30 C
Kuala Lumpur
Thursday, July 17, 2025
Utama Blog Laman 274

5 individu gagal ke Langkawi setelah sah positif Covid-19

0

KUALA LUMPUR – Daripada jumlah keseluruhan 2,528 individu yang mahu ke Pulang Langkawi, seramai lima individu disahkan positif virus Covid-19 ketika melalui ujian saringan RTK-Ag.

Ujian saringan itu dilakukan di empat pintu masuk lapangan terbang dan terminal feri di Kuala Perlis pada hari pertama Projek Rintis Langkawi sebagai gelembung pelancongan domestik dijalankan.

Sumber: Channel News Asia

Menurut Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham, “Sejumlah enam individu sudah menjalani ujian RT-PCR sendiri sebelum ke lapangan terbang dan kesemua keputusan adalah negatif. 12 orang kanak-kanak bawah usia enam tahun tidak menjalani ujian Covid-19 dan dibenarkan berlepas bersama keluarga masing-masing”.

Jelas beliau lagi, lima individu yang dikesan merupakan kategori satu iaitu tidak bergejala dan diberikan perintah Pengawasan dan Pemerhatian di Rumah (HSO) untuk menjalani tempoh kuarantin selama 10 hari.

Individu diwajibkan untuk melakukan ujian saringan Covid-19 48 jam sebelum berlepas. Sumber: Sinar Harian

Mengulas lanjut, kejayaan Projek Rintis Langkawi sebagai gelembung pelancongan domestik pertama ini sangat penting dalam menentukan hala tuju pembukaan destinasi gelembungan pelancongan domestik lain.

“Projek rintis ini perlu dilaksanakan dengan berhati-hati bagi memastikan ianya berjalan lancar dan tidak menyebabkan berlakunya peningkatan kes serta kluster baharu”.

Doktor kongsi kes dua kanak-kanak hilang upaya untuk berjalan selepas beberapa minggu dijangkiti COVID-19

0

Seorang doktor di Pulau Pinang berkongsi di media sosial bagaimana dua orang kanak-kanak yang dirawatnya ketika bertugas tiba-tiba kehilangan keupayaan untuk berjalan.

Dr Lee, seorang pegawai perubatan yang ditempatkan di wad Pediatrik berusia 29 tahun, berkongsi di Instagram yang beliau melihat sendiri bagaimana dua pesakit pasca-COVID-19 dengan komplikasi luar kebiasaan dalam tempoh seminggu.

“Kes pertama merupakan seorang kanak-kanak berusia dua tahun. Seluruh anggota keluarganya disahkan positif COVID-19 sebulan yang lalu. Mereka datang ke wad kami pada waktu malam kerana kanak-kanak ini tiba-tiba tidak dapat berjalan,” kata Dr Lee.

Sekadar Gambar Hiasan / Twitter

Ibunya memberitahu anak perempuannya mula berjalan “seperti orang tua” tiga minggu setelah mereka selesai menjalani kuarantin COVID-19, tetapi dalam masa tiga hari, dia kehilangan semua keupayaan untuk berjalan atau berdiri.

“Setiap kali ibunya berusaha memapah atau memegangnya dalam keadaan berdiri, kanak-kanak itu akan menangis dan kemudian dia rebah ke lantai seperti boneka yang dipotong,” kata doktor itu.

Dr Lee menambah doktor pakar dalam ‘on call’ menghubungi pakar lain untuk melihat kesnya tetapi oleh kerana COVID-19 adalah penyakit baru, mereka tidak dapat memberikan jawapan yang pasti.

“Kami hanya mampu mengawasi, merawat, dan melihat bagaimana perkembangan keadaannya. Tidak dapat tidur sepanjang malam,” katanya.

Dr Lee mendedahkan kes kedua yang dilihatnya lebih menakutkan.

Menurutnya, kes kedua merupakan seorang kanak-kanak perempuan berusia empat tahun, datang ke hospital setelah seminggu menyelesaikan kuarantin COVID-19 kerana diserang sawan.

“Dan itu bukan hanya sekadar sawan, episod itu berlarutan selama 40 minit! Bayangkan 40 minit melihat tubuh seorang kanak-kanak kejang dan pegun, mata putih memandang ke atas, wajah biru, air liur mengalir, seluruh badan kaku, seluruh badan menggeletar seperti dia sedang dirasuk iblis,” kata doktor itu.

“Ibunya hanya mampu menangis sambil terus melihat ketika menghantarnya ke hospital. Bayangkan trauma kepada mentalnya,” tambahnya.

Dr Lee berkata, sawan itu hanya berhenti setelah doktor memberikan ubat intravena kepada anak ini untuk menghentikan serangan epilepsi tersebut.

Kemudian, pada hari ketiga berada di wad, Dr Lee berkata ibu pesakit memanggilnya di stesen jururawat untuk segera melihat keadaan anak perempuannya dengan berkata, “Doktor, tolong lihat, cara anak saya berjalan kelihatan pelik.”

Pegawai perubatan ini berkata semua kanak-kanak yang dirawat itu pada mulanya sihat dan normal sebelum mereka dijangkiti COVID-19.

Katanya walaupun mereka berdua telah pulih, kes pertama sedang menjalani fisioterapi, manakala kes kedua mula mengambil ubat anti-epilepsi.

Walaupun terdapat diagnosis lain, doktor ini memberi amaran akan komplikasi jangka panjang COVID-19 belum sepenuhnya difahami, terutama ke atas kanak-kanak.

Sekadar Gambar Hiasan / Twitter

“Jadi apa sahaja boleh berlaku. Secara literal apa-apa sahaja. Bayangkan apa yang boleh dilakukan oleh COVID-19 kepada anak anda sekiranya terdapat ahli keluarga yang menyebarkan penyakit itu kepada mereka,” tulisnya yang memohon kesedaran kepada lebih 68,000 warganet yang membaca hantarannya.

Oleh itu, cara mencegah itu adalah yang terbaik, iaitu dengan menasihati ibu bapa agar sentiasa berhati-hati dan tidak mendedahkan anak-anak mereka untuk berada di kawasan yang sesak dan menjadi tumpuan ramai, seperti taman awam, pusat membeli-belah, atau tempat perkelahan.

Doktor ini juga menggalakkan ibu bapa untuk segera mendaftarkan vaksinasi untuk anak-anak mereka yang berusia 12 hingga 17 tahun, demi melindungi mereka yang lebih muda dan tidak dapat divaksinasi.

Hantaran tular doktor ini muncul selepas pakar perubatan seluruh dunia juga masih membuat kajian dengan lebih mendalam akan kesan dan komplikasi terhadap kanak-kanak selepas dijangkiti COVID-19.

Satu kajian yang diterbitkan pada 1 September oleh para penyelidik di United Kingdom mendapati 1 daripada 7 kanak-kanak mungkin mempunyai gejala yang berkaitan dengan COVID-19 berbulan setelah ujian positif, suatu keadaan dikenali sebagai ‘COVID jangka panjang’ atau ‘long COVID’.

Menurut Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) Amerika Syarikat, COVID jangka panjang boleh menyebabkan kesan autoimun di dalam tubuh badan, di mana sistem imun tubuh menyerang sel-sel yang sihat secara tidak sengaja, menyebabkan berlaku radang atau kerosakan tisu di dalam keseluruhan bahagian tubuh, termasuk jantung, paru-paru, buah pinggang, kulit, dan otak.

Persahabatan teguh amat berharga? Kucing jiran sanggup redah salji lebat setiap hari semata-mata mencari ‘rakan baiknya’ bagi tujuan bertengkar

0

Musim sejuk di timur laut Jepun sudah pasti sangat sejuk, maka salji turun dengan lebat itu adalah perkara biasa. Itu kata seorang manusia, tetapi tidak bagi haiwan liar atau sesetengah haiwan peliharaan berhati waja.

Ketika semua orang tinggal dalam rumah untuk memanaskan badan dengan sebaik mungkin bersama haiwan peliharaan kesayangannya seperti anjing dan kucing, ada kucing yang memilih untuk tidak gentar dengan kesejukan sama sekali! 

Seperti kucing pelik yang tinggal di Wilayah Aomori ini nampaknya akan datang mencari rakan kucingnya setiap hari, dan dia akan hadir tanpa gagal pada setiap hari, walaupun hari itu adalah bersalji yang sangat tebal dan sejuk!

Adakah ini bermaknanya persahabatan teguh yang sangat berharga dalam kalangan spesies kucing? 

Pengguna Twitter dari Jepun MACLORD@nationalmaclord memuat naik dua keping gambar kucing ini, yang secara luarannya nampak amat menyentuh hati!

Katanya gambar-gambar itu diambil di rumah rakan yang juga pemilik kucing ini dari Wilayah Aomori. 

Rakan itu berkata kucing tabby hati gigih ini akan bertandang ke rumahnya untuk bertemu dengan kucing miliknya pada setiap hari, walaupun ketika itu keadaan cuaca amat buruk dengan salji lebat. Tidak boleh menghentikan tabiat rutin mereka itu. Biarkan sahaja, katanya…

Setelah mendengar cerita tuan punya kucing, semua orang mungkin berasa sangat terharu, memikirkan ini adalah persahabatan kucing yang amat berharga atau cinta kucing romantis.

Tetapi kenyataannya nampak tidaklah begitu indah kerana rupanya pemilik itu berkata, ketika setiap kali kucing itu datang bertandang, kedua kucing ini akan bertengkar melalui pintu kaca. 

Kadang-kadang terlalu lebih berdebat sehingga memakan masa satu jam. Jadi si bulus itu sanggup meredah salji tebal semata-mata untuk mencari rakan buatnya bertengkarlah ya!

Setelah gambar itu dimuat naik, beberapa orang menyangka kucing kucing itu kucing liar, dan ada yang rasa terlalu menyedihkan untuk kucing itu hidup di luar dalam keadaan cuaca buruk bersalji dan sejuk.

Tetapi rakan MACLORD@nationalmaclord menjelaskan yang kucing itu sebenarnya ada pemilik dan dibesarkan oleh jiran berdekatan. Jadi tidak perlu terlalu gusar dan tersentuh hatilah ya…

Walaupun salji turun dengan lebat, dia wajib datang untuk bertemu rakan bertelagahnya, kerana sebagai rutin harian mereka perlu bertemu dan bertengkar. Adalah topik untuk digaduhkan kalau kita tahu bahasa mereka…

Dikatakan adalah logik kelakuan kucing itu sangat sukar difahami. Garu kepala memikir untuk melabel ini persahabatan yang baik atau yang buruk?

Pilihan Editor:

Pfizer : Keberkesanan vaksin COVID-19 menurun daripada masa ke masa

0

Pfizer baru-baru ini mendedahkan data dari Israel dan Amerika Syarikat (AS) menunjukkan bahawa keberkesanan vaksin COVID-19 menurun daripada masa ke masa dan mendakwa bahawa dos penggalak berkesan untuk menangani varian virus baru.

Dua minggu yang lalu, pegawai kesihatan persekutuan di AS mengumumkan 20 September sebagai tarikh sasaran untuk penggunaan dos penggalak bagi orang awam, walaupun kajian daripada beberapa saintis Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan Pentadbiran Makanan dan Dadah (FDA) mendapati bahawa populasi umum tidak memerlukan dos penggalak.

“Data nyata dari Israel dan AS menunjukkan bahawa kadar jangkitan meningkat lebih cepat pada individu yang diberi vaksin lebih awal dalam kempen vaksinasi dibandingkan dengan mereka yang telah divaksin baru-baru ini”, kata Pfizer dalam pembentangannya, yang disiarkan di laman web FDA.

Dan bukti dari kajian menunjukkan bahawa penurunan keberkesanan vaksin yang diperhatikan terhadap jangkitan COVID-19 adalah disebabkan oleh penurunan tindak balas imun vaksin daripada masa ke masa dan bukan akibat varian Delta yang ‘lolos’ daripada perlindungan vaksin”, menurut Pfizer.

Berdasarkan datanya, Pfizer mendakwa bahawa dos penggalak harus diberikan kepada individu berusia 16 tahun ke atas, enam bulan setelah mereka menerima dos kedua vaksin mRNA mereka.

Gergasi farmasi yang bekerjasama dengan BioNTech untuk mengembangkan vaksinnya itu memetik kajian dari syarikat penjagaan kesihatan Kaiser Permanente yang mencadangkan perlindungan terhadap jangkitan COVID-19 menurun daripada 88% pada bulan pertama setelah menerima dos kedua, menjadi 47% setelah lima bulan.

Syarikat itu berusaha untuk membuat hujah menjelang pertemuan penting FDA yang dijadualkan pada 17 September, di mana panel dijadualkan untuk berdebat dan memilih sama ada akan mencadangkan dos penggalak atau dos ketiga vaksin.

Tetapi dalam kajian yang diterbitkan oleh The Lancet pada 13 September, dua pengulas vaksin senior FDA dan beberapa penyelidik utama berpendapat bahawa dos penggalak tidak diperlukan untuk populasi umum.

Mereka berpendapat bahawa kemungkinan kesan sampingan daripada dos tambahan melebihi manfaatnya, dengan menyatakan bahawa fenomena seperti itu sebenarnya akan meningkatkan keraguan vaksin.

“Bukti semasa tidak menunjukkan perlunya ia untuk populasi umum, di mana keberkesanannya terhadap penyakit yang teruk tetap tinggi. Walaupun ia terbukti dapat menurunkan risiko penyakit serius, persediaan vaksin semasa dapat menyelamatkan lebih banyak nyawa jika digunakan pada populasi yang sebelumnya tidak divaksinasi”.

Ketua Pengarah WHO, Tedros Adhanom Ghebreyesus, mengeluarkan pernyataan tegas awal bulan ini, meminta negara-negara kaya, termasuk AS melakukan moratorium pada dos penggalak hingga akhir 2021. Oleh kerana syarikat meningkatkan pengeluaran dos tambahan vaksin, ini menjadikan negara-negara miskin tidak mendapat vaksin awal, katanya dalam sidang akhbar.

“Saya tidak akan berdiam diri ketika syarikat dan negara yang mengendalikan bekalan vaksin global berpendapat golongan miskin dunia sekadar berpuas hati dengan lebihan”, kata Ghebreyesus pada sidang akhbar pada 8 September.

“Oleh kerana pengeluar telah mengutamakan dan diwajibkan secara undang-undang untuk memenuhi perjanjian dua hala dengan negara-negara kaya yang bersedia membayar harga tertinggi, negara-negara berpendapatan rendah telah kehilangan ‘alat’ untuk melindungi rakyat mereka”.

Berjaya beli Proton Saga lama berusia 28 tahun, pasti ramai orang Malaysia cemburu dengan ‘YouTuber’ dari UK ini

0

Siapa sahaja yang tidak tahu dengan kereta jenama Malaysia yang pertama dikeluarkan? Pastinya nama Proton Saga menjadi kebanggaan ramai antara kita dan memiliki kereta itu pastinya memiliki sejarah dan nilai sentimental yang tersendiri.

Nampaknya bukan di Malaysia sahaja Proton Saga terkenal dan menjadi pilihan malah di United Kingdom juga kereta ini turut menjadi pilihan.

Pada 12 September lalu, dua orang ‘YouTuber’ di UK telah berkongsi kegembiraan mereka dengan dunia setelah salah seorang dari mereka membeli Proton Saga berusia 28 tahun.

Dalam video berdurasi hampir 15 minit itu, YouTuber dan peminat kereta klasik, Matt dari ‘furiousdriving’ ada menunjukkan kereta Proton Saga lama. Walaupun kereta tersebut telah dimakan usia, tetapi ianya masih lagi cantik dan elok kerana telah dijaga dengan baik oleh pemilik sebelum itu.

“Saya diberitahu, lelaki yang memiliki kereta ini, memandu dengan berhati-hati dan SORN (Pemberitahuan Jalan Raya Berkanun) pada tahun 2010,” katanya, sambil memberitahu bahawa tahun ini merupakan kali terkahir kereta tersebut dipandu.

Matt juga memperkenalkan Proton Saga kepada penontonnya, berkongsi pengetahuannya bahawa kenderaan itu diperbuat dengan menggunakan elemen yang kuat. Ia juga merupakan kereta yang banyak dijadikan teksi di Malaysia.

Pembeli kenderaan tersebut adalah Steph, yang juga peminat kereta klasik dan menjalankan saluran YouTube, idriveaclassic.

Dalam video tersebut, mereka berdua bertemu di depan garaj untuk meninjau dan melakukan pemeriksaan ke atas kenderaan tersebut.

Apa yang menariknya, kenderaan tersebut bukan sahaja dalam keadaan baik di bahagian luarnya malah di bahagian dalamnya juga masih dalam keadaan cantik dan elok. Apa yang pali penting enjinya akan hidup selepas bateri yang berusia lebih daripada 20 tahun dihidupkan.

Pengelap cermin depan berada dalam keadaan baik kerana mereka tidak berada di bawah cahaya matahari selama 10 tahun yang lalu. Jet pada cermin depan berfungsi dan yang paling penting, pendingin hawa juga masih berfungsi.

Kedua-dua Matt dan Steph gembira sepanjang video itu, memuji pemilik sebelumnya yang sangat menjaga “kepingan sejarah” ini.

Steph begitu berpuas hati dengan pembeliannya dan berkata, “Semua orang di Malaysia begitu cemburu dengan saya.”

Dalam beberapa lagi, Steph akan meminta agar kereta Proton Saganya untuk diperiksa oleh Kementerian Pengangkutan UK (MOT) dan akan menukar tayarnya.

Berani curi makanan daripada pengawal keselamatan, wajah ‘pencuri’ berjaya dirakam CCTV

0

Pasti ramai yang bersetuju jika dikatakan monyet adalah haiwan yang sangat pandai dan licik. Sekiranya anda terjumpa dengan monyet dengan makanan di tangan anda, ada kemungkinan besar mereka akan merampasnya dan anda tidak boleh melakukan apa-apa untuk menghalangnya.

Pengalaman tersebut dikongsi oleh seorang pengawal keselamatan, @hafiz96 yang berhadapan dengan kejadian tersebut ketika bekerja. Peristiwa tersebut telah berjaya dirakam kamera CCTV dan dimuat naik ke laman sosial TokTok miliknya.

Apa yang berlaku ialah ketika dia sedang makanan di pondok pengawal tiba-tiba muncul seekor monyet di tingkap dan terus merampas cebisan roti dari tangannya. Tidak cukup dengan itu, monyet tersebut juga mahu mengambil kesemua roti milik Hafiz. Dalam keadaan terpaksa pemuda itu menyerahnya baki roti yang ada di dalam plastik.

Tidak disangka, tidak lama kemudian, monyet itu kembali semula untuk mencuri makanan milik Hafiz lagi. Rupa-rupanya bukan sekali dua dia melakukan kecurian itu tetapi banyak kali!

Mungkin ramai yang hairan mengapa Hafiz hanya membiarkan makanannya diambil oleh monyet yang sama berulang kali. Dia sepatutnya sudah boleh mengelakkan kejadian itu daripada terus berlaku.

Ternyata monyet tersebut adalah kawan baik Hafiz yang bernama Lisa. Sebelum ini Lisa memang sering datang ke tempat kerja Hafiz dan lama-kelamaan mereka mula berkenalan.

Walaupun Lisa sering mengambil makanan Hafiz, pemuda itu sebenarnya sangat menyayangi Lisa. Dia bahkan sering bermain dengan Lisa, memberinya makanan, dan merakam interaksi mereka berdua.

Videonya ‘dirompak’ oleh Lisa yang dimuat naik di TikTok telah ditonton lebih daripada 6.9 juta kali dan sejak itu dia mula dikenali serta mendapat ramai pengikut di laman sosial itu. Ramai yang memuji Hafiz kerana baik hati.

Walaupun Lisa sering mengambil makanannya Hafiz tidak kisah malah sangat menyayangi Lisa. Dengan kehadiran Lisa dia tidaklah begitu sunyi di tempat kerja.

Selalu ekori kita, kali ini Oyen jadi mangsa kena ikut dengan si arnab. Rasakan!

0

Sering dianggap gemar bersendiri namun kucing sebenarnya sangat suka mengekori ke mana sahaja langkah kita.

Mereka secara umumnya sangat menikmati masa apabila berada di sekitar insan tersayang, maka tidak hairanlah jika ada sahaja mereka di kaki kita.

Namun baru-baru ini tular satu video lucu menunjukkan kucing pula terpaksa berdepan dengan rasa rimas apabila langkahnya diekori.

Si Oyen pula menjadi mangsa. Rasakanlah!

Ataupun barangkali arnab tersebut hanya mahu berteduh dan berlindung daripada cahaya matahari?

Geliga juga si arnab ya!

“Aduhai.. Nak jalan pun susahlah macam ni”

Tahu pun rimas bukan? Kini barulah si kucing tahu apa yang kita rasa apabila sentiasa diekori mereka.

Tapi kasihan pun ada pada si Oyen ini. Nasib badan! Tontonlah videonya di sini.

Niat mahu ‘senangkan’ ibu, budak 10 tahun masak nasi 8 pot sekali untuk esok hari, raih perhatian warganet

0

Kanak-kanak sememangnya memiliki hati yang luhur, samalah seperti seorang kanak-kanak berusia 10 tahun ini.

Baru-baru ini, seorang ibu telah berkongsi kisah lucu di Facebook mengenai anaknya yang berniat baik mahu membantu memudahkan tugasnya.

Ceq Erra Ceq Erra/Facebook

Difahamkan bahawa si ibu pada suatu hari berasa tidak larat dan kurang sihat setelah menghabiskan masa seharian melayan karenah anak-anak di hari sebelumnya.

Oleh kerana itu, dia kemudian telah meminta tolong anaknya untuk memasak nasi. Permintaannya itu lantas dilakukan oleh si anak.

Namun alangkah terkejutnya si ibu apabila mendapati bahawa nasi yang dimasak anaknya itu sungguh banyak!

Apabila ditanya mengapa anaknya menanak nasi begitu banyak, si anak dengan selamba menjawab, “Masak siap-siap untuk esok lah mama. Kan senang”.

Daripada 4 pot, terus jadi 8 pot!

Sungguhpun begitu, pujian harus diberikan kepada si anak kerana dia berjaya memasak nasi dengan baik.

Nasinya kelihatan cukup masak, tidak keras dan juga terlalu lembik.

Tidak terfikit dek akal akan jawapan kanak-kanak berkenaan. Sememangnya dia mahu memudahkan urusan ibunya bukan?

Khairy: Pelancong ke Langkawi wajib jalani saringan COVID-19

0

Semua pelancong yang berniat ke Langkawi diwajibkan untuk menjalani ujian pengesanan COVID-19 sebelum memulakan perjalanan.

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berkata ujian itu (sama ada RT-PCR ataupun RTK-Antigen) perlu dilakukan di mana-mana fasiliti kesihatan dan makmal swasta dalam tempoh 48 jam sebelum tarikh berlepas.

“Projek rintis Pelancongan Gelembung Langkawi perlu dilaksanakan dengan berhati-hati”, tulisnya menerusi akaun rasmi Twitter.

Keputusan ujian itu juga perlu dibawa bersama bagi pemeriksaan di pintu masuk, tidak kira di lapangan terbang ataupun di terminal feri sebelum berlepas.

Pelancong juga boleh membeli kit ujian kendiri saliva dan membawanya ke lapangan terbang atau terminal feri untuk menjalani ujian pengesanan COVID-19 di tempat saringan yang disediakan.

Ataupun mereka boleh membeli kit ujian kendiri tersebut melalui perkhidmatan yang akan disediakan oleh pihak swasta di tempat saringan (lapangan terbang atau terminal feri) bagi menjalani ujian pengesanan di sana.

Ujian ini tambahnya akan dilakukan kepada individu dewasa 18 tahun ke atas serta remaja dan kanak-kanak (7 hingga 17 tahun).

Bagi kanak-kanak berusia 6 tahun ke bawah, hanya saringan gejala akan dilakukan bagi mengambil kira keupayaan mereka untuk mengeluarkan saliva.

“Kumpulan kanak-kanak ini mesti bersama ibu bapa atau penjaga yang sudah lengkap vaksinasi, bukan kes positif atau kontak rapat kepada kes positif dan hendaklah mematuhi SOP yang ditetapkan”.

Ujar Khairy, mereka yang didapati negatif COVID-19 dibenarkan untuk meneruskan perjalanan manakala mereka yang positif tidak dibenarkan dan akan diuruskan mengikut SOP pengurusan kes positif.

Menurutnya, kejayaan projek rintis ini sebagai gelembung pelancongan domestik pertama adalah sangat penting dalam menentukan hala tuju pembukaan destinasi gelembung pelancongan domestik seterusnya.

Beberapa kawasan sekitar Kota Kinabalu dilanda banjir kilat, air naik hingga ke paras dada

0

Hujan lebat dan angin kencang selama beberapa jam lalu membawa kepada banjir kilat di sebahagian besar kawasan sekitar Kota Kinabalu, Sabah.

Antara kawasan yang terjejas disebabkan banjir adalah di sekitar Kolombong, Luyang, Inanam dan juga kawasan perkampungan di Penampang.

Air difahamkan mula naik sehingga ke paras hampir satu meter itu juga menyebabkan beberapa jalan utama sekitar bandar raya ini mengalami kesesakan.

Beberapa rakaman kejadian ini turut dikongsikan oleh pengguna di media sosial menunjukkan paras air yang tinggi, hingga mencecah ke paras dada.

Sehubungan itu, Ketua Balai Polis Bomba dan Penyelamat (BBP) Lintas, Agustavia Joe Guasi berkata pasukan bomba juga membantu memindahkan mangsa ke kawasan Damai.

“Pihak bomba masih menjalankan operasi pemeriksaan berikutan keadaan hujan yang masih berlanjutan”.

Sementara itu, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) telah mengeluarkan amaran kejadian ribut petir di beberapa kawasan – Papar, Putatan, Penampang, Kota Kinabalu, Tuaran, Kota Belud, Pitas dan Kudat.

Selain itu, ia turut melibatkan kawasan pedalaman membabitkan Sipitang, Kuala Penyu dan Beaufort.