Nampaknya segala-galanya telah diaturkan dengan takdir pertemuan, ucap seorang lelaki bernama Zeng dari Shenzhen di China dengan gembira. Lelaki ini akhirnya bertemu semula dengan ibu kandungnya selepas diculik dan diperdagangkan selama 20 tahun. Lebih mengejutkan apabila mendapati nama samaran yang ditukar selama ini adalah namanya yang sebenar.
Pada 19 November, wanita bernama Xie yang tinggal di Songgang, Shenzhen bertemu semula dengan anak lelaki kandungnya yang telah terpisah selama 20 tahun. Ibu dan anak menangis teresak-esak dalam pertemuan menyayat hati yang diaturkan oleh Biro Sekuriti Awam Shenzhen Nanshan menerusi padanan ujian DNA.
Satu rakaman video yang memaparkan pertemuan semula yang dinanti-nantikan oleh si ibu yang merindui selama 20 tahun itu menjadi tular di platform media sosial di China.
Menurut laporan Southern Metropolis Daily, Xie mengingati insiden kehilangan anak lelakinya ketika dia dan keluarga telah pergi ke Shenzhen dari Maoming untuk berniaga dan membuka kedai serbaneka di Songgang.
Pada suatu petang 20 tahun lalu, anaknya secara tidak sengaja telah hilang dan mereka mengesyaki dia diculik. Sejak itu, keluarga Xie memulakan proses yang panjang untuk mencari anak lelakinya.
Xie berkata setelah kehilangan anaknya, dia kehilangan berat badan sebanyak 11 kilogram dalam masa seminggu. Pernah suatu ketika terlintas di fikirannya untuk membunuh diri.
“Keluarga saya memujuk supaya saya jangan pergi dan terus kuat, kerana anak saya tidak akan mempunyai ibu lagi jika dia datang kelak untuk menemui saya pada masa akan datang. Saya berpegang dengan perkataan itu sehingga hari ini.” kata ibu yang tabah ini.
Selama tempoh 20 tahun itu, Xie tidak pernah meninggalkan Songgang. Wanita ini sentiasa menaruh harapan pada suatu hari nanti anak lelakinya akan menemui jalan pulang. Pada tanggal 15 April adalah hari lahir anaknya. Xie berkata dia akan menangis untuk masa yang lama pada setiap kali tibanya hari itu.
“Saya hanya berharap dapat berjumpa dengannya selagi hayat saya masih ada,” katanya yang mana kini harapan dan hajatnya akhirnya dimakbulkan.
Anak lelaki kandung Xie, Zeng berkata dia dibesarkan di Jieyang, Chaoshan, dan merupakan anak tunggal dalam keluarga. Ibu bapa angkatnya melayannya dengan baik. Selama lebih 20 tahun, ibu bapa angkatnya tidak pernah menceritakan pengalaman hidupnya, tentang bagaimana dia diambil sebagai anak angkat.
Tiga tahun lalu, Zeng berhijrah ke Tanglang di Shenzhen tidak jauh dari Songgang untuk bekerja, dan menukar namanya kepada nama samaran kerana dia berasa namanya semasa kecil yang diberikan ibu bapa angkat agak pelik.
Pertemuan semula anak dan ibu kandung ini berjaya diatur setelah pihak polis mengenal pasti sampel darah dihantar Zeng yang diberitahu dirinya pernah diculik di Shenzhen adalah sepadan dengan sampel darah yang dihantar semula oleh Xie pada bulan Ogos lalu.
Apabila Zeng mengetahui nama asal semasa kecil yang sama dengan nama samaran diberinya, dia berasa amat terkejut sambil berkata, “Tanpa disangka, saya dipanggil dengan nama ini. Nampaknya semuanya telah diaturkan dengan takdir pertemuan.”
Video pertemuan semula ibu dan anak kandung ini menjadi tular di Weibo, membuat ramai netizen yang menjadi anak angkat berasa tersentuh hati dan memberikan komen mereka:
“Saya dipanggil dengan nama yang diberi sejak kecil, jadi hanya tahu nama itu dalam fikiran separa sedar ketika itu. Iri hati dengan dia yang tiba-tiba berubah menjadi kaya sekarang.”
“Mungkin dalam separa sedar ada yang boleh ingat perkara asal yang lama berlalu, tetapi saya tidak ingat apa-apa.”
“Inilah namanya rezeki diterima pada masa kegelapan.”