27 C
Kuala Lumpur
Thursday, July 24, 2025
Utama Blog Laman 250

Guru ini ingat anak muridnya tidak faham sistem penggiliran, rupanya hadir ke sekolah setiap hari sebab tidak mahu terlepas RMT

0

Bagi mengurangkan risiko penularan COVID-19, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) telah melaksanakan sistem penggiliran di sekolah rendah dan menengah dengan kapasiti kehadiran murid hanya 50 peratus daripada jumlah keseluruhan murid di setiap sekolah.

Yang bermakna setiap murid perlu mengikut jadual penggiliran ke sekolah mengikut minggu, dengan pada masa yang sama menjalani Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) secara berselang seli.

Dengan sistem yang telah diatur dengan baik oleh KPM bermula November lalu, terdapat para pelajar yang tidak menghiraukannya dengan lebih gemar untuk hadir ke sekolah setiap hari tanpa penggiliran atas sebab yang akan menyentuh hati anda.

Facebook

Seorang guru dikenali Cikgu Lynn Ismail baru-baru ini telah berkongsi di Facebook dengan mendedahkan sebuah realiti kehidupan menginsafkan yang sedang berlaku dalam masyarakat.

Dalam hantaran itu, guru ini menulis:

Ini ‘deep’. Minggu ini ada seorang murid dari kumpulan A yang hadir. Saya menyangka mungkin murid itu tidak tahu tentang penggiliran. Lalu saya terangkan kepada dia.

“Minggu lepas awak sudah hadir, minggu ini tidak payah hadir. Belajar di rumah. Minggu depan baru hadir ke sekolah.”

Dia mengangguk tanda faham.

Keesokan harinya dia hadir lagi.

“Kenapa awak datang ke sekolah hari ini? Kan cikgu kata jangan datang minggu ini. Minggu depan baru datang,” tanya saya.

Dia hanya tunduk dan diam.

Hari seterusnya, dia datang ke sekolah lagi. Saya berasa pelik. Takkan dia tak faham-faham. Saya dah jelaskan berkali-kali, malah kawan-kawan dia pun suruh jangan datang ke sekolah minggu ini.

Hari Selasa itu, giliran saya menjaga kelas waktu rehat. Budak ini adalah penerima Rancangan Makanan Tambahan (RMT).

Saya tengok dia makan nasi lauk kari ayam dengan lahapnya seolah-olah terlalu lapar. Mungkin dia datang ke sekolah setiap hari hanya untuk makan.

Hari ini adalah hari keempat dia hadir ke sekolah untuk minggu ini. Dan saya tidak mahu bertanya lagi. Biarlah dia datang ke sekolah untuk makan. 

Gambar Hiasan / Pixabay

Cikgu Lynn menyedari rupa-rupanya murid itu sanggup hadir ke sekolah setiap hari semata-mata untuk mengisi perutnya yang lapar dengan makanan yang telah disediakan oleh pihak sekolah.

Bagaimana keadaan ekonomi keluarga anak muridnya ini di rumah? Bagaimana keadaan dan kebajikannya sebagai kanak-kanak ketika dia tidak ke sekolah? Mungkin tidak makan. Jadi lebih baik dia ke sekolah walaupun bukan gilirannya.

Cerita rakyat dengan ahli keluarganya mengikat perut dan mencatu makanan masih ramai di luar sana tidak pernah main-main. Bayangkan anda sebagai ibu bapa yang gagal menyediakan keperluan asas makanan yang mencukupi untuk anak-anak ekoran tidak mempunyai sumber pendapatan akibat terkesan pandemik.

Bapa dodoi anak lagu nasyid, undang keinsafan. Herot mulut si anak dibuatnya..

0

Anak kecil sememangnya mudah tertidur dengan lena jika didodoikan dengan lagu yang bersesuaian oleh ibu bapa.

Namun kali ini, satu video lucu mendapat perhatian netizen memaparkan reaksi seorang kanak-kanak yang didodoikan oleh bapanya.

Walaupun masih kecil dan mungkin tidak memahami bait lirik lagu yang didodoikan si bapa, kanak-kanak tersebut dilihat sayu sahaja.

Lebih dramatik, mulut budak tersebut turut herot ke bawah seakan menandakan bahawa lagu itu cukup terkesan buat dirinya.

Tidak berapa lama kemudian, kanak-kanak tersebut dilihat mula menangis, membuatkan para netizen berspekulasi bahawa budak tersebut begitu tersentuh dengan lagu nasyid terbabit.

GEGAR/Facebook

Saksikan video penuh mereka di sini.

Terpaksa bayar bil walaupun tiada bekalan air sudah 6 bulan, wanita ini menangis mengadu di pejabat pengurusan wakili penghuni UUC Telipok

0

Hendak dikatakan Malaysia sedang bergerak menuju negara maju, tetapi masalah air terdengar berada di mana-mana yang ternampak seperti agak sukar untuk diselesaikan. Negara dengan kadar taburan hujan yang banyak di sepanjang tahun, tetapi ramai penduduk sering mengadu rumah mereka selalu ketiadaan air.

Bagi mereka yang tidak pernah mengalami mungkin tidak dapat merasakan kesengsaraannya, rumah tiada bekalan air selama berhari-hari dan berminggu-minggu. Lebih menyakitkan hati apabila masalah berlarutan selama berbulan-bulan dan bil pula dikenakan surcaj walaupun tiada air yang sempurna telah dibekalkan.

Facebook

Seperti dalam satu insiden kekecohan yang berlaku di Sabah baru-baru ini. Tular menerusi satu rakaman siaran langsung di media sosial berkenaan masalah gangguan bekalan air yang berlaku di University Utama Condominium (UUC) Telipok, Sabah.

Rakaman dalam Facebook itu memaparkan seorang wanita telah datang ke pejabat pengurusan UUC berkenaan dan meminta penjelasan bagaimana meter kediaman mereka dibaca memandangkan tiada bekalan air sempurna yang diterima selama berbulan-bulan.

Facebook

Wanita ini datang dalam keadaan marah, sedih dan hampa di hadapan kaunter pejabat pengurusan kerana terpaksa membayar bil air walaupun rumahnya tiada bekalan air.

Wanita dikenali sebagai Ruby RJ itu menjelaskan mengapa bayaran terpaksa ditanggung penduduk UUC pada kadar yang tinggi sedangkan air yang mereka terima hanya beberapa minit atau jam dalam masa sehari.

Facebook

Dalam video berkenaan, pihak pengurusan cuba menjelaskan mengapa bayaran dikenakan, di mana penjelasan itu agak tidak masuk akal pada pandangan wanita ini kerana kata petugas berkenaan walaupun tiada air, meter akan tetap bergerak.

Facebook

Turut menjadi misteri ialah apabila terdapat surcaj dikenakan kepada pengguna, yang tidak dapat dijelaskan oleh pihak pengurusan UUC, sehingga membuatkan wanita ini menjerit-jerit di hadapan kaunter kerana terpaksa membazirkan wang titik peluh sendiri untuk perkara yang tidak patut dibayar.

Wanita ini juga menunjukkan bukti bahawa pihak pengurusan UUC hanya membuka atau menyalurkan air ke kediaman penduduk dalam masa 40 minit pada jam 10 malam.

Facebook

Dan masalah itu menurutnya telah berlarutan sejak 6 bulan yang lalu. Keadaan semakin menjadi mendesak dan menimbulkan kemarahan penduduk apabila air yang dibekalkan semakin berkurangan dan pihak pengurusan hanya menyediakan lori yang membawa tangki air di tempat letak kereta.

Katanya, lebih menyedihkan terdapat penghuni yang sedang mengandung terpaksa mengambil air di tempat letak kereta dan mengangkut air tersebut ke tingkat atas kediaman.

Facebook

Rakaman video siaran langsung tersebut turut menunjukkan petugas dalam pejabat pengurusan UUC berkenaan tidak dapat berbuat apa-apa dan tertunduk diam ketika mendengar wanita ini menyatakan keluhannya dalam keadaan marah dan menangis kerana tahap kesabarannya bersama penghuni lain telah tidak dapat dipendam lagi.

Tonton video di sini.

Penghijrahan jutaan ketam di Australia sebabkan jalan raya ‘dibanjiri’

0

Lebuh raya dan jalan telah ditutup di sebuah pulau, Christmas Island yang terletak di Australia ekoran penghijrahan berjuta-juta ekor ketam merah.

Setiap tahun, pulau yang berada di bahagian Barat Laut negara terbabit akan ‘dibanjiri’ dengan pergerakan spesies ketam itu ke lautan.

Difahamkan bahawa ketam merah berkenaan akan bermigrasi pada setiap musim luruh daripada habitat mereka ke lautan, menyebabkan kebanyakan jalan ditutup untuk melindungi mereka.

Walau bagaimanapun, beberapa jalan masih dibuka namun ianya telah dilengkapi dengan jambatan khas untuk ketam melintas.

Malahan ada juga pekerja yang bertindak menyapu ketam-ketam itu ketepi sebelum jalan raya itu dilalui oleh kenderaan.

Segelintir penduduk di pulau berkenaan juga dilaporkan ‘terperangkap’ di kejiranan masing-masing di waktu pagi apabila penutupan jalan dibuat.

Menurut National Geographic, ketam yang tiba di pantai pulau tersebut akan mengawan agar ketam betina dapat bertelur dan menjaganya selama seminggu.

Telur-telur itu kemudian akan dilepaskan ke lautan semasa air pasang antara suku tahun terakhir ataupun pada bulan baru.

Dalam tempoh ini, paras air laut adalah faktor yang sangat penting jika cuaca melengahkan penghijrahan dan mereka akan menangguhkan migrasi mereka ke bulan lunar berikutnya.

Menariknya, ketam merah spesies ini hanya dapat ditemukan di Christmas Island yang memiliki populasi sebanyak 50 juta.

Beruang jadi peneman setia wanita Rusia ini, kerap memancing bersama. Manja juga beruang ya?

0

Patung beruang sangat comel dan rata-rata kaum wanita membesar bersamanya semenjak kecil bukan?

Namun lain pula buat wanita dari Rusia bernama Veronika Dichka ini apabila dia membela seekor beruang bagi menemani hidupnya.

Archie merupakan seekor beruang coklat yang diselamatkan oleh Veronika 2 tahun lalu daripada safari yang menutup operasinya.

Beruang terbabit dianggap wanita itu sebagai binatang peliharaannya dan mereka berdua sering kali menghabiskan masa bersama.

Kadang kala, Veronika dan Archie akan pergi memancing bersama di sebuah tasik yang terletak di bahagian Selatan Siberia, Rusia.

“Dia melihat saya sebagai ahli keluarganya. Kami berkongsi makanan, dia juga tidur di sebelah saya dia ketakutan. Malah dia turut bersembunyi di belakang saya”.

“Saya menyelamatkannya daripada sebuah taman safari dan dia tidak dapat dilepaskan ke habitat liar memandangkan dia sudah terbiasa hidup di dalam tawanan sebegini”.

Tambah Veronika, Archie akan menghabiskan masa setiap hari bersamanya dan beruang tersebut sememangnya sukakan air!

Ketika memancing, Veronika akan menunggu sehingga umpannya dimakan ikan namun berbeza dengan Archie yang turun menangkap sendiri ikan di dalam air.

Sungguh luar biasa ikatan antara mereka berdua bukan? Anda boleh lihat video mereka di sini.

Wanita ini suka dengan rutin harian ayahnya yang sabar menunggu depan pejabat untuk keluar makan tengah hari bersama-sama

0

Seorang ayah tidak pernah jemu dengan rutin hariannya yang sanggup berkorban datang ke pejabat anak perempuannya semata-mata untuk makan tengah hari bersama-sama.

Menerusi video tular dengan 1.4 juta tontonan di TikTok, netizen bernama Wahida@triplea201911 berkongsi bagaimana pada setiap hari ayahnya yang sudah berusia datang menunggu di hadapan tempat kerjanya supaya mereka boleh keluar makan tengah hari bersama-sama.

Rakaman video berkenaan pada mulanya menunjukkan wanita itu keluar dari pejabat ketika waktu rehat makan tengah hari.

TikTok

Ketika itu kelihatan fokus telefon pintarnya ditujukan ke arah ayahnya yang sedang duduk menunggu anak kesayangannya di tangga berdekatan pejabat.

Sudah terbiasa dengan rutin harian ayahnya yang menunggu dengan sabar dan sentiasa tersenyum di luar pejabat, wanita ini amat gembira bertemankan ayah tersayang ketika menikmati juadah makan tengah hari.

“Hari-hari tanpa jemu abah tunggu dekat ofis nak ‘lunch’ sekali,” kapsyen dalam video TikTok itu.

TikTok

Rata-rata netizen yang menonton video itu berasa terharu dengan pengorbanan dan kasih sayang ayah wanita ini yang sabar menunggu anaknya keluar pada waktu rehat untuk makan bersama, dengan wajah yang sentiasa tersenyum:

“Comel je muka terkejut macam tu..”

“Comel la macam ni tapi kenapa rasa sedih.”

“Rasa macam sebak pulak.. Tapi itulah pengorbanan seorang ayah. Comel pulak ayahnya terkejut macam tu..”

TikTok

Malahan terdapat netizen yang memuji tindakan wanita itu kerana tidak jemu meluangkan masa makan tengah hari bersama ayahnya berbanding rakan sekerja.

TikTok

Tidak rugi apa-apa ketika anda meluangkan masa bersama ibu bapa. Hargai setiap detik ketika bersama mereka, selagi masa itu masih ada.

KPM : Program sarapan percuma murid sekolah tidak akan diperkenal semula

0

Kementerian Pendidikan (KPM) berkata kabinet dalam mesyuarat pada 15 Januari tahun lalu memutuskan untuk tidak meneruskan program sarapan percuma.

Program tersebut adalah cetusan idea daripada bekas Menteri Pendidikan yang juga Ahli Parlimen Simpang Renggam, Dr Maszlee Malik pada tahun 2019.

Keputusan itu dijawab secara bertulis oleh Kementerian berhubung dengan soalan Dr Maszlee sama ada KPM berhasrat untuk memperkenalkan semula program itu pada tahun hadapan.

Sebaliknya, KPM akan meneruskan pelaksanaan program Rancangan Makanan Tambahan (RMT) dan Program Susu Sekolah (PSS).

“KPM yakin pelaksanaan RMT ketika ini dapat memberi impak positif kepada keadaan kesihatan, fizikal dan amalan pemakanan sihat oleh murid sekolah rendah, khususnya murid B40”.

Susulan dengan itu, Maszlee kemudiannya menyuarakan ketidakpuasan hatinya berhubung dengan keputusan yang dibuat KPM.

Ujarnya, RMT hanya menyasarkan murid dari keluarga B40, sedangkan program sarapan pagi percuma untuk semua murid.

September lalu, Maszlee berkata program sarapan percuma perlu diperkenalkan semula di sekolah rendah di seluruh negara di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) kerana ia boleh memberi manfaat kepada mereka yang terjejas akibat pandemik COVID-19.

Menurutnya, berdasarkan kajian pada 2019, dianggarkan 2.7 juta kanak-kanak, 50,000 guru dan 7,772 buah sekolah akan mendapat manfaat daripada program ini selama 200 hari setahun.

Bintang NBA Enes Kanter sekali lagi mengkritik PKC kerana jenayah penuaian organ

0

Pemain bola keranjang Amerika Syarikat NBA Boston Celtics Enes Kanter sekali lagi mengkritik Beijing kerana membunuh tahanan politik dan agama yang berskala-industri untuk mendapatkan organ mereka. Beliau turut membawa isu ini ke media sosial dengan lantang mengkritik rejim Parti Komunis China kerana pencabulan hak asasi manusia secara meluas.

“Berhenti membunuh untuk organ. Ini adalah jenayah terhadap kemanusiaan.” Pemain bola keranjang kelahiran Turki itu menulis dalam hantaran di Twitter, Facebook dan Instagram. 

Hantaran Enes Kanter di platform media sosial menunjukkan gambar sepasang kasut sukan buatan tangan yang menyampaikan mesej sama. Seorang doktor berpakaian biru dilukis pada kasut itu, yang memegang organ berdarah. Hati, buah pinggang dan jantung dicat pada jari kaki; setiap organ mempunyai tanda harga. Pada kedua-dua kasut berkenaan, darah terpercik di mana-mana.

Pemain NBA Boston Celtics Enes Kanter (Gambar oleh Maddie Meyer/Getty Images)

“Hentikan penuaian organ di China.” Slogan seperti ini ditulis dengan tulisan hitam tebal di bahagian sisi kasut.

Buat pertama kali, laporan terperinci telah didedahkan pada tahun 2006, mendakwa rejim Parti Komunis China (PKC) telah menuai organ secara paksa daripada individu yang masih hidup bagi tujuan menjualnya untuk industri pemindahan organ. Pada tahun yang sama, beberapa pemberi maklumat menghubungi The Epoch Times untuk mendedahkan perlakuan haram yang jelas menyalahi undang-undang hak asasi manusia ini.

Pada 2019, Mahkamah Tribunal Rakyat yang bebas berpangkalan di London selepas penyiasatan selama setahun, mengesahkan dakwaan berkenaan. Mahkamah memutuskan Beijing telah melakukan penuaian organ secara paksa pada skala yang signifikan selama bertahun-tahun dan tidak pernah berhenti. Mahkamah turut memutuskan sumber utama penuaian organ adalah daripada pengamal Falun Gong. Sejak tahun 1999, Falun Gong telah mengalami penganiayaan secara kejam oleh rejim PKC.

Beberapa pakar perubatan menyatakan ketakutan terhadap tindakan balas ekonomi telah sedikit sebanyak menutup mata terhadap pencabulan hak asasi manusia yang sedemikian rupa oleh profesion perubatan dan masyarakat antarabangsa.

Demonstrasi penuaian organ oleh pengamal Falun Gong pada 19 April 2006 di Washington D.C, Amerika Syarikat (Gambar oleh JIM WATSON/AFP/Getty Images)

Weldon Gilcrease, pakar onkologi dari Universiti Utah, berkata apabila beliau cuba membincangkan keputusan mahkamah itu dengan sistem penjagaan kesihatan di sekolah perubatan, dan para pemimpin menyatakan keraguan mereka, dengan kebimbangan sekiranya mereka bersuara, China akan menghentikan bantuan ke atas komuniti antarabangsa. Pelajar berada di universiti untuk belajar.

Pada bulan September, Gilcrease memberitahu The Epoch Times, “Anda pasti boleh mendapatkan sokongan peribadi, tetapi apabila anda cuba membawanya ke peringkat institusi, akan terdapat suara sunyi dan telinga yang tidak mendengar.”

Komuniti perniagaan Amerika Syarikat tidak mahu bercakap mengenai isu hak asasi manusia di China. Coca-Cola, Airbnb, P&G dan Visa, penaja utama bagi Sukan Olimpik Beijing 2022, enggan menyatakan sama ada mereka akan menyokong satu lagi Sukan Olimpik apabila mereka diaju soalan oleh penggubal undang-undang pada Julai tahun ini. 

Andrea Fairchild, naib presiden kanan penajaan global Visa, berkata ketika pendengaran kongres, “Selagi mana kerajaan membenarkan atlet bermain, kami akan berada di sana untuk menyokong dan menaja mereka.”

Dalam dua tahun kebelakangan, NBA telah dua kali membangkitkan kemarahan PKC berkaitan isu hak asasi manusia.

Pada Oktober 2019, Daryl Morey, pengurus besar Houston Rockets ketika itu, dalam ciapan di Twitter menyokong aktiviti pro-demokrasi di Hong Kong, menyebabkan NBA kehilangan penaja utamanya dari China. CCTV dan gergasi internet Tencent milik Parti Komunis China juga telah menghentikan penyiaran permainan NBA.

Tidak lama selepas itu, Tencent yang menandatangani kontrak siaran langsung selama lima tahun dengan NBA, menyambung semula penyiaran secara senyap, tetapi selepas Morey berpindah ke Philadelphia 76ers pada November tahun lalu, permainan pasukan itu hanya disiarkan melalui kemas kini teks dan gambar.

Pada Oktober tahun ini, kritikan lantang Enes Kanter terhadap isu Tibet mencetuskan satu lagi tindakan balas dari China. Selepas beliau menyiarkan video berdurasi dua minit di Twitter, mengkritik penindasan PKC terhadap kebebasan beragama di negara itu, siaran langsung Celtics hilang dari Tencent.

Pemain berusia 29 tahun itu telah mengurangkan masa bermainnya dengan ketara pada musim ini. Kanter hanya bermain dalam dua perlawanan setakat ini, dengan purata hanya 5 minit masa bermain pada setiap perlawanan. Sesetengah peminat mengesyaki perkara berkenaan ada kaitan dengan tindakannya lantang menyuarakan isu penindasan PKC. Kanter sendiri seperti sudah dapat membayangkan perkara ini akan berlaku.

“Teruskan sekat saya di gelanggang, saya akan dedahkan kelakuan anda di luar gelanggang,” tulisnya di Twitter.

Enes Kanter berkasut sukan dengan slogan “Free China” ketika perlawanan di Stadium Toyota di Houston, Texas pada 24 Oktober, 2021. (Gambar oleh Carmen Mandato/Getty Images)

Bagaimanapun, ketua jurulatih Celtics, Ime Udoka percaya bahawa menyekat masa bermain Kanter adalah keputusan “hanya berdasarkan prestasi permainan bola keranjang”, dan beliau menunjukkan kelemahan pertahanan Kanter.

Menurut Boston.com, Ime Udoka berkata, “Kami mempunyai ramai pemain yang berkelayakan dan mahu bermain. Mereka sangat kompetitif, jadi mereka mula bimbang. Anda mahu mereka bermain, tetapi terdapat pemain lain bermain dengan lebih baik. .”

Sambil Ime Udoka turut menyatakan bahawa komen Enes Kanter “tidak benar-benar mengganggu.”

Beliau menambah, “Saya tidak mempunyai akaun di media sosial. Saya telah mendengar tentang beberapa perkara yang pemain mempunyai hak untuk menyatakan pendapat mereka. Dan saya berkata sejak hari pertama dengan berpendirian bahawa apa-apa yang berkaitan dengan bola keranjang tiada kaitan dengannya.”

9 beranak muntah darah setelah makan cendawan beracun

0

Sembilan sekeluarga di Paka, Dungun mengalami muntah-muntah selepas menikmati hidangan cendawan goreng yang dipercayai beracun pada 8 November lalu.

Menurut laporan, keluarga tersebut membabitkan sepasang suami isteri bersama 7 anak mereka, di mana mereka kemudian telah dirawat di Hospital Dungun.

Ujar si isteri, Nurul Musfirah, perut mereka sekeluarga bertukar panas hingga seorang demi seorang anaknya rebah, kurang sejam selepas menikmati hidangan terbabit.

Nurul memberitahu bahawa cendawan itu dipetik berdekatan rumahnya tanpa mengetahui ia beracun.

“Saya hanya memetik 4 batang cendawan dan menggoreng sayur itu untuk dimakan bersama keluarga, kecuali anak bongsu saya”.

Nurul mula cemas apabila mereka sekeluarga tiba-tiba muntah, manakala suami dan anak keempatnya muntah darah.

Suaminya kemudian menggagahkan diri untuk membawa mereka semua ke Klinik Kesihatan Paka, sebelum dibawa ke Hospital Dungun menaiki ambulans.

“Alhamdulillah, kami cepat menerima rawatan dan selepas tiga hari dimasukkan ke hospital, kami dibenarkan pulang”.

“Pegawai kesihatan turut mengambil sampel cendawan itu dan tidak menolak kemungkinan kami keracunan makanan akibat memakannya”, katanya.

Terdahulu, kisah mereka sekeluarga sebelum ini tular setelah kakak kepada Nurul berkongsi di Facebook dan meminta orang ramai berhati-hati ketika memakan cendawan.

Eco Shop umum harga naik 10 sen ekoran kos barangan meningkat

0

Jika sebelum ini barangan di kedai Eco Shop hanya RM2.10, peruncit barangan rumah terkenal itu mengumumkan bahawa harga barangannya akan naik 10 bermula 1 Disember ini.

Perkara itu diuar-uarkan menerusi laman Facebook mereka, dengan mengatakan bahawa langkah itu dibuat berikutan kos barangan yang meningkat.

Pada masa yang sama, ia perlu memegang kepada prinsip utama syarikat itu dalam menawarkan barangan yang berkualiti.

Oleh yang demikian, selepas ini, barangan di rangkaian kedai Eco Shop akan berubah daripada RM2.10 kepada RM2.20 di Semenanjung Malaysia.

Manakala RM2.30 sebelum ini di Langkawi, Sabah dan Sarawak pula akan menjadi RM2.40.

“Kami amat menyesali atas pengumuman ini dan kami berharap anda akan terus memberi sokongan kepada kami”.

“Kami ingin mengucapkan terima kasih di atas sokongan dan kepercayaan kepada kami. Selama ini, kami sentiasa memegang prinsip di mana kami menawarkan barangan yang berkualiti dengan harga yang paling murah”.

“Ini telah menjadikan eco-shop dikenali dalam kalangan anda semua”.