26.6 C
Kuala Lumpur
Monday, August 18, 2025
Utama Blog Laman 226

Harga biskut, sardin dan Milo dijangka meningkat sekitar 8-10%

0

Jika menyebut tentang inflasi, pastinya perkara pertama yang terlintas dalam minda kita adalah kenaikan harga barangan keperluan asas bukan?

Menurut Kementerian Kewangan baru-baru ini menerusi laporan Tinjauan Ekonomi 2022, kadar inflasi dijangka mencatat 2.1% untuk tahun ini.

Keadaan yang berbeza untuk tahun lalu apabila laporan mendedahkan bahawa kadar inflasi adalah pada 2.4%.

Dalam pada itu, harga makanan kering dan pakaian pula dijangka naik untuk tahun 2022, berbanding dengan barangan basah yang dilihat akan stabil.

Perkara itu didedahkan oleh Pengarah Urusan Mydin, Mohamed Holdings Berhad, Datuk Ameer Ali Mydin.

Ujar beliau lagi, barangan basah walau bagaimanapun dirasakan tidak akan meningkat pada tahun ini berbanding dengan tahun lalu.

“Barang basah ini ada rantaian bekalan (contohnya jika berlaku) banjir. Semua ini menyebabkan barang naik harga”, katanya.

Tambah beliau lagi, harga barangan makanan kering seperti biskut, sardin dan Milo untuk tahun ini dijangkakan akan meningkat sekitar 8 hingga 10%.

“Kita telah diberitahu oleh ramai pengilang bahawa barang akan naik atas sebab tertentu, (seperti) harga bahan mentah dan kos logistik telah naik”, katanya.

Katanya lagi, untuk pakaian, beliau menjangkakan bahawa harganya akan meningkat 10 hingga 15% kerana sebelum ini penjual menjual barang-barang sedia ada.

“Dengan kemasukan barang baharu, baru harganya akan naik. Baju sekolah dan kasut sekolah pun sudah naik harga”, tambahnya lagi.

Kenaikan harga barangan sudah tentu memberi impak kepada poket semua pengguna dalam jangka masa panjang bukan?

Justeru, apa yang kita semua mampu lakukan adalah dengan bertindak bijak dalam menguruskan wang masing-masing dalam menangani inflasi dan kos sara hidup yang tinggi.

Please Subscribe to Truth News : English Epoch Times

Pilihan Editor:

Dulu bersalinkan kembar dua, kini wanita Denmark ini lahirkan bayi kembar tiga

0

Ramai juga di antara kita yang mengimpikan untuk mendapatkan bayi kembar, apatah lagi kembar seiras. Pasti gembira bukan kepalang!

Namun semuanya bergantung kepada rezeki dan keadaan kesihatan masing-masing juga bukan?

Seorang wanita dari Denmark ini berkongsi kegembiraan berganda keluarga mereka apabila menerima kelahiran cahaya mata kembar pada tahun 2018.

Menurut pasangan itu, Michella Meier-Morsi dan suaminya, Mark Morsi menyangkakan bahawa kembar dua itu sudah memadai buat keluarga mereka.

Akan tetapi takdir menentukan apabila mereka kini difahamkan telah menerima kelahiran cahaya mata kembar tiga!

Semasa mengandung, Michella hanya tahu bahawa dia mengandungkan bayi kembar tiga semasa sesi imbasan ultra bunyi.

Difahamkan bahawa Michella selamat bersalinkan ketiga-tiga bayi kembarnya yang berjantina lelaki pada 15 Januari lepas.

“Mereka dilahirkan ke dunia menerusi pembedahan ‘Caesarean’ yang dirancang oleh doktor. Ia adalah sesuatu yang menakutkan kerana tubuh saya tidak dapat mengendalkan bius dengan baik”.

“Dan malangnya, pengalaman saya sebelum ini tentang bius pada tulang belakang semasa bersalin mempunyai kesan yang tidak dapat saya lupakan”.

Kesemua bayi kembarnya itu dilahirkan dalam keadaan yang sempurna dan sihat, manakala berat masing-masing pula adalah 2.27, 26.2 dan 27.7 kilogram.

“Tidak dapat saya gambarkan betapa gembiranya saya apabila dapat pulang ke rumah bersama tiga orang anak lelaki, yang sebelum ini ada di dalam perut saya”.

Ringkasnya secara purata, berat bayi yang baru dilahirkan adalah sekitar 3.4 kilogram namun antara 2.49 kilogram hingga 4.5 kilogram dianggap normal.

Memandangkan kembar seiras dan juga kembar tiga berkongsi bahan genetik yang sama, maka kemungkinan besar mereka memiliki jantina yang sama.

Jantina bayi umumnya ditentukan oleh sel sperma tertentu yang bersenyawa dengan telur yang dihasilkan oleh organ reproduktif wanita.

Terdapat dua jenis sel sperma – yang membawa kromosom X ataupun kromosom Y. Telur daripada ibu pula hanya membawa sejenis kromosom iaitu X.

Jika sel sperma yang membawa kromosom X bersenyawa dengan kromosom X daripada telur, maka gabungannya akan menjadi XX – yang membawa kepada jantina perempuan.

Manakala jika sel sperma membawa kromosom Y pula, jika disenyawakan dengan telur, bakal menghasilkan bayi lelaki dengan kromosom XY.

Kembar seiras pula bermula dengan satu telur (daripada ibu) dan kemudian berpecah – sama ada dua, tiga atau lebih!

Jadi apa sahaja kombinasi kromosom yang berlaku semasa proses persenyawaan, menjadikan ianya berganda.

Saksikan video penuh di bawah :

Please Subscribe to Truth News : English Epoch Times

Pilihan Editor:

KJ cadang larang merokok sepenuhnya untuk generasi akan datang

0

Kementerian Kesihatan (KKM) berhasrat untuk menggubal perundangan baru dikenali sebagai Akta Kawalan Tembakau dan Merokok.

Menterinya, Khairy Jamaluddin dfahamkan telah berkongsi rancangannya untuk masa depan tanpa rokok semasa Majlis Amanat Tahun Baharu 2022 kepada warga KKM.

Kata beliau, undang-undang yang lebih tegas bakal melahirkan generasi yang tidak lagi mengenali apakah rokok serta produk berkaitan dengannya.

Larangan merokok di Malaysia itu juga dikatakan sama dengan rancangan larangan merokok di New Zealand – individu berusia 14 tahun ke bawah tidak dibenarkan membeli rokok pada tahun 2027.

Manakala menurut laporan Malaysia 2020 pada Konvensyen Rangka Kerja Pertubuhan Kesihatan Sedunia mengenai Kawalan Tembakau mendapati bahawa 1 daripada 5 (21.3%) remaja berusia 15 tahun ke atas merokok di Malaysia.

Jadi bagi mengawal keadaan itu, Khairy bakal membentangkan Akta Kawalan Tembakau dan Merokok yang baru dalam sidang parlimen akan datang, bagi menggantikan Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau (Pindaan) 2008.

Difahamkan juga bahawa perundangan semasa untuk kawalan produk tembakau terletak di bawah Akta Makanan 1983.

“Akta ini juga nanti akan memperuntukkan apa yang diharapkan sebagai ‘generation end-game’ (generasi penamat) perbuatan merokok di Malaysia untuk tempoh jangka panjang”, ujar Khairy.

Beliau mengakui bahawa akta baharu itu kelak dijangka boleh mengundang banyak kontroversi, namun beliau perlu bermula sekarang bagi mengawal selia trend gejala merokok.

Dalam nada kecewa beliau menambah bahawa sistem penjagaan kesihatan awam sudah terlalu lama dibebankan dengan pelbagai isu rantaian yang wujud akibat perbuatan merokok golongan berkenaan.

Khairy walau bagaimanapun tidak menyatakan bila rancangan larangan merokok itu akan berkuat kuasa atau menetapkan tahun kelahiran bagi mereka yang dilarang membeli rokok dan produk tembakau di negara ini.

Beliau dalam pada itu turut bertekad untuk menyemak semula Akta Dadah Berbahaya dan Akta Racun bagi isu kawal selia dapat dilakukan ke atas penggunaan bahan tumbuhan seperti ganja dan daun ketum.

KKM juga mendedahkan bahawa pihaknya akan melakukan yang terbaik dalam penguatkuasaan larangan merokok yang kini dilaksanakan di kedai makan mahupun restoran.

Ketua Pengarahnya, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata penguatkuasaan dijalankan secara berkala dan KKM sedang dalam proses untuk menambah bilangan pegawai penguat kuasa.

Tambahnya, lebih 12,000 kompaun telah dikeluarkan kepada perokok dan lebih 1,000 kompaun dikenakan kepada pemilik premis pada tahun lalu kerana gagal mematuhi larangan merokok.

Please Subscribe to Truth News : English Epoch Times

Pilihan Editor:

Sedang seronok bermain air di sebatang anak sungai, pengunjung dikejutkan dengan kehadiran beaver yang cuba ‘menghalau’ mereka keluar dari situ

0

Mungkin ramai yang masih tidak kenal dengan spesies beaver. Haiwan ini mirip seperti memerang tetapi memiliki ciri-ciri yang agak berbeza dengan memerang.

Beaver ialah antara sejenis rodensia yang terbesar. Ia adalah haiwan herbivor yang suka makan daun, kulit kayu, ranting, akar dan tumbuhan air.

Spesies ini mempunyai kebolehan berenang dengan baik dan boleh berenang pada kelajuan sehingga lima batu sejam dan boleh berada di bawah air selama 15 minit tanpa naik ke permukaan air.

Beaver sebenarnya bukanlah haiwan yang agresif dan biasanya tidak menyerang orang. Walaupun bagaimanapaun, mereka mampu menggigit dan gigitan mereka boleh menjadi sangat menyakitkan. Mereka hanya akan menyerang jika mereka terasa terganggu atau terancam.

Mungkin kerana terasa diganggu di habitatnya telah membuatkan seekor beaver muncul dan cuba ‘menghalau’ pengunjung yang sedang bersantai di sebatang anak sungai. Video tersebut telah dimuat naik ke media sosial dan membuat buah mulut ramai.

Apa yang berlaku ialah dua orang pengunjung sedang merendam kaki mereka di dalam sebatang anak sungai. Mereka ketika itu hanya mahu bersantai sambil menikmati kenyamanan air sungai yang semestinya sangat sejuk dan menyegarkan. Air sungai ketika pula hanya tenang seperti biasa ditambah lagi dengan cuaca elok seperti itu.

Namun, sedang seronok mereka bermain air sungai tiba-tiba muncul seekor haiwan dan terus menuju ke arah mereka. Haiwan tersebut bergerak dengan pantas dan seolah-olah mahu menyerang mereka membuatkan kedua-dua orang pengunjung tersebut terkejut dan terus melarikan diri. Mereka berdua segera naik ke darat untuk menyelamatkan diri.

Rupa-rupanya haiwan tersebut ialah spesies beaver yang mungkin tinggal tidak jauh dari situ. Buat anda yang tidak tahu, beaver biasanya akan memilih tebing sungai atau tasik untuk membina habitatnya. ‘Rumah’ beaver dibina dengan menggunakan dahan dan lumpur. Biasanya beaver membina rumah mereka di tengah-tengah tasik di mana rumah itu hanya boleh dimasuki melalui beberapa laluan masuk di bawah air.

Video tersebut telah menerima pelbagai komen netizen. Ada yang melihat kejadian itu sebagi sesuatu yang melucukan. Mereka berpendapat beaver tersebut hanya mahu bergurau sahaja. Namun, ada netizen yang mengatakan bahawa ia adalah sesuatu yang bahaya.

Beaver sebenarnya mempunyai keistimewaan yang tersendiri yang ramai tidak tahu. Jadi, tidak hairan lah jika ada negara yang memilih beaver sebagai simbol nasional. Di Kanada, beaver merupakan simbol hidupan liar kebangsaan buat negara itu manakala di negeri-negeri Amerika Syarikat seperti Oregon dan New York beaver merupakan mamalia rasmi bagi negeri.

Tonton video di sini.

Please Subscribe to Truth News : English Epoch Times

Pilihan Editor:

Pernah terfikir apa yang akan berlaku kepada telur jika dipecahkan di dasar laut? Lihat sendiri eksperimen yang dilakukan lelaki ini

0

Saban ketika ada sahaja perkara-perkara pelik yang muncul di kepala sehingga menimbulkan pelbagai tanda tanya. Sifat ingin tahu manusia yang semula jadi itulah yang membuatkan ramai yang muncul dengan pelbagai eksperimen sendiri. Ada yang sanggup berbelanja untuk membeli segala keperluan bagi melakukan eksperimen untuk mendapatkan jawapan kepada persoalan yang muncul di fikiran mereka.

Eksperimen mereka biasanya ‘simple’ sahaja tetapi hasilnya kadang-kadang boleh buatkan ramai yang tercengang. Misalnya eksperimen tentang apa yang berlaku jika gula mentos dicampurkan di dalam coca cola. Bunyinya mudah sahaja, tetapi hasilnya? Agak mengejutkan!

Kali ini seorang lelaki memutuskan untuk melakukan eksperimen dengan hanya menggunakan telur ayam. Namun, eksperimen ini tidak dilakukan di rumah tetapi dilakukan di dasar laut.

Pernah anda terfikir apa yang akan berlaku jika telur dipecahkan di dasar laut? Agak-agaknya bagaimana bentuk telur tersebut? Adakah ia akan pecah seperti yang biasa kita lakukan di rumah?

Eksperimen ini bermula apabila lelaki tersebut membawa sebiji telur bersamanya di dasar laut sedalam 45 kaki. Eksperimen ini walau bagaimanpun dilakukan tanpa sebarang tujuan saintifik dan dijalankan kerana rasa ingin tahu semata-mata.

Dia kemudian cuba untuk memecahkan telur tersebut tetapi ianya agak keras dan memakan masa. Jadi, pemuda ini terpaksa naik semula ke permukaan sebelum masuk semula ke dalam air dalam keadaan lebih bersedia untuk bernafas lebih dalam di dalam air.

Selepas itu, dia menggunakan kameranya untuk memcahkan telur tersebut memandangkan telur itu agak keras untuk dipecahkan menggunakan tangan. Jadi, dia menggunakan kamera untuk membuat retakan pada telur supaya lebih mudah untuk dipecahkan.

Pemuda itu kemudian terus memecahkan telur tersebut dan mengopek kulitnya seperti biasa dan hasilnya agak memeranjatkan!

Telur tersebut nampaknya langsung tidak pecah malah kuning telur masih elok terletak di dalam telur putih. Apa yang lebih mengagumkan ialah apabila dapat melihat warnanya yang seolah-olah lutsinar itu.

Sekali lihat telur tersebut bergerak seperti obor-obor pula kerana strukturnya yang lembik dan fleksibel ketika berada di dalam air. Tambahan lagi, hanya kuning telur yang kelihatan betul-betul bulat manakala putih telur kurang jelas bentuknya memandangkan warnanya yang lutsinar sukar untuk dilihat bentuk sebenarnya.

Sekarang kita sudah tahu bagaimana bentuk telur jika dipecahkan di dalam dasar laut. Persoalan lain pula ialah adakah telur boleh terus mengekalkan bentuknya itu? Jawapannya tidak.

Hal ini dibuktikan apabila seekor ikan telah cuba untuk memakan telur tersebut dan hasilnya telur tersebut telah pecah. Putih dan kuning telur telah pecah dan tidak lagi berada dalam bentuk sebelum ini. Ia seolah-olah belon air yang pecah… yang tinggal hanya sisa-sisanya sahaja.

Tonton video di sini.

Please Subscribe to Truth News : English Epoch Times

Pilihan Editor:

Pelajar Indonesia jual swafoto dengan harga AS$1juta di NFT

0

SEMARANG: Seorang pelajar universiti di Indonesia telah menjadi sensasi internet selepas memperdagangkan hak digital untuk swafotonya dan memperoleh lebih daripada AS$1 juta pada platform perdagangan NFT yang menggunakan mata wang kripto.

Sultan Gustaf Al Ghozali, yang merupakan pelajar jurusan Sains Komputer di sebuah universiti di tengah kota Semarang, telah mengambil gambar dirinya sedang duduk di hadapan komputernya hampir setiap hari sejak lima tahun lalu.

Beliau berhasrat untuk menggunakan koleksi membabitkan hampir 1,000 swafotonya bagi membuat video ‘penetapan masa’ ketika hari konvokesyennya nanti.

Namun, selepas mempelajari mengenai teknologi ‘blockchain’, pemuda berusia 22 tahun itu memutuskan untuk memuatnaik gambarnya di ke platform dagangan NFT, OpenSea di bawah tajuk “Ghozali Everyday.”

“Saya fikir mungkin lucu jika adanya individu mahu mengumpul gambar saya.

“Pada mulanya, saya hanya meletakkan gambar itu pada harga AS$3 (RM12) kerana saya tidak pernah terfikir ada orang yang ingin membeli swafoto,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di kampus universitinya pada Khamis lalu.

Namun, ia menjadi kejutan buat Ghozali apabila satu gambar swafotonya dijual pada 0.247 matawang kripto atau AS$806 (RM3,367) pada hari Jumaat.

NFT telah mengubah barangan digital daripada ilustrasi kepada meme buat pengumpul barangan maya yang tidak boleh disalin semula.

Ghozali mula memuatnaik swafotonya akhir Disember lalu, namun jualannya meningkat selepas seorang chef selebriti mempromosikan gambar itu di laman sosialnya.

Dalam tempoh beberapa hari, lebih 400 individu membeli hak milik foto yang tidak memaparkan sebarang ekspresi pemuda berkenaan.

Sehingga tengah hari semalam, koleksi Ghozali mencecah nilai dagangan sebanyak 317 ether yang bersamaan dengan lebih AS$1 juta (RM4 juta).

“Secara jujurnya, saya masih tidak mempunyai keberanian untuk memberitahu ibu bapa saya kerana pastinya mereka hairan dari mana saya dapat duit sebanyak itu,”

Dalam beberapa hari akan datang lebih daripada 400 orang membeli pemilikan gambar tanpa ekspresi beliau.

Sehingga petang Jumaat, koleksi Ghozali telah mencapai jumlah dagangan sebanyak 317 eter, bersamaan dengan lebih daripada $1 juta.

“Sejujurnya saya masih belum berani untuk memberitahu ibu bapa saya, mereka akan tertanya-tanya dari mana saya mendapat wang,” Ghozali ketawa.

Ghozali sering mengemaskini statistik OpenSea video berkenaan di akaun Twitter miliknya, yang sehingga kini terdapat lebih 16,000 pengikut.

“Hari ini saya berjaya menjual lebih 230 ‘selfie’ dan sehingga kini saya masih tidak faham mengapa ada orang ingin membeli foto NFT saya.

“Namun saya sangat bersyukur dan berterima kasih. Akhirnya usaha saya selama lima tahun membuahkan hasil,” katanya menerusi ciapan di akaun Twitter miliknya pada Selasa lalu.

Ghozali, yang bercita-cita untuk membuka studio animasi sendiri satu hari ini berkata, dia akan melaburkan duit itu dan teruskan mengambil ‘selfie’ setiap hari sehingga tamat pengajian.

Please Subscribe to Truth News : English Epoch Times

Pilihan Editor:

Terjumpa batu permata ketika mendaki lapan tahun lalu, pendaki Perancis dapat hak pemilikan sebahagian permata selepas pemilik asal tidak ditemui

0

Siapa sahaja yang tidak pernah mendengar nama Mont Blanc yang merupakan gunung tertingi di benua Eropah. Buat mereka yang sememangnya pendaki pasti pernah mempunyai angan-angan untuk mendaki gunung indah ini. Keindahan luar biasa serta keunikannya membuatkan Monc Blanc sering menjadi destinasi pengembara di seluruh dunia. Gunung yang terletak antara sempadan Perancis dan Itali ini mempunyai ketinggian 4,807.80 meter pada pertengahan September tahun lalu.

Namun begitu, di sebalik keindahan Mont Blanc sebenarnya banyak kejadian buruk yang terjadi di situ. Percaya atau tidak, gunung ini menyaksikan banyak nyawa yang terkorban. Perubahan cuaca dan badai ekstrim yang kerap kali terjadi telah merenggut nyawa para pendaki.

Namun, tidak semua cerita di Mont Blanc adalah sesuatu yang buruk kerana di sebalik semua itu ada sebuah pengalaman berharga yang dilalui oleh pendaki. Contohnya, kisah seorang pendaki yang telah menemukan batu permata berharga.

Apa yang berlaku ialah seorang pendaki dari Perancis diceritakan telah menemui sebuah kotak yang penuh dengan batu permata berharga ketika sedang melakukan ekspedisi pendakian di Mont Blanc. Lapan tahun telah berlalu tetapi pemilik asal batu permata tersebut walau bagaimanapun masih tidak ditemui.

Ekoran kegagalan mengesan pemilik asal permata tersebut, pihak berkuasa memutuskan untuk membahagikan permata tersebut dan dikongsi antara pendaki tersebut dengan pihak berkuasa tempatan.

Menurut pihak berkuasa mereka percaya bahawa batu permata tersebut datangnya daripada nahas kapal terbang India yang berlaku lebih daripada 50 tahun dahulu. Kalau benar itu yang berlaku bermakna permata tersebut milik salah seorang anak kapal terbang yang terkorban.

Menurut laporan media yang komprehensif, pada 2013, seorang pendaki berusia 20-an sedang meneroka glasier berhampiran Mont Blanc apabila dia terjumpa sebuah kotak logam yang saiznya kecil sedikit daripada kotak kasut, dengan tulisan “Made in India” terukir di atasnya. Apa yang lebih mengejutkan di dalamnya terdapat 6,000 permata berharga, kebanyakannya zamrud dan nilam, yang bernilai kira-kira 300,000 euro (kira-kira RM 1,430,280).

Pendaki itu kemudian menyerahkan permata tersebut kepada pihak berkuasa Chamonix, yang kemudiannya telah menjalankan kerja-kerja mencari dan menjejaki pewaris kepada batu permata tersebut.

Mengikut undang-undang Perancis, jika pemilik asal batu permata itu tidak menuntutnya dalam tempoh masa dua tahun, harta itu dianggap telah kehilangan pemilikan dan boleh dibahagikan sama rata antara individu yang menemukannya dan kerajaan tempatan.

Oleh itu, pada Disember tahun lalu, pihak perbandaran Chamonix mengumumkan bahawa dua pakar permata telah mengagihkan batu permata secara sama rata antara individu yang menemukan permata itu dan pihak berkuasa tempatan. Pengagihan yang dilakukan menyaksikan kedua-dua pihak memperolehi sekitar 150,000 euro (kira-kira RM 715,140)

Menurut pihak berkuasa Chamonix mereka akan mempamerkan batu permata tersebut sebagai sebahagian daripada koleksi mineral geologi dan sejarah mereka di Muzium Kristal Chamonix yang dibuka semula baru-baru ini.

Jawatankuasa itu juga berkata bahawa permata itu mungkin datangnya dari Boeing 707 Air India, Kanchenjunga, yang terhempas di Mont Blanc pada 1966. Nahas kapal terbang itu telah mengorbankan 117 orang, termasuk mereka dari program nuklear India.

Please Subscribe to Truth News : English Epoch Times

Pilihan Editor:

Jepun keluar amaran tsunami setinggi 3 meter susulan letusan gunung berapi bawah laut di Tonga

0

Jabatan Meteorologi Jepun telah mengeluarkan amaran tsunami di beberapa kawasan berpantai di selatan Pulau Amami dan Pulau Tokara.

Amaran berkenaan dikeluarkan susulan letusan gunung berapi bawah laut di Tonga yang berlaku pada petang 15 Januari.

Menurut laporan NHK, pihak berkuasa menjangkakan ombak setinggi 3 meter bakal membadai kawasan-kawasan berkenaan.

Terdahulu, video letusan gunung berapi bawah laut di Tonga menjadi tular selepas letusan kelihatan dari angkasa yang berjaya dirakam oleh satelit.

Susulan letusan berkenaan, tsunami turut dilaporkan melanda beberapa kawasan di Tonga.

Biro Meteorologi Australia melaporkan tsunami setinggi 1.2 meter melanda ibu negara Tonga, Nuku’alofa pada jam 3.30 petang 15 Januari.

Selain amaran bencana yang sama turut dikeluarkan di beberapa kawasan pantai New Zealand, Fiji, pantai Pasifik Amerika Syarikat, Hawaii dan Alaska.

Dalam perkembangan terbaru 16 Januari, Agensi Meteorologi Jepun melaporkan tsunami melanda pulau Amami Oshima dengan ombak setinggi 1.2 meter pada jam 11.55 malam sebelum melanda kawasan lain di sepanjang pantai Pasifik Jepun.

@japantimes/ Twitter

Ombak tsunami setinggi 0.9 meter mencecah ke pulau Hokkaido serta wilayah barat daya Kochi dan Wakayama. Japan Airlines membatalkan 27 penerbangan di lapangan terbang seluruh negara.

NHK menyiarkan rakaman secara langsung dari pelabuhan di wilayah yang terjejas dengan menyeru 230,000 penduduk terbabit berpindah ke tempat lebih tinggi.

Jurucakap agensi kaji cuaca memaklumkan perubahan air pasang surut setinggi 1 meter telah dikesan selepas jam 11 malam tetapi tidak diklasifikasikan sebagai tsunami.

Please Subscribe to Truth News : English Epoch Times

Pilihan Editor:

Pasangan doktor terus berbakti walaupun turut mengalami kerugian besar di Taman Sri Muda

0

Klinik mereka mengalami kerugian besar selepas banjir besar melanda Taman Sri Muda, Shah Alam dengan air bah memusnahkan mesin X-ray yang mahal dan semua ubat-ubatan.

Beberapa bekas pesakit yang mendapat tahu telah menawarkan bantuan ribuan ringgit kepada Dr. Shalini Devi Ramachandran, yang mengendalikan klinik bersama suaminya, Dr. Yuveneswara Murti, bagi membantu memulihkan premis berkenaan supaya boleh beroperasi semula.

Sebaliknya, pasangan doktor ini tidak membelanjakan wang itu untuk klinik mereka, tetapi membina ruang sementara di Taman Sri Muda yang menyediakan rawatan perubatan percuma kepada kejiranan di mana kawasan paling teruk terjejas banjir di Lembah Klang pada pertengahan Disember tahun lalu.

Gambar oleh The Star

Pernah menjadi mangsa banjir pada tahun 1995 di kawasan yang sama, Dr. Shalini berkata beliau memahami perasaan berada dalam kedudukan yang sukar dan rumit sedemikian.

Jadi pasangan ini mengetepikan kebimbangan mengenai klinik sendiri yang rosak dan memulakan bantuan di kem perubatan sementara pada 25 Disember.

Dr. Shalini dan Dr. Yuven dibantu oleh 13 sukarelawan bukan perubatan dari syarikat mereka, Dr S dan Dr Y Fitness, serta tiga hingga empat sukarelawan perubatan.

“Memang penat. Kami merawat hampir 200 pesakit sehari ketika ia mula-mula dibuka tetapi semuanya berbaloi,” kata Dr. Shalini dalam temu bual untuk The Star.

Beliau dan suaminya telah merancang pengurusan bantuan rawatan perubatan di ruang sementara itu, yang dibuka bermula jam 10 pagi hingga 7 malam setiap hari, selama 20 hari, sehingga 13 Januari.

“Pesakit masih datang walaupun pada hari terakhir,” katanya.

TikTok

Dr Shalini, 34 tahun berkata, sejurus selepas banjir melanda dan beliau memuat naik berita tentang nasib mangsa banjir di TikTok, bantuan datang bukan sahaja dari dalam Malaysia tetapi juga dari negara jiran Singapura malahan turut sampai dari Dubai.

“Mereka membantu dengan menyediakan dana untuk ubat-ubatan yang diperlukan bagi rawatan di kem tersebut. Itulah cara kami dapat mengekalkan tempat itu selama 20 hari.”

Kem itu kini ditukar menjadi tempat kutipan derma di mana orang ramai boleh menderma peralatan elektrik dan perabot untuk mangsa banjir, katanya.

Mengenai klinik mereka, Dr. Shalini berkata, “Klinik kami mengalami kerugian total. Ia telah ditenggelami air sepenuhnya dan tiada apa-apa yang dapat diselamatkan, termasuk mesin X-ray bernilai lebih RM160,000 dan ubat-ubatan bernilai RM400,000.”

Beliau berharap syarikat farmaseutikal akan mempertimbangkan untuk menggantikan ubat-ubatan yang rosak bagi meringankan beban mereka kerana ia tidak dilindungi oleh insurans perniagaan.

TikTok

“Kami menyelamatkan ubat-ubatan dengan harapan dapat menggantikannya. Malangnya, hanya dua dari 13 syarikat yang membekalkan ubat-ubatan kepada kami telah bersetuju untuk berbuat demikian,” katanya.

“Yang lain tidak akan memberikan kami bayaran balik. Ia amat bermakna kepada kami sekiranya mereka dapat berbuat demikian sekurang-kurangnya,” kata Dr. Shalini.

Jumlah kerugian klinik itu dianggarkan kira-kira RM850,000.

Namun begitu, Dr. Shalini berterima kasih kepada semua orang awam baik hati yang terus menyediakan pembiayaan dan dana bagi membolehkannya membeli bekalan ubat-ubatan dan peralatan perubatan lain untuk kem perubatan sementara itu.

Dr. Shalini berkata mereka hanya akan dapat membaiki beberapa bahagian di tingkat satu klinik dan bukannya keseluruhan premis berikutan kekangan kewangan.

Walaupun terpaksa merawat ratusan pesakit setiap hari semasa banjir, Dr Shalini berkata beliau tersentuh dan terharu dengan pengalaman itu.

TikTok

Katanya, seorang pesakit datang menemuinya dengan mengatakan usahanya menaikkan semangat pesakit pada masa yang sukar ini, yang telah memberinya keyakinan untuk terus bertahan.

“Saya tidak menyesal. Secara peribadi, bencana banjir ini adalah lengkung pembelajaran untuk saya dan suami,” kata Dr. Shalini.

“Melalui banjir dan mencetus usaha masyarakat untuk memberi bantuan, saya dapat bertemu dengan golongan prihatin yang sangat baik hati di luar sana, yang sentiasa bersedia untuk membantu,” kata Dr Shalini sambil menambah insiden banjir boleh dielakkan dengan pengurusan infrastruktur yang lebih baik di kawasan itu.

Please Subscribe to Truth News : English Epoch Times

Pilihan Editor:

Dihadiahkan kereta pacuan 4 roda, ibu bapa Abang Viva menangis kesyukuran terima kejutan istimewa itu

0

Kejadian banjir besar yang berlaku di beberapa buah negeri baru-baru ini banyak menyedarkan kita bahawa sebenarnya ramai antara kita yang sangat baik hatinya. Tidak kira di mana, ramai yang datang menghulurkan segala bentuk bantuan tanpa syarat. Ada yang meminjamkan kenderaan, ada yang bergotong-royong menyediakan makanan untuk mangsa banjir, ada yang sanggup menderma sehingga badan-badan NGO boleh bergerak memberikan bantuan dan ada juga yang sanggup meredah banjir untuk kerja-kerja menyelamat.

Antara individu yang telah memberi inspirasi kepada kita ialah ‘Abang Viva’. Lelaki bernama Azwan Omar mula menjadi bualan orang apabila kisahnya yag cukup luar biasa tular di media.

Bagi yang tidak tahu, Abang Viva telah datang ke Shah Alam dan membawa bot untuk membantu mangsa banjir. Dengan memandu kereta Viva dari Melaka, dia sanggup bersusah payah semata-mata untuk memberikan bantuan kepada mangsa banjir walaupun ketika itu dia cuma hanya ada RM50 sahaja!

Apa yang lebih menyentuh hati dia yang bekerja sebagai operator mesin sanggup meminta cuti daripada majikannya semata-mata untuk menjadi sukarelawan banjir. Dengan wang yang ada dia memperuntukkan RM20 untuk minyak bot dan selebihnya untuk makanan bagi mengalas perut. Sepanjang lima hari pertama dia menjadi sukarelawan dia hanya makan roti dan air serta tidur di dalam botnya sahaja. Bukan sahaja di Shah Alam, malah Abang Viva juga juga telah bergerak memberi bantuan banjir di Pahang.

Selepas kisahnya tular, ramai yang tampil untuk memberikan sumbangan kepadanya namun dia dengan rendah hati menolak semua itu. Katannya dia ikhlas membantu dan tidak mahu menjadi ‘viral’. Jadi, wang sumbangan yang diperolehi diserahkan kepada NGO untuk membantu mangsa banjir.

Ekoran pelbagai cerita tentang kebaikan yang dilakukan oleh Abang Viva, seorang usahawan kosmetik, Sha Hassan telah menghadiahkan sebuah kereta pacuan empat roda kepadanya.

Berita tersebut diberitahu melalui laman Instagram milik usahawan ini apabila dia memuat naik gambarnya bersama suaminya yang memegang replika kunci kereta. Usahawan itu turut berkongsi klip video yang menunjukkan dia sedang menandatangani dokumen jual beli kereta tersebut. Walaupun pada awalnya mereka sepatut perlu menunggu selama dua hingga tiga bulan tetapi semuanya dapat diselesaikan dengan lebih cepat daripada yang disangka.

Kereta pacuan empat roda berjenama Mitsubishi Triton itu kemudian terus dihantar ke rumah Abang Viva yang terletak di Alor Gajah, Melaka. Melalui ‘live’ di TikTok yang dikongsikan kelihatan ibu bapanya menangis kesyukuran kerana tidak menyangka akan mendapatkan hadiah istimewa tersebut. Terharu dengan pemberian tersebut, ayah kepada Abang Viva sempat mendoakan supaya usahawan itu sumbuh daripada sakit tulang bengkok yang sedang dialaminya.

Please Subscribe to Truth News : English Epoch Times

Pilihan Editor: