Seorang doktor di Pulau Pinang berkongsi di media sosial bagaimana dua orang kanak-kanak yang dirawatnya ketika bertugas tiba-tiba kehilangan keupayaan untuk berjalan.
Dr Lee, seorang pegawai perubatan yang ditempatkan di wad Pediatrik berusia 29 tahun, berkongsi di Instagram yang beliau melihat sendiri bagaimana dua pesakit pasca-COVID-19 dengan komplikasi luar kebiasaan dalam tempoh seminggu.
“Kes pertama merupakan seorang kanak-kanak berusia dua tahun. Seluruh anggota keluarganya disahkan positif COVID-19 sebulan yang lalu. Mereka datang ke wad kami pada waktu malam kerana kanak-kanak ini tiba-tiba tidak dapat berjalan,” kata Dr Lee.
Ibunya memberitahu anak perempuannya mula berjalan “seperti orang tua” tiga minggu setelah mereka selesai menjalani kuarantin COVID-19, tetapi dalam masa tiga hari, dia kehilangan semua keupayaan untuk berjalan atau berdiri.
“Setiap kali ibunya berusaha memapah atau memegangnya dalam keadaan berdiri, kanak-kanak itu akan menangis dan kemudian dia rebah ke lantai seperti boneka yang dipotong,” kata doktor itu.
Dr Lee menambah doktor pakar dalam ‘on call’ menghubungi pakar lain untuk melihat kesnya tetapi oleh kerana COVID-19 adalah penyakit baru, mereka tidak dapat memberikan jawapan yang pasti.
“Kami hanya mampu mengawasi, merawat, dan melihat bagaimana perkembangan keadaannya. Tidak dapat tidur sepanjang malam,” katanya.
Dr Lee mendedahkan kes kedua yang dilihatnya lebih menakutkan.
Menurutnya, kes kedua merupakan seorang kanak-kanak perempuan berusia empat tahun, datang ke hospital setelah seminggu menyelesaikan kuarantin COVID-19 kerana diserang sawan.
“Dan itu bukan hanya sekadar sawan, episod itu berlarutan selama 40 minit! Bayangkan 40 minit melihat tubuh seorang kanak-kanak kejang dan pegun, mata putih memandang ke atas, wajah biru, air liur mengalir, seluruh badan kaku, seluruh badan menggeletar seperti dia sedang dirasuk iblis,” kata doktor itu.
“Ibunya hanya mampu menangis sambil terus melihat ketika menghantarnya ke hospital. Bayangkan trauma kepada mentalnya,” tambahnya.
Dr Lee berkata, sawan itu hanya berhenti setelah doktor memberikan ubat intravena kepada anak ini untuk menghentikan serangan epilepsi tersebut.
Kemudian, pada hari ketiga berada di wad, Dr Lee berkata ibu pesakit memanggilnya di stesen jururawat untuk segera melihat keadaan anak perempuannya dengan berkata, “Doktor, tolong lihat, cara anak saya berjalan kelihatan pelik.”
Pegawai perubatan ini berkata semua kanak-kanak yang dirawat itu pada mulanya sihat dan normal sebelum mereka dijangkiti COVID-19.
Katanya walaupun mereka berdua telah pulih, kes pertama sedang menjalani fisioterapi, manakala kes kedua mula mengambil ubat anti-epilepsi.
Walaupun terdapat diagnosis lain, doktor ini memberi amaran akan komplikasi jangka panjang COVID-19 belum sepenuhnya difahami, terutama ke atas kanak-kanak.
“Jadi apa sahaja boleh berlaku. Secara literal apa-apa sahaja. Bayangkan apa yang boleh dilakukan oleh COVID-19 kepada anak anda sekiranya terdapat ahli keluarga yang menyebarkan penyakit itu kepada mereka,” tulisnya yang memohon kesedaran kepada lebih 68,000 warganet yang membaca hantarannya.
Oleh itu, cara mencegah itu adalah yang terbaik, iaitu dengan menasihati ibu bapa agar sentiasa berhati-hati dan tidak mendedahkan anak-anak mereka untuk berada di kawasan yang sesak dan menjadi tumpuan ramai, seperti taman awam, pusat membeli-belah, atau tempat perkelahan.
Doktor ini juga menggalakkan ibu bapa untuk segera mendaftarkan vaksinasi untuk anak-anak mereka yang berusia 12 hingga 17 tahun, demi melindungi mereka yang lebih muda dan tidak dapat divaksinasi.
Hantaran tular doktor ini muncul selepas pakar perubatan seluruh dunia juga masih membuat kajian dengan lebih mendalam akan kesan dan komplikasi terhadap kanak-kanak selepas dijangkiti COVID-19.
Satu kajian yang diterbitkan pada 1 September oleh para penyelidik di United Kingdom mendapati 1 daripada 7 kanak-kanak mungkin mempunyai gejala yang berkaitan dengan COVID-19 berbulan setelah ujian positif, suatu keadaan dikenali sebagai ‘COVID jangka panjang’ atau ‘long COVID’.
Menurut Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) Amerika Syarikat, COVID jangka panjang boleh menyebabkan kesan autoimun di dalam tubuh badan, di mana sistem imun tubuh menyerang sel-sel yang sihat secara tidak sengaja, menyebabkan berlaku radang atau kerosakan tisu di dalam keseluruhan bahagian tubuh, termasuk jantung, paru-paru, buah pinggang, kulit, dan otak.