanya dan menjelaskan kepada dunia luar dalam tulisannya tentang apa yang dia alami di penjara di Beijing beberapa bulan sebelumnya. Tulisannya telah diseludup keluar dari China dengan bantuan rakan-rakan.

Gao Zhisheng berada di pejabatnya di Beijing pada November 2005. (VERNA YU/AFP /Getty Image)

“Empat batang rod elektrik mengejutkan saya dalam masa yang sama. Saya merasakan organ dan otot saya ‘melompat’ dengan cepat di bawah kulit saya sebagai usaha untuk melepaskan diri dari kejutan elektrik,” tulis Gao dalam satu artikel berjudul  Dark Night, Dark Hood, and Kidnapping by Dark Mafia.

“Ketika saya berguling-guling di lantai kerana kesakitan, polis yang diberi nama Wang mula mengejutkan alat kelamin saya menggunakan rod elektrik.”

Setelah berjam-jam dikejutkan dengan elektrik, polis menyalakan lima batang rokok pada masa yang sama dan menghembuskan asap ke hidung dan mata selama dua jam. “(Pada masa itu,) Saya hanya dapat merasakan air mata menitis di kaki saya. Saya bahkan tidak menyedari tindakan polis itu,” tulis Gao lagi.

Penyeksaan itu berlanjutan selama lebih daripada 50 hari, dan Gao pengsan dan tidak sedarkan diri berulang kali.

Geng mengatakan bahawa dia telah membesarkan anak-anak mereka menjadi dewasa sekarang, dan dia benar-benar ingin menemani suaminya.

Gao Zhisheng disebut sebagai “China’s Conscience” oleh banyak aktivis hak asasi manusia di dalam dan di luar China, termasuk mantan Setiausaha Negara Kanada untuk Asia-Pasifik, David Kilgour.

Gao tiga kali dicalonkan untuk Hadiah Nobel Perdamaian, pada tahun 2007, 2008, dan 2010.

Pada awal tahun 2000-an, Gao mewakili beberapa pengikut Falun Gong dalam kes-kes yang melibatkan campur tangan rejim PKC yang telah melarang latihan spiritual Falun Gong dilakukan. Ramai pengikut Falun Gong diseksa dan rumah mereka diserbu.

Menjelang akhir tahun 2004 dan awal tahun 2005, Gao menulis tiga surat kepada pemimpin China ketika itu, Hu Jintao dan perdana menteri Wen Jiabao, memberitahu mereka tentang ketidakadilan yang dialami oleh pengamal Falun Gong dan penderaan yang mereka alami.

Pada bulan November 2005, Gao dan Geng mengumumkan bahawa mereka telah keluar dari PKC.

Pada bulan Ogos 2006, lesen Gao untuk mengamalkan undang-undang dicabut dan dia ditahan selama empat bulan. Pada tahun 2007, dia ditahan selama lebih dari 50 hari. Pada Februari 2009, dia dikatakan telah hilang.

Pada bulan April 2010, Gao muncul dalam wawancara dengan The Associated Press di rumahnya di Beijing. Selepas itu, dia ditahan lagi selama kira-kira 20 bulan.

Pada bulan Disember 2011, rejim mengumumkan bahawa Gao telah dijatuhkan hukuman penjara selama tiga tahun. Pada tahun 2014, rejim membebaskan Gao tetapi menahannya sehingga dia hilang lagi pada tahun 2017.

Kerana penyeksaan itu, Gao hampir kehilangan giginya pada tahun 2014. Menurut Geng, suaminya juga diseksa dengan penyeksaan yang mengerikan seperti kemaluannya dicucuk dengan menggunakan pencungkil gigi.

China pertimbang untuk mencampurkan vaksin COVID-19 bagi meningkatkan keberkesanan – pegawai atasan CDC China

0

Setelah rejim China mengedarkan ratusan juta dos vaksin COVID-19 ke luar negara, pegawai kesihatan atasan negara itu mengakui pada 10 April bahawa keberkesanan vaksin buatan China adalah rendah.

“Vaksin buatan China ‘tidak memiliki kadar perlindungan yang sangat tinggi’. Sekarang sedang dipertimbangkan secara formal apakah kita harus menggunakan vaksin yang berlainan dari garis teknikal yang berbeza untuk proses imunisasi,” kata pengarah CDC China, George Fu Gao ketika Persidangan Vaksin dan Kesihatan Nasional 2021 di Chengdu. 

Media milik negara China melaporkan dalam persidangan itu tetapi tidak menyebut komen Gao mengenai keberkesanan vaksin domestik.

Seorang wanita sedang menerima vaksinasi di Wuhan pada 8 April, 2021 (Gambar oleh Getty Images)

Kadar keberkesanan vaksin buatan China dilaporkan 50.4 peratus di Brazil, serta 33.3 peratus dan 11.5 peratus di Peru untuk vaksin buatan Wuhan dan Beijing, angka yang telah ditolak oleh Parti Komunis China yang berkuasa.

Pengilang vaksin yang berpangkalan di China, Sinopharm melaporkan bahawa vaksinnya dari Institut Wuhan mempunyai kadar keberkesanan 72.5 peratus semasa percubaan Fasa III. Vaksin Pfizer-BioNTech mempunyai keberkesanan yang dilaporkan pada kadar 95 peratus dan vaksin Moderna pada kadar 94.1 peratus.

Kata-kata Gao mendedahkan bahawa pihaknya tahu bahawa vaksin buatan China mungkin tidak memberikan perlindungan yang diharapkan oleh kebanyakan individu.

Keberkesanan rendah

Pengarah CDC China Gao Fu ketika sidang media di Beijing, China (Gambar oleh Noel Celis / AFP /Getty Images)

Gao hingga kini agak kritikal terhadap keberkesanan vaksin mRNA yang ditawarkan oleh Pfizer-BioNTech dan Moderna.

Namun, dalam persidangan di Chengdu, Gao tiba-tiba berubah nada suara ketika mendedahkan bahawa pihak berkuasa mengakui keberkesanan vaksin buatan China yang rendah.

“Setiap orang harus mempertimbangkan manfaat yang dapat diberikan oleh vaksin mRNA kepada umat manusia. Kita harus mengikutinya dengan teliti dan tidak mengabaikannya hanya kerana kita sudah memiliki beberapa jenis vaksin,” kata Gao.

Gao tidak memberikan kaedah yang jelas tentang bagaimana penyelidik akan mencampurkan pelbagai vaksin untuk menyuntik vaksin kepada masyarakat. Tetapi dia secara tersirat memberitahu pelbagai jenis vaksin diperlukan untuk mencegah jangkitan virus PKC (Parti Komunis China).

China belum meluluskan mana-mana vaksin COVID-19 keluaran negara asing. Negara itu telah meluluskan lima vaksin buatan China — tiga vaksin yang tidak aktif, satu vaksin adenovirus, dan satu vaksin subunit protein — untuk penggunaan kecemasan.

Tiga vaksin buatan China yang tidak diaktifkan — CoronaVac buatan China Sinovac, Vero Cell buatan Sinopharm dari Wuhan, dan vaksin Sinopharm dari Beijing, telah ditawarkan dan dihantar ke negara lain dalam beberapa bulan terakhir.

Ujian percubaan vaksin klinikal peringkat terakhir yang dijalankan terhadap CoronaVac di Brazil terbukti mempunyai keberkesanan 50.4 peratus — hampir tidak melepasi spesifikasi 50 peratus yang ditetapkan oleh WHO untuk kelulusan menurut undang-undang.

Vaksin Sinopharm yang tidak aktif diuji dalam ujian klinikal peringkat terakhir di Peru, di mana saintis Peru Ernesto Bustamante mendedahkan, “keberkesanan vaksin buatan Wuhan Sinopharm adalah 33.3 peratus, dan vaksin Sinopharm dari Beijing adalah 11.5 peratus.”

Petugas kesihatan menyuntik vaksin CoronaVac keluaran Sinovac dari China kepada seorang wanita dari kumpulan berisiko tinggi di Pusat Sukan Saeng Thip di Bangkok pada 7 April, 2021. (Gambar oleh Mladen Antonov / AFP / Getty Images)

Dos ketiga

Maklumat mengenai keberkesanan vaksin buatan China dan kesan sampingannya telah ditapis di China.

Pada 20 Mac, Gao memberitahu CCTV iaitu media milik kerajaan bahawa dua dos vaksin COVID-19 buatan China mungkin tidak mencukupi dan dos ketiga mungkin diperlukan untuk mencegah jangkitan.

“Antibodi dalam tubuh (yang dihasilkan setelah mengambil vaksin yang tidak aktif) mungkin tidak begitu baik untuk mencegah jangkitan pernafasan,” kata Gao.

Wawancara Gao adalah sebagai tindak balas terhadap tindakan yang diambil oleh Emiriah Arab Bersatu (UAE), di mana pengedar vaksin mengatakan bahawa ia akan mula menawarkan dos ketiga vaksin pada bulan Mac kerana keberkesanannya yang rendah. UAE meluluskan vaksin Sinopharm pada tahun 2020.

Hong Kong mengumumkan bahawa sekurang-kurangnya 12 dari jumlah 412,800 penerima vaksinasi telah meninggal dunia setelah menerima dos pertama vaksin Sinovac, walaupun pihak berkuasa mengatakan bahawa vaksin itu tidak berkaitan secara langsung dengan kematian.

Zhou Na, seorang penduduk dari bandar Qingdao di timur China, memberitahu The Epoch Times pada 9 April bahawa dia mengenali seorang warga yang meninggal dunia setelah menerima vaksinasi.

Vaksin CoronaVac dari China sedang disediakan oleh petugas kesihatan di Pusat Sukan Saeng Thip di Thailand (Gambar oleh Mladen Antonov / AFP / Getty Images)

“Doktor berkata dia mempunyai penyakit kronik dan tidak membaca manual vaksin dengan teliti. Hospital mengatakan bahawa kematian itu bukan salah laku atau kecuaian perubatan, dan menolak untuk membayar pampasan kepada keluarga,” kata Zhou.

Zhou mendedahkan yang dia diminta untuk menandatangani dokumen beberapa halaman sebelum vaksinasi yang menyenaraikan jenis pesakit yang tidak boleh menjalani vaksinasi.

“Dokumennya sangat panjang. Kami fikir kami sihat. Kami baru sahaja menandatangani kertas (tanpa membaca) dan mengambil gambarnya. Seluruh keluarganya telah menerima vaksin sejak seminggu yang lalu,” ujar Zhou Na.

Dr Soo Wincci kongsi pengalaman berpuasa tahun ke-10 di Sepanyol buat orang ramai mengagumi semangat beliau

0

Bulan Ramadan adalah bulan yang mulia bagi golongan umat Islam di mana semua umatnya diwajibkan untuk berpuasa selain meningkatkan amalan kebajikan. Bukan sahaja itu, berpuasa juga merupakan satu amalan yang dapat memberikan manfaat kepada kesihatan kita.

Antaranya, meningkatkan kawalan gula dalam darah, menguatkan sistem imunisasi, meningkatkan fungsi otak, kesihatan jantung, membantu menurunkan berat badan di samping mencegah kanser. Selain umat Islam, ada juga segelintor individu agama lain yang turut mengamalkan berpuasa di bulan Ramadan misalnya penyanyi dan pelakon terkenal, Dr Soo Wincci.

Sumber : Instagram

Tahun 2021 merupakan tahun ke-10 beliau mempraktikkan amalan berpuasa. Lebih menarik lagi, Dr Soo Wincci juga sempat memuat naik kiriman swafoto menerusi laman Instagram dengan kapsyen:

“Selamat bersahur untuk semua yang ada di Malaysia. Nanti aku kena bangun awal di Sepanyol untuk sahur. Tahun yang ke-10. Jom berpuasa”.

Sumber : Instagram

Bekas ratu cantik Miss World Malaysia 2008 yang kini berusia 36 tahun sedang berada di Sepanyol bagi meneruskan pengajian dan bekerja secara sambilan. Wincci juga gemar berkongsi gambarnya sewaktu berbuka puasa sambil menunjukkan hidangan menu sederhana.

Perkongsian demi perkongsian ini turut menarik perhatian majoriti warganet yang mengagumi usaha dan semangat beliau untuk berpuasa selama 16 jam di Sepanyol.

Sumber : Beautiful Nara

“Jangan paksa diri kak. Tapi saya suka semangat dan percubaan kakak untuk berpuasa seperti kami”.

“Selamat berbuka puasa @drsoowincci. Kami baru lepas sahur di Malaysia”.

“Tadi baru teringat Dr puasa ke tahun ini sebab tahu setiap tahun mesti Dr puaa. Semoga yang baik-baik untuk Dr di sana. Selamat berpuasa”.

Wanita ini terpaksa memotong cincin berlian bernilai RM189,619 setelah berat badan naik mendadak

0

FUZHOU – Seorang wanita terpaksa mengambil keputusan untuk memotong cincin berlian miliknya yang berharga 300,000 yuan (RM189,619) setelah khuatir cincin itu mungkin akan mendatangkan kemudaratan pada jarinya.

Cincin berlian bernilai RM189,619 tersekat pada jari tengah

Menurut laporan China News, wanita ini telah melakukan pelbagai cara untuk menanggalkan cincin berlian berkenaan daripada jari tengahnya. Hal ini demikian kerana cincin tersebut menjadi semakin ketat memandangkan wanita ini telah mengalami peningkatan berat badan sebanyak 10 kilogram.

Lidi pengcungkil gigi digunakan bagi menghasilkan ruang untuk membolehkan cincin itu dipotong

Antara cubaan yang dilakukan adalah seperti menggunakan tali dan minyak pelincir namun masih gagal untuk mengeluarkan cincin tersebut sekali gus membuatkan jarinya membengkak dan membiru. Setelah segala usaha gagal mendatangkan hasil, wanita ini bertindak menghubungi anggota penyelamatan pada 8 April lalu bagi mendapatkan bantuan.

Playar digunakan bagi memotong cincin tersebut

Pasukan penyelamatan kemudiannya mengambil keputusan untuk memotong cincin berharga itu demi menyelamatkan jari wanita terbabit. Mereka meletakkan lidi pengcungkil gigi di antara jari dan cincin bagi menghasilkan ruang sebelum menggunakan playar untuk memotong cincin berkenaan.

Cincin berjaya dipotong dalam tempoh 10 minit

Dalam tempoh 10 minit, cincin berlian ini berjaya dikeluarkan daripada jari wanita tersebut.