Video-video lucu yang terdapat di internet sememangnya tidak akan mengecewakan.
Tidak hairanlah apabila ramai orang memilih untuk mencari video-video yang lucu yang dimuat naik oleh warganet di seluruh dunia untuk mengurangkan tekanan ketika mereka mengalami hari yang meletihkan!
Salah satu video yang semakin mendapat perhatian ramai adalah video dari aplikasi TikTok yang dimuat naik oleh seorang lelaki berkulit gelap yang mempunyai reaksi muka yang paling menghiburkan dalam menyampaikan kandungan videonya.
Dalam kebanyakan video yang dimuat naik, lelaki ini lazimnya akan mengambil satu petikan video helah kehidupan yang sepatutnya memudahkan lagi manusia untuk menyelesaikan masalah dalam kehidupan seharian.
Bagaimanapun, nampaknya, video-video yang dilampirkan ini sememangnya adalah helah yang tidak masuk akal, dan ada kalanya lebih menyusahkan daripada memudahkan!
Contohnya adalah seperti petikan video yang menunjukkan bagaimana seorang wanita yang menggunting plastik buku roti untuk mengikatnya bagi ‘memudahkan’ proses penyimpanan.
Bagaimanapun, selepas tamat video helah itu, muncul pula wajah lelaki ini dengan muka bersahajanya yang menunjukkan cara yang jauh lebih mudah untuk mengikat bungkusan roti itu, tanpa perlu menggunting atau mengoyakkan plastik roti itu pun!
Caranya mudah, ikat sahajalah plastik roti itu!
Sebenarnya, kebanyakan perkongsian daripada lelaki ini sememangnya lebih logik dan mudah berbanding video helah yang dikongsikan di awal video yang sama. Tambah melucukan lagi video adalah raut wajah bersahaja lelaki ini yang sepertinya sudah ‘bosan’ dengan tips yang tidak masuk akal!
Ada kalanya, lelaki ini siap menggelengkan kepalanya selepas ‘menyelesaikan’ tugasan yang dilakukan! Amboi, gayanya benar-benar seperti sudah tidak tahan lagi dengan helah yang menyusahkan!
Oleh itu, menerusi video yang dikongsikan dalam entri ini, anda akan menyaksikan beberapa klip video pendek yang telah digabungkan untuk hiburan dan tips kehidupan yang mungkin boleh anda praktikkan sambil mengenangkan raut wajah lucu lelaki ini.
Semoga terhibur!