FUZHOU – Seorang wanita terpaksa mengambil keputusan untuk memotong cincin berlian miliknya yang berharga 300,000 yuan (RM189,619) setelah khuatir cincin itu mungkin akan mendatangkan kemudaratan pada jarinya.
Menurut laporan China News, wanita ini telah melakukan pelbagai cara untuk menanggalkan cincin berlian berkenaan daripada jari tengahnya. Hal ini demikian kerana cincin tersebut menjadi semakin ketat memandangkan wanita ini telah mengalami peningkatan berat badan sebanyak 10 kilogram.
Antara cubaan yang dilakukan adalah seperti menggunakan tali dan minyak pelincir namun masih gagal untuk mengeluarkan cincin tersebut sekali gus membuatkan jarinya membengkak dan membiru. Setelah segala usaha gagal mendatangkan hasil, wanita ini bertindak menghubungi anggota penyelamatan pada 8 April lalu bagi mendapatkan bantuan.
Pasukan penyelamatan kemudiannya mengambil keputusan untuk memotong cincin berharga itu demi menyelamatkan jari wanita terbabit. Mereka meletakkan lidi pengcungkil gigi di antara jari dan cincin bagi menghasilkan ruang sebelum menggunakan playar untuk memotong cincin berkenaan.
Dalam tempoh 10 minit, cincin berlian ini berjaya dikeluarkan daripada jari wanita tersebut.