Kejadian lemas boleh berlaku bukan sahaja di pantai atau sungai malah jika tidak berhati-hati kejadian ini boleh berlaku di kolam renang. Jadi, tidak kira di mana pun, setiap orang perlu berhati-hati ketika bermandi manda terutama jika mereka memiliki anak kecil.
Baru-baru ini berlaku kejadian lemas yang melibatkan seorang kanak-kanak perempuan di sebuah kolam renang. Tidak diketahui bagaimana dia boleh lemas, tetapi detik cemas tersebut mengejutkan orang ramai yang ada di situ.
Kanak-kanak tersebut walau bagaimanapun masih bernasib baik apabila ada beberapa orang yang melihat keadaannya terus cuba untuk menyelamatkannya. Kelihatan beberapa orang lelaki berusaha melakukan kaedah resusitasi kardio-pulmonari atau Cardiopulmonary resuscitation (CPR) untuk menyelamatkan mangsa berkenaan.
Pada mulanya tiada reaksi daripada kanak-kanak lemas itu. Badannya masih tidak memberi sebarang respons tetapi pemuda-pemuda itu terus melakukan CPR dan akhirnya barulah budak perempuan tersebut mula sedar semula.
Kejadian seperti ini memberitahu kita bahawa pengatahuan mengenai CPR adalah sangat penting kerana malang tidak berbau. Jadi, adalah lebih baik untuk mempelajari teknik-teknik CPR yang betul untuk persediaan akan datang.
Berikut adalah kaedah melakukan bantuan asas hayat seperti yang disarankan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Langkah pertama D – DANGER Pastikan persekitaran anda dan pesakit selamat | 1. Pastikan anda berada dalam keadaan selamat untuk menghampiri mangsa. 2. Alihkan objek yang berbahaya seperti wayar elektrik jika terdapat daripada mangsa. 3. Jika mangsa berada dalam keadaan bahaya cuba alihkan mangsa apabila keadaan selamat. 4. Pastikan mangsa berada di permukaan yang keras dan rata, seterusnya betulkan dan luruskan badan mangsa. |
Langkah kedua R – RESPONSE Periksa tindak balas mangsa | 1. Panggil mangsa dengan suara yang lantang berhampiran telinga mangsa dan tepuk kedua-dua bahagian bahu mangsa dengan sederhana untuk cuba mengejutkan mangsa. 2. Jika mangsa tidak mempunyai sebarang tindak balas , dapatkan bantuan orang lain dan segera menelefon talian kecemasan 999 terlebih dahulu sebelum memberikan bantuan seterusnya. 3. Jika anda berada dalam kawasan yang anda tahu mempunyai mesin AED minta bantuan orang lain untuk mendapatkan alat tersebut. |
Langkah ketiga A – AIRWAY Buka saluran pernafasan | 1. Buka saluran pernafasan mangsa dengan mendongakkan dahi dan mengangkat dagu mangsa ke atas. 2. Periksa sama ada mangsa bernafas atau tidak. 3. Jika tidak, periksa jika terdapat sebarang benda asing di dalam mulut mangsa dan cuba keluarkan jika benda asing itu dapat dilihat dengan jelas. |
Langkah keempat B-BREATHING Bantu pernafasan | 1. Periksa dada mangsa jika terdapat sebarang tanda-tanda bahawa pesakit masih bernafas seperti pergerakan dada ke atas dan ke bawah secara tetap. 2. Jika pesakit tidak bernafas, mulakan tekanan dada. |
Langkah kelima C – CIRCULATION Peredaran darah dan tekanan dada | 1. Lakukan tekanan dada kepada mangsa sebanyak 30 kali secara berterusan dan diikuti dengan memberi dua hembusan nafas dan lakukannya sebanyak lima kali pusingan. 2. Semasa melakukan tekanan dada, pastikan kedua-dua tangan anda diletakkan di atas bahagian tengah dada mangsa dan lakukannya dalam kelajuan 100 hingga 120 kali tekanan seminit dengan kedalaman 5 hingga 6 cm. 3. Pastikan juga dada pesakit naik sepenuhnya semasa melakukan tekanan dada untuk membenarkan aliran darah dapat kembali ke jantung. 4. Jika terdapat lebih daripada seorang yang terlatih dalam melakukan bantuan asas hayat ini lakukan giliran setiap lima pusingan untuk mengelakkan keletihan dan memastikan kualiti bantuan asas hayat yang tinggi. 5. Elakkan sebarang gangguan semasa melakukan bantuan asas hayat ini. 6. Anda juga boleh melakukan bantuan asas hayat ini dengan melakukan tekanan dada sahaja secara berterusan dan ini dikenali juga sebagai ‘Chest compression only cardiopulmonary resuscitation’ tanpa memberi sebarang bantuan pernafasan. 7. Teruskan melakukan tekanan dada sehingga bantuan kecemasan tiba atau pesakit kembali sedarkan diri, ataupun penyelamat tidak dapat meneruskan bantuan akibat keletihan. 8. Jika pesakit sedar, posisikan pesakit secara mengiring dengan sebelah tapak tangan diletakkan di bahagian bawah pipi mangsa. |