Ekoran mudah dan cepat disediakan, mi segera kerap menjadi pilihan majoriti daripada kita untuk dinikmati terutamanya tatkala sedang lapar.
Tidak kurang juga, ada segelintir daripada kita yang sempat mengolah resipi dan bahan masakan yang boleh ditambah agar hidangan itu lebih menarik dan bernutrisi.
Baru-baru ini, seorang individu dari Taiwan berkongsi foto hidangan mi segera yang dimasak oleh bapa mertuanya di internet.
Perkongsian itu kemudian mendapat perhatian wargamaya memandangkan rupanya yang seakan sudah rosak dan dipenuhi ulat berenga (maggot).
“Mi segera ini dimasak oleh bapa mertua saya dan ianya adalah mi segera yang dikukus bersama telur. Saya hampir menjerit apabila membuka periuk”, kata individu itu.
Menurutnya, sekali pandang daripada atas, permukaan hidangan itu memang kelihatan seperti makanan rosak dan dipenuhi ulat berenga.
Namun apabila dia mula menyenduk hidangan itu, jelas kelihatan telur kukus pada bahagian bahawa mi segera terbabit.
Tentulah perkongsian itu mengundang pelbagai komen netizen. Ada yang berkata, “Ya Tuhan, ini adalah ulat berenga. Hilang selera saya melihatnya”.
Namun ada pula yang berkata, “Saya pernah masak hidangan sebegini. Mi segera kembang dan menyerap telur. Boleh dimasak menggunakan ketuhar gelombang mikro. Ia sangat sedap”.
Kejadian lemas boleh berlaku bukan sahaja di pantai atau sungai malah jika tidak berhati-hati kejadian ini boleh berlaku di kolam renang. Jadi, tidak kira di mana pun, setiap orang perlu berhati-hati ketika bermandi manda terutama jika mereka memiliki anak kecil.
Baru-baru ini berlaku kejadian lemas yang melibatkan seorang kanak-kanak perempuan di sebuah kolam renang. Tidak diketahui bagaimana dia boleh lemas, tetapi detik cemas tersebut mengejutkan orang ramai yang ada di situ.
Kanak-kanak tersebut walau bagaimanapun masih bernasib baik apabila ada beberapa orang yang melihat keadaannya terus cuba untuk menyelamatkannya. Kelihatan beberapa orang lelaki berusaha melakukan kaedah resusitasi kardio-pulmonari atau Cardiopulmonary resuscitation (CPR) untuk menyelamatkan mangsa berkenaan.
Pada mulanya tiada reaksi daripada kanak-kanak lemas itu. Badannya masih tidak memberi sebarang respons tetapi pemuda-pemuda itu terus melakukan CPR dan akhirnya barulah budak perempuan tersebut mula sedar semula.
Kejadian seperti ini memberitahu kita bahawa pengatahuan mengenai CPR adalah sangat penting kerana malang tidak berbau. Jadi, adalah lebih baik untuk mempelajari teknik-teknik CPR yang betul untuk persediaan akan datang.
Berikut adalah kaedah melakukan bantuan asas hayat seperti yang disarankan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Langkah pertama D – DANGER Pastikan persekitaran anda dan pesakit selamat
1. Pastikan anda berada dalam keadaan selamat untuk menghampiri mangsa. 2. Alihkan objek yang berbahaya seperti wayar elektrik jika terdapat daripada mangsa. 3. Jika mangsa berada dalam keadaan bahaya cuba alihkan mangsa apabila keadaan selamat. 4. Pastikan mangsa berada di permukaan yang keras dan rata, seterusnya betulkan dan luruskan badan mangsa.
Langkah kedua R – RESPONSE Periksa tindak balas mangsa
1. Panggil mangsa dengan suara yang lantang berhampiran telinga mangsa dan tepuk kedua-dua bahagian bahu mangsa dengan sederhana untuk cuba mengejutkan mangsa. 2. Jika mangsa tidak mempunyai sebarang tindak balas , dapatkan bantuan orang lain dan segera menelefon talian kecemasan 999 terlebih dahulu sebelum memberikan bantuan seterusnya. 3. Jika anda berada dalam kawasan yang anda tahu mempunyai mesin AED minta bantuan orang lain untuk mendapatkan alat tersebut.
Langkah ketiga A – AIRWAY Buka saluran pernafasan
1. Buka saluran pernafasan mangsa dengan mendongakkan dahi dan mengangkat dagu mangsa ke atas. 2. Periksa sama ada mangsa bernafas atau tidak. 3. Jika tidak, periksa jika terdapat sebarang benda asing di dalam mulut mangsa dan cuba keluarkan jika benda asing itu dapat dilihat dengan jelas.
Langkah keempat B-BREATHING Bantu pernafasan
1. Periksa dada mangsa jika terdapat sebarang tanda-tanda bahawa pesakit masih bernafas seperti pergerakan dada ke atas dan ke bawah secara tetap. 2. Jika pesakit tidak bernafas, mulakan tekanan dada.
Langkah kelima C – CIRCULATION Peredaran darah dan tekanan dada
1. Lakukan tekanan dada kepada mangsa sebanyak 30 kali secara berterusan dan diikuti dengan memberi dua hembusan nafas dan lakukannya sebanyak lima kali pusingan. 2. Semasa melakukan tekanan dada, pastikan kedua-dua tangan anda diletakkan di atas bahagian tengah dada mangsa dan lakukannya dalam kelajuan 100 hingga 120 kali tekanan seminit dengan kedalaman 5 hingga 6 cm. 3. Pastikan juga dada pesakit naik sepenuhnya semasa melakukan tekanan dada untuk membenarkan aliran darah dapat kembali ke jantung. 4. Jika terdapat lebih daripada seorang yang terlatih dalam melakukan bantuan asas hayat ini lakukan giliran setiap lima pusingan untuk mengelakkan keletihan dan memastikan kualiti bantuan asas hayat yang tinggi. 5. Elakkan sebarang gangguan semasa melakukan bantuan asas hayat ini. 6. Anda juga boleh melakukan bantuan asas hayat ini dengan melakukan tekanan dada sahaja secara berterusan dan ini dikenali juga sebagai ‘Chest compression only cardiopulmonary resuscitation’ tanpa memberi sebarang bantuan pernafasan. 7. Teruskan melakukan tekanan dada sehingga bantuan kecemasan tiba atau pesakit kembali sedarkan diri, ataupun penyelamat tidak dapat meneruskan bantuan akibat keletihan. 8. Jika pesakit sedar, posisikan pesakit secara mengiring dengan sebelah tapak tangan diletakkan di bahagian bawah pipi mangsa.
Sebanyak 3,600 pokok hidup telah berjaya dihantar dari Malaysia ke Qatar. Pencapaian mengagumkan ini diumumkan oleh Elegancia Group baru-baru ini sebagai sebahagian daripada usaha berterusan syarikat itu untuk mempromosikan kelestarian dan masa depan yang lebih menghijau untuk Qatar.
The Peninsular Qatar melaporkan sebuah kapal khas perlu digunakan untuk mengendalikan projek yang kompleks dan rumit serta melalui cabaran logistik untuk menghantar pokok yang besar dalam perjalanan yang mengambil masa kira-kira dua minggu.
Pokok-pokok gergasi itu yang setinggi 18 meter, ditempatkan dalam muatan kapal dengan pegangan bertutup pada kedalaman 20 meter. Ketua Pegawai Eksekutif Elegancia Group, Henrik Christiansen menjelaskan:
“Penghantaran sejumlah besar pokok pelbagai saiz pada jarak sejauh 3,000 batu nautika adalah satu peristiwa penting dalam sejarah perkhidmatan kami. Walaupun sifat operasi yang mencabar, keupayaan unik dan profesionalisme kami yang berpengalaman dan berkelayakan tinggi menggunakan kepakaran yang tiada tandingan dalam perancangan dan pelaksanaan, mengukuhkan lagi rekod prestasi cemerlang kami dalam menyampaikan projek menjadi lebih cemerlang.”
Walaupun perjalanan mungkin hanya mengambil masa 2 minggu, projek itu sendiri mengambil masa beberapa bulan dalam perancangan dan koordinasi. Pokok-pokok yang besar itu perlu disediakan untuk perjalanan bagi mengelakkan sebarang kerosakan pada akarnya.
Untuk membangunkan semula sistem akar baru, keseluruhan prosedur mengambil masa kira-kira 3 hingga 4 bulan.
Sebelum memulakan perjalanan, kawasan di mana pokok-pokok ini diletakkan telah dibersihkan dan disanitasi. Buaian kayu dan perancah juga telah dipasang untuk menyokong pokok di sepanjang perjalanan.
Selain itu, beberapa pakar telah diupah untuk menguruskan susunan pokok serta pengairannya sehingga kapal khas itu selamat sampai ke Doha.
Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin menyeru orang ramai untuk mendapatkan suntikan dos penggalak, terutamanya kepada penerima vaksin Sinovac.
Dalam satu kenyataan dimuat naiknya di Twitter, beliau menjelaskan keperluan golongan tersebut untuk diberikan suntikan penggalak terlebih dahulu.
“Walaupun Sinovac berkesan, terdapat bukti keberkesanannya berkurangan lebih awal. Itulah sebabnya kami mahu anda mengambil apa sahaja penggalak yang ditawarkan”, tulis Khairy.
Why a shorter booster interval for Sinovac (3 months) vs Pfizer/AZ (6 months)? While Sinovac is effective, there is evidence it’s effectiveness wanes sooner. This is Cat 4 & 5 weekly admission into Hosp Sg Buloh. That’s why we want you to take whatever booster is on offer. pic.twitter.com/Fo1FVgwXpL
Dalam pada itu, beliau turut berkongsi graf data kemasukan kes COVID-19 di Hospital Sungai Buloh, di mana kebanyakan pesakit kategori 4 dan 5 adalah penerima Sinovac.
Tempoh penurunan keberkesan lebih cepat cepat juga adalah faktor mengapa jarak masa antara suntikan penggalak Sinovac adalah 3 bulan, berbanding 6 bulan untuk Pfizer dan Astrazeneca.
Dalam pada itu, beliau mengatakan bahawa jangkitan kes COVID-19 kini banyak datangnya daripada kontak rapat keluarga dan rakan.
“”Sebab itu, perlu amalan #TRIIS adalah penting, terutamanya MAKLUMKAN kepada keluarga & rakan jika anda telah diuji positif supaya mereka boleh melakukan ujian kendiri dengan cepat”.
Ringkasnya, TRIIS merujuk kepada ‘test’ (uji), ‘report’ (lapor), ‘isolate’ (asing), ‘inform’ (maklumkan) dan ‘seek’ (cari).
Bermula 22 November, individu boleh mula mendaftar diri untuk menerima suntikan penggalak.
Nampaknya segala-galanya telah diaturkan dengan takdir pertemuan, ucap seorang lelaki bernama Zeng dari Shenzhen di China dengan gembira. Lelaki ini akhirnya bertemu semula dengan ibu kandungnya selepas diculik dan diperdagangkan selama 20 tahun. Lebih mengejutkan apabila mendapati nama samaran yang ditukar selama ini adalah namanya yang sebenar.
Pada 19 November, wanita bernama Xie yang tinggal di Songgang, Shenzhen bertemu semula dengan anak lelaki kandungnya yang telah terpisah selama 20 tahun. Ibu dan anak menangis teresak-esak dalam pertemuan menyayat hati yang diaturkan oleh Biro Sekuriti Awam Shenzhen Nanshan menerusi padanan ujian DNA.
Tangkap Skrin /NTDTV
Satu rakaman video yang memaparkan pertemuan semula yang dinanti-nantikan oleh si ibu yang merindui selama 20 tahun itu menjadi tular di platform media sosial di China.
Menurut laporan Southern Metropolis Daily, Xie mengingati insiden kehilangan anak lelakinya ketika dia dan keluarga telah pergi ke Shenzhen dari Maoming untuk berniaga dan membuka kedai serbaneka di Songgang.
Pada suatu petang 20 tahun lalu, anaknya secara tidak sengaja telah hilang dan mereka mengesyaki dia diculik. Sejak itu, keluarga Xie memulakan proses yang panjang untuk mencari anak lelakinya.
Xie berkata setelah kehilangan anaknya, dia kehilangan berat badan sebanyak 11 kilogram dalam masa seminggu. Pernah suatu ketika terlintas di fikirannya untuk membunuh diri.
“Keluarga saya memujuk supaya saya jangan pergi dan terus kuat, kerana anak saya tidak akan mempunyai ibu lagi jika dia datang kelak untuk menemui saya pada masa akan datang. Saya berpegang dengan perkataan itu sehingga hari ini.” kata ibu yang tabah ini.
Tangkap Skrin / NTDTV
Selama tempoh 20 tahun itu, Xie tidak pernah meninggalkan Songgang. Wanita ini sentiasa menaruh harapan pada suatu hari nanti anak lelakinya akan menemui jalan pulang. Pada tanggal 15 April adalah hari lahir anaknya. Xie berkata dia akan menangis untuk masa yang lama pada setiap kali tibanya hari itu.
“Saya hanya berharap dapat berjumpa dengannya selagi hayat saya masih ada,” katanya yang mana kini harapan dan hajatnya akhirnya dimakbulkan.
Anak lelaki kandung Xie, Zeng berkata dia dibesarkan di Jieyang, Chaoshan, dan merupakan anak tunggal dalam keluarga. Ibu bapa angkatnya melayannya dengan baik. Selama lebih 20 tahun, ibu bapa angkatnya tidak pernah menceritakan pengalaman hidupnya, tentang bagaimana dia diambil sebagai anak angkat.
Tiga tahun lalu, Zeng berhijrah ke Tanglang di Shenzhen tidak jauh dari Songgang untuk bekerja, dan menukar namanya kepada nama samaran kerana dia berasa namanya semasa kecil yang diberikan ibu bapa angkat agak pelik.
Pertemuan semula anak dan ibu kandung ini berjaya diatur setelah pihak polis mengenal pasti sampel darah dihantar Zeng yang diberitahu dirinya pernah diculik di Shenzhen adalah sepadan dengan sampel darah yang dihantar semula oleh Xie pada bulan Ogos lalu.
Tangkap Skrin / NTDTV
Apabila Zeng mengetahui nama asal semasa kecil yang sama dengan nama samaran diberinya, dia berasa amat terkejut sambil berkata, “Tanpa disangka, saya dipanggil dengan nama ini. Nampaknya semuanya telah diaturkan dengan takdir pertemuan.”
Video pertemuan semula ibu dan anak kandung ini menjadi tular di Weibo, membuat ramai netizen yang menjadi anak angkat berasa tersentuh hati dan memberikan komen mereka:
“Saya dipanggil dengan nama yang diberi sejak kecil, jadi hanya tahu nama itu dalam fikiran separa sedar ketika itu. Iri hati dengan dia yang tiba-tiba berubah menjadi kaya sekarang.”
“Mungkin dalam separa sedar ada yang boleh ingat perkara asal yang lama berlalu, tetapi saya tidak ingat apa-apa.”
“Inilah namanya rezeki diterima pada masa kegelapan.”
Kadang kala, kuasa internet berupaya untuk mendedahkan sisi murni masyarakat alam maya, terutamanya apabila ia melibatkan warga emas.
Baru-baru ini, tular mengenai satu video menunjukkan seorang warga emas dipercayai berusia 68 tahun bekerja sebagai penghantar makanan Grab Food.
Video itu dikongsikan oleh seorang pengguna TikTok, @danielashraf370. Warga emas terbabit difahamkan telah terlibat dalam ekonomi gig itu dengan harapan ia dapat menyara dirinya.
KUALA LUMPUR- Majlis Keselamatan Negara (MKN) baru-baru ini ada mengeluarkan peringatan kepada orang ramai supaya tidak meninggalkan anak mereka di dalam kenderaan bersendirian.
Amaran tegas tersebut dimuat naik di laman Facebook milik MKN pada hari Jumaat, 18 November lalu.
Kecuaian meninggalakan anak kecil bersendirian di dalam kenderaan tanpa pengawasan merupakan kesalahan serius dan boleh diambil tindakan tegas.
Kecuaian tersebut adalah suatu kesalahan di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001. Mereka yang didapati bersalah boleh didenda tidak lebih RM50,000 atau penjara tidak lebih 20 tahun atau kedua-duanya sekali.
Ramai yang akan membawa kucing mereka berjumpa doktor jika haiwan kesayangan mereka tidak sihat. Berapa pun sanggup dibelanjakan asalkan kucing mereka sihat dan aktif seperti biasa. Namun, ramai yang tidak tahu bahawa sebenarnya ada tumbuhan semula jadi yang boleh menyembuhkan beberapa jenis penyakit kucing.
Tumbuhan yang dimaksudkan ialah sejenis rumput yang dipanggil ‘Rumput Pendul’. Rumput ini dikatakan boleh merawat kucing yang menhidapi penyakit Parvo, selesema atau demam.
Apa yang perlu dilakukan ialah dengan memberikan air rebusan rumput ini kepada kucing yang sakit. Jika ada kucing anda yang tiada selera makan, boleh juga diberikan air rebusan rumput ini kepadanya.
Bagi yang mahu mencari rumput ini, anda boleh cuba mencarinya di kawasan lapang yang tanahnya agak lembap. Rumput jenis ini biasanya tumbuh meliar di kawasan seperti itu dan tidak akan tumbuh di celah pohon yang besar kerana rumput ini suka akan tempat terang dengan cahaya matahari.
Berikut adalah cara-cara untuk membuat air rebusan Rumput Pendul:
Cabut rumput ini bersama akarnya.
Bersihkan tanah dari akar dan daun.
Patahkan daun, batang dan akar dan masukkan ke dalam bekas dan rebus dengan api yang sederhana hingga agak mendidih. Pastikan api tidak besar kerana khasiatnya akan hilang.
Bila kandungan air sudah jadi separuh, matikan api dan sejukkan pada suhu bilik.
Bila sudah sejuk, berikan sekitar 10ml hingga 20ml kepada kucing yang sakit pada waktu pagi dan malam.
Air rebusan lebihan boleh disimpan di dalam peti sejuk tetapi pastikan tidak lebih daripada dua minggu kerana khasiatnya akan hilang.
Bagi mereka yang berkecimpung dalam dunia perniagaan pastinya pernah berhadapan dengan detik sukar. Mana tidaknya, bukan mudah untuk memulakan dan memajukan perniagaan kerana semestinya ada fasa naik dan turunnya.
Namun, semua penat lelah seolah-olah terbayar apabila perniagaan yang dibangun dengan hasil tangan sendiri akhirnya mula mendapat tempat di dalam masyarakat dan mula membuahkan hasil.
Antara mereka yang berhadapan dengan pengalaman seperti ini ialah pasangan suami isteri, Mohammad Nasruddin Shah Room dan Nor Fazliah Mohammed yang mengusahakan perniagaan Kek Durian Viral (KDV).
Mungkin ramai yang tidak tahu bahawa jenama terkenal ini sebenarnya bermula dari rumah secara ‘homemade’ sejak Ogos 2019. Pada mulanya mereka membuat kek tersebut secara suka-suka dan siapa sangka kini jenama tersebut mula diterima ramai dengan slogan ‘sebiji tak cukup’.
Ia akhirnya menjadi serius dan punca pendapatan utama kepada pasangan ini sehingga mereka mampu memiliki dua buah bangunan operasi selain pejabat sendiri di Setia Alam, Selangor di bawah syarikat KDV Niaga Sdn Bhd.
Menurut Nor Fazliah, dia dan suaminya memang ‘hantu durian’. Semuanya bermula sekitar tahun 2019 apabila suaminya ada membeli longgokan durian. Dengan baki buah yang ada dia mula terfikir untuk membuat kek berperisa durian. Jadi dia cuba untuk membuat resipi mengikut selera sendiri dan suaminya.
“Daripada untuk makan sendiri, terfikir nak menjualnya. Tak sangka ramai pula yang suka. Bermula dengan mengambil tempahan empat biji sehari. Kemudian, tempahan itu berulang berganda ganda sampai ditempah 100 biji kek sehari. Sebulan pernah cecah 10000 biji kek dihasilkan.
“Masa itu operasi kerja dibuat di rumah kami di Bukit Kapar, Klang dan hanya dibantu seorang jiran di belakang rumah. Saya beri tumpuan utama perniagaan ini dan suami membantu ketika ada masa terluang. Suami pula ketika itu masih bekerja sebagai juruteknik di sebuah kilang,” katanya.
Ketika beroperasi di rumah, permintaan KDV mula bertambah sehingga ada pelanggan yang sanggup datang dari jauh untuk mengulang pembelian serta tempahan.
“Asalnya tempahan dan jualan kek durian kami dijual dalam pelbagai saiz termasuk yang bertingkat tingkat. Tapi sebab masa itu tak cukup tenaga pekerja, maka diputuskan hanya satu saiz iaitu 6 inci saja dijual tetapi ada variasi jenisnya.
“Ia dijual dari harga RM30 ke RM75. Kek ini akan jadi lebih mahal jika lagi banyak isi durian digunakan. Nama viral pada KDV itu diberikan oleh pelanggan setia kami sendiri hingga melekat. Begitu juga dengan tagline ‘sebiji tak cukup’ yang diakui kebanyakan pelanggan dan pembeli,” katanya.
Ditanya apa yang membezakan kek duriannya dengan kek durian lain yang ada di pasaran, ibu kepada empat cahaya mata ini tak menyangka resipi yang dibuat sendiri mampu menambat selera ramai sehingga menjadi terkenal dan tular.
“Nak ikutkan ramai yang mengusahakan perniagaan kek durian. Tapi KDV menggunakan isi durian sebenar. Memang rasa asli dan tak ada unsur penipuan dalam kandungan bahan digunakan. Teksturnya juga lemak dan lembut.”
“Sampai ada yang cakap KDV macam ‘Mak Esah’ selera mereka untuk makannya berulang kali. Bayangkan yang tak suka durian pun boleh terjatuh suka.”
“Resipi saya biasa biasa saja. Allah yang bagi nikmat sedap itu dengan izin-Nya. Durian jenis D24 dari Pahang kami gunakan kerana meyakini rasanya,” kata graduan Ijazah Teknologi Alam Sekitar itu.
Kini kerja operasi pembuatan KDV dibuat di premis sendiri dan bersama 20 orang pekerja di samping memiliki lebih daripada 100 orang ejen di seluruh negara.
“Saya dan suami sebaya berusia 32 tahun. Kami bercinta sejak zaman sekolah menengah di tingkatan tiga lagi. Masing masing melanjutkan pelajaran ikut minat masing masing.
“Saya pernah bekerja dalam bidang khidmat pelanggan tapi hanya setahun saja bertahan. Kemudian jadi suri rumah menjaga anak. Sebelum sepenuh masa jual kek durian, saya asalnya bermula dengan menjual pelbagai manisan termasuk kek untuk tempahan acara tertentu termasuk majlis kahwin.”
“Semuanya dilakukan di rumah. Saya timba ilmu bakeri dengan mendaftar kelas dalam talian dan kursus pengajian jarak jauh sejak 2016. Suami pula masa itu kerja sebagai juruteknik di sebuah kilang. Tahun lalu, dia diberhentikan kerja dan sama sama bantu kukuhkan KDV,” katanya yang turut mendapat ilmu dan bimbingan daripada jurulatih perniagaan berdaftar.
Pergi ke mana sahaja pelosok negara ini tidak sah kalau tidak ternampak kereta yang paling banyak di atas jalan, iaitu Perodua Myvi. Bukan setakat jumlahnya yang banyak, Myvi juga sering tular kerana ‘kebolehannya’ melakukan sesuatu yang di luar jangkaan. Namun, apa yang lebih membanggakan jika ternampak kereta jenama Malaysia ini di luar negara.
Baru-baru ini seorang pengguna Facebook, Mahziah Ramly, telah hantaran bersama beberapa gambar sekumpulan pelajar Malaysia yang sedang bergambar dengan sebuah kereta Myvi yang ditemui di Scotland.
Menurut wanita itu, anaknya yang kini sedang menghantar belajar di Edinburgh telah menghantar gambarnya dan kawan-kawannya bersama dengan sebuah kereta Myvi.
Tidak hanya itu, menurutnya lagi dengan melihat kereta itu membuatkan rindu mereka kepada tanah air terubat juga.
Melihat kereta kebanggan negara di luar negara pastinya mengamit kenangan, rindu juga pasti terubat dan apa yang pasti ada rasa bangga apabila ada jenama tempatan yang digunakan di negara asing.