Baru-baru ini, seorang pekerja lelaki dari sebuah syarikat di Daerah Zhonghe, Taipei telah memuat naik kiriman di internet untuk mendapatkan pandangan daripada warganet tentang situasinya yang ‘ditindas’ oleh majikannya hanya kerana dia didapati pergi ke tandas untuk masa yang terlalu lama.
Menurut lelaki berkenaan, pada bulan Mac yang lalu, dia telah hadir bekerja selama 22 hari (195 jam waktu bekerja). Selepas menolak beberapa amaun tolakan wajib, dia sepatutnya menerima sebanyak 30,222 yuan (RM19,129.35) pada bulan tersebut, tetapi malangnya, dia hanya menerima sebanyak 25,822 yuan (RM16,344.32) sahaja.
Penolakan bayaran gaji ini bagaimanapun langsung tidak dimaklumkan kepadanya terlebih dahulu dan selepas dia menemui wakil syarikatnya, dia mendapati bahawa mereka memberi alasan penolakan gajinya kerana pihak syarikat mendakwa bahawa dia terlalu banyak menghabiskan masa di dalam tandas ketika waktu bekerja.
Syarikat itu telah melakukan pemeriksaan dan mendapati bahawa dia telah menghabiskan masa selama 49.5 jam di dalam tandas dalam masa satu bulan. Oleh itu, dia tidak akan dibayar untuk 27.5 jam masa yang berlebihan selepas syarikat menolak 22 jam tempoh masa yang dibenarkan (dengan satu jam masa di tandas untuk setiap hari bekerja).
Kiriman lelaki ini bagaimanapun tidak mendapat respon yang diinginkan olehnya kerana selepas dimuat naik, didapati kebanyakan warganet merasakan bahawa lelaki ini telah menghabiskan terlalu banyak masa di dalam tandas.
“Kamu menghabiskan masa selama 49.5 jam di dalam tandas selama 22 hari. Ini bermaksud kamu telah menghabiskan kira-kira 2.25 jam di tandas sehari! Adakah kamu pasti untuk tidak berjumpa doktor terlebih dahulu? Sekiranya bukan masalah fizikal, maka kamu benar-benar serius untuk menjadi seorang pencuri gaji,” tulis salah seorang warganet.
“Kamu pergi (ke tandas) terlalu lama. Paling lama untuk orang normal yang mengalami cirit-birit atau duduk di tandas adalah selama setengah jam!”
“Bekerja selama 8 jam sehari, syarikat masih boleh membenarkan pergi ke tandas selama 1 jam dalam 8 jam. Di manakah syarikat ini? Adakah mereka memerlukan pekerja lagi?” tulis warganet yang lainnya.
Menerangkan tentang keadaan kesihatannya, lelaki terbabit mendakwa bahawa dia selalu mempunyai masalah dengan perutnya. Dia turut mengakui bahawa dia telah mengambil masa yang terlalu lama di dalam tandas, tetapi pemotongan gaji yang dikenakan oleh syarikatnya ini pada pandangannya adalah satu perkara yang tidak sepatutnya berlaku.
Katanya, dia masih mempertimbangkan keputusannya untuk membawa perkara ini kepada Biro Tenaga Kerja untuk tindakan selanjutnya.