Adalah menjadi tanggungjawab setiap daripada kita untuk sentiasa menjaga kebersihan persekitaran, khasnya daripada pencemaran iaitu sampah.
Namun realiti sebenarnya, manusia masih lagi kurang kesedaran untuk menjaga kebersihan dan alam sekitar walaupun cara hidup kita sudah semakin maju mengikut peredaran masa.
Apatah lagi jika di kawasan tarikan pelancong, sudah semestinya ia perlu sentiasa dipelihara. Baru-baru ini, tular keadaan di Dataran Bagan Datuk, Perak yang begitu menyedihkan.
Ini kerana, sesetengah pengunjung difahamkan telah meninggalkan sisa sampah seperti cawan plastik, bekas makanan, beg plastik dan sebagainya, menjadikan lokasi itu kotor.
Menurut akaun Viral Perak di Facebook, sampah-sampah itu walau bagaimanapun akan diangkat oleh pekerja kontrak pembersihan. Namun ia mencerminkan sikap sebenar pengunjung.
“Sedih betul.. Buat tempat cantik-cantik tapi yang datang (yang buang sampah merata) adab tak berapa nak cantik”, tulis akaun berkenaan.
“Memanglah nanti pihak Majlis datang bersihkan tapi sikap tu jagalah sikit. Tong sampah bukannya tiada”.
Malah, akaun itu turut menambah bahawa dengan keadaan sampah sedemikian, maka ia akan membantutkan niat pengunjung lain untuk bergambar dengan mercu tanda tersebut.
Ternyata perkongsian itu membuatkan ramai pengguna Facebook yang lain menyuarakan kekesalan dan rasa tidak puas hati dengan tabiat segelintir individu yang tidak bertanggungjawab.
Semuanya bermula daripada diri kita sendiri, kita yang menentukan dan memutuskan tindakan apa yang kita lakukan. Justeru, jadilah individu yang bertanggungjawab.
Buanglah sampah ke tempat sepatutnya. Jika tiada tong sampah disediakan, simpan dahulu sehingga anda jumpa tong sampah.
Ya, ia sememangnya mudah dan tidak perlu diingatkan setiap masa. Namun yang mudah itulah sering diambil ringan oleh kebanyakan daripada kita.
Ayuh sama-sama kita berubah demi persekitaran yang bersih, malah turut jadi contoh ikutan generasi akan datang~
Wanita kerdil yang pernah tular kerana kisah perkahwinannya dikhabarkan telah selamat melahirkan bayi sulung seberat 2.35 kilogram.
Dengan ketinggian sekitar 118 cm, Syakila Norazma Amira, 28, telah selamat melahirkan seorang bayi lelaki pada 25 Januari lalu di Hospital Sultanah Nur Zahirah, Terengganu.
Bagi Syakila sendiri, kehamilan itu merupakan satu kejutan besar kerana tidak menyangka berpeluang menimang cahaya mata berikutan fizikalnya yang berbeza. Sebelum mengandung, dia telah menerima banyak komen daripada orang yang mengatakan bahawa dia mungkin tidak dapat melahirkan bayi kerana pertumbuhan fizikalnya. Namun, apa yang dia lakukan hanyalah percaya pada dirinya.
Menerusi perkongsian Syakila Norazma Amira, 28, yang tular di media sosial baru-baru ini, dia terpaksa bersalin secara pembedahan.
“Saya terpaksa masuk hospital lebih awal dari tarikh sepatutnya saya bersalin. Doktor cakap baby dalam perut besar. Kalau tunggu lagi lama takut risiko bahaya kepada baby,” katanya.
Wanita yang mesra disapa Yaya itu berkata tarikh bersalinnya dijadualkan pada 25 Februari 2022, namun terpaksa bersalin sebulan lebih awal iaitu pada 25 Januari.
Keputusan ini dibuat selepas mengambil kita faktor saiz badannya yang kecil iaitu ketinggian 118cm dengan berat 20kg serta faktor keselamatan bayi yang pada ketika itu beratnya sudah melebihi 2kg.
“Banyak sebab kenapa saya terpaksa operate untuk bersalin bukannya beranak secara normal. Salah satunya sebab ketinggian saya tak boleh menampung saiz baby.”
Walaupun bersalin lebih awal, dia tetap bersyukur kerana anaknya tiada apa-apa masalah kecuali penyakit kuning.
Dia bertemu suaminya, Muhammad Azri Zaidi, yang 8 tahun lebih muda daripadanya menerusi permainan dalam talian, PUBG pada Ramadhan 2020, sebelum mereka berkahwin pada 18 Mac 2021.
Azri mendedahkan bahawa keperibadian dan keyakinan isterinya telah membuatkannya tertarik. Azri juga tidak pernah memandang saiz fizikalnya sebagai satu kecacatan.
“Dia tidak seperti orang lain, tetapi dia sempurna di mata saya. Kami mengisi kekosongan antara satu sama lain dan saya sering mengabaikan apa yang orang katakan tentang kami, asalkan kami berdua gembira,” ujarnya.
Syakila juga berkata, dia dapat merasakan keikhlasan suaminya itu kerana tidak pernah bercakap buruk tentang penampilan fizikalnya. Suaminya juga sangat matang walaupun memiliki jarak usia yang jauh. Bukan itu sahaja, malah keluarga Azri juga menerima Syakila dengan baik sekali.
Bagi kebanyakan orang di bandar, KFC (Kentucky Fried Chicken) boleh dikatakan menjadi makanan hampir setiap minggu atau hari. Namun bagi mereka yang berada di luar bandar, tidak semua orang mampu menikmatinya malahan tidak pernah menjamahnya pun buat seumur hidup.
Seorang guru dari Sekolah Kebangsaan Syed Sheh, Kupang di Kedah berkongsi kisahnya baru-baru ini di media sosial, apabila membawa 30 anak muridnya yang belum pernah makan KFC ke restoran makanan segera itu untuk menikmatinya.
Guru Bahasa Inggeris, Pendidikan Jasmani dan Muzik, Ismaniza Fahida Ismail berkata pada mulanya beliau hanya ingin menarik minat semua anak muridnya untuk hadir penuh ke sekolah dan menyiapkan kerja sekolah dengan berjanji akan memberi ganjaran makan KFC apabila mereka menunaikan tanggungjawab dan tugasan diberikan.
“Mereka nampak kurang minat buat kerja sekolah, jadi saya janji siapa buat kerja nanti saya belanja dan kebetulan semua buat. Jadi saya tanya secara rawak apa yang mereka teringin hendak makan dan 90 peratus jawab KFC,” jelas Cikgu Ismaniza kepada mStar.
“Dari situ saya mula tanya setiap seorang sebab saya hairan mengapa mereka jawab KFC dan 98 peratus cakap mereka tidak pernah makan apatah lagi masuk KFC, yang biasa makan pun sebab orang bagi dekat rumah,” katanya.
Jawapan kesemua anak muridnya telah menyentuh hati Cikgu Ismaniza sekali gus teringat zaman kanak-kanaknya.
“Masa mereka cakap tak pernah makan, sakit dada saya sebab teringat kisah saya masa kecil dulu pun macam ni, hanya dapat makan daripada ihsan orang. Saya pun kenal KFC masa umur 18 tahun, waktu belajar di maktab perguruan bila kawan-kawan yang ajar makan.”
“Sebagai guru saya tahu latar belakang mereka, ada ayah meninggal, bercerai, ada yang yatim piatu, jadi dari situ nikmat hidup pasti kurang, jadi saya berazam untuk bawa mereka makan di KFC,” kata guru ini yang menetap di Baling.
Cikgu Ismaniza membelanja kombo besar KFC di Baling untuk 30 orang anak muridnya yang berada dalam tahun dua, tiga dan lima.
“Masa sampai KFC, ada mereka yang terlompat-lompat seronok sampai ada terketar tangan sebab gembira. Paling sedih tengok mereka jadi teruja tengok sos keluar dari pam, semua bunyi ‘wow’ sebab hairan.”
“Lepas tu ada yang tanya kenapa tak letak botol sos, masa tu kita tahu mereka memang tidak pernah masuk KFC,” kongsi Cikgu Ismaniza.
Apabila ada orang yang bertanya, mengapa Cikgu Ismaniza tidak membeli sahaja KFC itu dan membawanya ke sekolah kerana sama sahaja semua anak muridnya boleh makan.
Jawapan Cikgu Ismaniza, “Perkara yang orang anggap mudah sebenarnya menjadi harapan besar murid-murid. Mereka tidak pernah makan KFC. Itu impian mereka. Mungkin ada yang rasa ini benda remeh. Tetapi bagi mereka KFC itu sesuatu yang mahal dan sukar dicapai, ibu bapa mereka akan kata beli beras lebih baik daripada KFC.”
Di akhir jamuan kombo besar di KFC Baling itu, murid-murid Cikgu Ismaniza menunjukkan sikap pemurah untuk berkongsi rezeki dan kebahagian mereka dengan ahli keluarga lain di rumah.
“Saya rasa sangat bangga bila mereka kata hendak bawa balik kongsi, dari sini kita tahu sikap anak murid kita. Saya sengaja beli kombo besar sebab saya tahu orang susah kalau dapat makan sedap mereka tak sabar hendak bagi ahli keluarga lain rasa,” kata guru ini yang memahami situasi anak-anak muridnya.
Baru-baru ini, tular sebuah video yang memaparkan seorang lelaki, Jonny Preston berusaha memujuk pekerja di rumah penyembelihan haiwan.
Lokasi rumah penyembelihan binatang itu difahamkan terletak di Bolgatanga, Ghana, di mana Jonny berusaha untuk menggantikan nyawa anjing itu dengan duitnya.
“Saya akan bayar sejumlah wang kepada kamu, sebagai ganti untuk saya mengambil anjing ini. Saya akan mengambilnya”, kata Jonny.
Setelah menyerahkan wang kepada pekerja, Jonny kemudian mengusap anjing baka ‘pooch’ tersebut lalu membuka rantai besi yang diikat pada anjing itu.
Difahamkan bahawa anjing berwarna coklat tersebut sememangnya akan menggigit jika didekati namun pabila Jonny mengangkatnya, anjing tersebut diam dan menuruti sahaja.
Sepertinya anjing itu mengetahui bahawa penyelamat hidupnya telah tiba dan dalam masa beberapa saat sahaja, nasibnya berubah.
Sayu melihat matanya, seakan telah menzahirkan rasa terima kasih kepada Jonny..
Terima kasih Jonny kerana sanggup berhabis wang semata-mata untuk terus memperjuangkan nasib dan nyawa haiwan terbiar.
Seeloknya, isu peningkatan jumlah haiwan terbiar ini ditangani menggunakan pendekatan kawalan kelahiran iaitu ‘Trap-Neuter-Release’ (Perangkap-Kasi-Lepas).
Ini kerana semua haiwan yang terbiar di dalam komuniti setempat akan disteril dan dikasikan, lalu kemudian dilepaskan kembali ke kawasan mereka.
Hasilnya, pembiakan anjing mahupun kucing akan berkurangan dan terhenti. Secara tidak langsung, ia akan mengurangkan populasi mereka.
Masalah pembuangan sampah dan sisa pepejal merupakan antara isu yang masih lagi membelenggu negara daripada dahulu hinggalah ke hari ini.
Malah pembuangan sampah yang tidak betul juga menjadi penyumbang kepada punca utama kejadian banjir yang melanda baru-baru ini.
Di Kampung Bakar Kapur, Penghulu Him yang terletak di Sungai Petani, Kedah, penduduknya terkejut apabila mendapati bahawa air parit di sana bertukar menjadi hijau.
Para penduduk percaya bahawa ianya berlaku disebabkan oleh tindakan tidak bertanggungjawab oleh segelintir pihak.
Dalam kes ini, ia merukuk kepada pihak kontraktor pembinaan perumahan berhampiran yang bertindak membuang bahan kimia tertentu ke dalam air yang mengalir terus ke Sungai Muda.
Penduduk juga berasa bimbang parit yang tercemar itu bakal menjejaskan aliran air yang lain kerana sungai tersebut menjadi sumber pendapatan utama penduduk.
Parit yang tercemar itu juga menyebabkan ikan mati dan menghasilkan bauan yang kurang menyenangkan, sekaligus mengganggu penduduk sejak 26 Januari lalu.
Pemilik kedai makan, Ramizan Marzukir berkata kejadian air parit bertukar menjadi warna sebegitu hanya disedarinya setelah pelanggannya menghidu bau busuk.
“Pelanggan terbabit terkejut melihat air parit berdekatan kedai saya berwarna hijau sebelum memaklumkan kejadian kepada saya dan saya terus menghubungi ketua kampung”.
“Seorang penduduk cuba mencari puncanya sebelum menemui kira-kira 16 tong besar dipercayai mengandungi bahan kimia di tapak pembinaan sebuah rumah di Penghulu Him”, katanya.
Bersama dengan ketua kampung, Ramizan kemudian mengunjungi tapak pembinaan rumah itu dan menemui sendiri kontraktor yang menjalankan projek.
Namun mereka memaklumkan bahawa air hijau tersebut adalah pencuci yang digunakan untuk mencuci rumah.
“Kami ragu-ragu dengan jawapan itu dan menghubungi Jabatan Alam Sekitar (JAS) Kedah untuk pemeriksaan lanjut”, ujar Ramizan.
“Kami bimbang jika ia mengandungi bahan kimia kerana ada penduduk mendakwa tidak tahan dengan bau yang mencucuk hidung selain ada ikan mati di parit berkenaan”.
Perkara tersebut turut mendapat perhatian daripada Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man yang berkongsi masalah itu di akaun media sosialnya.
Pegawai JAS negeri dalam pada itu sudah mengambil sampel air parit tersebut dan menyita lokasi pembinaan rumah buat sementara waktu sehingga keputusan siasatan diperoleh.
Manakala wakil kontraktor dan pemilik tanah juga telah dipanggil untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 34B AKAS 1974.
Bagi mereka yang mengimpikan sesuatu dan berusaha keras demi mencapai impian, sudah pasti dimakbulkan walaupun ia memakan masa yang lama. Jika usaha itu berkat, rezeki memang tidak pernah salah alamat.
Selebriti Ayda Jebat dan suaminya, Nabil Mahir mengumumkan berita gembira menerusi akaun Instagram dan YouTube yang mereka kini adalah pemilik sebuah banglo mewah. Memang bertuah dan tahniah buat pasangan muda ini.
Ayda berkongsi dengan para peminatnya sambil meluahkan rasa syukur atas rezeki yang dikurniakan kepadanya dan Nabil.
Menerusi saluran YouTube, Ayda juga memberitahu beliau dan Nabil mengambil masa yang agak lama untuk mencari rumah idaman yang menepati kehendak mereka bersama.
Selepas beberapa bulan dan meninjau puluhan rumah serta berjumpa beberapa orang ejen hartanah, akhirnya impian itu dimakbulkan.
“Lama juga kami tunggu sebab PKP dan macam-macam cabaran. Tetapi Alhamdulillah kami dapat rumah idaman. Sebenarnya, kami cuba dapatkan rumah sebelum anniversary tetapi terlewat sikit. Biarkan lewat tapi rezeki tak pernah salah alamat,” kata Ayda.
“Ciri-ciri rumah yang dicari ada di rumah ini. Kalau boleh tidak jauh dari rumah Nabil dan mama. Kami beli rumah ni, kerja puluh tahun baru dapat beli. Alhamdulillah. Berbaloilah tak tidur malam. Kami sama-sama kerja keras dan keluarga doakan kami,” tambah Ayda.
Sebelum mendirikan rumah tangga bersama Nabil Mahir, Ayda pernah menghadiahkan sebuah rumah dua tingkat di Eco Grandeur, Puncak Alam untuk ibu tersayang pada sekitar bulan November 2020. Memang berkat rezeki jika berbakti kepada ibu bapa.
Ayda Jebat mendirikan rumahtangga bersama Nabil Mahir pada 1 Januari 2021. Mereka dikurniakan seorang anak perempuan, Ana Nayla pada 21 September 2021. Semoga pasangan ini sentiasa diberkati dan berbahagia dunia akhirat.
Dr. Anthony Fauci diberitahu dalam telesidang rahsia bahawa virus PKC (COVID-19) berkemungkinan besar telah bocor dari makmal di China, namun masih mendesak naratif alternatif yang ia berasal secara semula jadi, dakwa bukti baharu yang menunjukkan.
E-mel yang telah disunting baru-baru ini didedahkan kepada umum yang mencadangkan bahawa Dr. Fauci, pengarah Institut Alergi dan Penyakit Berjangkit Kebangsaan (NIAID), memulakan usaha untuk menutup bukti yang menunjukkan kebocoran makmal sebagai asal usul virus PKC (Parti Komunis China), yang menyebabkan COVID-19.
Bukti menunjukkan Dr. Fauci juga secara aktif merangka dan membentuk kertas akademik yang sangat berpengaruh yang pertama kali diterbitkan pada 16 Februari 2020, sebelum kemudian dicetak dalam jurnal sains terkenal Nature yang mengecualikan kemungkinan teori sedemikian.
Dr. Anthony Fauci, di Capitol Hill, Washington DC pada 23 September 2020 (Gambar oleh Graeme Jennings- Pool/Getty Images)
Artikel itu, bertajuk “The Proximal Origin of SARS-CoV-2,” ditulis bersama oleh lima pakar virologi, empat daripadanya menyertai Dr. Fauci dalam telesidang pada 1 Februari 2020.
Semasa panggilan telefon, sekurang-kurangnya tiga pengarang kertas berkenaan berkata mereka antara 60 hingga 80 peratus pasti bahawa virus PKC berasal dari makmal, sesuatu yang mereka juga ulangi dalam e-mel selepas panggilan itu.
Pada waktu itu, laporan awam juga muncul tentang kemungkinan hubungan Institut Virologi Wuhan di China dan wabak virus PKC, namun laporan ini telah ditolak oleh Dr. Fauci dan profesional perubatan lain sebagai teori konspirasi.
Ini termasuk Peter Daszak, pengasas EcoHealth Alliance, badan bukan keuntungan yang menyalurkan wang geran Amerika Syarikat kepada saintis di Wuhan dan penyelidik lain, yang menerbitkan kenyataan berbunyi, “Kami berdiri bersama untuk mengecam sekeras-kerasnya teori konspirasi yang mencadangkan bahawa COVID-19 tidak mempunyai asal usul semula jadi.”
Dalam wawancara bersama program EpochTV “Crossroads”, Jeff Carlson dan Hans Mahncke, hos “Truth Over News” berkata bukti terkini menunjukkan bahawa Dr. Fauci sangat menyedari bahawa virus PKC berkemungkinan bocor dari makmal di China, tetapi secara aktif menyarankan naratif alternatif.
“Asal usul ‘proximal’ memihak bahagian yang kukuh daripada asal usul semula jadi untuk virus. Dan ia telah digunakan oleh media dan kerajaan untuk memaparkan sebarang percakapan tentang kebocoran makmal. Hakikatnya, itulah yang digunakan untuk menolak sesiapa yang menyatakan apa-apa seperti itu adalah sains yang dibuktikan,” kata Carlson.
“Jadi di sini, versi pertama asal usul ‘proximal’ telah selesai pada hari yang sama ketika berlangsung telesidang. Jadi biarkan sahaja perkara itu terbenam, pada masa Fauci dan Collins [ketua Institut Kesihatan Kebangsaan Francis Collins] dan Farrar [Jeremy Farrar, ketua Wellcome Trust UK], pembiaya kanan, ketua institusi kesihatan kita diberitahu secara peribadi bahawa mana-mana sahaja dalam lingkungan 60 hingga 80 peratus kemungkinan virus ini mempunyai asal usul makmal, mereka melengkapkan draf pertama asal usul ‘proximal’, yang kemudiannya digunakan untuk mempromosikan naratif asal usul semula jadi berbanding asal usul kebocoran makmal bagi virus itu,” kata Carlson.
Carlson dan Mahncke berkata walaupun terdapat bukti yang menunjukkan sebaliknya, Dr. Fauci kemudiannya menerima pakai pendirian awam bahawa beliau tidak mengetahui apa-apa dakwaan yang dibuat oleh pengarang dalam telesidang itu.
“Apa yang baru tentang e-mel ini ialah butiran yang telah dikeluarkan melalui e-mel tidak disunting. Sebelum ini, apabila terdapat pembuangan e-mel itu, semua e-mel pada dasarnya telah disunting 95 peratus atau lebih atau hanya kelabu, kelabu, kelabu… jadi sekarang kita tahu apa yang berada di sebalik suntingan tersebut, beberapa daripadanya, dan apa yang kami ketahui ialah tahap perincian yang saintis sudah tahu pada masa itu tentang ciri kejuruteraan virus,” kata Mahncke.
“Jadi semua perkara yang kami temui dalam masa dua tahun lalu, mereka sudah tahu semua itu pada 1 Februari 2020 … dan daripada sepatutnya memberi amaran kepada dunia tentang fakta terdapat virus kejuruteraan yang melanda dunia, Fauci telah melakukan perkara yang benar-benar bertentangan. Beliau pergi ke sana dan berkata, ‘Tidak, ini semua semula jadi’,” tambah Mahncke.
Pada mesyuarat 3 Februari 2020 di Akademi Sains Kebangsaan, hanya dua hari selepas telesidang dengan para pengarang “The Proximal Origin of SARS-CoV-2”, Dr. Fauci diminta membantu merangka surat respons kepada pertanyaan yang dibuat oleh Rumah Putih di bawah pentadbiran Trump berkenaan asal usul virus.
Sekali lagi, Dr. Fauci menggandakan pendiriannya bahawa virus PKC berasal secara semula jadi dan bukan dari makmal.
“Jadi sejak awal Fauci berusaha keras dan dalam pelbagai forum, semuanya ke arah yang sama, semula jadi, semula jadi, semula jadi, tetapi pada masa yang sama, bukan sahaja beliau diberitahu kemungkinan besar ia bocor dari makmal, juga diberitahu mengenai butirannya; itu bagi saya menjadi sangat menarik,” kata Mahncke.
Ketika ditanya secara langsung semasa mengemukakan keterangan di hadapan Kongres Amerika Syarikat awal bulan ini, Dr. Fauci menafikan telah berkomunikasi dengan para pengarang artikel itu.
Pegawai perisikan Amerika Syarikat dan beberapa pakar sejak itu telah memperolehi bukti yang menunjukkan virus PKC berasal dari makmal, tetapi pegawai lain mengekalkan kenyataan bahawa ia adalah asal usul semula jadi.
Pada bulan September, dokumen yang diperolehi oleh The Intercept berkenaan tuntutan undang-undang Akta Kebebasan Maklumat yang dibawa oleh penerbitan itu terhadap Institut Kesihatan Kebangsaan menunjukkan bukti EcoHealth Alliance menggunakan wang persekutuan untuk membiayai penyelidikan berkaitan coronavirus daripada kelawar di Institut Virologi Wuhan.
The Epoch Times telah menghubungi NIAID untuk mendapatkan komen mereka.
Orang tua dulu-dulu berkata, dalam dunia ada tujuh orang yang wajahnya sama atau seiras dengan kita, tetapi sejauh mana kebenarannya akan kepercayaan itu.
Apabila terjumpa orang yang seiras wajah dengan kita, memang tidak boleh sangka dan akan boleh terkejutlah dibuatnya. Macam yang ini, dia macam wajah siapa?
Baru-baru ini tular di media sosial apabila wajah seorang pemain bola sepak dari kelab di Turki dikatakan mirip dengan pengasas produk kosmetik D’Herbs, Dato’ Aliff Syukri Kamarzaman.
Wajah Salih Ucan dikatakan terlalu mirip dengan Aliff Syukri sehingga ramai netizen Malaysia meninggalkan komen di hantaran Facebook kelab Istanbul Basaksehir dan pemain itu sendiri.
Ramai yang meninggalkan komen lucu sambil ada mengatakan Dato’ Aliff Syukri telah bertukar kerjaya dan kini menjadi pemain bola sepak profesional dengan tagline “Terlajak Gol”.
Sebelum ini, pernah menjadi kecoh juga daripada netizen-netizen Malaysia yang menyamakan wajah Dato’ Aliff Syukri dengan penjaga gol Selangor, Sam Somerville di media sosial.
Komen-komen orang Malaysia di bawah telah buat komen-komen orang Turki tenggelam dan mereka mula kata jadi keliru mengapa ada ramai sangat orang Malaysia di situ, semua sebab Dato’ Aliff punya pasal.
Kata peniaga terbabit, idea untuk mengusahakan merpati pelangi itu muncul setelah perniagaannya kurang mendapat sambutan.
Tambahnya, bulu burung merpati lazimnya satu tona warna sahaja – putih, coklat atau hitam. Ia kelihatan biasa, sekaligus tidak menarik perhatian orang ramai.
Tambahnya lagi, sebarang jenis bauan yang kuat (daripada semburan cat khasnya) adalah sangat merbahaya kepada spesies burung.
Dalam pada itu, Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri Kelantan (JPVNK) difahamkan akan turun ke lapangan untuk memberi khidmat nasihat kepada peniaga terbabit.
Timbalan Pengarahnya, Dr Syarifah Asiah Mohd Amin berkata pihaknya juga akan menyelidik terlebih dahulu isu mengecat burung yang mungkin memberi kesan kepada kebajikan haiwan itu.
“Perkara ini boleh dikaitkan dengan Akta Kebajikan Haiwan 2015 (Akta 722) iaitu pemilik perlu bertanggungjawab ke atas keperluan kebajikan haiwan masing-masing”.
Beliau turut menasihati orang ramai untuk tidak melakukan perkara yang memberi kesan kepada kebajikan haiwan peliharaan, ataupun untuk dijual bagi mengelak berlakunya penganiayaan.
Seorang wanita Afrika Selatan yang menghidap HIV, yang juga menghidap COVID-19 selama sembilan bulan menyaksikan virus itu membangunkan sekurang-kurangnya 21 mutasi semasa berada di dalam badannya, dedah satu kajian baru-baru ini.
Wanita berusia 22 tahun itu, difahamkan dapat mengharungi virus COVID-19 dalam tempoh enam hingga sembilan minggu selepas dia mula mengambil ubat anti-retroviral yang digunakan untuk merawat HIV, menurut penyelidik di Stellenbosch dan Universiti KwaZulu-Natal.
Mereka membuat kesimpulan bahawa peningkatan kewaspadaan adalah wajar dalam kalangan pesakit HIV yang dijangkiti COVID-19 untuk mencegah kemunculan varian COVID-19.
Terutama sekali varian Omicron yang pertama kali ditemui di Afrika Selatan pada November 2021, sementara pegawai kesihatan di Amerika pula mengatakan ia kini merupakan jenis yang dominan di seluruh Amerika Syarikat.
“Kes ini, seperti yang lain sebelum ini, mewujudkan laluan yang berpotensi bagi kemunculan varian baru”, kata saintis dalam kajian, sambil menambah bahawa ia masih hipotesis dan lebih banyak data diperlukan.
“Pengalaman kami mengukuhkan laporan terdahulu bahawa rawatan anti-retroviral yang berkesan adalah kunci untuk mengawal kejadian sedemikian”.
Afrika Selatan merekodkan pesakit wabak HIV terbesar di dunia, iaitu kira-kira 8.2 juta daripada 60 juta penduduknya dijangkiti virus itu.
Menurut penyelidik, pesakit yang diperhatikan dalam kajian itu telah membangunkan sekitar 10 mutasi pada protein spike virus COVID-19, yang membolehkan ia mengikat sel bersama-sama dengan 11 mutasi lain.
Beberapa mutasi adalah serupa dengan yang dilihat dalam varian Omicron dan Lambda, manakala yang lain konsisten dengan mutasi yang membolehkan virus memintas antibodi.
“Sekali lagi pengalaman kami mengukuhkan laporan terdahulu bahawa ubat anti-retroviral yang berkesan adalah kunci untuk mengawal kejadian sedemikian. Sebaik sahaja replikasi HIV dikawal dan penyusunan semula imun bermula, pembersihan pantas virus COVID-19 dicapai, mungkin sebelum penyusunan semula imun sepenuhnya berlaku”, kata mereka.
“Ini memberi penekanan bahawa jurang penjagaan HIV perlu ditutup dan ia akan memberi manfaat kepada keadaan lain serta masalah kesihatan awam juga, termasuklah COVID-19”.
Sementara itu, selepas beberapa minggu Omicron merebak ke seluruh negara, beberapa pakar Afrika Selatan berkata mereka optimis bahawa negara itu telah mencapai titik perubahan.
“Gelombang Omicron kini menyumbang kurang daripada 5 peratus daripada semua kematian yang berlaku akibat COVID-19 di Afrika Selatan sejak permulaan wabak itu”, kata ahli vaksin, Shabir Madhiti, seorang profesor di Universiti Witwatersrand.
Walaupun lebih banyak varian COVID-19 mungkin muncul, dia percaya bahawa pandemik yang paling teruk selama dua tahun telah berakhir.
“Saya sangat optimis bahawa kita telah mencapai titik perubahan dalam wabak ini,” kata Madhiti.
“Saya tidak dapat melihat lagi kita akan menyaksikan semula apa yang kita alami semasa tiga gelombang pertama melanda di Afrika Selatan”.